Friday, October 4, 2024

RIDE IN LANGKAWI 4.0

Ketika saya menulis rangkap pertama laporan ini saya telah mencapai umur 40-an, sama seperti umur Rammy saat dia menganjurkan Ride In Langkawi 2.0 dahulu. Itulah saatnya saya dan isteri pertama kali mengikuti kembara berbasikal Rakap Besi dengan hanya berbekalkan basikal lama yang diperbaiki dalam keadaan serba kekurangan. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi nikmat kesihatan serta kesempatan untuk mencapai umur yang dianggap penting kerana sering dibahaskan oleh para alim ulama ini dan pastinya kerana dapat sekali lagi menyertai kembara yang boleh dikatakan acara tahunan Rakap Besi iaitu Ride In Langkawi edisi 4.0.

Seperti biasa, saya dan isteri bertolak pada malam sebelum kembara kayuhan bermula untuk menumpang tidur di rumah Rammy. Kami tiba agak lewat iaitu sekitar jam 11.05 malam kerana ada beberapa urusan yang perlu disediakan seperti menghantar anak-anak ke rumah mentua saya, menyiapkan pakaian sewaktu bercuti dan pakaian sekolah mereka. Walaupun agak lewat, kami disambut mesra oleh Rammy dan isterinya serta si cilik Raela – anak Rammy – yang terkedek-kedek muncul dengan gaya big bosnya. Dia tampak seronok melihat ada tetamu berkunjung. Mungkin ada alasan kukuh untuk dia tidur lewat lagi malam ini. Keseronokannya adalah kesengsaraan ibu bapa. Itu yang dapat saya simpulkan apabila beberapa hari atau minggu sebelum itu Rammy katanya dismackdown oleh Raela sewaktu tidur.

Sambil melayani keletah Raela, kami dijamu shawarma daging oleh Rammy. Bab meraikan tetamu, Rammy memang terkehadapan. Pernah dahulu saya mengatakan biliknya panas. Selepas itu terus diberinya saya tidur di dalam studionya yang mempunyai pendingin hawa yang sejuknya di bawah paras beku. Gila, gila.

 Sehingga jam mencecah 1.00 pagi, dengan mata yang semakin berat, saya mengambil keputusan untuk masuk tidur. Manakala Rammy masih lagi packing barang sambil sayup-sayup lagu Ken Li – lagu kegemarannya kedengaran.

 

27 September 2024 (Jumaat)

Kayuhan Ride In Langkawi 4.0 kali ini disertai oleh Rammy, saya dan isteri (Sakinah), Badril, Nunu dan Saravanan. Sayang sekali sahabat kayuhan merangkap abang besar kami iaitu saudara Zoraimi dari Johor tak dapat ikut serta atas faktor kesihatan keluarganya. Kami mengenalinya sewaktu kayuhan ke Hatyai beberapa tahun lepas. Dia seorang yang cool dan tidak banyak kerenah. Apa yang boleh saya katakan, keluarga Rakap Besi ini – walaupun berlainan latar belakang – semuanya rilek-rilek belaka. Jika anda rilek, kami rilek, maka besar kemungkinan kita akan menjadi satu geng.

Begitu juga Napie yang terpaksa tarik diri kerana ada beberapa job yang perlu dia sudahkan. Napie seperti yang semua sedia maklum, merupakan seorang kartunis – yang masih mempunyai stroke lukisan Melayu – berbakat dan rajin. Apabila rajin, anda faham-faham sendirilah pendapatannya bagaimana. Apabila pendapatannya baik, pastilah dia hensem. Apabila dia hensem, takkanlah dia tak hulur sikit pada orang yang sakan memujinya. Contoh.

  Cumanya untuk kayuhan pagi ini, Saravanan tidak dapat turut serta kerana pada minit-minit terakhir dia perlu menghadiri majlis anugerah cemerlang anaknya di Pulau Pinang. Jadi dia hanya akan dapat menyertai kami pada waktu malam – selepas selesai majlis anugerah dan selepas menaiki feri pada trip berikutnya.



Rammy membawa saya dan isteri meredah di celahan Kampung Warna-Warni, seterusnya ke jambatan untuk ke jeti Kuala Perlis. Di situ kami berjumpa dengan beberapa peserta untuk acara Le Tour de Langkawi yang katanya untuk edisi domestik. Saya tidak begitu tahu sangat tentangnya, tetapi sefaham saya pada esok hari iaitu Sabtu akan dijalankan acara domestik terlebih dahulu. Pada hari Ahad barulah acara sebenar peserta dari luar negara akan beraksi. Tidak lama menunggu, Badril dan Nunu muncul. Setelah semua bersedia, kami melangkah masuk ke dalam feri (Langkawi Auto). Perjalanan akan bermula pada jam 8.30 pagi dan kami dijangka akan tiba di Dermaga Tanjung Lembung pada jam 2.30 petang.

*********

Tiba di Dermaga Tanjung Lembung, cuaca cerah dan menjanjikan. Tidak seperti minggu-minggu lepas, yang mana cuacanya hujan, lebat berturut-turut. Bakan di beberapa buah kawasan di utara tanah air, rebut melanda dengan ganasnya. Alhamdulillah hari ini dapat kami memulakan kayuhan dengan lapang dada, dengan doa dan harapan. Di kawasan ini saya sebenarnya masih lagi blur dengan laluannya. Saya hanya menurut Badril dan Rammy sehinggalah Rammy kemudiannya ghaib di belakang. Kami menunggunya sebentar. Setelah agak lama tidak kelihatan, barulah Badril terperasan, mungkin Rammy akan mengikut laluan yang satu lagi dan kami perlu melalui laluan lain. Saya menggunakan istilah laluan satu lagi dan laluan lain kerana seperti yang saya katakan tadi – bahawa saya blur.

Makanya buat pertama kali, kami berpecah dengan Rammy dalam kembara kali ini. Hal ini biasa tuan-tuan, kerana sedangkan dalam aliran agama juga berlaku perpecahan, inikan pula dalam scene kayuh-kayuh. Tiada benda yang mustahil.

Namun mengikut perancangan, kami akan bertemu semula di Telaga Marina Harbour malam nanti kerana Rammy akan berkhemah di situ bersama Saravanan. Saya dan isteri, Nunu dan Badril pula akan menginap di rumah inap berhampiran mereka.

Bab Telaga Marina Harbour inipun saya masih agak blur. Ada orang memanggilnya dengan nama Petronas Quay. Ada yang memanggilnya dengan nama Quay Perdana. Entah saya yang silap dengar atau apa. Ada-ada saja. Yang pasti kawasan ini saya lihat saban tahun agak sepi seakan tiada sambutan dan seperti tiada penyelenggaraan. Mungkin saya salah. Atau mungkin sebaliknya.

Kembali dalam bab berpecah, kami berempat meneruskan perjalanan, masuk ke dalam pekan, melalui kawasan atau tapak pelupusan sampah yang mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak. Ya, zaman kanak-kanak dahulu rumah saya dekat betul dengan tapak pelupusan sampah. Tapak pelupusan di rumah saya dahulu tidaklah hanyir asalnya. Kami masih boleh menyelam mencari barangan lama, komik, basikal, bolasepak dan sebagainya dengan aman. Sehinggalah ke tahun 2000 ke atas, tapak tersebut, mungkin dengan kapasiti sampah manusia hari ini yang mencampurkan pelbagai jenis sampah, basah dan kering, telah membuatkan aroma hanyir menyelubungi tapak tersebut dan cairan kehitam-hitaman mengalir keluar merintangi jalan. Begitu juga yang terjadi di tapak pelupusan ini; berbau hanyir pekat dan menyesakkan untuk kami mendaki bukit berhampiran. 

Melepasi kawasan tersebut, kami melalui beberapa kawasan seperti estet dan beberapa buah kuil mulai kelihatan. Kami meneruskan lagi perjalanan sehinggalah ke Pantai Pasir Hitam dan Taman Awam Teluk Yu untuk bergambar. Kami singgah di Kampung Kilim untuk makan tengah hari di Restoran Kasih Anak Mama. Makanan di situ agak murah tetapi berbaloi dengan rasanya. Sajian saya dan isteri termasuk air hanya berharga RM15. Jumlah yang agak berpatutan bagi sebuah daerah pelancongan. Makcik atau pemilik restoran itu pun wajahnya juruih elok kata orang utara. Nampak benar dari wajah yang tidak mencuka, mereka sangat menghargai kedatangan kami ke kedai mereka. Bab muka manis ini pun satu hal tuan-tuan. Ramai peniaga gagal menarik pelanggan datang disebabkan asyik buat muka ketat. Manis la sikit. Saya terus-terang cakap, kalau makanan tak berapa sedap takpa lagi. Kalau muka pekedai macam singa lapar tanya sikit pun jawab macam kita nak berhutang ni, memang last la saya masuk. Kalau saya gagah masuk lagi, ditakuti darah pahlawan dalam diri mendidih pula nanti. Itu saya kena bagitau awal-awal.

  Kami menunggu dan berehat di restoran tersebut sehinggalah selesai jemaah dalam qariah berkenaan bersolat Jumaat. Kayuhan diteruskan lagi sehinggalah kami berjumpa pula sebuah warung tepi jalan yang menyajikan makanan goreng-goreng, air kelapa, ais kacang dan sebagainya. Kata Nunu dan Badril rumah inap (Padimas Vila) yang bakal kami diami sudah tidak jauh dan sebelum check in mereka akan membawa kami melawat sebuah rumah kucing terlebih dahulu. Saya mengangguk setuju sahaja sambil menghirup ais kacang.

Seperti yang dikatakan oleh Nunu, jarak untuk ke Padimas Villa dari warung tersebut memang dekat. Dia mengajak kami singgah ke sebuah rumah yang dikatakan rumah kucing tadi. Di situ barulah kami tahu bahawa itu adalah rumah adiknya. Memang banyak kucing di situ dan sihat-sihat belaka. Adiknya (yang saya lupa bertanya namanya) menjamu pula kami dengan buah-buahan potong, kacang dan bijirin serta bihun sup. Namun saya hanya mampu makan sedikit sahaja kerana baru sebentar tadi membaham makanan di warung. Kalau tahu dekat begini pasti saya akan berpuasa sekejap sebelum sampai.

Adik Nunu berkahwin dengan seorang lelaki bukan warga tempatan dan mereka sudah menetap di Langkawi selama 2 tahun. Kehidupan mereka simple dan steady. Kerana sudah letih dengan kehidupan di Kuala Lumpur sejak dari zaman belajar (UIA) dan bekerja, mereka akhirnya memilih membeli rumah dan menetap di situ sehingga kini. Itu yang saya difahamkan.

Selesai berbual dan berkenalan lebih kurang, kami meminta diri untuk check in di Padimas Villa. Alhamdulillah setakat ini, perjalanan program lancar dengan stamina yang di peringkat terkawal, ditambah pula dengan keadaan cuaca yang begitu baik.

Aktiviti malam, adik Nunu dan suaminya berbesar hati meminjamkan kereta mereka untuk kami gunakan buat menziarahi Rammy dan Saravanan yang berkhemah di Telaga Marina Harbour Park berhampian Rumah Api Perdana Quay. Ah, keliru saya. Kami bertolak ke sana selepas Isya’. Walaupun agak sukar untuk menemui tapak perkhemahan mereka kami gagahi juga sehingga bertemu. Kelihatan Saravanan juga telah lama tiba. Ferinya tiba agak lewat. Untungnya dia dihantar dari Tanjung Lembung ke sini dengan kereta oleh kenalan kayuhannya yang belum sempat kami temui. Apa-apapun, syukur semuanya telah selamat tiba.

Ramai juga penggila pancing yang berkampung di sini. Setakat yang saya lihat ada beberapa orang sudah mulai hadir membawa pancing masing-masing. Ada juga yang membawa khemah. Mungkin untuk berehat-rehat sementara menunggu umpan mengena. Kami berbual dan merencana jadual esok hari sambil bergambar di sekitar rumah api dan membuat unggun api buat menghangatkan suasana. Tidak lama kemudian, kami berempat bergerak pulang ke rumah inap meninggalkan Rammy dan Saravanan yang meneruskan pertapaan malam pertama mereka. Dalam perjalanan pulang, kelihatan hujan mulai merenik turun dan kami singgah pula ke sebuah restoran western di Kubang Badak buat melayani tekak malam. Hujan makin melebat, dan kami sambil menyuap makanan teringat bagaimana Rammy dan Saravanan menghadapi malam ini? Saya membayangkan suasana mereka seperti dibadai rebut di tengah lautan dan Rammy sebagai kapten kapal manakala Saravanan sebagai Jack dalam filem Titanic.

 

28 September 2024 (Sabtu)

Saya tidak berapa pasti sejak bila Rammy beralih menyalurkan maklumat daripada aplikasi whatsapp ke aplikasi Telegram. Mungkin sebelum edisi Ride To Satun pada tahun lepas (2023). Namun, entah mengapa saya tidak begitu gemar menggunakan aplikasi Telegram. Saya sekadar menggunakannya untuk membelek-belek gambar yang dihantar oleh rakan-rakan dan bukannya untuk perbualan yang terus-menerus. Keengganan atau tidak berapa sukanya saya pada aplikasi ini boleh diibaratkan seperti tidak gemarnya saya dipanggil Hans Isaac, Kurt Cobain dan Rodney Mullen di zaman persekolahan dahulu oleh rakan-rakan walaupun mereka benar-benar ikhlas dan ghairah sekali. Bahkan setelah mencapai umur tua begini pun jika berjumpa rakan-rakan lama, mereka tetap memanggil saya dengan gelaran-gelaran hensem tersebut.

Pun begitu – berkaitan Telegram - saya tetap harus berasimilasi biarpun segala maklumat, saya serahkan saja kepada isteri untuk menyampaikan kepada saya.

Pada hari ini kami memulakan kembara pagi dengan mengayuh dari Padimas Villa ke Petronas Harbour Park Marina untuk bersatu dengan Rammy dan juga Saravanan yang berkhemah berhampiran Rumah Api Perdana Quay semalam. Saya pasti mereka berdua pasti sudah cemus menunggu kami di situ. Sudahlah semalaman tidur di celah lalang dan berbantalkan pasir pantai. Makan pula sekadar jajan-jajaniyyah. Kalau di Indonesia, pasti awal-awal lagi mereka sudah diangkat menjadi wali ghufron al comolot. Mengingatkan hal tersebut saya secara tidak sengaja berdekah ketawa.

Berbalik kepada tujuan asal, saya dan isteri sebelum itu bergambar di replika Nanas Langkawi yang dikatakan sebagai replika nanas pertama di Pulau Langkawi. Ia dibangunkan pada tahun 2023 di Kampung Kok berhampiran tapak penanaman nanas seluas 21 hektar. Setakat maklumat yang saya dapat, nanas yang ditanam di sini adalah dari jenis Moris, MD2 dan lain-lain. Penggunaan ‘lain-lain’ tu biasa kita sebut apabila kita dah tak tahu nak goreng apa dah. Kita harap orang paham sajalah. Dia macam kita nak terang jenis-jenis durian jugalah. Dulu ada durian kampung, atau durian kahwin. Begitu sajalah. Tapi sekarang macam-macam. Ada yang jenis gred macam gred kerajaan. Ada yang jenis nama binatang. Kita tak mau kata apalah, kita habar saja. Huhuhu. Alamak tak sengaja bertarikat pula.

Kami tiba di Petronas Harbour Park sekitar jam 10.12 pagi. Kelihatan Saravanan sudah melambai dari kejauhan. Wajahnya ceria. Rammy masih di dalam surau kata Saravanan. Entah zikir apa yang diamalkan oleh beliau selama tempoh menunggu saya tidak tahu, tetapi semasa keluar matanya agak kemerah-merahan. Bola matanya pula mengembang dan di dahinya timbul urat yang berakar hingga ke leher. Okay, bab ni saya tambah-tambah saja. Kita Kedah kalau tak penglipurlara ibarat makan nasi tak letak kuah la. Huhuhu.

Kami tidak berlama-lama di sini. Selesai bergambar lebih kurang, kami meneruskan kayuhan mendaki kawasan berbukit, menghala Cenang. Persekitaran di sini masih tidak banyak yang berubah. Monyet-monyet masih lunak berpeleseran menunggu habuan. Pengalaman mengayuh dalam beberapa edisi yang lepas membuatkan kami tidak begitu lelah. Kami menuruni cerun terakhir dan memasuki kawasan kampung yang tenang, Kuala Teriang kalau tak silap saya.

Kami meneruskan perjalanan seperti biasa melalui Jambatan Ulu Melaka, Pusat Latihan Polis Langkawi dan akhirnya membuatkan keputusan untuk singgah di sekitar airport, di warung Laksa Sekoq. Kayuhan pagi ini tidak terlalu berat dan panjang kerana jarak ke Cenang tidaklah terlalu jauh. Jika sampai awal di sana nanti, masing-masing tidak boleh check in lagi. Jadi kami membuang waktu di sini, minum-minum, menunggu tandas dibuka (ya, bagi sesebuah lokasi pelancongan tandas di sini sangat lambat dibuka) dan berharap dapat mengabadikan gambar berlatarbelakang pesawat yang sedang mendarat. Namun harapan itu hampa kerana semasa dalam tempoh menunggu itu sekepiang gambar pun tak berjaya dirakamkan. Bila saya tulis sekepiang tu maksudnya kecewa habislah maksudnya. Padahal semasa kami bersantai-santai rehat, minum, entah berapa biji pesawat yang lalu lintas seolah-olah menganjing kami. Oh ya, di situ juga kami sempat disapa oleh saudara Syafiq dari Shah Alam. Beliau seorang pengayuh solo yang handal bersosial. Tanpa segan-silu dia menegur kami dan berbual tentang pengalaman kembaranya.

Mengayuh basikal, sama seperti aktiviti sukan dan hobi lainnya. Kita mudah untuk mendapat kawan. Maka saranan saya, carilah walau hobi sekecil apapun kerana selain mudah mendapat kawan, kita dapat menyihatkan tubuh badan serta dapat mengelakkan diri dari terjebak ke arah aktiviti-aktiviti yang kurang bermanfaat. Tapi niat kena betullah.

Kami akhirnya tiba di Cenang sekitar jam 12.00 tengah hari dan alhamdulillah dapat check in awal. Saya dan isteri menginap di Tokman Inn. Begitu juga Saravanan. Manakala Rammy, Nunu dan Badril menginap di rumah inap kegemaran mereka yang saya pandai-pandai gelarkan sebagai Kasim Bahagia iaitu The Kasbah. Kami membersihkan diri ala kadar di rumah inap masing-masing, dan bersetuju untuk keluar semula sekitar jam 1.00 tengah hari bagi menjamu selera di Restoran Selera Padang Puteh. Seperti biasa, pelbagai jenis lauk-pauk disajikan di sini. Semuanya memenuhi citarasa perut masyarakat Malaysia. Selesai menjamah makanan, kami berpecah seketika untuk memenuhi keperluan peribadi di sekitar Cenang. Saya dan isteri memasuki mall sebentar, bersiar-siar menikmati sejuk aircond, membeli coklat sekadarnya, kemudian pulang ke Tokman Inn.

Jam 5.30 petang nanti, kami sebulat suara bersetuju untuk mengayuh ke Jeti Nelayan Teluk Baru dan sekitarnya.

**********

Melepasi waktu Maghrib, kami makan lagi pula di Warung De Cenang. Sebelum ini kami sudah bersiar-siar di jeti nelayan dan ‘highway’ Teluk Baru untuk bergambar seadanya. Di warung ini Rammy merencana jadual malam untuk saya dan Badril mengikutinya bertemu dengan rakan metalhead mereka Man Funeral Pyre di Smack D’Burger & Coffee’s milik seorang lagi rakan mereka yang berlokasi di sekitar Bayas. Cadangan awal kami perlu menaiki grab untuk ke sana. Dan pulang semula ke sini dengan ehsan Man. Man ini kalau tak silap saya berasal dari Sg. Petani dan mengikut keluarganya berpindah ke tanah kelahiran Mahsuri binti Pandak Mayah ini puluhan tahun lepas dan akhirnya perlahan-lahan tumbuh menjadi warga tempatan dengan jayanya. Dalam perjalanan ke sana, sempat saya whatsapp bos Mustika Cetak merangkap Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan Bayas iaitu Jazli untuk turut serta dalam pertemuan nanti. Alhamdulillah, Jazli sudi hadir walaupun berkain pelikat dan terpaksa meninggalkan tayangan perlawanan bolasepak pasukan pilihannya – Arsenal malam itu.

Perbualan berlanjut sehingga jam 12.40 pagi. Rammy memesan kopi ais dan burger ayam crispy ala carte kalau tak silap. Saya sekadar minum zapple. Tidak makan kerana sudah kenyang membahan nasi putih dan tomyam di Warung De Cenang sebelum itu. Manakala Badril minum tidak, makan pun tidak. Dia juga pasti sudah kenyang Lagipun perutnya terasa kurang enak. Dia sekadar duduk dengan gaya pemikirnya melayani setiap sudut perbualan. Badril memang pelbagai topik yang dibualkan termasuklah tentang dunia muzik gelap, penyakit krisis pertengahan usia, tentang rakan-rakan yang sudah lama tak bersua, bisnes dan pastilah tentang perniagaan Smack D’Burger yang dibina di lokasi asal rumah Mat Rafi (maaf jika saya tersilap). Pada awalnya Badril siap menempah grab untuk pulang, dan kami pun sudah bangkit dari kerusi masing-masing. Namun Man menawarkan untuk menghantar kami pulang. Dengan keikhlasan Man, Badril tanpa dakwa-dakwi terus membatalkan tempahan grab. Dengan pembatalan tersebut kami duduk di meja makan semula dan meneruskan bersembang sehinggalah jam 1.20 pagi.

Walau bagaimanapun, Man menepati janjinya untuk menghantar kami pulang. Manakala burger dan minuman yang dimakan tadi dibelanja oleh Jazli. Semoga Allah SWT mengganjari kebaikan yang sebaiknya kepada mereka berdua dan rakan-rakan lain yang sudi menemani kami pada malam tersebut.

Tiba di rumah inap masing-masing saya macam biasalah, bersihkan diri serba-sedikit dan kemudian merebahkan badan lalu ghaib sampailah ke subuh.

29 September 2024 (Ahad)

Hari ini akan berlangsungnya Le Tour de Langkawi edisi kali ke-28 yang bertemakan Beat The Heat. Ia dijadualkan bermula pada hari ini iaitu 29 Sept hinggalah 6 Oktober 2024. Dan pastinya kami dikatakan akan bertembung dengan mereka semasa laluan pulang ke Dermaga Tanjung Lembung nanti. Namun saya sematkan dalam dada pahlawan ini. Saya tidak akan gentar. Saya tidak akan berganjak. Kalau sekalipun mereka datang menghambat dari arah belakang, saya akan memecut seperti anjng gila. Jika mereka maju dari arah depan, saya akan mengamuk membelah arusnya seperti Jebat derhaka. Saya tidak gentar. Cis, sembang seperti ini terasa seperti melawan godaaan iblis pula. Tapi betul tuan-tuan yang meliaa. Iblis telah berjanji untuk menggoda dan menyesatkan anak Adam dari pelbagai arah. Maka berhati-hatilah kita dalam setiap perbuatan. Sentiasalah berlaku jujur, ikhlas, tidak riak, ghuluw dan sebagainya. Sembang pun jangan lajak sangat. Argghhh.

Silap saya tak memerhati nama kedai kami bersarapan setelah check out awal dari Tokman Inn pagi ini. Lokasinya tidak jauh dari laluan rumah inap terutamanya dari The Kasbah. Kedai ini menyajikan menu yang akan kebaratan, namun menu perut Melayu tidak dilupakan. Rakan-rakan lain memesan telur separuh masak bersama roti bakar dan sosej. Saya maintain dengan imej kemelayuan terus menyauk nasi lemak di atas meja dan membahamnya dengan sekali lafaz. Tapi jangan disalaherti. Tetap juga sebelum menyuap, saya menyebut basmallah. Memadai sekadar itu.

Kami bergerak sekitar jam 9.10 pagi. Tidaklah jauh perjalanan ke Dermaga Tg. Lembung. Jadi kami tidaklah tergesa-gesa. Cumanya menurut warga tempatan, beberapa jalan akan ditutup sementara memberi laluan kepada peserta kayuhan Le Tour de Langkawi sebentar lagi. Mendengarnya saja pun telah membuatkan darah Hang Jebat saya mendidih.

Nunu dan Badril bagaimanapun memilih untuk ke arah highway Teluk Baru untuk menunggu dan merakam aksi peserta Le Tour memanjat bukit. Manakala saya dan isteri, juga Rammy dan Saravanan memilih untuk terus ke laluan asal untuk ke Dermaga Tg. Lembung. Masih saya ingat dalam edisi kayuhan yang lepas, dengan kurangnya pengalaman kayuhan, kami begitu tenat untuk mengejar waktu bagi kembali ke Dermaga Tg. Lembung. Tapi untuk kali ini, dengan perancangan yang tidaklah terlalu padat, kayuhan kami lancar dan santai sekali. Bukanlah bermaksud saya riak, tapi hakikatnya dengan latihan dan pengalaman lalu itulah yang sebenarnya membentuk diri dan peribadi kita hari ini. Bukan dengan latihan sehari dua, tuan-tuan. Bahkan jauh sekali bukan dengan kaedah mimpi tuan-tuan. Malam mimpi, esok pagi terus hebat. Bukan tuan-tuan, bukan.

Sebelum sampai ke Dermaga Tg. Lembung, sempat saya singgah bergambar di hadapan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (Langkawi) sambil menunggu isteri. Kami akhirnya terpaksa menghentikan kayuhan beberapa meter saja dari dermaga kerana digesa oleh rombongan polis pengiring setelah dikhabarkan peserta Le Tour akan tiba ke laluan itu. Saya cuba cool dan dalam masa yang sama cuba meredakan darah yang mendidih.

Penantian kami berakhir apabila peserta-peserta tiba dengan kelajuan yang selayaknya. Di saat ini emosi saya agak terganggu kerana tiba-tiba saja telefon saya tidak berfungsi. Mungkin telefon saya nak jadi Jebat derhaka juga agaknya. Natijahnya saya gagal merakamkan aksi mereka buat tatapan di hari muka. Saya mengubat luka dengan mengayuh mencari Rammy dan Saravanan yang telah lama tiba di Dermaga Tg. Lembung. Waktu masih terlalu awal untuk check in, jadi kami melepak di luar pejabat Langkawi Auto selepas mengesahkan ketibaan kami semua di situ.

Kata T.S. Eliot, ‘hanya mereka yang mengambil risiko melangkah terlalu jauh, yang mampu mengetahui sejauh mana seseorang itu mampu melangkah.’ Saya lupa, dari mana kutipan kata-kata ini diambil namun seperti selalu-selalunya, dalam setiap kayuhan, saya pasti di kalangan kami ini yang semakin beranjak usia, bukanlah mengetahui sejauh mana peribadi itu mampu melangkah. Saya percaya, Rammy yang menetapkan anjuran Rakap Besi setiap tahun bukan bertujuan sekadar untuk itu. Tetapi dalam saat dan waktu begini, kayuhan dilakukan pasti lebih kepada ingin merapatkan ukhuwah dan meraikan persahabatan di samping meneroka alam melalui sukan yang menyihatkan ini. Saya yakin dan pasti, jika tidak seratus persen sekalipun.

Kami tiba di Jeti Kuala Perlis pada jam lebih kurang 2.00 petang. Seperti biasa, sebagai penutup, kami bergambar buat terakhir kalinya di hadapan Masjid Al Hussain, sebelum masing-masing berangkat pulang ke negeri dan kediaman masing-masing. Cuma sebelum pulang, Rammy menitipkan pesan supaya bersedia. Dia mahu merencana kembara seterusnya jika tiada aral yang melintang. Kali ini demi Zoraimi dan Napie yang dalam Ride In Langkawi 4.0 ini tidak dapat turut serta. Saya tidak membantah. Jika berumur panjang, saya akan turut serta. Insya-Allah!

Laporan:

 

No comments:

Post a Comment