Friday, June 29, 2018

MERANTAU KE PALEMBANG

Kembara ke Palembang ini terjadi dengan tidak sengaja apabila Mad Duha kebetulan melayari sesawang Air Asia dan sempat menyambar tiket 4 kali penerbangan (Alor Setar-KLIA, KLIA- Palembang, kemudian Palembang - KLIA, dan KLIA – Alor Setar) termasuk sarapan pagi dengan harga tidak sampai RM200 seorang. Kebetulan ketika itu saya dapat bayaran kontrak penyediaan moreh di surau untuk jemaah solat tarawikh. Saya pun terus bersetuju untuk membeli tiket yang berjadual untuk berlepas satu tahun lagi, yap! Kami beli tiket itu pada bulan Ramadan 2016 dan penerbangan kami dijadualkan pada 16 Ogos 2017. Tanpa kami duga 17 Ogos 2017 adalah Hari Kemerdekaan Republik Indonesia, maka dapat merasai sambutan hari bersejarah di Palembang ini menjadi bonus yang tak diduga.

Kenapa Mad Duha memilih Palembang? Dia seorang nasionalis, nama samaran dia pun dah Malay Regime di facebook. Ini sebabnya…

Kota Palembang merupakan kota tertua di Indonesia berusia 1382 tahun jika berdasarkan sejarah tamadun kerajaan Buddha Sriwijaya. Ibu kota Sriwijaya terkenal dengan kekuatan politik dan ekonominya di nusantara ini. Kejayaan Sriwijaya diteruskan oleh Kesultanan Palembang Darusalam yang merupakan kerajaan tersohor di rantau Asia Tenggara.

Dari manuskrip Cina purba, Chu-Fan-Chi yang ditulis oleh Chau Ju-Kua pada abad ke 14, menceritakan tentang Sriwijaya sebagai negara yang terletak di Laut selatan, menguasai lalu lintas perdagangan asing di Selat. Pada zaman dahulu pelabuhannya menggunakan rantai besi untuk menahan tongkang-tongkang yang bermaksud jahat. Jika ada perahu-perahu asing datang, rantai itu diturunkan. Setelah keadaan terkawal, rantai itu akan disingkirkan. Perahu-perahu yang tiba tanpa singgah dipelabuhan akan dikepung dan di serang oleh pengawal laut. Semua pengawal-pengawal laut kerajaan itu berani mati. Maka disebabkan kawalan ketat itulah Sriwijaya diiktiraf sebagai zon perlabuhan selamat.

Setelah mengalami kejayaan dari abad ke-7 hingga 9, dikurun abad ke-12 Sriwijaya mengalami keruntuhan secara perlahan-lahan. Keruntuhan Sriwijaya ini, adalah kerana persaingan dengan kerajaan di Jawa, pertempuran dengan kerajaan Cola dari India dan akhirnya berpindah tangan setelah bangkitnya kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara. Pecahan dari kerajaan Islam Sriwijaya yang besar itu seterusnya berkembang hingga di Acheh dan Semenanjung Malaysia.

Melalui buku Sejarah Melayu (1612) disusun oleh Tun Seri Lanang melalui catatan-catatan yang lebih lama, telah disebut bahawa Melayu adalah nama sungai di Sumatera Selatan yang mengalir disekitar Bukit Siguntang di Palembang. Bukit Siguntang merupakan tempat kemunculan tiga orang raja yang datang ke alam Melayu. Raja-raja ini kononnya bernasab hingga ke Iskandar Zulkarnain hingga ke Nabi Sulaiman a.s, mereka ini memiliki kesaktian hingga padi huma yang ditanam mereka di Bukit Siguntang bertukar menjadi emas dan perak. Tun Seri Lanang menulis dalam buku sejarah Melayu tentang kerajaan Palembang dan Raja di Minangkabau (Singapura, Melaka dan Johor) yang berasal daripada tiga orang raja berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain ini. 

Itu….. adalah satu dari pendapat tentang asal-usul orang Melayu. 

Selat Melaka dan terusan masuk ke Kota Palembang

Namun, Jika benar orang Melayu berasal dari Kerajaan Melayu di Sumatera, maka siapa yang mendirikan Kerajaan Langkasuka, Gangga Negara, Kedah Tua, Kota Gelanggi, Kota Muang Pahang, Chih-Tu dan Ligor? Semua kerajaan-kerajaan tersebut wujud jauh lebih awal dari Kerajaan Melayu. 

Kisah Melayu tiada hujungnya. Ratusan versi dan teori. Ada orang taksub dan minat. Bagi saya kita sama sahaja, kita dari jannah, cucu-cicit nabi Adam a.s yang berkembang biak serata dunia atas kehendak Allah untuk berkenal-kenalan dan memikul beban syariatnya hingga di jemput semula ke negeri asal. Akhirat. 

Mad Duha datang seorang diri dari Alor Setar kerana saya telah pun berhijrah ke Kuala Lumpur. Oleh kerana harga tiket yang murah, saya tidaklah rasa ralat kerana penerbangan pergi balik Alor Setar-KLIA yang hangus. 



Kami bertolak seawal Subuh dari KLIA dan tiba di Bandara Sultan Mahmud Badaruddin II ketika masih di awal pagi kerana penerbangan yang hanya mengambil masa 1 jam 30 minit. Ia sebuah lapangan yang terbang baharu di buka. Ketika di ruang udara Palembang tadi saya dapat lihat Pulau Kemaro dan hampir semua tempat-tempat rekreasi yang bakal kami lawati. Secara kasar, satu Kota Palembang mungkin sebesar negeri Perlis. Mungkin jika tidak kerana jumlah penduduk yang ramai, Palembang mungkin sunyi seperti Perlis. Sesuatu yang tidak saya jangka berdasarkan kisah sejarahnya yang panjang. Saya bercadang untuk terus ke Pangaralam untuk menjejak ratusan air terjun yang menakjubkan di sana, malah dikatakan ada curam yang airnya berwarna-warni. Mad Duha menolak cadangan itu kerana perjalanan dari Palembang ke sana memakan masa 7 jam dan bimbang kos meningkat. 

Talian internet hari ini menjadikan segalanya mudah. Kami ambil teksi Blue Bird dan terus ke Pasar 16 Ilir di Sungai Musi. Seronok sekali kami bersiar-siar di situ, boleh dikatakan semua orang tahu kami dari Malaysia walaupun kami dah lilit serban dan cuba lagak orang tempatan. Seronok saya tengok orang Melayu Palembang, mereka peramah, rajin dan kreatif dalam mencari rezeki. Mereka sebagaimana orang Melayu Pattani di Thai. Saya kagum dengan pasar pagi yang unik dengan barang yang beraneka rupa, dari cicak tokek hinggalah ke kitab Jawa lama. Paling saya kagum mereka sangup menghias umang-umang hidup yang dikutip dari laut dengan pelekat Ben 10 dan cat berwarna-warni. Kami menyusur setiap jalan dan lorong hingga tengahari dan terus kami ambil Grab Car ke Red Planet hotel yang kami tempah dari traveloka dengan harga RM110 semalam. Kami pilih hotel ini kerana ia betul-betul di tengah kota. Disebelahnya ada kampung, ada sebuah gym desa yang dibina sejak Malaysia belum merdeka namun teguh bertahan hingga kini. Dan berdekatan hotel ini juga, Bukit Siguntang, tempat yangjadi sebut-sebutan Mad Duha sejak dia berhajat mahu datang Palembang. Dari Google, saya mendapat tahu Bukit Siguntang merupakan bukit kecil dengan ketinggian 30 meter dari permukaan laut dan terletak sekitar 3 km dari Sungai Musi. Ketika zaman Kerajaan Sriwijaya, Bukit Siguntang terkenal sebagai tempat beribadah penganut Buddha, juga tempat bertapa pengamal mistik. Hingga saat ini, Bukit Siguntang masih dianggap suci oleh warga setempat. Masih banyak pengunjung yang datang ke sana untuk berziarah ke makam-makam bangsawan dan pahlawan Palembang.










Ketika dalam perjalanan tadi saya terlihat Taman Hutan Wisata Punti Kayu yang merupakan satu-satunya hutan wisata di Palembang. Apabila ditanya mengenainya kepada pemandu teksi Blue Bird, dia ketawa dan katanya tiada apa yang menarik di situ.

Setelah rehat dan mandi, kami keluar semula dengan Grab Bike pada sebelah petang merayau-rayau sekitar Palembang terutamanya gedung-gedung membeli-belah. Grab Bike atau motorsikal Grab murah berkali ganda dari kereta dan anda tidak perlu risau tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Kata Mad Duha, dia ‘tikus pasaraya’ (mall rat) yang lebih bernafsu untuk jalan-jalan tengok barang untuk dibawa pulang berniaga dan beli assesori motorsikal dari wisata melihat alam. Lumrah orang berduit memang begitu. Saya hanya bawa RM500 untuk makan-makan dan beli sedikit cenderahati. Jadi, saya turut sahaja kemahuan dia.

Sempat juga Mad Duha ajak saya menonton wayang di sebuah mall. Filem The Hitman’s Bodyguard. Saya lihat tak ramai yang menonton filem di pawagam di sini, kecuali para pelajar universiti dan kolej. Tak ramai juga orang membeli-belah di mall. Saya tak suka menonton pawagam di sini. Mereka ketawa pada hampir setiap babak dan dialog walaupun ia tak lucu. Mungkin nampak terpelajar bila dilihat tertawa pada jenaka Inggeris bodoh itu. Bagi saya, The Hitman’s Bodyguard adalah filem Samuel Jackson yang gagal dan mengecewakan!.




Melalui tinjauan saya, Palembang turut dilanda demam Thai Tea seperti Malaysia juga. Hampir setiap penjuru kota ada reruai yang menjual teh ais Thailand. Kami berkenalan dengan seorang gadis tempatan, namanya Bunga yang ingin membantu kami bawa ke tempat barang-barang murah dan dia akan bantu menawarkan harga rendah kepada kami. Dia belum bekerja dan pernah datang melawat ibunya yang bekerja di KL, jadi dia tidak kekok dengan kami. Dia bertutur dialet ‘kolumpo’ dengan kami. Padahal kami berkali-kali beritahu yang kami datang dari utara Malaysia. Kami tak berbual begitu.






Kami dibawa ke Restoran Murtabak Har untuk makan malam. Boleh dikatakan hampir setiap pelosok kota Palembang ada sahaja cawangan restoran ini, disamping gerai-gerai murtabak yang lain. Namun bagi warga Palembang, murtabak Har (Haji Abdul Rozak) adalah juadah wajib yang perlu dicuba para tetamu yang datang ke kota ini. Rupanya apa yang dipanggil murtabak adalah roti canai telur jika di Malaysia. Bezanya ia digoreng dengan minyak yang banyak, disaji dengan gulai daging atau ayam bersama-sama cili potong. Harganya lebih kurang sama seperti di Malaysia, sekitar RM2.


Esoknya kami bangun awal pagi dan terus bersarapan nasi minang di Rumah Makan Palapa Raya. Sajian yang enak dengan harga yang boleh tahan lumayan. Seterusnya kami berjalan di kawasan sekitar untuk melihat jika ada perarakan Hari Kemerdekaan. Namun keadaan sunyi sepi, kelihatan hanya acara sukan desa berlangsung di atas jalan bersebelahan hotel. Apabila tengahari, kami terus mengambil Grab Bike ke Benteng Kuto Besak yang berusia ratusan tahun. Menurut sejarah ketika pemerintahan Kyai Mas Endi Pangeran Ario Kesumo Abdurrahman, pihak Syarikat Hindia Timur Belanda sangat licik dan enggan membayar cukai pelabuhan setiap kali berdagang atau singgah di Palembang. Mereka tidak mematuhi kontrak dan peraturan dagangan. Penipuan-penipuan tersebut telah menyebabkan kemarahan rakyat Palembang terhadap Belanda. Pada bulan Disember 1658 kapal-kapal Belanda telah diserbu secara serentak oleh kerajaan Palembang bersama-sama rakyat dibawah pimpinan Pangeran Ario Kesumo sendiri. 




Di dalam pertempuran itu sebahagian dari anak kapal Cornelisz Oc Kerse dapat ditumpaskan, sebahagian lagi ditawan dan ada juga yang berjaya meloloskan diri melalui Jambi pulang ke markas mereka di Betawi. Dua kapal besar Syarikat Hindia Timur Belanda iaitu, ’Jakarta’ dan ’De Watcher’ dapat dikuasai armada Palembang dalam peperangan tersebut. 

Rupanya Belanda tidak melupakan kejadian tersebut begitu saja, satu tahun kemudian pada tanggal 10 November 1659 menyusul satu armada perang dibawah pimpinan Commandeur Johan Vender Laan di pintu kubu pertahanan Palembang. Asakan dan serangan hebat telah memaksa pemerintah Palembang dan rakyatnya berundur ke kawasan bukit. Palembang menjadi padang jarak padang terkukur, rakyat hanya berani keluar berurusan sesama sendiri apabila malam hari. Sejak itu kerajaan Palembang hanya berbalas serangan dengan kaedah gerila hinggalah ke era pemerintahan Sultan Badaruddin II dan Sultan Ahmad Najamuddin III Pangeran Ratu yang ditangkap dibuang ke Ternate, Maluku Utara. Tampuk kepemimpinan diteruskan oleh Sultan Ahmad Najamudin II Husin Dhiauddin (1813 – 1821). Pada tahun 1821, Sultan Ahmad Najamudin II Husin Dhiauddin melantik puteranya yang bergelar Sultan Ahmad Najamuddin IV Prabu Anom (1821 – 1823) setelah dia pula dibuang ke Batavia oleh Belanda. Pada masa kepemimpinan Prabu Anom, Kesultanan Palembang Darussalam berada di bawah kuku Belanda dan masuk pula pengaruh dari Inggeris.‎ 

Sultan Palembang yang terakhir Sultan Ahmad Najamuddin IV Prabu Anom, turut digelar Belanda sebagai Sultan Amuk kerana enggan tunduk sehinggakan Belanda tidak tenteram selagi beliau masih hidup. Namun Sultan Amuk berjaya ditangkap pada ditangkap pada tahun 1823 dan dibuang ke Menado. Pada tahun 1844, Sultan Ahmad Najamuddin IV Prabu Anom wafat, maka secara rasmi Kesultanan Palembang Darussalam telah dihapuskan oleh Belanda.‎ 

Benteng Kuto Besak ini adalah monumen yang teguh berdiri sebagai saksi perjuangan orang Melayu menentang penjajah Belanda dan Inggeris di Palembang. 

Setibanya kami di Benteng Kuto Besak, orang ramai memenuhi setiap ruang untuk aktiviti riadah rekreasi. Rupanya Hari Kemerdekaan Indonesia ke 72 dengan slogan “Merdeka dalam Bhinneka” disambut serentak dengan Countdown Asian Games yang akan berlangsung pada tahun 2018. Saya melakar cakar disini sementara Mad Duha layan Mee Sedap penjaja jalanan.





 

Kami meninjau sekitar replika ikan belida gergasi separa siap di pinggir Sungai Musi, para penguasaha bot tambang beria-ia menawarkan harga ke Pulau Kemaro, sekitar RM20 seorang. Saya tidak kisah sekadar melihat dan meninjau kawasan. Pulau Kemaro sering didatangi oleh penganut Buddha untuk ritual dan ziarah rohani. Di sana ada makam seorang puteri Palembang yang berkahwin dengan bangsawan dari China. Menurut hikayat kapal mereka karam dan keduanya terbunuh di Sungai Musi. Disitu ada sebuah pagoda sembilan tingkat telah dibangunkan pada tahun 2006, ada juga pohon cinta untuk pasangan bermohon hajat. Kata Mad Duha dia terus hilang minat sebaik membaca tentang Pulau Kemaro di Google. 



Ketika sedang berkira-kira dengan awak-awak bot, dia bercerita pada saya “Kalau kakak ke sana ada satu telaga, kita boleh mohon hajat situ. Kalau kakak hatinya bersih, kadang-kadang nenek kebayan boleh muncul dan beri emas atau keris atau cincin. Betul ni kakak!”. Sebaik mendengar begitu, saya pula hilang selera mahu ke Pulau Kemaro. Kami pun berlalu pergi dengan senyuman. Syirik adalah perkara yang cukup kami benci. 

Kami berjalan meneroka kampung-kampung sekitar Pasar Sekanak di Jalan 27 Ilir, singgah sebentar di sebuah warung mutarbak yang sangat peramah. Mereka gembira sekali bila diberitahu kami dari Malaysia, saya disuruh mengambil gambar mereka menebar doh mengoreng mutarbak. Saya beritahu mereka, di Malaysia, ia dipanggil roti canai telur. Aslinya dari India, murtabak pula intinya seperti karipap. Mereka ketawa. 




 

Seterusnya kami jalan kami berjalan kaki ke Masjid Agung yang terletak kira-kira 2 KM dari jalan Ilir 27 untuk solat jamak Zohor –Asar. Kelihatan Monpera atau Monumen Perjuangan Rakyat berada di sisi kiri jalanraya sebaik melepasi Kantor Walikota. Ia merupakan tugu yang menyimpan berbagai cerita, gambaran, dan peralatan yang dipakai saat Perang Lima Hari Lima Malam di Palembang, di mana perang tersebut melibatkan seluruh rakyat turun melawan penjajah Belanda. Kami hanya lihat dari jauh. Pada malam minggu Monpera jadi tempat bersosial para muda-mudi dan sesak dengan kenderaan.






 

Masjid Agung yang didirikan oleh Sultan Mahmud Badaruddin I pada 25 Jun 1748 ini dipengaruhi oleh tiga kebudayaan, iaitu Indonesia, Eropah, dan China. Pada masa Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo (1758-1776) telah lahir seorang ulama besar yang bernama Syeikh Abdussomad Al-Palembani, beliau aktif mengembangkan agama Islam pada era pemerintahan Sultan Muhammad Bahauddin (1776-1803).

Reputasinya tersohor serata nusantara kerana pernah menuntut ilmu di Mekkah dan kembali ke Palembang dengan membawa mutiara baru dalam Islam. Mutiara tersebut adalah kaedah baru untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Wujud perbahasan samada Syeikh Abdussomad Al-Palembangi dipengaruhi tasawwuf al- Ghazali atau wahdatul wujud seperti yang diajarkan oleh Ibnu Arabi? Bagaimanapun beliau telah memberikan inspirasi baru berdasarkan doktrin agama, untuk membangkitkan kembali semangat patriotik dalam menentang penjajah Belanda dan Inggeris. Kitab karangan Syeikh Abdussomad seperti Sair al-Salikin dan Hidayat al-Salikin masih menjadi rujukan di Filipina Selatan, Brunei, Malaysia, Thailand Selatan, Singapura dan Indonesia. Kitab Hidayat al-Salikin diputuskan sesat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan di Malaysia kali-48 pada 3 April 2000. 

Masjid Agung ini sangat luas, moden dan cantik, kasut dan selipar anda ada penjaganya. Saya lihat beberapa gadis seksi tanpa tudung dengan baju sendat & singkat, seluar legging masuk ke dalam masjid untuk mendirikan solat tanpa sebarang prejudis dari AJK masjid. Jika di Malaysia, baru masuk di pagar masjid tanpa tutup kepala pun pasti disergah oleh semua orang. Minda saya tidak dapat proses samada keadaan ini baik atau buruk? Namun saya rasa pelik melihat gadis-gadis berpakaian demikian di tempat ibadah dan hanya mahu menutup tubuh ketika solat.


Kami merayau pusat membeli belah lagi. Bunga pun turut datang bawa kami jalan-jalan. Malam itu kami makan di restoran Western dan pulang tidur di hotel keletihan. Esok kami bangun seawal pagi, bersarapan ‘roti canai’ di warung berdekatan hotel, kali ini kami kena jerat, warung tersebut hentam RM12 untuk 2 keping roti canai dan kopi. Malas untuk bertengkar kami terus ambil Grab Car ke daerah Gandus untuk melawat Bait al-Quran Al-Akbar. Perjalanannya mengambil masa ke selama 45 minit, kami sempat singgah melihat Jambatan Musi 2 yang masih dalam pembinaan. Kampung di Gandus agak mundur, menurut pemandu Grab kami, ada kampung yang masih tidak ada paip air dan bergantung pada air sungai sahaja. Itu kami boleh lihat sepanjang berada di Palembang, bahkah kawasan-kawasan setinggan berdekatan lapangan terbang pun kelihatan penduduk-penduduknya sedang mandi dan membasuh baju di parit yang airnya berwarna hitam. 











Bait al-Quran Al-Akbar ini terletak bersebelahan Pondok Pesantren Al Ihsaniyah, daerah Gandus. Penduduk disini menganggapnya ia sebagai ‘Wisata religi Muslim’, atau diterjemahkan ke pergertian kita mungkin bermaksud rekreasi Islamik. Terdapat 30 juzuk ayat suci Al-Quran yang berhasil dipahat dan diukir pada lembar kubik kayu tembesu dengan kos lebih kurang RM580, di mana masing-masing ukuran halamannya 177 x 140 x 2,5 sentimeter. Al-Quran Raksasa terbesar dan pertama di dunia dalam bentuk ukiran kayu ini masih belum dirasmikan dan telah dipamerkan Masjid Agung Palembang selama 3 tahun supaya dapat diperbetulkan oleh seluruh umat Islam jika ada kesilapan. Gagasan pembuatan Al-Quran ini tercetus pada tahun 2002 oleh idea H. Syofatillah Mohzaib., Dia merupakan penulis Al-Qur’an Akbar bersama bantuan 35 orang pengukir. Tujuan Syofatillah mendirikan Al-Quran Akbar ini tidak lain dari bertujuan untuk mensyi’arkannya, khususnya untuk umat Islam agar mencintai serta mengamalkan isi Al-Quran. Saya sebenarnya bukan orang berminat dengan pameran-pameran hiasan Al-Quran gergasi ini, seperti mana masjid yang indah telah jadi pusat selfie dan rekreasi. Bagi saya Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk, arahan, amaran dan manual untuk manusia hidup bersyariat. Jika dihayati kisah bagaimana para sahabat Rasulullah saw dahulu, yang merasa berat buat mereka untuk memutuskan penulisan dan pembukuan al-Quran setelah baginda wafat, anda pasti terkesan dengan tindakan penulisan al-Quran untuk tujuan wisata. 

Dari kitab Sahih Bukhari disebutkan, bahwa Umar Ibn Khattab mengemukakan pandangan tersebut kepada Abu Bakar r.a setelah selesainya perang Yamamah. Abu Bakar tidak mahu melakukannya kerana takut dosa, sehingga Umar terus-menerus mengemukakan pandangannya sampai Allah swt membukakan pintu hati Abu Bakar untuk hal itu, dia lalu memanggil Zaid Ibn Tsabit r.a, di sampingnya adalah Umar Ibn Khattab, Abu Bakar mengatakan kepada Zaid : “Sesunguhnya engkau adalah seorang yang masih muda dan berakal cemerlang, kami tidak meragukannmu, engkau dulu pernah menulis wahyu untuk Rasulullah saw, maka sekarang carilah Al-Qur’an dan kumpulkanlah!”. Itu satu-satunya mushaf dipegang Abu Bakar hingga dia wafat. 

Pada zaman khalifah Utsman Ibn Affan telah timbul aduan wujudnya kitab-kitab Al-

Quran yang berbeza dan membawa kepada fitnah. Khalifah Utsman meminta Zaid Ibn Tsabit, Abdullah Ibn Az-Zubair, Sa’id Ibnul Ash dan Abdurrahman Ibnul Harits menulis mushaf Al-Quran dari rujukan tulen dan digandakan serta dihantar ke negeri-negeri dibawah pemerintahan Islam. Khalifah turut memerintahkan untuk membakar naskah mushaf Al-Qur’an selainnya. Umat Islam sepakat bersetuju dengan khalifah Utsman Ibn Affan dalam hal ini. 

Mush’ab Ibn Sa’ad mengatakan : “Aku melihat orang ramai ketika Utsman membakar mushaf-mushaf yang ada, mereka kehairanan melihatnya”, katanya lagi : “Tidak ada seorang pun dari mereka yang mengingkarinya, hal itu adalah termasuk nilai positif bagi Amirul Mukminin Utsman Ibn Affan r.a yang disepakati oleh kaum muslimin seluruhnya. Hal itu adalah penyempurnaan dari pengumpulan yang dilakukan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu ‘anhu.” Diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Kitab Al-Mashaahif, Hal. 12.

Selesai melihat Al-Quran gergasi ini kami terus ke Pusat Penjualan Batu Akik atas cadangan pemandu Grab. Menurutnya kebanyakan pelancong pasti datang ke sini untuk membeli cenderahati. Bolehlah dikatakan kawasan ini mirip Chow Kitt, bukan sahaja cincin malah bermacam-macam barang lagi termasuklah pelekat-pelekat motorsikal yang menjadi kegilaan Mad Duha. Dia habis ratusan ringgit membeli berdozen-dozen pelekat untuk di jual di reruai Peketum (Persaudaraan Kapchai Turing Malaysia). Kemudian kami berhabis duit membeli cincin dan batu akik pula. Saya membeli lima bentuk cincin, manakala Mad Duha entah berapa? Banyak juga dia ambil pesanan dari sanak saudara yang minat dengan batu-batu akik. Kami duduk lama di situ, hingga sempat saya melakar cakar pasar batu itu. Antara peristiwa menarik, ada seorang penjual menawarkan saya sebentuk cincin dengan harga RP 150,000. Cantik. Batu biru itu kononnya baturaja asli dari Palembang. Saya menawarkan RP80,000. Penjual itu minta RP100,000. Lalu saya menolaknya untuk membeli. Tiba-tiba dia mengugut saya. “Kakak lihat, sudah pegang, sudah tawar, kemudian enggak beli. Jatuh sial. Awas kakak. Betul! Sial”. Dia mengulangnya 2 kali. Ini benar-benar membuatkan saya marah. 







“Saya ini Muslim. Kamu tahu saya ini Muslim. Tiada benda sial dalam Islam. Kami tidak percaya pada batu yang boleh beri kesialan. Sekarang saya mahu tanya berapa saya tawar tadi? RP80,000 kan? Kamu bilang RP100,000. Kenapa saya harus beli?”. 

Penjual itu terkedu. “Ya. Ya. Boleh RP80,000.” Sambil menghulurkan cincin itu. Kebanyakan penjual di situ sama sahaja. Mereka menawarkan harga yang tinggi dan menipu tentang kesaktian batu itu dan ini kepada pelancong luar. Kami seterusnya meninjau kawasan jualan alat ganti motorsikal dan ke kompleks membeli-belah lagi. 



Setelah makan tengahari walaupun sudah petang, kami terus ke Jambatan Ampera. Tempat wajib untuk dikunjungi oleh pelancong. Malam itu sambutan Hari Kemerdekaan dan Countdown Asean Games berakhir dengan tembakan bunga api. Jambatan sepanjang 1.177 meter dan lebar 22 meter ini asalnya dinamakan Jembatan Bung Karno. Ia sebagai penghargaan kepada Soekarno kerana telah menunaikan keinginan warga Palembang yang memerlukan sebuah jambatan merentas sungai terpanjang di Sumatera, iaitu Sungai Musi. Namun, Bung Karno tidak setuju dengan pemberian nama tersebut. Maka, jambatan itu dinamakan Jambatan Ampera, sesuai fungsinya sebagai Amanat Penderitaan Rakyat (slogan kebangsaan Indonesia tahun 1960-an). Malam itu temasya berlangsung besar-besaran. Saya menghabiskan masa dengan lakar cakar sambil menikmati pemandangan malam hari yang gilang gemiliang. Berhadapan kami di seberang sungai Musi adalah Kampung Kapitan yang merupakan penempatan pertama masyarakat Cina di Palembang. 








Di Palembang terdapat Masjid Cheng Ho yang melambangkan perhubungan masyarakat tempatan dengan kaum Tionghua. Namun tidak seperti Melaka, tiada catatan menunjukkan Cheng Ho pernah ke Palembang. Masjid ini bukanlah tapak sejarah. Bagi yang tidak tahu, terdapat 15 buah masjid di Indonesia yang mengabadikan nama Laksamana Cheng Ho yang tersohor itu.

Pulang ke hotel kira-kira jam 10.00 malam setelah cukup rehat, kami keluar jogging sekitar kota. Ketika melalui pintu pagar Bukit Siguntang, saya tanya Mad Duha kenapa dia tak mahu ke sini? Padahal Bukit Siguntang tak putus menititi dimulutnya sejak kami tempah tiket ke Palembang.

“ Karut” katanya! Haha!

Boleh dikatakan seluruh bandar dah sunyi sepi kerana semua masyarakatnya rajin berkerja, mereka tidur awal agar cukup rehat untuk bangun awal mencari rezeki esok harinya. Kami lapar lagi, namun semua rumah makan sudah tutup. Maka terpaksalah kami ke Indomaret untuk membeli mee segera. Ketika di Indomaret, Mad Duha sempat berbual-bual dengan remaja yang melepak guna wifi percuma di situ. Agak mengejutkan, mereka tahu dimana kami menginap dan mereka juga cam rupa kami berdua ketika membeli-belah di kota. Secara teorinya, keselamatan kami sudah tidak terjamin. Jika ini berlaku kepada anda, lebih ngeri jika anda wanita mengembara secara solo. Langkah terbaik adalah anda berpindah hotel lain, maklumkan hal ini kepada kenalan, jangan jalan sendiran dan jangan guna gojek. 

Memandangkan keadaan kami yang daif ini. Taklah risau sangat jika mereka berhajat nak merompak duit atau curi organ. Kami bukan kaya pun, tubuh pun dah tua dan sakit. Hahaha! Namun kalau mahu beradu tenaga. Bolehlah mencuba. 


Esoknya setelah solat Subuh kira-kira jam 4.50 pagi di sana, kami sambung lagi tidur hingga tengahari dan terus check-out. Kami mahu cuba hotel baru untuk malam terakhir di Palembang. Oleh kerana saya pernah tinggal di Airy Room di Jakarta dan keadaannya sangat bagus, saya cadangkan kepada Mad Duha untuk cuba Airy Room cawangan Palembang. Harganya hanya RM70 untuk satu bilik dua katil yang turut ditempah melalui Traveloka. Kami ke Airy Room Hotel yang berdekatan lapangan terbang dengan menaiki Grab Bike. Saya suka naik motorsikal di Indonesia kerana mudah untuk kenal jalan selain dapat meninjau keadaan sekeliling dengan jelas. Antara perkara yang saya kenal pasti di Palembang, hampir seluruh kubur-kubur mereka dihias, ditinggikan, dicat dan dipasang jubin berwarna-warni. Saya mengelarnya ‘Kubur Disney’. Di satu kawasan perkuburan yang kami lewati, saya lihat seorang lelaki sedang berdoa di sisi kubur dengan memegang colok. Saya tanya penunggang Grab Bike: “Islamkah itu om?”.

“Kenapa Pak? Kayaknya seperti Hindu ya Pak? Kah! Kah! Kah!”. Jawabnya sambil ketawa. 
“Sini memang begitu Pak. Islam namun amalannya macam-macam”. Dia ketawa lagi.

Sebaik mendaftar masuk dan tinggalkan barang. Kami keluar semula ke Pasar Batu Akik Palembang. Mad Duha menerima lebih banyak lagi pesanan cincin dari saudara-mara di Malaysia. Hari ini kami singgah sebentar sahaja. Beli beberapa bentuk cincin dan batu, kami pun beredar ke kompleks membeli-belah. Bunga sudah tunggu kami di situ. Marah benar dia kerana kami tidak ajak dia ketika membeli cincin tadi. 




Setibanya di situ penunggang Grab Bike minta untuk lihat cincin-cincin yang kami beli tadi. Katanya kami dah diperdaya, semuanya bukan batu mineral sebaliknya dari gentian kaca dan ceramik. Hahaha! Kami hanya ketawa, kami tak kisah sebenarnya asalkan ia cantik. Ia sekadar kenangan dari Kota Palembang. Itu sudah cukup. Bunga turut ketawa melihat kami yang tertipu. Katanya dia boleh bawa kami ke tempat yang jauh lebih murah jika mahu cincin sebegitu. 

Setelah meninjau-ninjau dan minum kopi. Kami bergerak ke Jalan Mujahiddin, menurut Bunga situlah pusat segala pempek di Palembang. Rasanya asli dan murah. Pempek Kapal Selam ini adalah makanan tradisional masyarakat Melayu Palembang, ia dibuat dengan cara mengepal telur rebus dengan doh dari isi ikan (paling popular ikan belida) dan tepung kanji. Kemudian ia digoreng dan disajikan dengan cuka manis pedas dan timun. Menurut pandangan saya, satu hidangan pempek kapal selam sudah menyamai satu pinggan pulut bersama ikan kering jika dikira dari segi kalori. Ia sudah cukup untuk membekal tenaga kerja hingga ke petang. 






Kemudian kami meneruskan lagi perjalanan disekitar Monpera. Jika anda inginkan cenderahati yang agak berkualiti tinggi dan eksklusif, cari Nyenyes Assessoris di Jalan Merdeka. Kedai ini menyediakan barangan dengan rekaan dan paket yang menarik lagi unik. 

Kami pulang ke hotel dan mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada Bunga yang sudi membawa kami ke tempat-tempat yang menarik sekitar Palembang. Walaupun perlu bergerak seawal 4 pagi, kami sempat juga tidur sebentar di hotel. Kami tiba di lapangan terbang pada jam 6.00 pagi dengan menaiki Grab Bike, (ya, Grab Bike ada di sekitar Palembang 24 jam) orang ramai terutama mereka yang bekerja di Malaysia telah pun memenuhi Bandara Sultan Mahmud Badaruddin II.





Setibanya kami di KLIA, promosi Sukan SEA dengan slogan “Bangkit Bersama” sedang rancak dijalankan. Kontijen Myanmar turut mendarat pada masa yang sama. Tiada sebarang provokasi berlaku, menunjukkan Malaysia sebuah negara yang aman dan matang biarpun jenayah penghapusan etnik Rohingya sedang hebat dilakukan oleh pemerintah dan kumpulan pengganas Buddha di Arakan, Myanmar. Malaysia adalah diantara negara yang paling aktif dalam kempen-kempen kemanusiaan dan misi menyelamat di kawasan bergolak itu. 

Seperti yang telah diterbitkan dalam Pedal To The Metal zine isu no. 7
(Mac 2018)
Laporan: Ahmad Ra1m1

No comments:

Post a Comment