Thursday, August 4, 2016

RIDE IN LANGKASUKA 1.0


RIDE IN LANGKASUKA 1.0: AN EVENING WITH FUNERAL PYRE

Kayuhan ini dirancang 3 bulan awal supaya ahli-ahli baru bersiap sedia dengan latihan dan tarikh nya turut dipilih melalui keputusan ramai. Dari 9 orang yang bersetuju untuk turut sertai kayuhan ini, akhirnya hanya tinggal 3 orang yang nekad. Mad Duha awal-awal lagi dah kena marah kerana pada tarikh tersebut isterinya ingin mengadakan sambutan maulid, ala ala romantic tiup lilin gitu, takpun ala habib cinta… Kartunis Aku Napie pula kebetulan mendapat tawaran program melukis pada tarikh tersebut, sebagai freelance rugilah kalau beliau tolak, manakala Marco Ferasse (pengembara punk & metal terkenal dari Itali tu) minta saya sediakan basikal untuknya, saya mampu sediakan. Tetapi dia minta sebuah lagi basikal untuk aweknya yang mahu turut serta, saya pun beritahu agak sukar jugalah mahu pinjam dari orang sampai dua buah basikal. Marco terus menyepi, mungkin kerana saya tidak dapat menyediakan keperluannya.

Teringat saya kata Aku Napie, “Pengembara mat salleh ni bukan kira pengembara lagi lah jika takda gerek sendiri”. Hahaha!

Manakala yang lain-lainnya terlibat dengan urusan rasmi pejabat dan tidak boleh mengelak lagi. Jadi yang tinggal hanya saya, Pumin (pelajar Universiti Walailak, Thailand yang sedang mengikuti Asean Study di Unimap) dan Lutfi (kali pertama ikut jelajah sekaligus merasmikan MTB Raleigh barunya) untuk meneruskan ekspedisi ini. Dari asal cadangannya hanya jarak 17-20KM dari kuah terus ke Cenang, kami memilih untuk ‘berjudi’ sahaja destinasi hari ini, janji sampai di Pantai Cenang pada sebelah malamnya. 

Saya dan Pumin mengayuh basikal dari rumah ke terminal jeti Kuala Perlis seawal 6.00 pagi, manakala Lutfi dihantar oleh isterinya. Kami membeli tiket feri yang pertama, jam 7.00 pagi. Walaupun bukan musim cuti sekolah, orang tetap berpusu-pusu. Tanya Pumin “Kenapa Langkawi popular, walaupun biasa saja?”. Jawab saya “Kerana ia dibangunkan oleh Tun M, kalau idea orang lain mungkin tak berjaya untuk popular”.




Banyak orang terkesima melihat kami membawa basikal menaiki feri, malah ada remaja-remaja yang terus datang bertanya kaedahnya. Kebanyakan orang ramai hanya tahu untuk membawa basikal, kita perlu berurusan dengan feri Roro (kargo membawa kenderaan) dengan tambang RM30 untuk satu basikal dan RM18 untuk pemilik basikal. Jadualnya pula hanya 2 kali sehari. Tetapi orang ramai tidak tahu, kita boleh berurusan off desk dengan membayar RM18 kepada pengutip tiket di feri. Maknanya, anda beli tiket untuk diri sendiri di kaunter, bawa masuk basikal terus ke jeti dan bayar pada abang periksa tiket. Cumanya apabila anda mengunakan feri penumpang ini, nasiblah tempat letak basikalnya, ada kala ruang hadapan feri bersama sauh dan tali kapal, adakala di bilik enjin, adakala diatas bumbung, dan sebagainya. Dan anda pun pandai-pandailah angkut dan simpan basikal sendiri sebab feri ini bukan mesra basikal seperti Roro yang khas untuk angkut kenderaan.


Kami sampai di Jeti Kuah jam 8:30 pagi, keadaan panas dah mula pun membakar kulit, perubahan cuaca menjadi terlalu panas akibat el Nino diantara satu penyebab banyak orang tidak mahu menyertaikayuhan ini. Tanpa sarapan pagi dan tanpa melenggahkan masa, kami terus memacu basikal ke pekan Kuah dan mengikut papan tanda ke Geleria Perdana. Kami tidak mengunakan sebarang aplikasi atau GPS, cukup dengan papan tanda dan saya telah pun meneliti Google Map dua hari lalu. Bagi pulau kecil ini, in shaa Allah kami tidak akan sesat. Apa yang penting kami tidak mahu tiba lewat di Kilim Karst Geoforest Park, atau dikenali sebagai santuari bakau yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai taman 'geoforest' yang ke-49 dunia dan pertama di Asia Tenggara. Lucu juga bila Pumin bertanya,”Kenapa di Malaysia banyak monyet?”. Saya jawab “Sebab disini tak banyak orang tangkap monyet atau berok untuk bela suruh panjat pokok kelapa”. Kemudian Pumin sendiri mencelah “Ya lah, disini pun tiada siapa makan monyet”. Kami ketawa! Hahaha! Pulau Langkawi mempunyai 2 lagi Geopark iaitu Machinchang Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park. Ketika melalui masjid berhampiran Hotel Eagle Bay, khutbah solat istiqa sedang disampaikan oleh imam. Itulah pertama kali saya melihat ia dilaksanakan. 








Untuk sampai ke Sungai Kilim, anda akan bertemu Gunung Raya Golf Resort dan Langkawi Wildlife Park, dan kami sampai di kawasan rekreasi Sungai Kilim ini jam 9.45 pagi setelah mengayuh kira-kira 25km. Setibanya kami beberapa buah bas yang membawa pelancong turut tiba. Kami bergerak untuk kaunter untuk bertanya tentang pakej. Semua pakej mengikut sebuah bot, tiada pakej perseorangan: 

Pakej A 

Pakej termasuk : 
Pengunaan jaket keselamatan/life jacket 
Menaiki bot menyusuri Sungai Kilim Geoforest Park 
Melihat haiwan liar di hutan bakau yang berusia lebih 400,00 tahun 
Melawat Gua Kelawar (Bat Cave) 
Melawat Gua Buaya (Crocodile Cave) 
Beri makan burung helang (Eagle Feeding) 
Melawat Sangkar Ikan (Fish Farm) 
Kadar Harga : 1 bot RM250 / maksimum 8 orang / aktiviti selama 2 jam 

Pakej B 

Pakej termasuk: 
Jaket keselamatan 
Menaiki bot melihat keindahan Sungai Kilim Geoforest Park 
Berpeluang melihat haiwan liar di sekeliling kawasan hutan paya bakau 
Lawatan ke Gua Kelawar 
Lawatan ke Gua Buaya 
Beri makan burung helang 
Lawatan ke Sangkar Ikan (Fish Farm) 
Menyusuri Laut Andaman melihat keindahan flora dan fauna (Andaman Open Sea) 
Ikon Kilim Geoforest Park 
Kadar Harga : 1 bot RM300 /maksimum 8 orang/ aktiviti selama 3 jam. 

Memandangkan kami hanya bertiga dan cakap utara, pihak koperasi yang mengusahakan jelajah bot ini tidak kisah memberi kami Pakej A dengan harga RM230, asalkan kami tak beritahu pelancong asing. Hasil kawtim dapatlah seorang RM67. Dari pembacaan blog In A Nutshell, saya dapat tahu di jeti Tanjung Rhu pun ada dibuat pakej naik bot ke sini dengan harga boleh runding, dari empunya blog, mereka mendapat pakej A dengan harga macam kami tetapi siap dibawa mandi-manda di Pantai Pasir Panjang sebagai tambahan. Maka saya cadangkan anda naik bot di Tanjung Rhu untuk ke sini. Kami dibawa ke restoran terapung yang juga merupakan Fish Farm serta lokasi parkir bot-bot layar asing, kebanyakan dari Australia. Menurut adik tekong bot, semua bot-bot dijaga oleh penduduk-penduduk setempat dengan upah lumayan. Kami berada disini selama 20 minit, antara aktiviti disini adalah bermesra dengan ikan pari bakau, berbual-bual bersama kerapu gergasi dan bermacam-macam jenis ikan lagi. Bagi yang berminat untuk mencuba menu belangkas, lobster sungai, kupang gergasi, anda boleh tangkap sendiri dan terus dimasak di sini. Walaupun teringin untuk mencubanya, kami terasa seram sejuk dengan harganya. Jadi bersabar aja lah! 

















Seterusnya kami dibawa ke Gua Buaya, menurut tekong, gua ini hanya boleh disusuri oleh bot ketika air surut. Gua dan bukit batu disini berusia ratusan juta tahun, malah ada yang mencecah satu bilion tahun, namun kami tidak pun berjumpa kawasan sempit dan cantik seperti yang dilihat dalam blog-blog mereka yang pernah sampai disini? Tekong skip route kah? Asyik pecut bot aja tekong kami, mungkin mahu kejar trip nak untung sakan kot? 










Seterusnya kami dibawa ke kawasan Eagle Feeding dimana ia menjadi kawasan habitat helang merah dan putih. Cerita warisan mencoretkan, di zaman dahulu kala, sudah menjadi kebiasaan nelayan-nelayan yang pulang dari menangkap ikan akan memberi helang-helang dikawasan ini makan pada setiap pagi. Setelah menjadi kawasan tarikan pelancong, helang-helang disini ditatang bagai kucing Parsi setiap hari dengan hidangan kulit ayam menyebabkan mereka menjadi jinak dan mungkin juga tidak tahu berdikari lagi. Kata tekong lagi, kami bernasib kerana sampai awal, jika sampai pada waktu petang. Tiada kelibat burung cakrumah pun untuk kami lihat kerana helang-helang sudah kekenyangan dan balik berehat disarang sambil hisap rokok John. Kemudian kami dibawa ke laut lepas, terusan Andaman untuk melihat bukit batu penyu yang juga tempat terletaknya signage Kilim Geoforest Park. Lokasi bergambar yang popular. Bukit Batu penyu ini mengadap Pulau Kasut. Tidak dinyatakan pula kasut Nike ke? Reebok atau Capal nabi? Orang sekarangkan semua nak kaitkan dengan nabi.. nasib baiklah depa tak kata tu kasut nabi Adam plak! 











Antara peristiwa yang menarik berkaitan Sungai Kilim pernah berlaku pada November 2014, nelayan tempatan telah menjumpai beg berisi 1,840 butir peluru hidup di dasar Sungai Kilim di Kampung Belanga Pecah, ia selang beberapa minggu setelah pihak polis menyerbu sebuah kapal mewah milik gengster Afrika Selatan dan Thailand di jeti Kuah. Polis seterusnya turut menyerbu sebuah rumah di Kampung Belanga Pecah dan berjaya merampas 16 senjata api termasuk raifal dan senapang patah bersama lebih 1,000 butir peluru dan menangkap seorang warga UK. 






Setelah bergambar kami terus bergerak ke Gua Kelawar yang hanya terletak kira-kira mungkin 3km sahaja dari jeti. Bayaran masuk untuk Gua Kelawar ialah RM1 dan anda akan diberi seunit lampu suluh. Tiada apa-apa yang menarik sangat tentang Gua Kelawar kecuali terdapat banyak maklumat-maklumat mengenai kelawar dan habitatnya melalui papan-papan kenyataan diserata tempat. Lawatan kami pun berakhir. Kami seterusnya menikmati brunch (breakfast+lunch) di restoran berhampiran jeti. 






Setelah puas berehat dan kembali bertenaga, kami bersetuju untuk tidak berpatah balik ke Kuah sebaliknya terus mengelilingi pulau, dengan menghala ke Langkawi Skycab sebagai destinasi seterusnya. Matahari sudah pun berada tepat diatas kepala dengan bahang yang membakar. Di negeri Perlis sendiri, kami terlalu rindukan hujan. Dan kami bergerak menyusuri jalan-jalan berbukit-bukit menuju Oriental Village yang jauhnya dari Kilim adalah 23km. Kami tidak banyak berhenti kecuali sekadar mengambil gambar, hinggalah kami berhenti lama di Pantai Kok kerana Lutfi yang mengalami kekejangan otot kaki. Sampai satu kawasan bendang, sebuah pertandingan wau sedang berlangsung dengan meriah sekali. Namun kami tidak berhenti melihatnya kerana cuaca yang semakin panas lit-lit (kata orang Perlis). Berkali-kali juga saya menunda Lutfi yang keletihan, mungkin kerana kekurangan air dan suhu kawasan pulau yang tinggi.


Disepanjang perjalanan, boleh saya katakan Langkawi penuh dengan sampah sarap. Saya hairan kenapa penduduk-penduduk buang sampah dimerata-rata tempat sedangkan sektor pelancongan menjana ekonomi mereka? Jika dah jadi pulau sampah, siapa yang mahu datang ke sini lagi? Mujurlah ada kesedaran pihak-pihak tertentu membawa idea TRASH HERO dari Thailand ke Langkawi. Walaupun masih diperingkat awal dan kurang penglibatan orang awam kerana masih belum popular. Diharap mereka akan menjadi lebih pro-aktif dalam memelihara alam sekitar bersama pelancong-pelancong asing. Ia serampang dua mata, bagus untuk perlancongan, kebersihan sekaligus meningkatkan kualiti kesihatan penduduk. Bukankah memelihara alam dan kebersihan itu antara komponen iman?

Kami sampai di Oriental Village jam 3.00 petang dan terus menunaikan solat jamak+qasar, malangnya tiada tandas di surau, maka kami pun ke tandas berbayar untuk mandi dan melepas hajat. Paling teruja Pumin, sebab dia belum pernah sampai ke sini, manakala saya untuk kali ke-2 tetapi saya tidak pernah pun naik skycab ini. Gerun! Kali ini mahu tak mahu, terpaksalah saya naik. Takkanlah nak lihat sahaja dah kayuh penat-penat ke sini?! Tambangnya RM35 bagi rakyat Malaysia, (perlu kemukakan MyKad semasa beli tiket) manakala RM45 untuk pelancong luar. Maka Pumin harus membayar RM45.






Boleh dikatakan rata-rata adalah pelancong dari Timur Tengah yang datang ke Langkawi musim ini, katanya mereka lari dari suhu sejuk di sana? Mungkin juga? Pengalaman naik Skycab ini memang menakjubkan dan menakutkan sebenarnya. Kita akan berhenti di dua stesen sebelum sampai ke puncak, disini pun ada trend ukir nama pada padlock. Bisness yang lumayan, saya tengok orang Arab muslim pun tidak lepas untuk melakukannya. Benarkah ikatan pasangan kekasih akan berkekalan umpama padlock tersebut? Kalau pun kita tidak mempercayai khurafat itu dan sekadar suka-suka, ia sesuatu yang hanya sia-sia untuk dilakukan.

Kami tidak ke Skybridge yang popular itu, kerana anda harus membayar RM10 lagi untuk menaiki gondola ke situ. Cukuplah sekadar melihat dari jauh. Bagi yang dahaga atau lapar, anda boleh membeli makanan ringan di sini atau makan maggi dan minum kopi di café. Harga tak mahal. Ada juga dijual token tembaga sebagai cenderahati.






Sebaik turun dari skycab kami terus mara ke Telaga Marina, untuk ambil sedikit bekalan wang di ATM stesen Petronas dan teruskan pengembaraan. Sini kesengsaraan menaiki fixie yang tiada gear mula terasa, banyak cerun-cerun tinggi yang saya dan Pumin daki dengan memimpin basikal sahaja. Banyak juga masjid yang kami singgah untuk mandi dan berehat, kami berjumpa jemaah tabligh dari Perlis dan Pakistan di sebuah masjid. Banyak juga yang dibualkan. Baca kisah lanjut tabligh sini.



Kami singgah sebentar di kawasan tepi pantai bersebelahan Lapangan Terbang Padang Maksirat untuk melepaskan lelah sambil makan laksa dan minum redbull. Pumin dan Lutfi tidak cukup dengan laksa di top up nya lagi dengan nasi lemak. Punyalah pedas, apabila mula mengayuh semula, perut saya mula meragam. Namun saya tahan, jam pula sudah menunjukan dah pukul 7.00 malam. Kami pun nyalakan lampu basikal. Saya dapat lihat wajah Lutfi dah lain benar ketika itu. Man dari FUNERAL PYRE pun dah tanya lokasi kami melalui fb messenger.



Kami menjejakkan kaki di pasir halus pantai Cenang tepat jam 8.30 malam. Dengan serta-merta juga saya tinggalkan Pumin dan Lutfi di pantai dan terus mencari tandas serata alam. Hinggalah akhirnya saya jumpa di Cenang Mall, boleh tahan kadar cas tandas mereka! Ketika sedang asyik, Lutfi menelefon saya memberitahu beliau tidak mampu lagi untuk teruskan dengan aktiviti berkhemah dan BBQ seperti yang dirancang. Beliau dah check-in di Rasa Senang hotel untuk berehat secukupnya. Saya ok sahaja. Sekurang-kurangnya beliau dapat meneruskan kayuhan dengan baik pada esok hari.

Sesampainya saya di pantai Pumin kelihatan sedang ralit kemaskini facebooknya. Katanya perlu beritahu ibunya di Nakhon Sri Tammarat. Dia bercita-cita mahu membawa ibu dan neneknya ke Langkawi suatu hari nanti. 




Akhirnya saya memilih untuk berkhemah di pantai berhampiran Cenang Plaza, selain mudah untuk ke kedai, tandas dan ada parkir kereta (saya fikir untuk kemudahan FUNERAL PYRE sekali), di situ memang happening dengan beach rave, show fire-breathing, malah apabila kami mendirikan khemah dan membuat unggun api, beca lokchin (sosej bakar) pun siap parking sebelah kami. Pelancong-pelancong pun banyakyang datang bercanda berdekatan kami kerana ada unggun api, cuma sayang keadaan angin mati di laut. Bahang panas terasa hingga siang. Saya lihat banyak juga orang yang masih mandi laut ketika itu, kepingin juga saya nak mandi tetapi takut akan mengotorkan khemah bila basah nanti. 

Pumin pula keluar mencari top-up dan tandas, hampir sejam dia mencari tandas tetapi tak jumpa-jumpa. Ini semua gara-gara kuah laksa yang ‘evil’ tu. Saya tidak tahu dimana Pumin membuang hajatnya.. entah-entah dalam pasir? Haha! 

Sedang saya berehat menanti kedatangan FUNERAL PYRE, sekumpulan pelancong India tempatan melepak disebelah khemah, mereka rapping dengan kuat sekali dengan sampling techno/dubstep yang dipasang entah mengunakan apa? Ada satu ketika mereka menjeluh khemah saya dan menyuluh ke dalam khemah dengan torchlight. Apabila saya terjaga dan bangun dengan berang, mereka beredar dan kata “ingatkan perempuan”

Jadi kalau perempuan hangpa nak buat apa? Pumin yang baru kembali ke khemah juga memberi tahu kurang selesa dengan suasa bising oleh mereka. Mungkin telah dipengaruhi alkohol. Seketika kemudian, pada jam 11.00 malam FUNERAL PYRE pun sampai. Walaupun letih kerana terlelap sebentar, saya gembira kerana mereka cukup mesra.





Menurut rekod, terdapat 4 lagi kumpulan metal dengan nama FUNERAL PYRE di negara luar, yang paling dikenali dan lagenda sejak tahun 1988 adalah dari Luxembourg. Mereka berjaya merakamkan 2 buah album dan telah pun berkubur. FUNERAL PYRE ditubuhkan oleh Man (sebelum ini menganas bersama NEFARIOUS AZARAK yang berpengkalan di Sungai Petani) setelah menjalani beberapa sesi suaikenal bersama metalheads tempatan. Man bersama keluarganya kini menetap di Langkawi dan menguruskan perniagaan optikal serta Powerslave Studio. FUNERAL PYRE telah pun membuat penampilan sulung mereka di gig Parit Buntar Kegelapan (II) pada Mac lalu dan kini dalam proses untuk merakamkan material pertama mereka.

Masa 2 jam berlalu di restoran KFC bagai tidak terasa, banyak kisah lama dan lucu dikongsikan. Saya sendiri teringat kali pertama menyaksikan NEFARIOUS AZARAK membuat persembahan di Teratak Dangdut, KL (tahun 2002, kata Man) yang mana mereka memainkan covers DIMMU BORGIR di situ. Imej Man dahulu dan kini saya kira konsisten. Black death metal selamanya! Terharu juga mereka meraikan kedatangan kami dengan makan malam di KFC dan juga ole-ole minyak serai dan minyak kayu merah dari Shahrul Raffiq, pemain bass merangkap dukun minyak angin. Pelajaran baru yang saya dapat, mereka panggil Langkawi sebagai Pulau Kezambo. 

Kira-kira jam 1.30 pagi saya kembali ke pantai setelah berfotografi kenang-kenangan. Suatu kejayaan buat saya kerana berjaya mencapai misi utama kayuhan kali ini iaitu berjumpa komuniti metal disini. Saya tidak sabar menantikan lagu-lagu garapan mereka yang akan dirakamkan nanti. 

Sekembalinya saya ke khemah, saya lihat Pumin dah mengutip lebih banyak sampah sarap untuk dibakar. Memang susah hendak cari kayuh api di pantai Cenang yang pada setiap paginya akan dibersihkan. Setelah menambah bahan bakar sambil melihat Pumin asyik dengan androidnya saya pun terlelap. Apabila terjaga jam 5 pagi, suasana dah lenggang, Pumin memberitahu saya ketika saya tertidur semalam pelancong India telah bergaduh besar dengan pelancong Arab. Lucu katanya lihat mereka saling maki hamun dalam bahasa masing-masing. Saya dah agak dah, kalau kita terlalu menggila hingga tidak hiraukan privasi orang lain. Pasti akan mencetuskan pergaduhan. 




Puas saya meninjau surau, namun tidak berjumpa. Saya ada terserempak dengan sebuah surau terbuka dalam kawasan hotel malam tadi. Namun gagal mengesannya semula, maka saya tunaikan solat Subuh ditepi pantai sahaja. Sebaik selesai, seorang pak cik atau mungkin life guard datang beritahu, encik salah qiblat ni.. qiblat kok ni. Hahaha! Saya gelak aja, alamak, saya teka-teka aja tadi pakcik, takpalah tak tahu… qiblat ada pada hati ini... 

Saya dan Pumin meleraikan khemah dan menimbus baki unggun api semalam, saya terus hubungi Lutfi untuk tumpang mandi dan tandas di hotelnya. Suasana di Langkawi pada musim ini walaupun baru jam 7.30 pagi sudah pun panas kerana tiada langsung hembusan bayu. Lutfi masih baring bagai sang putera enak diperaduannya. Kami pun mandi, kosongkan kumbahan dari sistem usus dan bergerak awal supaya tidak letih dibaham mentari nanti.

Ketika menyusuri Plaza Cenang dan Cenang Mall teringat pulak sesi lepak bersama FUNERAL PYRE semalam. Tidak puas rasanya berbual dan berkongsi cerita.



Perjalanan kembali ke Pekan Kuah mengikut laluan Kampung Kedawang, Kampung Bukit Lembu seterusnya Kampung Mata Ayer, Hospital Langkawi hinggalah ke pekan Kuah yang memakan jarak kira-kira 18 km. Perjalanan kami tidak terlalu mencabar, namun tidak juga mudah kerana ada beberapa kawasan berbukit yang perlu didaki. Saya dan Pumin beberapa kali juga memapah basikal untuk daki tebing yang tinggi.



Lutfi mohon untuk singgah di Kuah bagi membeli cokelat dan cenderahati buat isterinya. Manakala saya dan Pumin berhenti lelah. Kami seterusnya ke Artisan Pizza untuk makan tengahari. Kenyang perut, kami bergerak terus ke jeti pada jam 1.00 tengahari. Namun feri ke Kuala Perlis hanya ada pada jam 3.00 petang, maka kami pun terus ke dataran Lang untuk bergambar dan berehat di surau berhampiran medan makan di situ. Keadaannya amat selesa dan damai sekali. Banyak yang kami bualkan terutamanya Pumin yang suka bertanya tentang Islam.




Apabila siap menunaikan solat jamak Zohor dan Asar kami bergerak ke jeti, di check point kastam kami selisih pasangan berbasikal dari Canada yang sedang menunggu bot ke Satun. Bagi yang tidak pernah ke sini dengan basikal, anda terus sahaja ke lintas tempat pemeriksaan kastam ke kawasan menunggu feri, jangan pula anda angkat masukkan basikal ke dalam mesin imbasan x-ray pulak! Hahaha! Seperti juga di jeti Kuala Perlis, anda bayar tiket basikal anda pada pemeriksa tiket di feri. Harga tambang tidak menentu disini, terserah pada dia. Kami dapat RM15 untuk sebuah basikal kali ini. Murah! Basikal kami diletakkan dalam bilik enjin feri.

Sampai sahaja di jeti, azan masjid terapung al-Hussein pun berkumandang. Isteri Lufti pun sampai tepat pada masanya, manakala saya dan Pumin masih ada baki beberapa kilometer lagi untuk kayuh kembali ke rumah di Kampung Wai. Tiba sahaja di rumah, kami berdua terlelap hingga ke senja. Walaupun penat, kami puas dengan pencapaian kali ini. Ia diantara kayuhan terbaik, dengan pengalaman yang hebat. Terutamanya buat Pumin yang sedang berkelana di bumi Malaysia sebagai pelajar Asean Study di Universiti Malaysia Perlis.

2 comments: