Friday, July 18, 2014

AS SAHAR “Phenomistik” (BLACKWINDS PRODUCTIONS) – SINGAPURA


“Phenomistik” (1996) adalah album penuh sulung dari moyang black metal berpaksikan unsur ‘kegelapan dari Timur’ dan antara yang pertama membuka mata pentaksub-pentaksub metal lasak dari Eropah selain rakaman demo dari LANGSUIR (Perak) dan HAYAGRIVA (Perak). Pada sekitar awal 90-an walaupun kumpulan seperti NEBIRAS, ARADIA, ABHORER (Singapura), IMPIETY (Singapura), VOCIFERATION ETERNITY, BAZZAH turut dikenali negara luar sebagai diantara pemuzik yang hebat dari Asia Tenggara, AS SAHAR dan LANGSUIR yang paling menyerlah membawa panji-panji ini dalam muzik death/black metal yang riff-riff mereka dipinjam dari alunan melodi nusantara yang penuh mistik.

Pembawaaan imej dan peribadi AS SAHAR ketika ini sangat berkesan. Mereka ‘juah’, tidak hirau siapa, memperkenalkan fahaman ‘racist metal’ dan Nazism. Selain riff yang disepuh dengan melodi timur, mereka juga mengagungkan pegangan paganism, hal tahyul serta khurafat. Imej dan pendirian mereka pada waktu itu 100% metal dan jahat. Hampir semua kumpulan-kumpulan baru yang wujud ketika itu terpengaruh dengan haluan timur ini. Saya antaranya. “Phenomistik” saya letakkan diantara koleksi emas metal nusantara, dan saya menyukai setiap kod dan not bunyi di dalamnya. Tidak syak lagi, saya mewujudkan Kemenyan Zine pada 1997 sebagai alat untuk menyokong haluan metal nusantara. Dan sebagai makluman pembaca, hampir semua zine UG dari Malaysia sewaktu itu seolah-olah tidak lengkap atau masih tidak diiktiraf jika belum menemubual AS SAHAR. Zaman itu temubual hanya dilakukan melalui surat menyurat. Sokongan penuh pasti akan diperolehi dari AS SAHAR kerana nadi mereka, One Barchiel (gitar dan vokal) juga adalah seorang editor zine. Mungkin adalah pernah dengar MNTAKATULBURUJ ZINE?

Perkara yang menarik seterusnya tentang mereka ketika itu, mereka berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan senegara mereka iaitu IMPIETY, ITNOS, ABHORER dan saling sokong menyokong. IMPIETY turut mengunakan studio yang sama, malah jika dinilai dari segi kualiti rakaman, permainan dan imej. Mereka setanding. Malah, Iblyss adalah pemain dram IMPIETY yang mengantikan Sam Uriel (pemain dram asal) untuk album ini. Iblyss mengunakan gong dalam album ini yang mana turut digunakan dalam album “Asateerul Awaleen” dari IMPIETY. IMPIETY ketika itu juga masih belum terbabit dalam ‘war metal’, mereka masih berpaksikan Satanism serta mengunakan tona vokal ‘Mickey Mouse setan’. Sehinggalah timbulnya konflik yang memecahkan kesatuan mereka. IMPIETY tidak menoleh ke belakang lagi, beralih kepada black/death metal, menubuhkan line-up antarabangsa, mengikat kontrak dengan label-label yang tepat dan menjelajah dunia. Dan agak ralat, AS SAHAR kekal dengan label NEBIULA dari Malaysia yang hanya membuat promosi tempatan dan berjaya mengangkat AS SAHAR sebagai jagoan metal timur di Asia Tenggara walaupun kurang progress dan terumbang ambing iktikad mereka. Buktinya hanya “Phenomistik” berdiri sebagai satu-satunya karya termasyhur dan mereka pernah merubah arah kepada speed rock dan kembali kepada black metal dan terus menyepi. One Barchiel telah menarik diri dari AS SAHAR dan menubuhkan sebuah kumpulan white metal, KARAMAH kerana berlainan dogma. Manakala formasi AS SAHAR kini diterajui oleh saudaranya, Hanael yang juga pemilik BLACKWINDS PROD. Atas inisiatif Hanael juga, album ini diterbitkan semula dalam pakej yang lebih sempurna. Iaitu dalam format digipak, berserta inlay (poster asal – Iblyss memegang tongkat diikat kain kuning itu sentuhan epik!), berserta lirik (tidak dimasukkan dalam kaset keluaran Nebiula), serta lukisan kulit album yang asal oleh Enormous Sadness (ahli ARADIA) – ia sangat hebat dan mengambarkan muzik AS SAHAR dengan tepat. Perkara yang saya harapkan tetapi tidak mereka lakukan adalah remastering. Sayang sekali.

9 lagu yang dirakamkan di The Blessed Womb of Leftness studio sekitar Oktober 1996 ini menyaksikan struktur muzik mereka telah dinaiktarafkan. One Barchiel jika anda sering membaca temubual dan ulasan-ulasan album yang beliau lakukan ketika itu tentu anda kenal sebagai seorang yang agak luas pemahaman muziknya dan terbuka dalam citarasa muziknya walaupun jatidiri beliau adalah black metal. Beliau seorang pemuja melodi dan tahu apa yang perlu dimanipulasikan seketika itu, dan apa yang metalheads mahukan waktu itu. Pagan metal baru sahaja diperkenalkan oleh kumpulan-kumpulan dari Norway, Sweden dan Czech Republic. Mereka banyak menerapkan unsur folky dalam black metal yang saya sangat yakin One Barchiel begitu menghargainya. Dengan itu, “Phenomistik” lahir dengan lebih banyak pengunaan synthwork, gitar klassikal, kompang dan alunan melodi yang murung. Yang mana, AS SAHAR sebelum itu lebih kepada grim, unholy, dan grinding.

“Depressive Monsoon” tajuk yang dipetik dari nama zine yang disunting beliau setelah tidak berkhidmat dalam Mintakatulburuj zine lagi. Depressive Monsoon sebuah zine yang padat dengan ulasan-ulasan album yang bernas serta puisi-puisi karangan One. Lagu ini sebenarnya sangat emosional, hebat garapan struktur muziknya. Mungkin anda terlepas pandang, IMMORTAL adalah kiblat lagu ini kerana hanya Abbath dan Demonaz satu-satunya pemuzik metal lasak patriotik yang tidak jemu-jemu memuja cuaca dan lanskap muka bumi negaranya.


“Silumanial Dansacration” adalah acuan dari “Meditasi Embun Pagi” yang keduanya dirakam lebih kemas. “Tinggam” sebuah lagu yang hebat dengan permulaan seperti BATHORY dengan tambahan instrumen gong, liriknya menyeramkan begitu juga aura muziknya. Bagi saya lagu yang pertama kali diperkenalkan dalam kompilasi STORM OF NEBIULA ini antara yang terbaik dalam kaset tersebut disamping 2 lagu dari ARADIA. “Fandeyian Okultika Hymnology” pula adalah lagu yang ditujukan kepada pasangan bomoh ilmu hitam, Mona dan Affendi. Ia bagi saya, adalah prototaip ‘Pagan Metal’ yang pertama dirakamkan di Asia Tenggara.

“Folkcraftly Meloharvest” seperti tajuknya ia menceritakan ritual memuja semangat padi. Dari segi lagunya, ia agak teknikal dan bervariasi. Iblyss mempamerkan pukulan-pukulan signature beliau yang boleh kita dengari dalam rakaman-rakaman beliau bersama kumpulan utamanya. Lagu-lagu lain seperti “Nadayage” dan “Simfoni Jimbalang” berfungsi sebagai pelengkap kepada jampi serapah mereka dalam album ini.

Dalam temubual saya bersama One Barchiel ketika album ini baru sahaja dilancarkan pada awal 1997, beliau bercadang untuk mempelopori Asiatic black metal dengan loghrat/dialet negeri-negeri Melayu untuk album seterusnya, ujar beliau yang sepanjang kariernya meletakkan AS SAHAR sebagai kumpulan muzik dari Malaysia, jika tidak dari Temasik.

Bagi yang tidak tahu, AS SAHAR masih gigih mengadakan siri gig-gig dengan ahli-ahli baru yang diterajui oleh Hanael (pemain bass asal), manakala One Barchiel (penyanyi dan guitarist asal) bersama KARAMAH telah menerbitkan karya mereka yang pertama beberapa bulan lalu.

“Menciptakan liang di kubur. Menegak mayat berserta papan long. Yang terbujur berzaman menjerit. Mendengar laungan mentera di awal senja. Tengkorak dikerat dan dicarik tulang dahinya….” Tinggam, AS SAHAR.

Baca ulasan AS SAHAR “Santau”

No comments:

Post a Comment