Sunday, May 15, 2022

BERMALAM DI SANTUARI IKAN AIR TAWAR TIMAH TASOH, PERLIS


Sekali lagi saya mulakan tulisan kembara dengan kata-kata Ridhwan Saidi ( kalau tak silap, entahlah) :

“ Kembara harus impromptu. Di luar kotak selesa, luar duga dan bersedia dengan tangan terbuka untuk cabaran-cabaran di hadapannya.”

Lebih kurang begitulah kata-kata yang sering berlegar di ruang fikiran tatkala keluar dengan niat untuk bersatu dengan alam. Alam juga benda hidup, seperti kita manusia, sifatnya tidak terduga dan untuk berdamai dengannya harus belajar untuk bertoleransi. ‘ Aku jaga kau, kau jaga aku’

Perkhemahan kali ni, bermula dengan peristiwa terjaga jam 2.30 pagi dan mata menolak untuk tidur lalu berlegar-legar di ruangan blog-blog travelog. Saya tertonton satu video mengenai perkhemahan di Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh dan bagi saya, weh best gila khemah pacak depan tasik, chill sambil tengok pemandangan indah lagi mempersona. Maka bermulalah angan-angan ingin ke sana.

Keesokkan harinya saya memberitahu niat untuk berkhemah di Tasik Timah Tasoh di dalam group camping kami. Ianya dirancang tiba-tiba dan keadaan tiba-tiba juga adalah satu langkah kurang bijak yang pastinya tidak dapat dipenuhi oleh semua orang. * gelak besar.

Jadi saya dengan penuh keyakinan menanam niat untuk perkhemahan solo untuk kali ini. Saya menyatakan niat tersebut kepada Jiji dan Umi. Hasilnya hanya dekah ketawa mereka berdua.

“ Nak kencing pun kena berteman. Macam mana?” Perli Jiji. Kata-katanya seolah mengangkat cermin ke muka saya. Keegoan saya tercabar kemudian balas,

“ see the leg lah” . Jiji ketawa.

“ Jom, aku teman hang” Kata Jiji. Seperti orang mengantuk disorong bantal ( kena tak dengan peribasa ni? Betul lah kot) saya pun balas, “ ha! Jom! Tak boleh cancel kena ikut macam mana keadaan sekali pun.” Jiji angguk dengan penuh keyakinan.

Saya pun terus mesej Nunu untuk menyatakan perkhemahan ke Tasoh hujung minggu ni on. Nunu balas, “ orite, see ya!”

Perkhemahan solo tak jadi, perkhemahan bertiga kali ini !

Maka berkhemahlah calit abjad membentuk tulisan-tulisan kembara sekali lagi !

Sebelum saya berbasa basi tentang perkhemahan kali ini, izinkan saya bercerita serba sedikit tentang Tasik Timah Tasoh. Menurut Google, Tasik timah Tasoh adalah takungan buatan manusia. Ia mendapat namanya dari dua sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Ianya juga menjadi tarikan pelancong yang sukakan sukan air. Disediakan juga perkhidmatan bot berbayar untuk membawa pelancong mengelilingi tasik, kayak, memancing dan banyak lagi.

Dengan bayaran RM 5 untuk sewaan tapak, fasiliti elektrik (plug dan lampu) kami mendirikan khemah betul-betul di hadapan tasik dengan pemandangan banjaran nakawan dan bukit cabang, sungguh cantik dan damai. Paling seronoknya, hanya kami bertiga sahaja di situ! Jiwa terasa bebas dan luas.


Disediakan juga sewaan untuk khemah. Jika ada yang teringin berkhemah tetapi tak ada khemah tak usah khuatir ianya disediakan. Cuma bagi pendapat saya, baik sediakan sendiri, kerana khemah yang disediakan sudah tak elok dan tak selesa. Sewa untuk khemah bersaiz kecil RM 30 dan khemah besar RM 50 untuk satu malam.

Niat saya untuk kali ini, ingin jauh dari telefon. Nak simpan ketat-ketat telefon dalam laci meja bilik tidur, tapi apakan daya segala momen-momen harus disejarahkan bak kata Jiji. Manusia kini sudah terperangkap di dalam jaringan web. Secara majoriti, teks binari cara komunikasi sesama sendiri. Mahu tak mahu harus diinstagramkan di dalam peti maya.

Untuk kali ini, tidak ada aktiviti khas untuk dilakukan seperti sebelum ini. Perkhemahan kali ini lebih kepada rileks, masak, makan, tidur sambil menikmati pemandangan, berkongsi cerita dan pandangan. Jika diikutkan seperti perancangan awal, saya dan Nunu ingin berkayak tetapi malangnya kami diberitahu kios tersebut sudah lama tidak beroperasi. Jadi, masak dan makan menjadi aktiviti utama kami sepanjang dua hari satu malam. * Gelak.


Selesai memasang khemah, kami mula memasak untuk makanan tengahari. Jiji masak ayam masak kicap, begerdil dan telur goreng. Sedikit tips untuk barang makanan. Lebih baik bawa makanan di dalam tin, ‘ready to cook’ . Jimat ruang, jimat kos , cepat dan mudah dimasak dan juga sedap! Kami bawa ayam masak kicap dan rendang ayam yang kami beli di Lotus dengan harga 4 ringgit lebih satu tin. Makanan di dalam tin juga mudah untuk disimpan. Biasanya apabila berkhemah pasti akan ada serangga dan hidupan lain. Jika makanan terbuka dan tidak disimpan secara elok akan menarik perhatian mereka.

Di situ juga terdapat kafe dan kedai makan, juga bilik air. Tetapi bilik air dan tempat mandi tidak diselenggara dengan elok. Busuk dan tak bersih. Satu hal pula Jiji terpaksa bersihkan lantai bilik air dengan sabun Lifeboy sebelum kencing. * Gelak. Dan lampu bilik air juga tidak berfungsi! Bila malam keadaan gelap dan terpaksa bawa lampu suluh jika ingin menunaikan hajat.

Bagi saya itu satu kerugian. Tempat yang cantik dan menarik haruslah dijaga dengan baik terutamanya bilik air.



Selepas makan tengahari, Jiji dan Nunu berkongsi lagu kegemaran mereka manakala saya menikmati pemandangan di atas hammock. Rasa seperti dibuai dengan angin sepoi-sepoi bahasa.

Saya teringat sebuah filem, Old Joy arahan Kelly Reichardt, tentang dua orang sahabat yang pergi berkhemah ketika hujung minggu.

Kata-kata Kurt kepada Mark,

“ Tak ada beza antara hutan dan bandar. Di bandar ada pokok-pokok dan sekarang di dalam hutan juga ada timbunan sampah. Apa perbezaan istimewa antara keduanya? Sama saja bagi aku.”

Mark meninggalkan pertanyaan itu dengan anggukan. Anggukan itu ada dua kemungkinan samada dia faham maksud Kurt atau dia malas nak layan.

Mungkin maksud Mark “ escape from the city” hanya metafora. Kita ingin keluar atau escape dari rutin berulang di ruangan yang sama. Orang yang tinggal di kampung atau di dalam hutan juga mungkin akan melarikan diri ke bandar seperti mana orang bandar melarikan diri ke hutan apabila saban hari melalui corak kehidupan yang sama dan melelahkan. Hutan, pulau, gunung adalah tempat pelarian sementara dari kota yang serba serabut, bising dan sibuk.


Warna senjakala yang cantik diarkibkan di dalam beberapa keping gambar. Walaupun matahari dilitupi awan, warna kuning kemerahan jelas di langit. Di sebelah malam saya hidupkan unggun api, dan kami sama-sama bercerita dan makan. Ya makan lagi.

Di hadapan unggun api. Nunu membaca sebuah catatan dari buku saya. Jiji membakar daging burger dan sosej. Kami makan dan berkongsi buah fikiran. Secara peribadi saya suka sesi berbual ketika perkhemahan. Terasa rapat dan selesa. Perbualan-perbualan berkualiti dan saling menghormati pandangan sesama sendiri.


Tak lama selepas itu Raimi dan suami Nunu sampai dengan bekalan ayam Kepci ! Kenyang kami malam itu.


Dalam keindahan pasti ada kekurangan. Kekurangannya adalah alunan karaoke dari cafe menganggu ketenteraman kami. Muzik yang kuat dan suara yang tak sedap mana membuatkan mood malam terganggu. Sedikit pesanan, jika anda nampak ada orang berkhemah di kawasan tapak perkhemahan, tolong hormati kami, kami bayar untuk sewaan tapak bukan untuk dengar anda menyanyi sepanjang malam tetapi untuk berehat. Tak salah nak karoke, tapi berpada-pada.

Keesokkan paginya, saya bangun dengan suasana pagi yang indah. Kabus-kabus kelihatan di permukaan air tasik. Sungguh mempersonakan. Keadaan malam yang tak begitu sejuk membuatkan tidur saya begitu lena dan nyenyak. Vise versa dengan Jiji yang katanya panas sampai basah baju dan seluar dengan peluh. * gelak kuat.

Ketika berkemas ingin pulang, kelihatan seorang lelaki berumur 50-an dengan folding bike dan barangan camping berehat di bawah pokok. Kami sempat berbasa basi dengannya. Katanya dia kayuh dari Shah Alam ke sini. Jauhnya! Saya teruja. Ketika dia sampai ke sini, sudah 8 hari dia berkayuh katanya. Selepas ini akan ke view point Wang Kelian dan akan berkhemah di sini selama dua hari katanya.

* Nunu beritahu rider yang kami baru kenal itu mesej beritahu yang dia tak tahan dengan muzik yang kuat lalu beredar dari situ. Sayanglah nanti yang datang ke situ hanya local yang singgah untuk bergambar sahaja.

Setakat ini sahaja perkhemah untuk kali ini. Dan sekali lagi saya menulis ini ;

Keindahan pupus setiap hari, selagi berkesempatan menikmati masa sihat, muda dan bujang, jangan pernah sia-siakan. Bak kata Riggan Thomson dalam filem Birdman, My health lasted longer than the money. So, go figure that out. Duit boleh dicari, masa yang mengalir tak akan berpatah balik. Jangan terlalu hanyut mengejar kemewahan dunia supaya di sisa waktu tuamu yang membosankan ada cerita-cerita menarik yang boleh diingat dan ditulis semula kelak.

Pengembara harus bijak merekonstruksi langkahnya; hidup sentiasa muda, cuma perjalannya harus dewasa.

Laporan oleh:

No comments:

Post a Comment