Sunday, July 17, 2022

MALAÖUN “The Forsaken Spirit” (produksi mandiri) – MALAYSIA

 

ML yang kita kenal melalui karya-karya hebat dibawah nama VOIDNAGA, DEVOURER OF LIGHT, IMPIOUS BLOOD kini kembali melalui satu lagi entiti bernama MALAÖUN. Nama ini saya kira cukup unik untuk mengambarkan muzik ML, kerana ia begitu sinonim dengan kata cacian bagi kaum Melayu. Manakala menurut Dewan Bahasa, perkataan malaun berasal dari ayat Arab. Ia bermaksud “Yang dikutuk” atau “yang dilaknat”.

MALAÖUN sebelum ini sudah pernah mengeluarkan satu album penuh “The Darkest Shrines” secara mandiri pada tahun 2020 dan telah berjaya memikat Gedebe Recs untuk menerbitkannya semula dalam bentuk digipak. Boleh dikatakan sambutan terhadap muzik MALAÖUN amat memberangsangkan, menjadikan ia antara produk yang ditunggu-tunggu apabila ML menyuarakan album “The Forsaken Spirit” ini bakal diterbitkan pada Jun lalu.

Melalui pendengaran saya yang boleh jadi kurang cermat ini, terdapat titik persamaan yang nyata pada haluan muzik MALAÖUN, VOIDNAGA dan DEVOURER OF LIGHT iaitu kesemua entiti ini mengabungkan black metal dan doom death metal dengan cemerlang. Segalanya dibikin dengan jitu dan padu, suatu keberhasilan yang memerlukan pengorbanan masa dan keringat yang banyak bagi kugiran satu jasad. Namun jika kita tanya kepada ML, dia pasti mengatakan ia bukan suatu masalah kerana inilah minatnya dan kepuasan yang dia cari dalam mengisi masa senggang. Apa yang saya rasa jadi penyebab ML mencipta berbagai-bagai kugiran lagi untuk mewakili muziknya ini ialah konsep lirikal dan ideologi yang berbeza? Mungkinlah?

Muzik MALAÖUN adakalanya epik, ada kalanya grim dan adakalanya rocking seperti riffs dan rentak untuk lagu “Forsaken Embers”, bagaimanapun majoritinya kekal dalam bentuk neo-Scandinavian black metal.

Bagi yang meragui tahap dan kualiti karya-karya MALAÖUN, boleh cuba mendengarnya dengan mengimbas QR yang saya sediakan itu untuk menilainya sendiri! Salinan CD saya bernombor 44/42, maknanya ia sudah habis dijual dan yang saya punya ini edisi khas! Syabas sekali lagi ML!

Ulasan:

No comments:

Post a Comment