Saturday, August 30, 2014

KICKIN' & THRASHIN' FIST


KICKIN’ AND THRASHIN’ FIST
30hb Ogos 2014, Kangar ke Hard ‘N’ Heavy Shop

Saya memilih acara kayuhan kali ini dengan tajuk Kickin’ and Thrashin’ Fist disebabkan toko metal (gelaran mengantikan sebutan 'kedai metal' oleh pemiliknya) Hard and Heavy Shop ini diuruskan dibawah lesen Thrashingfist Production milik saudara Khairul Anuar atau CS Wild yang turut mengetuai kumpulan black/thrash metal STORMING STEELS. Pemilihan Hard N Heavy Shop muncul apabila saya melawat METAL ZONE DISTRO beberapa minggu sebelumnya. Kali terakhir Paddle To The Metal telah berjaya membuat kayuhan ke Penang pada 14hb Mei lalu.

Dari 3 penyertaan, salah seorang darinya Chainsore dari kumpulan WRECKÄR, hanya tinggal saya seorang akhirnya yang sedia untuk membuat kayuhan sejauh 67KM hari ini. Entah apa ceritanya, walaupun esok Hari Kemerdekaan Malaysia, masing-masing sibuk dengan kerja. Saya juga bekerja, kerana hari cuti mingguan saya pada setiap hari Rabu. Oleh kerana kononnya kawan-kawan sukar untuk mengikuti program jika saya memilih hari Rabu, maka saya mohon cuti tahunan saya untuk Paddle To The Metal. Tetapi begitu juga hal nya. Apa boleh buat, ini bukan paksaan dan ini adalah aktiviti kesihatan bagi adrenaline junkies. Dan saya tetap dengan pendirian saya, Paddle To The Metal adalah satu KERJA AMAL oleh metalheads. Misi dan visi ini tidak akan berubah.

Saya memilih untuk mempromosikan Tabung Wang Tidak Patuh Syariah oleh Majlis Agama Islam Negeri Perlis. Walaupun ada team kembara yang lain telah menciplak flyer Paddle To The Metal untuk acara mereka setelah melihatnya. Saya sesekali tidak kisah asalkan ia melibatkan kerja kebajikan, dakwah dan islah disebarkan. Tiada hak cipta dalam menyebarkan keharmonian ke serata muka bumi. Ia tugasan umat manusia selayaknya.




Saya bangun agak lewat pagi tadi mungkin disebabkan tidur kira-kira jam 3 pagi kerana menyelenggara basikal dan menyiapkan segala kelengkapan untuk ke Hard N Heavy Shop. Walaupun kesorangan dalam menjayakan program ini, saya TERUJA. Saya bergerak jam 8.00 pagi menyusuri Kampung Padang Behor, Utan Aji dan Mengkuang Layar. Cuaca masih redup dan mendung. Suasana yang tenang lagi dingin itu sangat sesuai untuk kayuhan jauh. Tempat pertama yang saya singgah untuk sebarkan flyer di Masjid Kampung Mengkuang Layar. Dalam tahun 1997, masih segar dalam ingatan saya, di situlah kali pertama saya turun tabligh atas ajakan seorang rakan, Nurul Anuar. Di situlah kali pertama kami keluar bersama-sama mengajak penduduk-penduduk setempat pergi solat berjemaah. Kami bergerak dari rumah ke rumah, dari sawah ke sawah. Kami makan dalam talam. Bangun ber qiamullai. Menjalankan ruqiah disebuah rumah puaka dan macam-macam lagi. Ia kenangan yang saya akan ingat selamanya. 


 






Saya berhenti di stesen minyak Shell, Simpang Empat untuk menambah angin tayar basikal dan meneruskan perjalanan. Keseronokan menyusuri jalan-jalan di Kedah-Perlis datang dari kehijauan sawah padi di sepanjang jalan. Atau mungkin lebih tepat, keemasan oleh kerana sekarang adalah musim menuai dan membakar jerami. Nasib saya baik kerana kebanyakan sawah di Kedah masih belum dituai. Jika petani-petani sudah mula membakar jerami. Keadaan pasti lebih panas dan kurang sesuai untuk aktiviti luar kerana abu dan debu bertebangan bagai salji hitam. Aktiviti membakar jerami adalah sesuatu yang mengancam kesihatan dan keselamatan jalanraya. Tetapi dengan membakar jerami juga akan menyuburkan tanah bendang untuk aktiviti pertanian selanjutnya. 
 
Dalam berfikir tentang itu dan menghayati bau tanah sawah yang sangat menyenangkan apabila digilis jentera penuai. Saya menghampiri pekan Ayer Hitam. Sebelum itu di beberapa masjid telah saya tampal dengan flyer (tetapi bukan pada kemudahan masjid), selalunya saya memilih tiang elektrik berdekatan dengan masjid yang mudah dilihat sahaja. Saya seorang yang benci dengan kegiatan merosakan harta wakaf.





Kesempatan berada di Ayer Hitam, saya singgah di Restoran Haji Salleh yang terkenal dengan menu Mee Kebaya. Saya pernah bertanya apa keistimewaan Mee Kebaya pada pemilik kedai makan ini. Katanya ia sekadar nama, Mee Kebaya adalah nama glamor yang diberikan kepada Mee Rebus. Saya dan Chainsore sukakan roti canai mereka. Restoran Haji Salleh sebenarnya sebuah kedai kopi old school. Meja dan tempat duduknya mempunyai partition, gelap, dan basah. Entah mengapa kali ini saya rasa kurang selesa dan mual melihat keadaan dapur dan lantai kedai yang kotor dan berlumut. Saya makan juga roti kerana lapar dan segera beredar. 


Saya meneruskan perjalanan hingga melalui Poliklinik Kenanga. Teringat saya kali pertama berjumpa blogger Wan Beruas yang datang untuk membeli Cd AU REVOIR. Beliau antara orang yang pertama saya utarakan cadangan dan terus bersetuju untuk menubuhkan Paddle To The Metal ini. Maka dengan itu wajarlah saya lekatkan flyer ini dihadapan Poliklinik Kenanga sebagai penghormatan kepada Wan Beruas. Hahaha! 








 


Ketika sampai di Gunung Keriang, makin terasa bahang mentari dan keletihan disebabkan basikal yang kurang lasak untuk perjalanan jauh. Tetapi saya sentiasa kuatkan hati dengan mengatakan apa yang saya lakukan ini bukan pertandingan, ia kerja amal. Kerja amal sambil melakukan perkara yang kita minat. Persaudaraan metal bawah tanah. Jadi, lambat atau laju. Ia tidak membawa apa-apa makna. Yang penting. Matlamatnya sampai. Jam ketika itu menunjukan pukul 11.00 pagi, saya segera memaklumkan kepada Abdul Aziz dan CS Wild tentang lokasi saya. Risau juga, kalau-kalau mereka berdua masih dalam selimut.














Saya meneruskan perjalanan hingga ke Masjid Zahir. Lokasi wajib bagi pengembara yang tiba di Kota Setar. Ada dua orang gadis sedang mengambil foto saya hampiri dan bantu mereka merakamkan gambar. Seterusnya giliran mereka membantu saya bergambar dihadapan masjid yang dibina pada tahun 1912 berhadapan istana Sultan Kedah. Bagi yang tidak tahu Sultan, Sultan kerajaan Islam tua (Kedah, Pattani, Acheh) adalah terdiri dari agamawan yang warak. Maka seringkali kita dapat lihat istana mereka didirikan betul-betul dihadapan masjid negeri. Begitu juga Raja Perlis, yang istananya kekal bertentangan Masjid Arau hingga hari ini. Namun kini, istana Sultan sebolehnya dibina jauh dari masjid. Mengapa? Menjarakkan pemerintah dari institusi masjid? Meletakkan jurang antara ketua agama dan rakyat? Saya sendiri tidak faham?



 
Saya terus ke Hard N Heavy Shop, tengok sahaja bagunan ini, teringat pula 2 tahun lalu saya terlibat dalam satu kajian sosial bersama JAKIM dan Jabatan Kesihatan. Kami diarahkan turut serta dalam beberapa kumpulan diketuai aktivis LGBT mengedarkan kondom dan picagari di stesen keretapi dan Lorong Petani. Lokasi pelacuran dan penyundalan paling tua di Kota Setar. Pelacur menjalankan perkhidmatan mereka di sebuah rumah tidak mempunyai bekalan letrik dan air di Lorong Petani. Manakala pondan menjalankan perkhidmatan mereka di stesen keretapi. Tetapi lokasi pondan lebih meriah, banyak juga penonton-penonton dikalangan pemandu teksi dan golongan gendelangan yang datang sekadar menjamu mata. Manakala pelanggan-pelanggan pula terdiri dari penagih, rempit, pelajar IPTA, warga asing dan tentera. Lokasi Hard N Heavy Shop terletak diantara 2 lubuk sundal tersebut. Anda tentu boleh bayangkan bagaimana CS menjalankan operasi studio dan kedainya di kawasan hitam tersebut. Dan itu juga penyebabnya perniagaan beliau masih beroperasi sehingga kini. Pihak berkuasa tidak sesekali berani menuding perniagaan CS lebih jahat, keji dan hina dari maksiat yang zaman berzaman gagal mereka tangani diluar premis Hard N Heavy Shop. Semuanya bersangkut paut dengan intergriti mereka sendiri! Lokasi Hard N Heavy walaupun mengerunkan, hakikatnya ia adalah lubuk metal paling sesuai untuk ia terus bernafas.

Sayangnya, bangunan ini sedang dalam proses renovasi dan pada Januari tahun depan ia akan diambil alih sepenuhnya oleh sebuah hotel. Hard N Heavy Shop akan ditutup, CS juga menyatakan beliau tidak berminat untuk membuka metal shop lagi dan hanya mahu menjalankan perniagaan secara online.






 
Saya memikul basikal saya ke tingkat dua (tiada lif) dan menjejakkan kaki ke pintu Hard N Heavy Shop dengan sambutan mesra dari Abdul Aziz, METAL ZONE DISTRO (metal shop ke-3 di Kota Setar, bagi yang tidak tahu metal shop pertama di Kota Setar adalah ROCK STREET yang masih beroperasi hingga kini), CS WlLD dan penjaga saloon bertentangan Hard N Heavy Shop. Bagi metalheads rambut panjang yang ingin mendapat khidmat saloon dan khidmat tambahan bolehlah datang kerap ke Hard N Heavy. Beli stuffs kemudian beli service. Hahaha! Gurau aja.

Saya mencuba peralatan studio dan meninjau ratusan CD dan kaset-kaset yang dijual. Segalanya hebat-hebat dan obcure belaka. CS seorang yang dedikasi dalam kerja-kerjanya. Saya harus puji etika kerjanya. Tidak pernah langsung saya mendengar beliau rip-off pelanggan dan sentiasa pantas dalam memproses tempahan. Saya sering mendengar pujian dari rakan-rakan tentang kehebatan CS mendapatkan material-material yang terlarang dan terhad dalam tempoh yang singkat. Malah hubungan diplomatiknya sangat meluas dan rangkaian metal bawah tanahnya begitu ramai. Kumpulan-kumpulan jahat macam BLACK WITCHERY? SHITFUCKER? SARCOFAGO? NECROPHOBIC? CONQUEROR? BLASPHEMY? Alah! Itu mudah-mudah sahaja ada diperolehi di sini.

Saya menghadiahkan kaset THE DEATH OF ANALOG PSYCHO # 2 kepada CS dan Abdul Aziz tetapi kedua-duanya tetap berkeras mahu membelinya sebagai tanda sokongan. Adui! Puas kami berbual di Hard N Heavy Shop, kami berjalan kaki pula ke Restoran Sentosa yang terletak bersebelahan Starlight. Kedai kaset lagenda di Kota Setar, kedai yang banyak membuat bootleg CD dan DVD kumpulan-kumpulan tempatan dan luar negara. Paling celaka, Starlight turut membuat CD cetak rompak keluaran Metal Zone Distro. Label anak Kedah sendiri!! Saya mencuba nasi kandar Restoran Sentosa. Ok juga! Lapar kot?




Kami berbual panjang. Dari cerita scene zaman pertengahan 90-an, cerita band-band yang mengaku otai sebaliknya hanya auta fakta disebabkan mereka rasakan mereka awal tetapi lupa masih ada orang yang tahu dan boleh buktikan pembohongan anda. Abdul Aziz bercerita tentang suka duka perjalanan Metal Zone, yang hakikatnya lebih banyak kisah duka. Banyak pengorbanan wang ringgit dan masa yang beliau hilang dek kerana minatnya yang mendalam pada muzik bawah tanah. Begitu juga CS, yang mampunyai ramai seteru tetapi membuktikan beliau orang yang sentiasa komited terhadap minat beliau dan langsung tidak goyang dengan ancaman puak rip-off dan pihak berkuasa tempatan. CS, saya lihat telah banyak berubah, beliau matang berbicara, penyabar dan sentiasa positif dengan hidup yang dipilihnya. Boleh dikatakan 100% perbualan kami hanya berkisar tentang dunia metal sahaja. Saya benar-benar gembira. Kami berkongsi pengalaman dan merancangkan sesuatu untuk upacara penutup Hard N Heavy Shop. Saya kagum dengan dua orang pengerak muzik metal bawah tanah dari utara ini. Mereka bukan seperti kebanyakan individu-individu lain yang hanya suka cakap dan mengeji orang. Mereka kuat bekerja dan menderita dengan apa yang mereka cintai.

Terlalu banyak yang kami bualkan hingga tidak sedar jam telah menunjukan 3 petang. Bahang panas membuatkan saya seperti tidak mahu pulang. Setelah membeli beberapa stuffs untuk dibawa pulang, saya bergerak lemah menyusuri bandaraya Alor Setar. Walaupun datang bersorangan, terasa pengisian masa amat berkualiti kerana layanan yang baik oleh CS serta tajaan makan tengahari oleh Abdul Aziz.









Saya singgah semula di masjid Zahir untuk solat Zohor, teringat pula cerita CS mengenai rakannya yang minat ilmu perbomohan. Pesan CS pada rakannya “Kalau nak jadi bomoh, tak boleh tinggal solat”. Saya tergelak sendiran sambil mengambil wuduk. Cerita itu walaupun lawak, banyak beri pengajaran kepada saya. Teringat suatu kuliah mengenai penjelasan tauhid oleh Dr. MAZA. Kata-kata yang mudah dan jelas mengenai keesaan Tuhan boleh disampaikan oleh sesiapa sahaja walaupun tanpa sedar.

Saya singgah di 7 Eleven untuk membeli 2 botol air. Cuaca benar-benar panas ketika itu, jam pula sudah melepas angka 4.


Ketika sampai di Sungai Korok, seorang lebai India menaiki mountain bike cuba mengumpan saya. Jauh juga kami berlumba, 2x saya memotong beliau kemudian beliau memotong saya kembali. Dalam masa sama saya sempat menyaksikan 2 kemalangan dalam perjalanan menyusuri Mergong.




Akhirnya lebai jauh meninggalkan saya, sambil menoleh ke belakang. Saya nampak dia senyum bangga. Namun kami bertembung semula di Masjid al Mahmudi, Padang Lalang, secara kebetulan dia turut singgah solat Asar di situ. Ketika AJK Masjid al Mahmudi bertanyakan tentang basikal saya, saya perhatikan lebai menjeling dan berlalu. Hehehe! Kata AJK Masjid, pagi kelmarin ada dua orang pemuda singgah solat, mereka dari Sungai Dua ke Hatyai. Dan sebelum itu mereka penah menjelajah Korea dengan basikal. Waa.. hebat juga tu!



 
Saya teruskan perjalanan yang semakin perit. Saya tidak membelok ke jalan kampung Mengkuang Layar sebaliknya meneruskan perjalanan kerana ingin melihat sebuah masjid baru di kampung kelahiran Dr. Harun Din. Bohor Mali. Cantik dan hebat binaannya. Kemudahan wakaf tidak dibolot dan disekat oleh AJK masjid seperti di kampung saya. Pelik betol masjid Repoh!? Tandas di kunci, pagar ditutup selepas tiap kali solat fardu. Pelik! Masjid telah dianggap tempat kerja.

Saya menyusuri Padang Behor dan memintas ikut jalan baru ke Shoerubber, Jejawi membelah sawah padi dan parit gila. Bagi yang masih tidak tahu, istilah ‘parit gila’ hanya wujud di Perlis. Isitilah ciptaan petani kerana sistem perparitan yang tidak masuk akal dibina oleh JPS bagi saliran air ke sawah. 






Jam menunjukkan 6 petang, cuaca redup seakan-akan akan hujan membuatkan pemandangan sawah kelihatan begitu cantik sekali. Banyak juga pengail yang turun mengumpan ikan, ada seorang gadis saya lihat turun ke tengah sawah bersama monopod walaupun dah senja semata-mata ingin ber selfie. Adui! Macam-macam jenis kebahagian manusia, kan?

Saya sampai di Faithcraft Studio 6.15 petang dengan kepuasan kerana berjaya menamatkan Kickin’ and Thrashin’ Fist. Sepuluh keping flyers berjaya disebarkan ditempat strategik.

~ Barbarossa

No comments:

Post a Comment