Thursday, July 7, 2016

GRUNDAR DEATH FEST 2016


Oleh: Ahmad Ra1m1

Grundar Death Fest adalah acara tahunan yang direncanakan oleh Prop, pemilik Grundar Production dari Johor Bahru yang asalnya diwujudkan sebagai platform kumpulan-kumpulan death metal dibawah naungannya untuk membuat persembahan dan siri jelajah. Mula diperkenalkan pada tahun 2013, ia menjadi satu temasya yang ditunggu-tunggu oleh peminat-peminat death metal Malaysia. Tahun-tahun sebelumnya upacara kematian ini berlangsung di Stopzone Studio, namun apabila premis berkenaan tidak beroperasi lagi Prop telah memilih Embrace Hall, Tampoi bagi menjayakan Temasya Kematian Grundar tahun 2016 ini.

Banyak kumpulan hebat yang telah beraksi di pentas Grundar antaranya, SICKNESS, DYGUSTED, DAMOKIS, CHELATION INTOXICATION, UNVEILED, PERPETUAL, TOOLS OF THE TRADE, GORESLUTS, PANIC DISORDER dan banyak lagi. Tahun ini Grundar sekali lagi membariskan kumpulan-kumpulan tempatan yang berpotensi tinggi.

Saya telah ketinggalan 3 siri temasya ini, rakan lama saya Prop sering menjemput saya untuk bersama-sama merakam kenangan namun seringkali ada sahaja halangannya. Oleh itu kali ini, saya awal-awal lagi memohon cuti dan menyimpan sedikit modal untuk ke sana. Dan yap! Hari ini saya berlepas ke JB dengan bas.

Saya sampai di Terminal Larkin jam 9.00 pagi dan Shahriman dah sampai untuk menjemput saya. Dua orang rakan baik saya, Eddie (The Four Horsemen) dan Abi (HIDING FEAR) awal-awal lagi dah hantar pesanan ringkas mereka ada agenda lain hari ini. Tak berjumpa jugalah kami pada hari ini. Sampai di rumah Shahriman, saya berehat dulu, sambil beliau menguruskan perniagaan dalam talian yang laris bagai pisang goreng. Saya sempat lagi menghabiskan sebuah buku karangan Ustaz Mat Abdul Kadiaq dalam tempoh itu. (diulas dalam blog Khusyuk Kematian). Setelah mandi dan menjamah brunch, tepat jam 3 petang bergerak ke Embrace Hall yang terletak hanya berberapa belas minit dari Nusajaya.












Sesampai sahaja kami di sana, setelah berbual-bual, persembahan dimulakan oleh band baru yang dianggotai Prop sendiri iaitu FLAYING THE FLESH. Kumpulan baru yang turut dianggotai oleh orang-orang lama scene JB ini (KUKU BESI, UNVEILED) mengetengahkan irama brutal death metal tanpa sebarang kompromi. Bersahaja dan mantap walaupun, beberapa kali mereka mengalami masalah teknikal (mungkin kabel) pada mikrofon. Lagu saduran dari MORBID ANGEL yang mereka mainkan memberi idea arah tuju mereka kepada para penonton kerana mereka masih dalam proses untuk merakamkan material sulung.




BLOODY SITUATION yang juga band dari JB dikhabarkan sebagai kumpulan death metal. Namun bagi saya kumpulan anak muda ini memainkan irama dan berimejkan modern death metal / American metal, masih gopoh dalam membuat persembahan, sehingga tetapan bunyi mereka menjadi kurang garang. Namun secara keseluruhan aksi mereka penuh bertenaga dan menghiburkan. Ketika ini penonton sudah mula memenuhi Embrace Hall. Saya kira Grundar harus berterima kasih kepada rombongan dari IMKL (Indonesia Metalhead Kuala Lumpur) yang datang memberi sokongan padu. Tanpa mereka mungkin senario band menonton band akan berlaku lagi. Pada saya penyatuan IMKL boleh dicontohi dan raikan untuk membantu pergerakan muzik kita yang sudah kehilangan sokongan, baik dari segi kehadiran gig dan juga pembelian produk dari band bawah tanah.

Embrace Hall turut dikenali sebagai pusat aktivis kerja-kerja kreatif indie dan toko menjual piring hitam dengan harga yang berpatutan. Saya dan Shahriman tidak lepaskan peluang mendapatkan beberapa LP yang agak murah dijual mereka. Dalam masa yang sama, saya pun turut menjual Pedal to the Metal zine di booth Grundar. 






Saya turun ke bawah untuk berbual-bual dengan Asraf, HUMILIATION dan minum di gerai berhampiran. Hujan yang turun membuatkan saya sedikit ‘jakun’ oleh kerana Perlis menerima kemarau teruk kesan dari el-Nino sejak 3 bulan lalu. Perlis pernah mencatat suhu panas melebihi 40 Celsius minggu lalu, menjadikan ia tempat paling panas di Malaysia. Saya terlepas persembahan kumpulan grindcore, EYES POPPING OUT. Shahriman menghantar saya semula ke Embrace Hall dan bergegas pulang kerana anaknya demam. Kasihan juga saya lihat dia ke sana ke mari mengatur jadual, bila saya mahu menginap di hotel dia pula tidak benarkan. 







Saya telah menyaksikan persembahan MU-ARU di Alor Setar sebelum ini, mereka membawakan konsep metal timur yang misterius dan gelap. Boleh dikatakan genre mereka lebih angker dari kumpulan-kumpulan Grundar yang lain. Seterusnya SEVERED TORTURED yang saya tunggu-tunggukan kerana mendapat promo CD dari vokal mereka, Wira beberapa bulan yang lalu. Kualiti rakaman mereka sungguh kejam dan ribut. Ternyata mereka turut mantap diatas pentas. Boleh saya katakan lontaran vokal Wira adalah yang terbaik pada temasya kematian ini. Saya jangka ketika kumpulan lain beraksi sebelum itu, barangkali mikrofon mumpunyai masalah. Ternyata meleset. Wira mengaum lantang dan buas sekali. Sesekali dia lambai tangan yahanana… hahaha! 



SUFFER REMAIN, adalah skuad dari Terengganu yang beraksi setelah tamat waktu Maghrib, membawa kekejaman dalam bentuk irama dengan baik sekali. Saya masih asing dengan lagu-lagu mereka malah masih belum pernah mendengar kerja-kerja rakaman studio mereka. Berdasarkan persembahan ini, saya berpendapat mereka sebuah kumpulan yang bagus. 


Saya terserempak Jake, UNVEILED. Kebetulan saya membual satu wawancara bersama beliau dalam Pedal to The Metal zine # 2. Saya sangkakan beliau bersaiz XXL jika dilihat dalam foto, maka saya hadiahkan sehelai baju Pedal to The Metal bersaiz XL berserta freecopy zine itu. Rupanya beliau tidaklah sebesar itu. Jake ketawa besar bila saya katakan itu kepadanya. Ternyata satu foto boleh membawa 100 pengertian pada orang yang melihatnya. Jam 8.30 malam Shahriman datang ke Embrace Hall, katanya dia tidak boleh singgah lagi dan mahu bawa saya makan malam di Kilang Bateri dan bawa saya ke toko, Projek Buku, saya pun dah runding dengan pemiliknya untuk meletakkan Kemenyan disitu. Saya agak kecewa kerana tidak berkesempatan untuk melihat PURGE THE ARBITRATOR (teknikal death metal dari Penang) yang pernah muncul dalam kompilasi kaset terbitan Faithcraft Productions berjudul The Death of Analog Psycho (siri 2). PURGE adalah kumpulan terbaru yang mengikat janji dengan Grundar dan mereka turut mempromosi album pertama mereka “Martyrdom” di temasya ini. Keduanya, saya juga tidak sempat menonton HUMILIATION yang kini antara jenama death metal paling popular di Malaysia dan telah beberapa kali menjelajah Eropah serta Jepun. Saya hanya melihat video mereka melalui youtube dan belum pernah menonton mereka secara langsung. Sungguh menyedihkan. Namun saya sudah biasa melihat SICK SOCIETY ketika tinggal di KL dahulu dan mereka begitu aktif dalam pergerakan UG Petaling Jaya. Mungkin mereka lebih ganas sekarang? 







Grundar Death Fest hari itu berakhir dengan jayanya, saya kira mungkin hampir 100 orang hadir memberi sokongan. Wan PHENOMISTIK turut hadir sebaik tamat kerja, sayang sekali tidak dapat berjumpa kerana saya pun telah beredar bersama Shahriman ke Kilang Bateri dan menguruskan urusan jualan buku Kemenyan disamping terus makan malam di situ. Malam mingu disitu umpama fiesta. Pengunjung punyalah ramai hingga tiada tempat makan, kami hanya meratah ayam goreng di kerusi bar. 

Saya bermalam di rumah Shahriman pada malam itu. Esoknya selepas makan nasi goreng udang black pepper di sebuah kampung, saya dijemput pula Eddie yang mendera saya dengan mee rebus dan nasi lemak ayam Wak Kentut, di Stesen KTM Kulaijaya. Kemudian kami jalan-jalan cari CD hingga ke Sawit. Banyak sungguh isu yang kami bualkan sepanjang pejalanan. 






Pukul 9.00 malam, kami kembali ke Larkin dan sebelum berangkat pulang ke Kangar, Eddie sempat menunjukkan sebuah premis yang akan diuruskan oleh The Four Horsemen sebagai tempat penganjuran gig dan aktiviti muzik yang lainnya. Lokasinya terletak betul-betul dibelakang stesen bas Larkin, berdekatan deretan hotel, restoran, parkir dan stesen teksi. Moga The Four Horsemen akan terus bergerak memperjuangkan muzik berat sebagai hak anak muda. Yang tua, dia tak berjuang dah.. dia bersandar menikmati drama perjuangan itu.

Dipetik dari Pedal To The Metal zine isu # 3

No comments:

Post a Comment