Thursday, February 11, 2016

SUFFERCATION “In Sufferance” (NSR) –MALAYSIA


Mungkin setelah melihat ada label tempatan yang menerbitkan semula (re-issue) album kumpulan-kumpulan perintis metal lasak tempatan dan MAMPU dijual. NSR kelihatan begitu galak akhir-akhir ini menerbitkan semula berbagai-bagai album rock kangkang dan death metal yang pernah menguasai persada muzik berat suatu ketika dahulu. Menurut cetakan kulit, album-album yang diterbitkan VSP (syarikat rakaman yang telah lama berkubur) diberi hak terbitan semula oleh Kamarool sebagai wakil dari VSP. 

Baiklah saya ingin ceritakan sedikit nostalgia mengenai album ini, ketika iu saya masih ditingkatan 4, dan berjaya juga merekrut beberapa rakan untuk jadi laskar metal. Disebabkan duit saku yang sedikit, manakala Cak’in pula baru berjinak-jinak dengan death metal dan mahu tumpu pada scene tempatan dahulu, saya bodek dia untuk beli album ini pada hari ia dikeluarkan. Saya tahu Cak’in bukanlah seorang yang begitu lasak, saya pun pergunakan beliau untuk dapatkan album ini demi kepentingan diri. Album ini didatangkan dengan poster saiz A4, dengan kata-kata ‘The Only Surviving death metal band to still record” (kalau tidak silap saya), saya tampalkan di meja sekolah dengan bangga. Dan seperti yang diduga juga, Cak’in menghadiahkan kaset “In Sufferance” ini kepada saya kerana terlalu berat dan dia tidak mampu hadam. Hahahaha! Maka jadilah ia milik saya. Namun selang beberapa minggu, kaset ini dicuri pula daripada saya. Maklumlah kami semua pelajar sekolah ketika itu. Masing-masing takda duit hendak beli.

Kembali kepada cakera padat ini, saya dapat rasakan kualiti bunyinya berbeza sekali dari kaset yang kedengaran lebih berat dan tebal. SUFFERCATION saat ini boleh saya katakan dalam kekuatan maksima, permainan mereka lebih hebat dari album “Day of Darkness” dan “Cryptic Existence”. Walaupun begitu banyak pengaruh daripada SLAYER dapat dikesan, mereka masih berpaksikan death metal tradisional seperti ENTOMBED, GRAVE, dan DEICIDE. Rakaman di King Studio oleh Jig dan kerja adunan oleh Jacky dan Ly Razak dibuat dengan lebih teliti dalam album ini. Dan yang menariknya, semua lagu-lagunya sedap! Tetapi entah dimana silapnya yang membuatkan SUFFERCATION semakin kurang mendapat sambutan sehingga menjerumuskan mereka ke genre hard rock selepas penerbitan album ini. Maka dengan itu, “In Sufferance” adalah penamat karier death metal mereka.

SUFFERCATION dilaporkan kembali dengan imej dan konsep asal dan merakamkan single terbaru “ And Die You Shall” beberapa tahun lalu bagi membuktikan mereka masih mempunyai taring. Namun kembali menyepi. Saya membeli cakera padat ini sebagai kenangan. Suatu ketika dahulu kita mempunyai hero.

* kemaskini 2023 - iklan Suffercation kepingin gitaris perempuan dengan kriteria yang mereka dambakan telah mengundang kemarahan dan dihentam teruk oleh Anis Kalisa, seorang gitaris stoner rock tempatan. 

3 comments: