Saturday, May 14, 2016

MENJEJAKI AIR TERJUN CHAMANG

Sebaik selesai Bertukang Malam-Malam di Kecapi Studio, Raub saya, Remie Deen (AL-AZAZHIL, AKYATULMAYT), Faiz (ATOMIC DEATH) dan Abi Suffian (HIDING FEAR) bertolak Maishah Homestay, Kampung Melayu Sempalit, Raub. Homestay ini berharga RM200 semalam, lengkap dengan 3 buah bilik mandi dan tandas, 4 buah bilik yang luas, lengkap dengan katil, meja solek, toto tambahan, ruang tamu, dapur, ruang makan, manakala dibawahnya ada restoran yang beroperasi pada malam hari. Kampung Melayu Sempalit terkenal dengan produk kacang tanah.



Jarak perjalanan dari pekan Raub ke Bentong adalah kira-kira 34 km, manakala dari KL mengunakan lebuhraya Karak adalah 69 km. Memandangkan musim nangka madu, kami singgah disebuah gerai untuk mencubanya. Harganya RM5 untuk satu bekas polestrin. Sebaik tiba di pekan Bentong ini, mudah sahaja untuk ke air terjun Chamang ini kerana banyak pentunjuk dari papan tanda yang besar. Jika anda dari KL, lebih kurang 1km dari pusat pekan anda akan jumpa papan tanda belok ke kiri menghala ke Chamang. Ikut sahaja jalan tersebut hingga ke akhirnya. Jangan risau jika anda tidak berselisih dengan sebarang kenderaan pun. Begitu juga kami, rasa macam dah sesat ja. Namun setelah 8 km menghala ke dalam hitan simpanan kekal, Bukit Tinggi ini. Punyalah terkejut dengan betapa ramainya kereta-kereta, konvoi-konvoi motorsikal serta MTB. Boleh saya anggarkan hampir 500-600 orang pengunjung sedang riadah di air terjun Chamang ketika kami sampai. PBT mengambil tiket RM2 bagi setiap pengunjung, kemudahan parkir disediakan dan luas. Tiada masalah. Kami juga dinasihatkan agar berwaspada kerana hari ini arus airnya deras dari biasa.

Keunikan Air Terjun Chamang ini terletak pada baru-batu hampar yang cantik dan arusnya yang kuat membentuk panorama yang cantik. Namun fenomena kepala air dikatakan sering berlaku dan pelancong-pelancong luar yang kurang arif pada kawasan merah sering menjadi mangsa. Menteri Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Shahidan Kassim katanya akan menaik taraf tempat itu dengan siren, anggota keselamatan dari JPAM dan sebagainya setelah air terjun ini merangut nyawa mangsa yang terbaru tahun lalu. Tetapi melalui pemerhatian saya, tiada apa yang kelihatan canggih atau boleh dibanggakan. Tandas yang disetiakan pun sangat daif. Malah tiada langsung pancur air untuk membersihkan diri selepas mandi. PBT patut buat pancur-pancur air terbuka (kos pun murah) seperti yang dibuat di kolam air panas Ulu Lenggong kerana air terjun disini bukan air yang jernih tetapi jenis keroh dan berpasir.

Kemudahan lain yang boleh dipuji adalah, tempat-tempat BBQ awam, yang boleh digunakan bersama dibeberapa lokasi, ada juga ruang niaga, jambatan gantung dan papan tanda amaran bahaya. Andai PBT ada membaca catatan ini, saya minta agar mereka menguasahakan untuk membersihkan batu-batu tajam supaya ia dijadikan kawasan kolam awam yang diketahui arasnya. Disebabkan arus deras, batu-batu tajam, air yang keroh, aktiviti semua pengunjung hanya terhad dengan berendam pada satu tempat sahaja dan bergambar. Sesuatu yang menyedihkan di tempat untuk rekreasi ini. Sepatutnya ada tempat untuk berenang, ada tempat untuk bersukan, dan ada tempat untuk famili. Saya kasihan seorang mat rempit yang baru sampai, tanpa sebarang periksa dia terus membuat terjun tiruk. Apa lagi mengelupurlah apabila menghempap batu tajam di dasar sungai. Mujur tak kena kepala, jika tidak dia jadi mangsa yang terbaru. Difahamkan dari orang-orang tempatan, ada gua di air terjun Chamang ini, yang mana apabila mangsa terperosok ke dalamnya tidak mungkin dapat membebaskan diri kerana arus yang sangat deras. Maka disebabkan itu ada mangsa lemas air terjun Chamang yang tidak dijumpai hingga ke hari ini.










Walaupun diisytihar sebagai kawasan larangan, saya dan Faiz tetap ke puncak Chamang untuk bergambar kenang-kenangan. Ajal maut di tangan Tuhan.

Kami selesai berendam kira-kira jam 1.45 tengahari dan terus ke Masjid Tengku Sulaiman Ketari, kami dalam kelaparan bercadang untuk makan dahulu sebelum solat. Kebetulan sebaik tiba, kami dipelawa untuk makan kenduri tahlil. Dah orang jemput, kita makan saja. Rezeki, kita tak mencela dan kita perlu tanya lebih, tahlilan arwah ke kesyukuran ke? Kita ambil formal dan anggap ‘kenduri’. Kang nanti makan api neraka. Menghairankan juga, orang Melayu katanya hardcore mahzab Imam Syafi’ey tetapi Imam Syafi’ey tidak membenarkan tahlil, kita tumpang fatwa Imam Ahmad tetapi langgar syarat-syarat Imam Ahmad. Apa syaratnya, boleh juruk al-adzkar tulisan Imam an-Nawawi, ulama besar Imam Ahmad.






Tapi saya lihat tradisi tahlil arwah masih kuat di sini. ketika kami di masjid pekan Raub kelmarin pun ada jemputan kenduri tahlil.

Remie Deen, yang rasa kurang sopan untuk tidak mendahulukan solat, saya katakan adalah sunnah untuk makan dahulu jika makanan telah terhidang ketika dalam masa yang sama telah masuk waktu solat. Lebih lagi dalam keadaan kita yang sedang lapar. Ada nas.

Daripada Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kami makan sepuas-puasnya, masam pedas ikan patin, masak lemak ikan kering, sambal timan, ayam goreng rempah, cendol durian, capati. Terbaik 

No comments:

Post a Comment