Saturday, February 23, 2013

MENJEJAKI PUTERI LINDUNGAN BULAN



Mungkin ada di antara anda terutamanya metalheads, hanya pernah mendengar kisah Puteri Lindungan Bulan melalui lagu “Punarmarjuna” dari kumpulan death metal, SIL KHANNAZ (pada ketika itu berubah kepada genre progressive heavy/thrash metal) dalam album “Gerbang Kayangan” pada tahun 1997? Tetapi bagi kami orang-orang utara, ia adalah sebahagian dari sejarah keturunan kami, sejarah negara Kedah, yang mana Kota Kayang adalah salah satu pusat pemerintahan Kedah suatu ketika dahulu dan Perlis dijadikan sebuah negeri setelah diserahkan oleh Sultan Kedah untuk ditadbir oleh Raja Perlis yang pertama. Begitu juga Penang yang merupakan sebahagian dari negara Kedah, kelicikan Inggeris membuatkan pulau itu tergadai.

Secara rasmi dan menurut versi popular, Kota Siputih dibina pada tahun 1282 oleh Tunku Ahmad Ibni Sultan Muzzil Shah (Raja Muda Kedah), merupakan pusat pemerintahan Negeri Kedah yang ketiga sesudah Kota Bukit Meriam (1136-1236) dan Kota Sungai Emas (1236-1323) di Daerah Kuala Muda. Dalam masa 300 tahun lebih terdapat seramai lapan orang sultan pernah memerintah di sini bermula dengan Sultan Ibrahim Shah (1321-1373). Pada era pemerintahan Sultan Sulaiman Shah II (1602-1625), Kota Siputih telah musnah akibat serangan Aceh pada tahun 1619. Baginda ditawan dan dibawa ke Aceh dan mangkat di sana. Puteranya iaitu Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1626-1651) akhirnya mengasaskan pusat pentadbiran baru di Kota Naga. kisah Puteri Lindungan Bulan sering dikaitkan dengan serangan Aceh ke atas Kedah kerana kemarahan Raja Acheh yang gagal memiliki puteri Raja Kedah yang berdarah putih. Tindakan Raja Kedah yang enggan menyerahkan puterinya yang berdarah putih sebaliknya menyerahkan puterinya yang berdarah merah telah menyebabkan Acheh bertindak menyerang Kedah.

Walaupun Kedah telah tewas, tetapi Acheh gagal mencapai hasratnya kerana puteri tersebut telah disembunyikan di dalam sebuah lubang yang terletak agak terpencil sehingga cahaya bulan pun tidak dapat sampai. Lantaran itu, puteri tersebut digelar "Puteri Lindungan Bulan". >>> RUJUK SINI

Menurut pengkaji sejarah negara Kedah, pandangan ulama, dan para nasionalis yang menyangkal manuskrip tulisan jawi sejarah bangsa yang ditaja oleh Inggeris pula menyangkal kisah Sultan Acheh, Iskandar Mahkota Alam (Muda Thani) yang kononnya menyerang Kedah kerana tidak dapat berkahwin dengan Puteri Lindungan Bulan yang berdarah putih, puteri kepada Sultan Sulaiman II. Menurut mereka lagi, Puteri Lindungan Bulan adalah cucu saudara Iskandar Mahkota Alam, kenapa pula baginda hendak berkahwin dengan cucu saudara sendiri. Sultan Sulaiman adalah anakanda kepada Per Abu (Hang Kasturi) yang merupakan adik bongsu Iskandar Mahkota Alam atau Hang Tuah.

Bagi mereka, kisah ini adalah satu lagi pembohongan kerana Sultan Sulaiman II ini bukan Sultan Kedah, hanya raja daerah Kubang Pasu, bersemayam di Istana Bukit Pinang bergelar Paduka Seri Sultan Sulaiman. Dia telah membunuh dan memakan beberapa orang tentera China Manchu yang membina Berahman Indera lalu di jatuhkan hukuman oleh Sultan Muhiyuddin Mansur Syah, Maharaja Benua Islam Siam Nagara Kedah yang bersemayam di Kota Palas Langkawi. Paduka Seri Sultan Sulaiman dan pengikutnya enggan menyerah kuasa dan melarikan diri ke Singgora lalu bunuh oleh Iskandar Mahkota Alam di sana, bukannya di penjarakan di Acheh.

Manuskip mengenai Kota Siputih dan pentadbirannya dianggap oleh mereka sebagai penipuan sehingga ke hari ini kerana Makam Sultan Muhiyuddin Mansur Syah di Pulau Langkawi dianggap sebagai Makam Purba. Seperkara lagi, kemusnahan Kota Seputeh bukan disebabkan serangan Acheh tetapi adalah kerja tentera Thai memusnahkan bukti sejarah dan Wat mereka pun masih ada lagi sehingga ke hari ini di kepala simpang masuk ke Kota Seputeh. >>> RUJUK DI SINI

Ketika pulang dari Majlis Daerah Kubang Pasu bersama Brown, hati aku tergerak untuk ke singgah ke Makam Puteri Lindungan Bulan. Makam ini memang terkenal bagi kumpulan-kumpulan yang mengamalkan ilmu-ilmu khurafat dan percayakan hal yang syirik. Berbagai-bagai mitos dan kisah mistik sering dikaitkan dengan makam puteri jelitawan ini. Ada pihak mendakwa, sehingga ke hari ini sinaran rembulan tidak menyentuh makamnya. Wallahualam.



 

Hal yang demikian, menyebabkan aku lebih teruja ke sana. Pencarian kami di Kampung Siputih tidak berhasil, lorong yang kecil hanya mampu dilalui satu kereta dalam satu masa disamping rumah kampung yang rapat-rapat lebih menyukarkan pencarian.

Akhirnya kami meminta bantuan orang kampung yang kebetulan sedang membersihkan kawasan rumahnya. Pak Nyan memang mesra dan sudi menjadi pemandu pelancong tanpa diminta. Makam Puteri Lindungan terletak di atas sebuah bukit, sekelilingnya dipagar konkrit kuning, begitu juga binaan makam yang berwarna kuning, dengan nisan batu berbalut kain kuning yang difahamkan dibina dan diselenggarakan oleh pihak Istana Sultan Kedah. 



Menurut Pak Nyan yang merupakan penduduk asal Siputih dan lisan dari ayah dan datuknya, Kota Siputih adalah sebuah pengkalan dan hampir dengan laut pada pemerintahan Sultan Sulaiman maka disebabkan itulah ia turut dikenali sebagai Pengkalan Siputih.

Memang banyak perkara khurafat apabila mitos dan mistik mempengaruhi sesebuah tempat terutamanya melibatkan sebuah makam puteri yang anggun di zamannya. Terdapat sebuah kolam buaya kira kira 20 kaki dari makam tersebut. Bagi mereka yang tidak tahu menahu pasti menganggap ia milik buaya keramat atau karamah. Hakikatnya, Pak Nyan memceritakan beberapa tahun yang lalu ketika musim kemarau, pemuda-pemuda kampung terjumpa seekor buaya terdampar disebuah danau. Hasil idea kreatif dengan hanya mengunakan rantai motor sahaja, mereka berjaya menangkap buaya tersebut.

Dan disebabkan makam tersebut adalah tarikan pelancong, orang-orang kampung membina sebuah kolam kecil dan menempatkan buaya tersebut disitu. Tetapi seperti yang dijangka, khurafat dan percaya dengan hal tahyul membuatkan beberapa individu tertentu sanggup mengheret dan mencuri buaya tersebut pada suatu malam!

Lucu tetapi benar. Tapi itulah mentaliti masyarakat kita sehingga ke hari ini.

Satu lagi perkara unik dan lucu tetapi benar, Pak Nyan menunjukkan kami sebuah kubur dihadapan Makam Puteri Lindungan Bulan yang dibina secara tiba tiba oleh pihak tertentu yang mungkin ada agenda tertentu. Kata Pak Nyan, sejak zaman datuk dan nenek dia lagi hanya ada Makam saudara mara Puteri Lindungan Bulan di atas bukit itu. Tetapi dengan tiba-tiba kubur dengan binaan marmar tanpa nama wujud di situ.


Mungkin suatu hari ini, akan wujud pula dakwaan sesiapa pula waris Puteri Lindungan Bulan kerana kubur ibunya di situ dan memohon elaun kerabat di raja?!

Kerabat Raja Sulu dah mula dah gali sejarah di Sabah. :)

No comments:

Post a Comment