Organizer : #RAKAPBESI TEAM PERLIS
Participants : 6 PEOPLE
PENGAMATAN DAN PENGALAMAN DARI MATA HATI SAYA. ENJOY.
Setelah berbulan merancang aktiviti tersebut, maka Team Rakap Besi Perlis telah berjaya menganjurkan Langkawi Ride 3.0 pada tarikh tersebut. Saya sungguh bertuah kerana diberikan peluang untuk mengikuti trip ini. Setiap pengembaraan touring berbasikal pasti ada cabaran dan kenangan. Mari saya ceritakan apa yang berlaku selama 3 hari dan 2 malam tersebut bersama mereka.
3 Julai 2022
8.00 a.m
Seawal 7.00 a.m saya telah memulakan perjalanan saya dari George Town, Pulau Pinang menuju ke Kuala Perlis. Memandangkan saya seorang yang tidak boleh memandu laju, maka sebab itulah saya bergerak keluar sejak awal pagi lagi.
10.00 a.m
Saya sampai di Kuala Perlis pada pukul 10.00 a.m. Setelah parkir, saya keluarkan basikal dan berkayuh untuk bersarap di sebuah kedai. Sebelum itu, saya pusing-pusing di sekitar terminal feri yang pernah menutup operasinya hampir dua tahun. Ramai juga yang ingin ke Langkawi rupanya. Awek-awek muda juga kelihatan, tapi apakan daya..isteri sudah ada dan kuota sudah cukup. Kita sedar diri sendirilah. Samapi di kedai makan, saya memesan sepiring nasi lemak untuk mengisi perut. Harga makanan boleh tahan meLANGKAWI jugalah. Nasi lemak, ikan goreng, telur mata, kacang, timun dan sedikit sambal. Nak buat macam manakan? Terpaksa menelan realiti inflasi.
10.30 a.m
Tiba masanya untuk bergerak ke pintu masuk Terminal Feri AUTO. Segala urusan tiket telah dilangsaikan oleh Team Rakap Besi sejak awal lagi. Sungguh efisien mereka. Semuanya diuruskan melalui perbualan WhatsApp sahaja. Saya sudah menunggu, tapi tiada sesiapapun yang muncul lagi. Perasaan debar sudah datang. Kena scamkah? Petugas terminal sudah mula bertanya di mana yang lain kerana feri akan bergerak sebentar lagi. Oooomakooooo
10.45 a.m
Dari kejauhan nampak seorang jejaka seakan Keanu Reeves sedang mengayuh dengan laju menuju ke pintu masuk terminal Feri AUTO. Beliau juga diikuti oleh seorang wanita berbasikal MTB model TRINX. Betulkah siapa yang saya lihat ini? Saya menyapai beliau ketika tiba di tempat saya berdiri. Niat di hati ingin bertanya “Are you Keanu Reeves?” tapi saya hanya menyapa dengan nama yang saya kenal dalam kumpulan WhatsApp.
AKU: Ini saudara Raimykah?
KEANU REEVES: Bukan, saya Pitri Al-Fateh Zainon dan ini isteri saya Annur Sakinah.
AKU: (was-was sungguh aku)
Maklumlah Pelakon Hollywood Keanu Reaves ini sangat “low profile” dan akan muncul di mana sahaja tanpa bangga diri. Beliau dan isteri terus bergerak ke kaunter tiket feri AUTO untuk mengesahkan perjalanan. Saya menunggu sahaja di depan pintu masuk. Sebentar kemudian saudara #rammyazmi yang sebenar muncul dengan Fixie Bike beliau. Slim betul basikalnya. Kalau saiz XXXL macam saya naik atas basikal itu memang akan patah dua.
11.00 a.m
Kami berempat membuat keputusan untuk terus masuk ke dalam feri memandangkan 2 orang peserta iaitu saudara Aku Napie dan saudara Badril belum lagi sampai. Kesian melihat usaha saudara Raimy dan Pitri yang teru menerus cuba menghubungi mereka berdua. Feri memulakan perjalanan dan dua orang lagi peserta terpaksa hadir dengan feri seterusnya pada hari esok. Setelah parkir basikal dan menambatnya, kami naik ke atas ruang penumpang bagi sesi mengenal diri masing-masing. Maka bermula sesi bercerita untuk mengenali hati budi masing-masing.
1.30 p.m
Anggaran sekitar masa tersebut, kami turun semula ke bawah kerana feri hampir sampai. Sempat kami melihat kawanan ikan tamban yang berhamburan di tepian feri. Saudara Raimy sempat mengambil gambar aksi kawanan ikan tamban tersebut. Dermaga Tanjung Lembung sudah kelihatan dan bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan kami ke bumi Langkawi. Perasan betul aku seorang ini.
2.00 p.m
Feri AUTO sudah ditambat dan bermulalah “touring” 3 hari 2 malam kami di bumi Langkawi ini. Setiap pengembaraan ada pasti ada cabaranya bukan? Cabaran pertama aku bermula apabila getah penambat beg galas sya tercabut dan beg saya hampir jatuh. Saya terpaksa memegang handle basikal sebelah tangan dan sebelah tangan lagi memegang beg. Nampak kekok dan cacat saya waktu itu ketika berkayuh keluar dari feri. Mujur saudari Sakinah turun dari basikal dan membantu menambat kembali beg saya. Terima kasih saudari Sakinah. Nampak macam pro juga saudari Sakinah ini.
2.10 p.m
Kami memulakan perjalanan memgikut arah Jalan Bukit Malut atau lebih dikenali sebagai Bukit Rohingya. Berbukit juga laluan ini, ketika hendak menaiki bukit kedua, rantai basikal saya jatuh ketika hendak menukar gear. Mujur sekali lagi kerana saudara Pitri yang berada di belaknag saya turun dan membantu untuk memasang kembali rantai pada kedudukannya. Terima kasih saudara Pitri. Kayuhan diteruskan kembali dan cabaran untuk saudara Raimy pula bermula.
3.00 p.m
Saya melihat saudara Raimy sedang menolak basikal. Ketika dihampiri saya, beliau menyuruh kami untuk bergerak terus dahulu. Beliau akan ke kedai basikal terlebih dahulu. Saya bergegas kayuh ke hadapan untuk memaklumkan kepada saudara Pitri dan Sakinah. Kami menunggu sehingga saudara Raimy sampai, akan tetapi saudara Raimy menyuruh kami meneruskan perjalanan kami.
3.10 p.m
Sampai di persimpangan Jalan Padang Matsirat dan Jalan Padang Gaong, kami membuat keputusan untuk belok ke kiri dan memasuki Jalang Padang Gaong walaupun ada peniaga di tepi jalan yang memberitahu bahawa jalan tersebut memang berbukit dan sukar untuk basikal melaluinya. Namun, keputusan saudara Pitri yang sama macam Keanu Reeves dalam filem Matrix Reloaded telah berjaya meracuni kami senua untuk terus menggunakan jalan tersebut. Nak buat macam mana? Ikut Chief de Mission sajalah.
3.30 p.m
Hujan telah mula turun dengan lebatnya. Kami basah lencun tapi masih meneruskan kayuhan. Cabaran ketiga saya bermula. Terdapat 3 bukit mencanak yang perlu dinaiki sebelum sampai ke persimpangan Jalan padang Gaong dan Jalan Ulu Melaka. Ada bukit yang terpaksa saya tolak basikal. Bayangkan ketika menuruni bukit-bukit ini kelajuan basikal boleh mencapai 48 km/j. Saya terpaksa mengimbangi berat muatan, berat badan dan kawalan brek supaya tidak terbabas. Hanya saudari Sakinah kelihatan di hadapan manakala saudara Pitri telahpun sampai di persimpangan tersebut. Pecah peluh juga bukit-bukit ini.
4.30 pm
Kami sampai di persimpangan tersebut dan berehat sebentar. Hujan masih tidak menunjukkan tanda-tanda reda. Sambil berehat saudara Pitri cuba menghubungi saudara Raimy. Nampaknya saudara Raimy kena cabaran kedua. Tiub basikalnya bocor sekali lagi dan terpaksa berpatah balik ke kedai. Risau juga saya. Jalan seterusnya ialah Jalan Ulu Melaka. Namapun ada perkataan ulukan? Mestilah ada bukit sedikit, kayuh jugalah kami sampai ke persimpangan Pasar Malam Ayer Hangat. “Roundabout” sebenarnya. Bergerak mengikut arah pukul 12, kami terus sampai ke Dataran Tanjung Rhu.
4.55 p.m
Dataran Tanjung Rhu sudah kelihatan, maka kami mengambil keputusan untuk bergambar, minum dan ke tandas untuk melepaskan hajat. Baru rasa lega. Hujan masih tidak berhenti tetapi agak renyai. Kami bertiga terus berkayuh ke Pantai Tanjung Rhu yang sekitar 4 kilometer dari Dataran Tanjung Rhu atas arahan saudara Raimy yang masih berkayuh setelah membaiki tiub beliau.
5.20 p.m
Pantai Tanjong Rhu sudah berada di hadapan mata. Sungguh cantik dan bersih. Patutlah pelancong asing suka Pantai Tanjung Rhu berbanding pelancong tempatan tempatan yang lebih suka Pantai Cenang kerana lebih “happening” agaknya. Kami berehat dan bergambar walaupun sudah basah lencun. Kami masih menunggu saudara Raimy kerana beliau berkeras untuk berkhemah di pantai tersebut.
7.00 p.m
Sekitar masa tersebut, saudara Raimy sampai dengan senyuman yang menampakkan semua giginya. Memang “macho” beliau. Setelah makan di gerai berhampiran. Walaupun nasi goreng, boleh tahan sedapnya. Mungkin kerana lapar dan kesejukkan. Walaupun telah disakat oleh saya dengan mengatakan bahawa nyirorro kidul akan datang bermain buain di sebelah khemah, saudara Raimy membuat keputusan untuk bermalam di pantai, manakala kami bertiga berkayuh kembali ke Tanjung Puteri Motel dalam keadaan kegelapan malam. Bilik motel amat selesa bagi saya sebagai seorang yang suka “bertouring.” Ada penyaman udara, kipas angin, pemanas air, tuala dan sebangainya. Nikmat mana yang kamu dustakan sebenarnyakan?
7.45 p.m
Susah juga mencari motel ini. Sesat juga berkali-kali, sehinggalah ada seorang kakak yang sanggup mengiringi kami sampailah ke pintu masuk motel. Usai mendaftar masuk, kami bergegas ke bilik masing-masing. Saya terus membersihkan diri, mencuci dan mengeringkan peralatan dan pakaian saya. Sempat juga minum kopi yang disediakan oleh pihak hotel. Mata saya sudah kuyu dah sukar untuk dicelik. Jadi, apa lagi? Tidurlah jawabnya.
9.30 p.m
Secara separuh sedar saya perasan ada mesej WhatsApp dari saudara Raimy yang masuk ke telefon. Semuanya berkisar aktiviti malam beliau di pantai. Nampak seronok ,tapi apakan daya….Kau berkhemah, aku bermotel. Tunggu esok pagilah jawabnya.
4 Julai 2022
6.30 a.m
Aku tersedar pada pukul 6.30 pagi namun terasa malas untuk bangun dari tilam hotel yang empuk. Maklumlah, seharian berbasikal dalam keadaan basah lencun. Aku memeriksa mesej WhatsApp yang masuk dari saudara Raimy, banyak juga foto dan aktiviti malamnya. Hebat engkau “bro.” Selepas, itu isteri call telefon untuk bertanya khabar. Saya mengatakan bahawa semuanya baik sahaja termasuk orang yang saya hanya kenali untuk semalam.
8.00 a.m
Saudara Pitri a.k.a Keanu Reeves Malaysia mengetuk pintu bilik saya dan menyatakan hasrat beliau dan isterinya Sakinah akan pergi ke tempat saudara Raimy semalam. Aku tidak dapat mengikuti mereka kerana masih tidak dapat menjumpai ubat yang sepatutnya saya bawa. Maka kami bertiga berkayuh dahulu mencari sarapan di jalan utama. Aku membeli dua bungkus nasi lemak beserta ayam goreng untuk “carbo-loading” bagi tengah hari nanti. Kami bersetuju untuk berjumpa pukul 11.30 a.m bagi meneruskan baki perjalanan ke Pantai Cenang. Sementara itu aku bermalas-malasan atas katil sambil cuba menghadamkan makanan tadi. Kira jadi ualr sawa sebentarlah. Kopi ada lagi, jadi “enjoy the stay” dulu.
11.30 a.m
Saya mula “check-out” dari motel, akan tetapi ribut datang dari arah laut dan memang hujan lebat. Cabaran lagi nampaknya. Pengusaha motel berbesar hati menyuruh saya berehat dulu sebelum sementara menanti rebut reda. Tapi apakan daya, janji tetap janji untuk bertemu kembali dengan Pitri, Sakinah dan Raimy untuk memnerukan perjalanan. Aku bertanya di gerai aku membeli sarapan tadi ada nampakkah pasangan suami isteri yang berkayuh melepasi jalan ini. Mungkin kerana keliru, dia menjawab ya. Aku terus gelabah dan terus berkayuh laju dalam hujan menuju ke jalan utama. Punyalah laju saya kayuh sampai semula ke persimpangan Ulu Melaka semalam. Curiga sebentar saya terus hantar mesej WhatsApp dan saudari Pitri a.k.a Keanu Reeves menjawab mengatakan saya sudah tersasar jauh. Alamak!!!!!Aisehman!!!!! Kayuh patah baliklah jawabnya. Hujan lebat dan basah lencun pula. Cabaran lagi.
12.30 p.m
Saya bertemeu kembali dengan saudara Pitri, Raimy dan Sakinah di bulatan Ulu Melaka dan saudara Raimy memberi arahan untuk terus berkayuh di Jalan Teluk Yu dan berhenti makan di Warong Nasi Campur Jeti. Lebat jugalah hujan waktu ini. Kedengaran berita bahawa saudara Badril Dikenson dan Napies telah mendarat di Dermaga Tanjong Lembung dan sedang mengayuh menuju ke laluan kami. Maka, keputusan dibuat oleh saudara Pitri untuk menunggu mereka berdua di kedai makan tersebut.
1.30 p.m
Kami sampai di kedai makan tersebut dalam keadaan basah lencun. Setelah duduk dan memesan minuman, kami mengambil nasi campur sebagai hidangan tengah hari kami. Sedap jugalah dan harganya berpatutan. Sambil makan dan bercerita mengenai kehidupan kami, kami menunggu ketibaan mereka berdua.
4.00 p.m
Kedengaran pula berita bahawa saudara Badril dan Napie telah tersesat dan mengambil keputusan untuk berehat makan dan solat. Maka keputusan kami pula ialah untuk meneruskan perjalanan sehingga Telaga Marina Harbour. Hujan masih tidak berhenti , walaupun ada sedikit cahaya matahari. Jalan yang bermula dari Masjid Kampung Koka gak berbukit juga tapi masih boleh digagahi kami berempat.
5.00 p.m
Sekitar jam tersebut, kami sampai di Telaga Marina Harbour dan memulakan sesi bergambar dan beOOTD. Selepas itu, saya ke tandas manakala mereka bertiga menunaikan solat. Agak using juga tempat ini sekarang. Kalau tidak ada stesen Petronas di situ, mungkin tempat ini akan menjadi tempat gajah putih.
5.30 p.m
Kami memulakan kembali perjalanan. Saudari Sakinah menceritakan bahawa ada tiga bukit yang perlu dinaiki selepas ini sebelum sampai ke Pantai Cenang. Memang betul kata beliau, ada satu bukit yang saya terpaksa menolak basikal. Saya gagahi juga dan berjaya melepasi bukit-bukit tersebut. Seteleh menuruni bukit terakhir, saya sampai ke Jambatan Ulu Melaka.
6.15 p.m
Agak seronok juga mendaki Jambatan Ulu Melaka dengan basikal. Saya hanya sempat bergambar sekejap. Tiba-tiba pasangan Keanu Reeves memintas saya dari belakang. Apalagi, saya pun mengejar mereka dan saudara Pitri memberitahu bahawa saudara Raimy sedang menunggu saudara Badril manakala saudara Napie telah tersesat. Hebat betul dugaan untuk saudara Napie untuk hari pertama. Kami meneruskan kayuhan sehingga Lapangan Terbang Langkawi, namun kami terlepas peluang untuk bergambar ketika kapal terbang berlepas dari lapangan.
6.30 p.m
Kayuhan kami bertiga diteruskan melalui Jalan Kuala Muda sehingga ke Jalan Pantai Cenang. Ada saya ternampak Laksa Ikan Sekoq yang sangat masyur di Langkawi, akan tetapi memandangkan tiada respon menarik saya meneruskan kayuhan ke Pantai Cenang.
7.30 p.m
Kami bertiga sampai di Pantai Cenang dan terus berusaha mencari lokasi motel yang ditempat oleh saudara Raimy. Aku menjumpai motel untuk aku iatu Villa Thai yang terletak sekitar 1.5 kilometer dari Jalan Pantai Cenang. Samapi di motel, aku terus “check-in” dan berkayuh kembali ke Jalan Pantai Cenang untuk membeli makanan dan minuman dan membawanya Kembali ke bilik motel. Saya terus membersihkan diri, membasuh pakaian dan mengeringkan pakaian yang basah dalam beg. Selepas itu, aku makan dan berehat di atas katil.
8.30 p.m
Sekitar pukul 8.30 p.m, aku mendapat mesej bahawa saudara Raimy dan saudara Badril telah melakukan Operasi Rescue 999 terhadap saudara Napie yang tersadai di Telaga Marina Harbour. Syabas untuk mereka berdua. Inilah dinamakan kawan sejati. Manakala, aku sudah mamai keletihan. Mereka yang lain masih bertenaga untuk aktiviti malam. Aku tidak pasti apa aktiviti tersebut. Selamat malam Villa Thai.
5 Julai 2022
8.00 a.m
Saya tersedar dari tidur kerana dikejutkan oleh alarm clock telefon. Saya hendak bangun, akan tetapi saya masih malas. Isteri saya juga menelefon bertanya khabar sebelum beliau pergi kerja. Saya bangun dan membersihkan diri serta melipat kembali pakaian yang telah kering serta menyusun kembali barang touring ke dalam beg. Mesej WhatsApp mula masuk tentang aktiviti pagi oleh peserta touring yang lain. Mereka telah berkayuh ke kawasan baru dan juga telah bersarapan. Alamak…melepaslah peluang aku untuk berkayuh pagi. Apakan daya? Pisang tidak berbuah dua kali.
11.00 a.m
Setelah “check-out” dari Villa Thai. Saya berkayuh ke Kasbah Motel tempat saudara Raimy menginap Bersama saudara Badril. Saya, sempat berkenalan dengan saudara Badril dan Napie di sana. Mereka ingin ke Smiling Buffalo Café untuk menikmati kopi yang lazat. Akan tetapi, memandangkan aku masih belum makan, maka aku berkayuh ke Dataran Cenang untuk makan di kedai mamak berhampiran. Kami berjanji untuk bertemu di The Zon Duty Free yang terletak di Jalan pantai Cenang. Agak sedap juga makanan di kedai mamak tersebut yang aku lupa namanya. Setelah makan, aku membeli sedikit coklat untuk keluarga dan aku mengambil kesempatan untuk bergambar di dataran Cenang.
12.15 p.m
Kumpulan Rakap Besi sampai ke The Zon Duty Free dan mengambil kesempatan untuk bergambar serta membeli-belah di pusat tersebut. Aku hanya duduk di luar menanti mereka.
12.45 p.m
Saudara Raimy mengingatkan semua peserta bahawa masa untuk menaiki feri AUTO adalah pukul dua dan kami masih mempunyai baki 10 kilometer yang mempunyai tiga bukit yang tinggi. Maka semua akan melakukan pecutan terakhir menuju ke Dermaga Tanjung Lembung. Saudara Raimy, Pitri, Sakinah dan Badril sudah pun ke depan dan tidak nampak lagi. Manakala saudara Napies yang berada di belakang saya juga tidak kelihatan. Ada bukit yang sya terpaksa tolak basikal saya iaitu bukit yang ada pejabat TLDM.
1.35 p.m
Akhirnya, saya berjaya melepasi bukit-bukit tersebut dan sampai ke dermaga. Kami agak risau kerana saudara Napies tidak kelihatan lagi dan masa untuk masuk ke dalam feri sudah sampai. Kami dengan berat hati mengayuh basikal ke dalam feri. Kami menarik nafas lega, kerana Napies Berjaya sampai ke feri setelah ditunda oleh seorang penunggang motor dari Langkawi. Amat gembira kami ketika itu. Terima kasih kepada insan yang membantu Napies.
2.00 p.m
Kami parkir basikal dan naik ke ruang penumpang untuk berehat. Sambil berehat kami menceritakan Kembali pengalaman yang dilalui di Langkawi Ride 3.0. Saya tertidur sebentar.
4.30 p.m
Feri AUTO sampai ke Kuala Perlis dan kami berkayuh ke Masjid Terapung Kuala Perlis untuk sesi bergambar terakhir. Setelah mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal, kami kembali ke rumah dan reality dunia masing-masing.
Terima kasih yang banyak kepada semua Team Rakap Besi perlis yang menyantuni saya disepanjang trip ini. Terima kasih beribu-ribu lemon jugalah kepada anda semua. Kini saya ada cerita untuk anak cucu saya.
I love you all.
Sekian,
No comments:
Post a Comment