Sunday, March 22, 2015

COKELAT “Segitiga” (SONY MUSIC) – INDONESIA



“Segitiga” adalah album penuh ke-3 yang dilancarkan mereka pada tahun 2003. Saya membeli versi kaset album ini pada tahun yang sama dan kekal menjadi kegemaran saya hinggalah seorang rakan dari Jerman membelinya bersama album kedua mereka “Rasa Baru” (2001) dari saya dengan harga yang lumayan. Saya merindui kedua-dua album yang boleh dikira klasik itu. Mengapa saya ujar demikian?

COKELAT ditubuhkan di era ‘alternatif rock’ berada dikemuncaknya dan melalui perjalanan seni tipikal remaja-remaja peminat rock ketika itu. Ia ‘high school trend’ zaman itu yang mana remaja-remaja popular dan berbakat pastinya mempunyai kumpulan rock atau metal. Jika karya mereka meletup. Proses matang mereka akan dilanjutkan dengan kehidupan sebagai bintang rock. Di Malaysia, Indonesia, UK, Ireland, USA, sama sahaja… teringat juga saya, yang ketika itu baru kenal ‘jamming studio’, walaupun kami lebih kepada black/death metal ada juga tempias alternatif rock ketika itu. Semestinya pemuzik alternative dan grunge lebih ramai groupies. Senior-senior hero grunge banyak yang meluat pada geng-geng metal… tapi kini semua dah bersara, berkeluarga dan lupakan impian jadi bintang rock. Ada junior-junior yang masih bermain muzik, merakamkan beberapa album dan kekal bertahan hingga kini dalam scene yang dipanggil ‘indie rock’ pula. Saya tabik juga dengan jatidiri mereka walaupun berlainan haluan. Bagi saya pemuzik seperti mereka wajar di sokong.

Cokelat ditubuhkan Sekolah Tinggi Seni Rupa dan Desain, Bandung pada 1996 diatas kegilaan pada karya-karya Alanis Morissette dan The Cranberries. Jika merujuk kepada album “Segitiga” ini anda pasti dapat menghidu sedikit sebanyak elemen gothic metal di dalam perisanya. Itu yang membuatkan saya menyukainya. Berbanding album “Rasa Baru”, album ini lebih melankolik dan depressif. Dan disaat merakamkan album ini COKELAT telah berada dalam posisi begitu professional sebagai pemuzik dan status  besar dalam genre alternatif rock. 


Dimulakan dengan lagu “Nafsu” seterusnya “Segitiga” adalah pembukaan mood yang baik dengan alunan agak keras menjurus hard rock. Saya suka ketukan dram dari Ervin Syam Ilyas yang benar-benar bertenaga dan penuh tona. Cubalah dengar jika tidak percaya, dia yang begitu dipengaruhi oleh permainan Dave Grohl namun permainan Ervin lebih teknikal dan banyak mengunakan penyudahan crash cymbal dalam rentaknya seperti kumpulan metal. Manakala Kikan mempunyai suara lunak yang dipadankan bersama solo-solo bermelodi dan riff-riff bervariasi dari Edwin serta Ernest menjadikan pakej COKELAT kedengaran sempurna dan serasi untuk semua orang. Sepertimana makanan cokelat itu sendiri. Arus akustik yang mengalir dalam lagu “Penantian” pula begitu mengingatkan saya kepada “Ode to My Family” dari THE CRANBERRIES. Manakala lagu penutup “Kuasa Nya” dikembalikan kepada distorsi penuh menjurus melodik rock dengan lirik yang tetap pada tema kesedihan. Lirik COKELAT boleh difahami kerana mengunakan bahasa Melayu nusantara.

Album ini dipenuhi ilustrasi segitiga-segitiga seperti karya-karya kumpulan yang bernaung dibawah sifu M. Nasir yang cenderung pada Freemason. Tetapi segitiga COKELAT adalah merujuk kepada percintaan tiga segi yang merupakan dari pengalaman persona-persona COKELAT. Cubalah cari album ini jika masih ada dipasaran Malaysia. Saya membelinya semasa bercuti di Jakarta tempoh hari dengan harga RM11 sahaja.

No comments:

Post a Comment