Friday, May 15, 2015

MENJEJAKI TAN YONG PO, SATUN

Ban Tan Yong Po, Satun atau asalnya Kampung Tanjung Pauh, di daerah Setoi adalah kawasan pedalaman yang jauhnya kira-kira 60KM dari pintu pagar sempadan Wang Kelian. Bagi yang belum tahu, Setoi suatu ketika dahulu ditadbir oleh Kesultanan Islam Kedah. (rujuk artikel mengenai Setoi yang pernah saya tulis dahulu >> sini).

Tanjung Pauh, sebuah kampung nelayan mula dijejaki oleh pencinta makanan, setelah kebanyakan orang dari Perlis dan Kedah mula meneroka kawasan ini selaras dengan kegilaan mengulas makanan di laman sosial. Ramai yang gemar mencipta nama sebagai antara yang pertama sampai di cerok ini. 

Dari perangkaan penduduk Thailand tahun 2014, Tan Yong Po atau Tanjung Pauh dihuni oleh 1’111 orang (231 keluarga). 97% penduduknya adalah Muslim manakala 3% adalah penganut Buddha. Hampir keseluruhan penduduk Tanjung Pauh bekerja sebagai nelayan dan penoreh getah.

Untuk sampai ke sini anda akan merentas kawasan paya bakau yang luas dan seterusnya ladang-ladang getah. Ketika dipekan Satun tadi, saya terpandang satu billboard besar yang memuatkan gambar Raja Muda Perlis bersama rakan-rakan, mungkin ada Dr. Maza juga yang turut serta dalam aktiviti ziarah warga Muslim di Satun dengan mengayuh mountain bike! (Bangga dengan Tuanku, tetapi tidak sempat ambil foto!). Anda boleh juga ke Tanjung Pauh melalui jalan laut dengan menaiki bot di jeti bersebelahan Pasar Besar Satun. 


Bukanlah saya menghina, ketika saya tiba disini kebanyakan jalan-jalan utama masih belum diturap, laluan baru (belum diturap) ditepi laut kira-kira 10KM kelihatan belukarnya baru sahaja kerjakan oleh jentolak, lampu-lampu jalan mengunakan sistem solar, manakala rumah-rumah renek berdinding buluh bertaburan merata-rata. 


Terdapat sebuah masjid (selayaknya surau), tiada stesen minyak, bank, kedai runcit 24 jam, pencawang elektrik, café, kedai alat telekomonikasi atau klinik. Sebenarnya saya berasa pelik apabila Penguasa Thailand menobatkan Tanjung Pauh sebagai komuniti contoh atau digelar “Satun Model” kerana penduduk-penduduk Muslim disitu tidak melibatkan diri dengan keganasan, seperti di Yala, Narathiwat dan Pattani. Bagaimana mereka tahu?

Sebuah modul bernama ‘Community Policing” yang menempatkan beberapa anggota polis yang menyamar sebagai penduduk baru di Tan Yong Po akan bersosial dan berkerja seperti orang awam selama 3 bulan bagi mengesan ancaman. Jika ternyata tiada ancaman, mereka akan memperkenalkan diri dan menganjurkan forum bersama penduduk bagi mengetahui keperluan dan masalah untuk dibawa kepada kerajaan. Dikatakan Tanjung Pauh adalah kawasan persembunyian bagi penjenayah-penjenayah pemerdagangan dadah yang menjadi buruan polis. Mereka akan melarikan diri ke sana disebabkan ia kawasan terpencil, manakala kebanyakan nelayan mesra pengunaan dadah. Dilaporakn konsep modul “Community Policing” telah berjaya mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah di Tanjung Pauh sepenuhnya.

Apa yang menjadi persoalan saya, kenapa komunti contoh ini tidak mendapat penbangunan sewajarnya selama ini? Dan disebabkan para pelancong semakin gemar untuk melawat dan menikmati hidangan makanan laut di Tanjung Pauh, kerajaan Thailand mula membina infrastruktur penghubungan bagi merancakkan industri tersebut. Ya, mungkin ia akan meningkatkan tahap ekonomi penduduk setempat. Tetapi jika tidak dibina sekolah pendidikan formal, tidak diberi peluang untuk menjadi penjawat awam, tiada kemudahan perubatan dan pengangkutan awam. Malah tiada sistem kebersihan. Mana mungkin mereka itu komuniti muslim contoh?

Penduduk Tanjung Pauh akan kekal dalam kemiskinan, berpendidikan pondok (tak salah.. tetapi pendidikan itu jadi tradisi tanpa ikhlas), memotong getah dan memukat ikan dan menguasahkan kedai makanan laut serta tom yam, jika kerajaan Thailand hanya tumpukan kepada pembasmian gerakan kemerdekaan negara Islam dan pembasmian dadah.

Bunthai mengajak saya ke sini untuk makan tengahari, memandangkan hari ini Jumaat saya cadangkan agar kami ke sana sebaik selesai solat Jumaat. Bagi pengila makanan seperti Bunthai, mengembara beratus-ratus kilometer hanya untuk sepinggan pulut ayam merupakan hobi nya. Saya sekadar ikut. Lagipun saya suka ziarah saudara-saudara muslim dikawasan-kawasan pedalaman kerana banyak teladan yang boleh dipelajari. 


Mulanya kami terus ke pelantar ikan Had Sai Yoaw Nuar, terdapat dua restoran yang dibina atas pelantar. Seperti kebanyakan kedai makan disekitarnya, mereka menyajikan makanan laut hidup (ketam, belangkas dan udang) yang boleh dipilih di kolam. Bunthai kurang selesa dengan tahap kebersihan di sini lalu kami ke kawasan pantai yang lebih indah pemandangannya. Saya tidak tahu nama restoran ini kerana tidak pandai membaca tulisan Siam, tetapi ia bersebelahan Lanta Restoran yang turut mempunyai gazebo buloh. Hanya ada dua restoran ditepi pantai yang menyediakan gazebo dari buluh, mempunyai kemudahan surau dan tandas. Pulau Langkawi jelas kelihatan dari pantai Tanjung Pauh. 

 
Kami menempah 2 ekor ketam kari, 4 ekor kerabu sotong bertelur, sayur campur dan dua teh ais. Semuanya RM51. Bagi saya, rasanya biasa-biasa sahaja. Mungkin saya mampu masak kari ketam itu lebih sedap.


Kami tiba di sempadan Wang Kelian jam 6.50 petang, namun pintu pagar Thailand telah ditutup, maka kami mengembara hampir 200 kilometer lagi untuk keluar melalui pintu sempadan Padang Besar. Percayalah, kami mengembara hampir 500 kilometer demi 2 ekor ketam dan 4 ekor sotong. Hahaha!

No comments:

Post a Comment