Showing posts with label Ulasan Muzik Ghuluw. Show all posts
Showing posts with label Ulasan Muzik Ghuluw. Show all posts

Sunday, January 18, 2026

VENTORIOR "Ventorior" (2025) - MALAYSIA

Ventorior ditubuhkan pada tahun 1998 di Ipoh Perak dengan konsep teknikal death metal dengan dibarisi oleh Fitt - vokal dan Aliv gitar, kemudian adik Aliv, Afist menyertai sebagai gitaris kedua seterusnya Shaz di posisi dram. Manakala ahli yang terkini ialah Fitt - vokal, Aliv - gitar, Lehman - dram, Razmag - gitar dan Herryanto - bass. Pada tahun 2010 mereka berjaya mengeluarkan promo EP yang memuatkan 3 lagu berjudul “Twothousandten Holocaust” secara mandiri. Jujur aku katakan, aku tak familiar dengan karya mereka, dan macam mana aku boleh terlepas kumpulan sehebat ini entahlah?

Aku dapat freecopy EP ini pada hari ketiga ia diterbitkan namun yalah, masa begitu mencemburui aku, pada malam ini barulah aku sempat mendengarnya. Menurut lampiran yang disertakan bersama bersama slim pack CD ini, lagu “Chaotic Phenomenon” dan “Weaken Dignity” tersedia sejak 2013 untuk kompilasi Ipoh Metal Militant namun terkandas atas faktor-faktor tertentu. Dua lagu baharu “Tarian Layar” dan “Taa Mim Taa” (penampilan Bard PYRON) yang menandakan era baharu mereka sebenarnya tetap kekal pada landasan yang telah tersedia dibina. Menurut pandangan aku, jati diri Ventorior sudah sedia mantap dan dibuktikan melalui 4 lagu berbeza era yang dimuatkan di dalam EP ini.

Proses rakaman dilakukan di 3 studio berbeza iaitu Studio Ventoria, Studio 80 dan Studio String Theory memberikan hasil yang luar dugaan boleh jadi kerana hasil tangan jurutera Ahmed Ali Munawar. Kerja-kerja mastering bagi lagu “Chaotic…” dan “Weakened…” pula dilakukan oleh Rahmat Dani Utomo, dari TRAUMA. Produksinya berat dan berserat namun tidak merimaskan. Aku suka bunyi dramnya yang kedengaran akustik dan organik macam dengar Morbid Angel lama, takpun Suffocation lama. Aku suka beberapa elemen simfoni nusantara yang tidak begitu jelas tanpa membuang amarahnya. Mengingatkan aku sebuah band lama Ipoh yang jika mereka tidak meninggalkan akar umbi mereka dan memajukan diri secara spesifik dalam teknikaliti dan brutality sahaja, mungkin beginilah hasilnya.

Aku memberi harapan penuh kepada Ventorior, aku harap mereka serius dan terus melangkah ke depan dan jangan tergadai jadi band kebudayaan biarpun memperolehi geran kerajaan.

Monday, April 14, 2025

THERION "Vovin" (NUCLEAR BLAST RECORDS) - SWEDEN

Seingat saya, kali pertama nama THERION aku tahu bila membaca Kerrang, yang mana Norway punya inner circle cukup tak suka depa, malah Varg Vikerness pernah hantar awek dia untuk bakar rumah Christopher Johansson waktu itu. Bagi mereka Therion ini band poser! Bagaimanapun aku tidak pernah mendengar lagu-lagu mereka sehinggalah aku melanjutkan pelajaran ke ITM Merbok pada tahun 1997, seorang rakan aku, Along dia pasang kaset "Vovin" (bermaksud Naga) ini tiap hari, aku yang kali pertama dengar cukup takjub, aku tak pernah dengan muzik sebegini bagus sehinggalah Along hadiahkan kat aku kaset itu. Ia ada dalam simpanan aku hingga ke hari ini. Kalau dahulu aku ada kaset player dalam Volvo 740 aku, memang kaset ini sentiasa dimainkan sebagai runut bunyi perjalanan jauh.

Aku ingin kongsikan cerita mengenai album ini dari lidah Christopher Johansson sendiri (dimuatkan pada laman Facebook beliau pada 5 Mei 2022) yang bagi aku wajar diarkibkan;

"Hari ini Vovin genap 24 tahun! Vovin bukan sahaja album paling berjaya oleh Therion (dari segi jualan fizikal suatu ketika dahulu dan juga dari segi jualan penstriman pada masa kini), tetapi juga berbeza kerana secara teknikal, ia sebenarnya merupakan album solo saya. Selepas Theli, akhirnya saya mencapai kejayaan bersama band selepas mengeluarkan 5 album dan 9 tahun kerja keras. Bagaimanapun atas pelbagai sebab, band tersebut sudah tidak wujud. Jadi saya berada dalam situasi di mana saya sudah ada kejayaan, kontrak rakaman… namun tiada band.



Ketika itu internet masih muda dan kebanyakannya digunakan untuk emel, chatting dan melayari laman web buatan sendiri yang buruk. Malah pihak berkuasa rasmi pun tak semua yang ada laman web ketika itu. Tiada media sosial seperti yang kita kenali dalam 15–20 tahun terakhir ini. Jadi bila hendak tubuhkan band, kita perlu cari orang melalui kenalan. Cara lama seperti menempel kertas iklan "mencari pemain gitar dan bass" di kedai muzik tidak berkesan bila kita berada dalam band besar. Terlalu leceh dan mengambil masa. Memandangkan saya sudah sedia dengan semua lagu dan syarikat rakaman mahukan album seterusnya secepat mungkin, saya putuskan untuk rakam segala-galanya sendiri.

Pengurus kami, Carsten Otterbach (semoga bersemadi dengan aman), menyarankan saya merakam di Woodhouse Studios di Jerman bersama penerbit Siggi Bemm. Siggi pula mencadangkan pemain dram sesi Wolf Simon dan legenda pemain bass jazz domestik Jan Kazda (yang turut membawa Orkestra Indigo, sekumpulan kecil alat gesek yang sudah biasa dengan aliran muzik alternatif).

Jadi saya masuk studio dengan lagu-lagu saya dan gitar saya. Hari pertama, Wolf muncul. Kami tidak pernah bertemu sebelum ini, dia tidak pernah dengar tentang Therion dan langsung tidak tahu bagaimana lagu-lagu saya berbunyi. Dia ambil pen dan kertas, saya pegang gitar dan tunjukkan lagu padanya sementara dia catat nota. Kemudian dia masuk bilik rakaman dan rakam dram sementara saya duduk di bilik kawalan dan main bersama sebagai rujukan (dipanggil  sebagai “gitar pilot”). Kemudian dia keluar, kami dengar semula dan dia tanya jika ada apa-apa mahu diubah. Semuanya tepat dan sempurna. Lagu seterusnya. Semua lagu rakaman sekali jalan kecuali “Wine of Aluqah” yang perlukan cubaan kedua, dan “Wild Hunt” kerana dia bukan pemain dram metal dan tak biasa dengan tempo tinggi dan dram bass berganda yang laju.

Wolf biasanya (secara rahsia) dipanggil untuk merakam dram apabila pemain dram sebenar band terlalu teruk, selalunya disimpan kerana mereka kawan baik atau nampak hebat atas pentas. Jadi untuk kebanyakan tugasnya, Wolf tidak diberi kredit dalam album. Dia gembira apabila saya kata dia akan diberi kredit dalam Therion.

Kemudian Jan datang. Kami bersembang sedikit tentang rakaman orkestra dan koir yang akan dikendalikannya, dan saya berikan beberapa skor. Sama seperti sebelumnya, saya tunjukkan lagu dan dia catat nota sebelum merakam bass.

Kawan saya Tommie turut serta di studio untuk menemani dan bantu merakam beberapa bahagian gitar. Dia main beberapa bahagian utama dan gitar ritma untuk lagu saduran Loudness “Crazy Nights” yang dirakam dalam sesi ini. Dia sepatutnya main lagu saduran Accept “Seawinds”, tapi dia tidak berlatih, jadi agak memalukan apabila dia tak tahu cara nak main. Masa adalah wang di studio dahulu (sekitar 1,000 Euro sehari ketika itu). Jadi daripada buang masa atau balik dan berlatih, atas cadangan Siggi, kami panggil Waldemar Sorychta yang hanya perlu dengar lagu sekali dan terus boleh main dengan sempurna. Namun akhirnya kami habiskan masa yang sama juga seperti kalau Tommie atau saya sendiri kerana cubaan rakaman berkali-kali.

Kemudian Jan kembali bersama orkestra — satu pengalaman luar biasa. Skor saya ada kesalahan, jadi Jan bantu betulkan. Satu pengajaran yang amat berguna.

Rakaman koir lebih mudah. Koir kali ini lebih fleksibel berbanding yang kami gunakan untuk Theli, dan saya sekurang-kurangnya dapat skor yang betul kali ini.

Kami juga buat rakaman organ Hammond bersama Lorentz Aspen dari Theater of Tragedy, dan Ralf Scheepers dari Primal Fear datang menyumbang vokal heavy metal yang mantap untuk “Wild Hunt”.

Akhirnya tiba masa untuk rakaman vokal utama. Kami pernah jelajah bersama Sarah Jezebel Deva, tetapi ini rakaman kali pertama dengannya. Ia lebih mudah daripada koir dalam satu aspek kerana dia seorang peminat metal, jadi saya boleh saja beri arahan “macam ni atau macam tu”. Tapi saya juga mula nampak kebaikan bekerja dengan skor untuk penyanyi, dan Sarah tidak tahu baca skor. Martina Hornbacher (kini Astner) tahu baca skor, jadi bila mereka rakam bersama, dia bantu jelaskan.

Saya hanya pernah bertemu Martina sekali, atas cadangan pengurus kami, Carsten. Dia baru saja dipecat dari band lamanya Dreams of Sanity, dan cadangan awal adalah dia akan rakam beberapa bahagian untuk album dan sertai jelajah selepas itu. Dia agak sukar dengan nota tinggi dalam studio, dan saya ingat Siggi kurang puas hati, katanya kami boleh cari orang lebih sesuai untuk studio dan simpan dia untuk persembahan langsung. Tapi hasil akhir tetap baik, kecuali satu lagu — “Mark of Cain”. Lagu ini sepatutnya masuk dalam album, tetapi saya tarik balik pada saat akhir. Vokal merosakkan lagu dan saya tak mahu ia jadi cela dalam album itu. Kami juga rakam lagu-lagu saduran dan satu lagu “From the Dionysian Days” dalam sesi ini, tapi tiada yang sesuai untuk ganti “Cain”. Jadi saya putuskan untuk pendekkan durasi album — masih cukup panjang, 55 minit. Tapi saya tetap pecahkan “Draconian Trilogy” kepada 3 trek berasingan di CD.

Tahun lepas saya digitalkan pita master analog lama, dan hujung tahun ini kami akan cuba remix satu lagu dalam format audio baharu. Akan ada juga edisi semula dalam bentuk CD dan vinyl tahun ini (semua album Therion dari 1992–2005 akan diterbitkan semula)".

Foto credit to Therion official Facebook

Saturday, September 23, 2023

PRUINOSUS “Promo 2019” (BLAZT PROMOTION) – MALAYSIA

 

Saya dapat CD ini rasanya beberapa tahun lepas, mohon maaf kepada saudara Pyan kerana baru sekarang saya ada kesempatan untuk mendengarnya. Menurut flyer yang disertakan bersama-sama Bangkit! Zine kumpulan PRUINOSUS ini ditubuhkan sebagai kugiran projek ahli-ahli SHITNOISE BASTARDS, Shah Alam yang memainkan muzik berkonsep raw black metal berpadu dengan jati diri punk. Uhh camna tu? Aalah macam Mantar, Dishammer, Skitsystem.. macam itulah!

Secara ringkasnya, muzik yang mereka mainkan bagus manakala penyelarasan rakaman yang mereka buat bertepatan dengan konsepnya. Selain dari 2 trek sendiri mereka turut merakamkan satu lagu saduran daripada veteran punk tanahair, Caburetor Dung berjudul “Farewell”. Tiada maklumat lain yang tercatat pada kulit CD untuk dikhabarkan di sini. Saya punya salinan bernombor 15 dari 21 unit, saya yakin semuanya sudah habis dijual sekarang. Bagaimanapun anda masih boleh mendengarnya di bandcamp.

Ulasan:

ABYSSAL OCEAN “Abyssopelagic” (produksi mandiri) – THAILAND


ABYSSAL OCEAN ialah sebuah kugiran solo pemain gitar MINEFIELD TORMENT iaitu saudara Rik Torik Pakbara setelah kugiran induk tersebut dibekukan buat masa ini. ABYSSAL OCEAN membawa genre ‘dungeon synth’ manakala terbitan dalam format CDR ini diisytiharkan sebagai EP rasmi bagi tahun 2022. Saya memperolehi CD ini ketika kami membuat kayuhan ke Pakbara, Satun, Thailand pada bulan lepas dan berpeluang ‘ngopi’ bersama beliau dan isterinya. Rik antara generasi muda di Satun yang sudah tidak dapat berbahasa Melayu biarpun Pakbara satu ketika dahulu adalah sebuah wilayah di bawah pemerintahan Kedah. Lucu juga bila kenangkan kami berbual mengunakan aplikasi Google Translate.

Saya sebenarnya bukanlah orang yang tepat untuk memperincikan genre dungeon synth ini biarpun aliran ini bolehlah dikatakan lahir seiring dengan kegilaan muzik Norge black metal di awal 90an. Itu era saya membesar sebagai remaja dan sedang galak mengali dunia muzik underground. Tanyalah zine editor mana pun yang seusia saya pasti mereka ingat sedikit sebanyak tentang kemunculan dan rakaman awal kumpulan seperti Tangerine Dream, Dead Can Dance, Enigma dan kemudian mulalah era black metal superstars terjebak dengan genre ini dengan tertubuhnya entiti seperti Wongraven, Neptune Towers, Ildjarn dan Mortiis. Tak semua orang dapat menghargai muzik ini! Ia bagaikan runut bunyi untuk tema filem fantasi, psiko, surrealism, seram dan purbawara. Tidak hairanlah genre ini masih tidak dapat menembusi pasaran komersil sebagaimana yang terjadi pada muzik ambient sehingga ke hari ini. Namun pemuzik yang mempunyai persona yang unik dan kekentalan prinsip seperti Mortiis dan Varg Vikerness menjadi sebutan dan rujukan utama apabila genre dungeon synth diperkatakan. 

Seperti yang telah saya jelaskan tadi, begitulah EP ini, saya tidak pasti anda mampu layan bunyi-bunyian yang diolahkan mengunakan keyboards, jerit, bisik, dengan bunyi sampling di sana-sini? Menurut Rik Torik, dia merakamkan keseluruhan EP ini mengunakan aplikasi iphone sahaja. Mudah betul dunia hari ini ya?! Kalau anda baca ulasan-ulasan album genre ini dalam majalah-majalah muzik luar negara, boleh sentap juga tuan punya badan kalau hati tak kental. Hahaha! Apa pun bagi saya ini sebuah hasil kreatif anak Pakbara yang bakal tersisip dalam sejarah kelahiran muzik underground Selatan Thailand! Ikuti Facebook mereka di sini.

Ulasan:

Monday, June 12, 2023

MEDIEVAL “Welcoming Death” (terbitan mandiri) – MALAYSIA

MEDIEVAL kiranya seangkatanlah dengan kumpulan saya iaitu The Ravens yang turut mengeluarkan rehearsal tape pada tahun 1999 kemudian disusuli demo pada tahun 2000. Sama! Saya pun pada awal tahun 2000 dahulu memang sering lihat flyer mereka, logo berkeris MEDIEVAL memang ikonik. Jangan keliru dengan satu lagi Medieval yang pernah merakamkan demo CD “Anthems of Destrution” yang kemudiannya diterbitkan semula oleh Gempita Records dalam format kaset. Ia sebuah entiti yang berbeza.

Berbalik kepada demo “Welcoming Death” ini ia dirakamkan di 3 Quarter Studio tahun lalu, kualitinya boleh saya katakan amat bagus. Saya memang terhibur mendengar setiap garapan bunyi dan susun atur komposisinya. Rakaman yang kedengaran jujur dan tidak robotik. Saya amat menyukai lengguk vokal Azli yang keras dan jelas sebutannya. Tak perlu rujuk lirik pun kita mampu faham apa yang dia pekikkan. 6 Lagu termasuk satu lagu saduran King Diamond “The Lake” dimainkan dengan cermat dalam demo ini, lagu “Evil Clown” rasanya karya lama mereka yang dirakamkan semula dengan nafas baharu.

Bagi yang tidak tahu, MEDIEVAL ditubuhkan pada tahun 1997 di Negeri Sembilan. Hubungi mereka untuk mendapatkan demo ini: leftnesshouse@yahoo.com +60194308596

Ulasan:

Wednesday, October 26, 2022

GOJIRA “This is Our Time” (ROAD RUNNER) – PERANCIS


Saya sebenarnya sudah lama ingin mengulas album-album lama Gojira yang sememangnya kena dengan halwa telinga saya tetapi risau juga puak elitist Malaysia menghukum saya pula, yalah! Kononnya old school, tapi duk pi dengar metal arus perdana ni apa hal!?

Bagaimanapun biarlah saya mengimbas kembali kali pertama saya mendengar Gojira pada tahun 2011, iaitu melalui sampler CD majalah Metal Hammer dengan lagu “Of Salt and Blood”. Sememangnya padu sekali dan sungguh ironi kerana sebaik sahaja mendengarnya saya teringatkan Strapping Young Lad, manakala Devin Townsend jadi penampilan istimewa mengalunkan solo gitar dalam trek ini. Gojira bagi yang tidak tahu (peliklah jika tak tahu?) bukanlah kumpulan yang baru muncul tiba-tiba jadi popular. Bukan! Sebaliknya mereka melalui proses sebagaimana yang dilalui oleh kumpulan metal bawah tanah terdahulu dan tradisional. Gojira ditubuhkan pada tahun 1996 dengan nama Godzilla oleh dua adik beradik Joe Duplantier yang ketika itu berusia 19 tahun di posisi gitar & vokal dan Mario Duplantier berusia 14 tahun sebagai pemain dram. Sebelum melahirkan album sulung “Terra Incognita” mereka pada tahun 2001, mereka sempat merakamkan demo kaset “Victim” (1996) dan “Possessed” (1997) yang ber-genre death metal tepu, dan sempat menjelajah selatan Perancis untuk mempromosi demo mereka.

Sebelum rakaman album “Tera Incognita” inilah mereka merubah nama kepada Gojira dan berhijrah ke Brussel untuk mencari studio yang mampu mengangkat kualiti muzik mereka setanding dengan band-band dari kota Paris. Mereka menanggung kos rakaman di Impuls Studio dengan mengunakan dana yang diperolehi melalui derma kawan-kawan dan saudara mara. Namun bila rakaman album sudah siap, syarikat-syarikat pula enggan menerbitkan album mereka kerana muzik yang terlalu kehadapan dari zaman. Mereka disarankan untuk ubah haluan muzik dan menyanyi dalam bahasa Perancis aja! Lalu mereka pun tubuhkan syarikat sendiri untuk pasarkan album itu dari rumah sahaja. Mereka pun berangkat mempromosi muzik mereka dalam siri jelajah bersama Immortal. Kata Joe Duplantier, selepas kembali dari jelajah bersama Immortal itu semangat mereka jadi lain macam, sudah rasa macam jentera perang jadinya!

Album “The Link” (2003) menyaksikan Gojira semakin ligat, Menurut Mario, bermula album itulah dia mula menguasai teknik blast beat yang betul dan laju. OK cukuplah setakat itu. Kita balik kepada cerita single “This Is Our Time” ini, yang saya rasa wajar untuk diulas kerana ia mampu merangkum keseluruhan entiti ini dengan satu lagu ini sahaja. Pertama, jika benar terma “modern metal” itu oleh diguna pakai, maka inilah dia modern metal, atau Nu metal, menurut skala sebenar benarnya. Produksi bunyi yang maju, semua instrumen berbunyi bagaikan mahu mengatasi satu antara lain namun dalam belenggu frekuensi yang ampuh lagi terkawal, riffs gitar yang anthemik dan digarap bagaikan untuk hari perarakan tentera bergajah, di tempat yang tepat gitar Joe masuk tapping dan bending, vokal gaya jeritan dengan reverb stadium, semua ini adalah akar identiti Gojira. Jika didengar dengan teliti, Joe Duplantier bukan menjerit semberono aja, lenggok jeritannya jika diganti dengan suara normal pasti akan tetap menjadi nada yang bagus. Dan ya, Mario tidak menunjuk-nunjuk kehebatan teknik blast beat-nya dalam trek ini namun dia gantikan pula dengan tempo ganjil 2-1, 2-1 ketika Joe mula menyanyi membuatkan lagu ini kedengaran rocking dan sofistikated sekali. 

Gambaran Joe tentang single terbaharu ini “Lagu ini ditujukan kepada semua pejuang di luar sana yang menyinarkan cahayanya dalam dunia yang gelap gelita ini. Tunjukan kau adalah sebahagian dari perubahan! Kalau kau benar-benar peduli terhadap sesuatu yang bermakna kepada diri kau sendiri atau komuniti kau, kau berdiri untuk sesuatu perjuangan, kau tunjukan belas kasihan dan solidariti kepada mereka yang kehilangan hak mereka, kau dalam peperangan mempertahankan hak warisanmu atau kau menentang pembalakan, kau berjuang untuk hak haiwan, hak manusia, kau adalah panahan petir, percikan api yang akan merubah dunia ini. Inilah masa kau! Inilah masa kita!”

Muzik dan persembahan langsung daripada Gojira adalah fenomena. Tiada siapa dapat menafikan mereka antara kumpulan muzik metal terberat abad ini walaupun tanpa imej seperti kumpulan ekstrim yang lain. Mereka selesa dengan t-shirt kosong dan jeans sahaja tanpa sebarang gimik biarpun elemen kejutan adalah jati diri pemuzik metal.

Lirik-lirik Gojira ditulis oleh Joe Duplantier secara umumnya berkisar tentang realiti kehidupan dan kerohanian. Kata Joe, semasa kanak-kanak keluarga Duplantier tinggal di kawasan hutan dan tiada jiran, jadi mereka membesar dengan bersahabat dengan alam. Maka itu menjadi inspirasi utama dalam penulisan lirik Gojira. Bakat seni lukis bapa dan ibu mereka diwarisi Mario Duplantier yang menjadi pengarah seni grafik bagi setiap kulit album Gojira. Mario mengemar melukis dalam tema surealism, selalunya di atas drumhead dan menjualnya kepada peminat setiap kali mereka membuat persembahan. Dia juga menjualnya secara atas talian di web rasminya. marioduplantier.com

Gojira kini dinobatkan sebagai kumpulan metal no. 1 Perancis dan telah mengondol bermacam-macam pengiktirafan antarabangsa seperti Epiphone Revolver Golden Gods Music Awards, GAFFA Awards, Metal Hammer Golden Gods Awards, Loudwire Awards dan sebagainya.

Gojira ialah sebuah band yang aktif melibatkan diri dalam kempen-kempen kemanusiaan dan alam sekitar, pernah terlibat dalam demonstarasi Avis de KO Social yang memperjuangkan hak kesaksamaan antara golongan kaya dan miskin, menyokong kuat Sea Shepherd dan Geapeace dalam mempertahankan dan pemuliharaan hidupan laut. Kempen menghalang pembalakan di Amazon, mewujudkan dan mengumpul dana untuk Articulation of Indigenous People of Brazil (APIB) dan macam-macam lagilah kerja-kerja kebajikan yang Gojira ikut serta.

Dan yang menariknya, pemain bass mereka Jean-Michel Labadie merupakan seorang peminat sukan lasak seperti skateboard dan snowboard dan BMX. Pada tahun 1996, beliau mula menceburi sukannya katanya “more brutal” iaitu MTB downhill. Labadie bukan BBNU punya level dalam downhill, tembual tentang hobinya ini boleh dibaca dalam laman rasmi Redbull.

Ulasan oleh:

Sunday, July 31, 2022

ABIARDH “Rehearsal 99/22” (Illusifana Production) – MALAYSIA

 

ABIARDH ialah sebuah kumpulan Asiatic black metal yang bermula di Mata Ayer, Perlis pada tahun 1996 berikutan kegilaan terhadap muzik gasar beracuan mistik ketimuran yang haluannya dipelopori oleh kugiran seperti AS SAHAR, LANGSUIR, TASYIM, MANTAK, ZUBIRUN, dan banyak lagi. Abiardh merakamkan rehearsal tape ini pada tahun 1999, tahun yang sama band saya bersama THE RAVEN merekodkan rehearsal tape berjudul “Storm Jam”, namun kami menjauhkan diri dari kebanyakan band nusantara ketika itu dengan memainkan irama black/thrash metal. Ketika itu saya tidak kenal dan tidak pernah mendengar muzik daripada Abiardh, sehinggalah pada tahun 2002 (mungkin?), saya berkenalan dengan Ikram yang kebetulan bapanya rakan sekerja saya ketika itu, dan Zack kemudiannya sering ikut serta kami menjalani latihan di MA Studio. Persahabatan saya dengan Zack berterusan hingga kami berhijrah ke Kuala Lumpur, hampir-hampir sahaja AU REVOIR (band murder speed rock yang saya tubuh pada tahun 2004) merakamkan album dengan mengunakan Zack sebagai pemain dram, namun tak kesampaian. Jika anda ingin mengetahui tentang sejarah dan bagaimana mereka boleh kembali ke arena muzik gelap ini, ada baiknya anda ikuti temubual saya bersama mereka di YouTube channel, Rakap Besi.

Berbalik kepada CD ini, menurut Zack ia merupakan teaser pada album sulung mereka yang bakal diterbitkan tahun hadapan. Kini mereka sedang giat mengumpul material dan merakamkan lagu-lagu baharu secara berperingkat. Jujur saya katakan inilah kali pertama saya mendengar lagu rehearsal ‘99 mereka, bagi saya permainan mereka hebat dan menepati piawan Eastern black metal sezamannya. Rakamannya boleh dikira bagus, mungkin juga kerja-kerja mastering oleh Haikal ANTABOGA ( Hai! Antu) memainkan peranan memantapkan lagi karya prasejarah itu. Seterusnya saya mereka menyajikan 3 rakaman dari tahun 2022 yang merupakan olahan semula lagu lama “Bayangan Sihir Hitam”, “Humidiation Zephyr Monsoon” dan “Bidadari Laut” (kesinambungan lagu “Humidiation..”). Rakaman lagu-lagu ini dibuat dengan baik sekali di eniQma Home Studio dan Eric Studio, saya turut ikut serta ketika rakaman ini berlangsung di Eric Studio untuk memberi mereka tips-tips yang tak seberapa. Bagi saya inilah dimensi millinia ABIARDH yang mereka cuba untuk capai setelah sekian tahun berkarya. Pengaruh-pengaruh muzikal yang merupakan jatidiri mereka sejak dahulu seperti SIL KHANNAZ, MAY, AS SAHAR, DARKTHRONE, ABSU tidak pernah gugur dalam intipati karya mereka. Dalam masa yang sama mereka berjaya menaiktaraf mutu permainan dan rakaman ke tahap yang membanggakan.

Dalam CD ini juga diberikan beberapa trek tidak rasmi sebagai pra-dengar untuk album sulung mereka nanti, lagu saduran dari RUSTY BLADE dan juga cubaan rakaman lagu-lagu lama dari tahun 2020 dan 2021. Ayoh nantikan album sulung ABIARDH yang pasti mengegarkan!

Ulasan:

Sunday, July 17, 2022

MALAÖUN “The Forsaken Spirit” (produksi mandiri) – MALAYSIA

 

ML yang kita kenal melalui karya-karya hebat dibawah nama VOIDNAGA, DEVOURER OF LIGHT, IMPIOUS BLOOD kini kembali melalui satu lagi entiti bernama MALAÖUN. Nama ini saya kira cukup unik untuk mengambarkan muzik ML, kerana ia begitu sinonim dengan kata cacian bagi kaum Melayu. Manakala menurut Dewan Bahasa, perkataan malaun berasal dari ayat Arab. Ia bermaksud “Yang dikutuk” atau “yang dilaknat”.

MALAÖUN sebelum ini sudah pernah mengeluarkan satu album penuh “The Darkest Shrines” secara mandiri pada tahun 2020 dan telah berjaya memikat Gedebe Recs untuk menerbitkannya semula dalam bentuk digipak. Boleh dikatakan sambutan terhadap muzik MALAÖUN amat memberangsangkan, menjadikan ia antara produk yang ditunggu-tunggu apabila ML menyuarakan album “The Forsaken Spirit” ini bakal diterbitkan pada Jun lalu.

Melalui pendengaran saya yang boleh jadi kurang cermat ini, terdapat titik persamaan yang nyata pada haluan muzik MALAÖUN, VOIDNAGA dan DEVOURER OF LIGHT iaitu kesemua entiti ini mengabungkan black metal dan doom death metal dengan cemerlang. Segalanya dibikin dengan jitu dan padu, suatu keberhasilan yang memerlukan pengorbanan masa dan keringat yang banyak bagi kugiran satu jasad. Namun jika kita tanya kepada ML, dia pasti mengatakan ia bukan suatu masalah kerana inilah minatnya dan kepuasan yang dia cari dalam mengisi masa senggang. Apa yang saya rasa jadi penyebab ML mencipta berbagai-bagai kugiran lagi untuk mewakili muziknya ini ialah konsep lirikal dan ideologi yang berbeza? Mungkinlah?

Muzik MALAÖUN adakalanya epik, ada kalanya grim dan adakalanya rocking seperti riffs dan rentak untuk lagu “Forsaken Embers”, bagaimanapun majoritinya kekal dalam bentuk neo-Scandinavian black metal.

Bagi yang meragui tahap dan kualiti karya-karya MALAÖUN, boleh cuba mendengarnya dengan mengimbas QR yang saya sediakan itu untuk menilainya sendiri! Salinan CD saya bernombor 44/42, maknanya ia sudah habis dijual dan yang saya punya ini edisi khas! Syabas sekali lagi ML!

Ulasan:

Tuesday, June 8, 2021

FARASU “Sulalatus Salatin” (Farasu Movement) – MALAYSIA


Ada beberapa fakta yang saya suka mengenai FARASU ini, pertama mereka cekal dengan konsep bawaan mereka iaitu metal ‘ketimuran’ sejak dari awal kemunculan pada 2002 dahulu hingga kini. Kedua, aktiviti dipentas dan studio berjalan seiring. Mereka bukan sahaja aktif membuat persembahan dan siri jelajah sekitar benua namun mereka juga kuat bekerja di studio bagi menghasilkan karya-karya baru atas nama Farasu. Ketiga, mereka antara yang mementingkan pakej profesional dalam setiap hasil yang akan dipasarkan. Biar reka letak kulit album, ilustrasi cetakan t-shirt dan sebagainya, semuanya mendapat sentuhan berseni.

Album ini dirakamkan dan diadun oleh Azumbi di Retrax Studio, Putra Walk Seri Kembangan Selangor manakala proses mastering dilakukan oleh D'Atok Akeem di Otai Art Studio. “Sulalatus Salatin” adalah sebuah epik death/rock atau melodic death metal yang digarap agar mudah dihadam riffing nya, mudah dibawa headbang, dan punyai keunikan pada elemen-elemen kenusantaraan yang tepu. Sebuah trek Instrumental berjudul Eastern Symphonic menampilkan sayembara alat-alat muzik etnik/tradisional oleh DEWANGGA SAKTI dipersembahkan dalam album ini sebagai bukti arah tuju yang mereka tunggangi. DEWANGGA SAKTI dianggotai ahli-ahli CRYPTIC MALEDICTION yang boleh dinobatkan antara yang pertama mempelopori Eastern death metal di Malaysia. Bagi FARASU, mereka boleh dikatakan lebih progresif dan moden berbanding CRYPTIC.

FARASU menekankan pengunaan Bahasa Melayu dalam album ini kecuali trek Rise Ov Semberanica dan Eternal Eingriff yang dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris. Mereka memilih untuk merakamkan sebuah lagu saduran dari M.Nasir berjudul “Meniti Titian Usang” yang pernah dimainkan sebuah cover band pada tahun 1986. FARASU tidak banyak menyentuh struktur asal lagu ini dan dibawa dengan penuh cermat.

Pengunaan keyboards dalam album ini telah memberikan sedikit rona serta memantapkan setiap latarbelakang irama yang dianyam mereka. Secara keseluruhan, album ini adalah yang terbaik pernah dihasilkan FARASU. Sulalatus Salatin dikeluarkan dalam format digipak CD dan boleh diperolehi dengan harga RM25 sahaja.

Dipetik dari Rakap Besi isu # 8 (Oktober 2018)


Saturday, May 22, 2021

BATHIL single CD (HUD HOOD RECORD) - MALAYSIA


Amin Arawi merupakan seorang pemuzik versatile di Perlis. Apa genre muzik yang dia tak pernah sentuh? Rock, Ooi, black thrash, qasidah? Semuanya beliau sudah khatam. BATHIL adalah ekspresi diri Amin sebenarnya. Amin adalah BATHIL, dan BATHIL adalah Amin. Dua entiti dari persona yang sama. Amin menulis dan memainkan kebanyakan alat muzik sendiri, bahkan beliau turut menjalankan majoriti kerja-kerja rakaman dan adunan secara sendiri di kediamannya. Dengan pasukan pemuzik berbakat yang lain, iaitu Ayarts, Khad dan Fee, mereka telah memberi tambahan nilai kesenian pada muzik BATHIL. Mereka membentuk ‘super group’ pop etnik yang tidak pernah wujud di Perlis sebelum ini. Dikala M. Nasir sendiri telah ketandusan idea untuk menulis lagu-lagu sebegini.

BATHIL tidak memberi saya ruang langsung untuk mengkritik muzik mereka. Komposisi mereka matang dan mantap. Mereka perlu promosi yang lebih besar jika mahu bergerak di arena arus perdana. Mereka perlu strategi yang lebih mesra media sosial dan lebih kapitalis. Ia bukan bermaksud untuk mengadaikan prinsip, tetapi untuk menjana pendapatan bagi mendapatkan dana rakaman berkualiti, alatan muzik berkualiti, penjenamaan dan juga kelangsungan modal untuk menjalani latihan secara berjadual.

Ini bukan zaman pemuzik dapat hidup dengan jualan album atau zaman dimana label boleh mengorek bakat baru untuk dikembang biak. Sekarang adalah zaman toko muzik tutup buku, zaman rakaman antik diulang cetak lebih laris dari yang moden.

Ada dua lagu berdurasi mencecah hampir 12 minit dalam pek langsing yang dilancarkan pada 7 April lalu dengan harga RM20. Setiap RM2 dari hasil jualan CD ini akan disalurkan kepada Aman Palestin. Beri sokongan kepada mereka.

Dipetik dari RAKAP BESI ZINE # 6 (Oktober 2018).


IRON MOTH “The Kill Room Journal” (GOATLORDTH RECORDS) – MALAYSIA


Saya ini metalheads yang skeptikal apabila muncul band dengan gelaran Iron, Death, Black, Blood atau Dark.. saya merasakan ini pasti sesuatu idea yang dimainkan semula, berulangan dan bosan. Namun kumpulan ini bolehlah dikira kumpulan all-stars group di Malaysia kerana ia ditubuhkan sebagai kumpulan projek oleh anggota-anggota SPIRAL KINETIC CIRCUS, ASSAULT, KELADAK, INFECTIOUS MAGGOTS, GORESLUTS dan HEREAFTER. Rakaman sulung mereka dalam format digipak ini muncul tanpa sebarang amaran, dan ia nampaknya mendapat maklumbalas yang positif dari ramai peminat muzik berat dan gelap sebegini iaitu: doom/stoner metal. 

Saya bukanlah pandai dalam mengkritik genre ini, namun pada pandangan peribadi mereka berjaya membawanya. Ia kedengaran mengerikan dan susunan yang adakala dalam radius mid tempo kemudian bertukar kepada lalok dan lengai kekal sebagai asas genre ini. Tetapan bass yang berjelaga dan busuk, disamping riffs yang seram ala Iommi disepuh secara bersahaja namun kemas. Ada bahagian mereka membawa pendengar kearah DSBM yang kini ada pengikutnya yang tersendiri di Malaysia. Tambahan lagi mereka pula membawa konsep pembunuh bersiri. 

Secara keseluruhan “The Kill Room Journal” adalah produk yang bagus, saya sukakan juga reka letak digipak ini yang kemas dan kelihatan professional. Cubalah!

Tuesday, April 27, 2021

SILENT DEATH “Eternal Damnation” (DEMO 1990 RERELEASED) – MALAYSIA

 Walaupun bootleg demo kaset ini ada di pasaran bawah tanah, 2 lagu dari rakaman ini turut pernah disertakan dalam “Harbringer of Devastation” CD keluaran Psyhic Scream dan ia boleh dimuat turun melalui berbagai laman perkongsian fail serta boleh didengar secara langsung di YouTube, keluaran ini saya beli untuk menyokong karya mereka, dan hasil usaha label yang terdiri daripada rakan-rakan.  

Demo ini dirakamkan di Amerah Studio, KL pada 26 November 1990 merupakan kebanggaan pergerakan muzik UG death metal buatan Malaysia. Demo ini memberi satu impak baharu kepada Silent Death yang sebelum ini hanya dikenali kental membawakan muzik live, kini mereka sudah melangkar ke dunia rakaman dengan karya-karya ciptaan sendiri. Bahkan koleksi-koleksi hasil rakaman Amerah studio seperti INFECTIOUS MAGGOTS  "Life Among The Ruins" (1990), NECROFIST “Demo # 1”(1990), SIL KHANNAZ “Assassin Led by Blasphemy” (1992) sudah menjadi khazanah muzik berat Asia Tenggara.

Three Blade Production bersama-sama cebisan anggota Silent Death sendiri telah memberi penghormatan sewajarnya pada “Eternal Damnation” dengan melakukan mastering dan menerbitkannya semula dalam format pro CD dengan sunting yang wajar pada reka letak dan lukisan kulit depan yang asal. Ia dicetak secara rasmi sebanyak 300 keping dan dijual dengan harga RM26.

Mendengar demo ini membuatkan saya terfikir betapa hebat dan kreatifnya Silent Death ketika itu, lagu-lagu mereka berat, permainan mereka mantap, sangat mengingatkan saya kepada kumpulan MASTER. Mereka ikon old skool death metal KL yang akan terus diingati sampai bila-bila.

Hubungi: MTD Produtions +60173204301

Saturday, April 24, 2021

VINIIR “The Story Chapter II” (terbitan berdikari) – MALAYSIA

VINIIR yang lahir dari kewajaan scene metal Ipoh pada 2009 membawa satu konsep yang sering mendapat kritikan hebat sama ada di dalam atau luar negeri iaitu: VIKING METAL. Bagi yang tidak tahu, subgenre ini dipelopori oleh kumpulan-kumpulan dari Scandinavia terutamanya Norway dan Sweden. Walaupun BATHORY boleh dikatakan pengasas kepada haluan ini, ia mula dikategorikan sebagai Viking Metal pada tahun 90an. Secara asasnya kumpulan ini mempersembahkan black/death metal tradisional dengan kacukan elemen folk bermelodi.

RAVENLORD adalah kumpulan yang menyahut cabaran ini buat kali pertama. Dan mereka kini mencapai status ‘otai’ di Malaysia. Kumpulan dari negara khatulistiwa berceloteh tentang salji, hikayat dewa-dewi dari Aasgard, kehidupan selepas mati di Valhalla dan keperwiraan Viking sudah tentu akan mencetuskan kontroversi. Walaupun RAVENLORD adalah pemuzik yang hebat, saya pernah membaca mereka hanya mendapat markah 1/6 dalam majalah di Europah, termasuk beberapa bands dan label disana membuat jenaka akan konsep mereka. Namun mereka tabah dan kekal hingga kini.

Mungkin tidak keterlaluan jika saya kata VINIIR adalah legasinya. Mereka mampu memainkan instrument dengan baik. Mereka mampu mengarap lagu dan melodi yang memukau termasuk menerapkan beberapa bahagian yang ‘cathcy’ berserta choir. Mereka juga berjaya mendapatkan rumah produksi yang sesuai dengan muzik mereka iaitu Necro-X Studio. Album ini diadunkan dengan cemerlang oleh Amirgeddon dan boleh disenaraikan sebagai diantara hasil yang kemas dari Necro-X.

Saya perolehi CD ini dari Jac Bullet (pemain dram mereka yang kini dah menetap di Kangar) semasa berlangsungnya Perlis Zine Fest . Terima kasih Jac! Bagi mereka yang gemarkan muzik dengan tema Viking dan juga sedikit sebanyak sentuhan Finnish rock. Apa kata anda hubungi mereka di facebook. “Your Time” sebuah lagu perghormatan untuk lagenda death metal tempatan SILENT DEATH turut dimuatkan dalam album ini.

Dipetik daripada Rakap Besi, isu # 5 (Disember 2016)

Saturday, October 31, 2020

DEFENESTRATE THE BELLWETHER "Refusal to Surrender" demo kaset.



Bagi yang tidak tahu, Barbarossa (pengasas Rakap Besi) telah menubuhkan sebuah kumpulan grindcore bernama DEFENESTRATE THE BELLWETHER pada Disember 2019. Kerja-kerja rakaman demo sulung mereka telah terbantut sekian lama apabila wabak Covid-19 melanda dunia.

Bagaimanapun demo itu terbit juga pada Oktober 2020 berjudul "Refusal to Surrender" dalam format kaset yang mengandungi 13 buah trek. Kuantiti terhad dalam 50 unit sahaja! Hubungi mereka untuk tempahan: rammyazmi@gmail.com

Monday, September 28, 2020

TERSELINDUNG “Selera Besi” (ZUATH GENERATION DISTRO) - MALAYSIA



Saya menerima promo pek CD ini bersama poster, button dan pelekat daripada Zuath Generation pada awal tahun 2020 namun tidak berkesempatan untuk menuilis tentang muziknya kerana sibuk dengan urusan harian lalu akhirnya saya terlepas pandang hingga ke hari ini. Bagaimanapun bak kata omputih, “better late than never”, saya pun luangkan masa malam ini sekali lagi untuk mendengar CD ini. Saya sudah pun mendengar beberapa lagu mereka dalam media sosial sebelum itu dan teruja untuk mendengar album mereka ini. Saya mendapat tahu duo ini adalah anggota-anggota yang terlibat dalam projek TARANTULAH sebelum ini dan apabila Man Rabax, selaku teraju mereka meninggal dunia pada Ogos 2019, mereka pun meneruskan karier mereka dengan TERSELINDUNG. Mereka nampaknya meneruskan legasi punk thrash atau crossover dengan lebih fokus dan jenama yang lebih agresif. Ia sebuah penghormatan bagi Man Rabax.

Muzik mereka berat, mempunyai struktur yang kemas dan berjaya mengauli elemen-elemen punk, hardcore dan thrash ke tahap optimum biarpun hanya melibatkan rakaman bilik tidur. Mereka berjaya memberi kepuasan kepada pendengar muzik bawah tanah dengan karya-karya mereka yang bingit, pedas dan jujur. Kadang-kadang gaya nyanyian Mr. Ghoul mengingatkan kita kepada lenggok penyanyi-penyanyi thrash dan hard rock Melayu pada era awal 90-an. Manakala melodi-melodi hardcore yang rancak itu bagaikan gula yang dimasukkan ke dalam masinnya riff-riff thrash mereka. Kerja-kerja adunan dan mastering yang dibuat adalah antara yang terbaik pernah saya dengar daripada kumpulan-kumpulan punkcore seumpama mereka. 

Dapatkan CD ini, sokong mereka. Harganya tak masuk akal dan sangat berbaloi!

Saturday, August 29, 2020

IMPIETY “Versus All Gods” (SHIVADARSHANA RECORDS) – SINGAPURA

Nampaknya jodoh mereka bersama label dari Belanda ini kembali bertaut setelah dipinang buat kali pertama untuk single 7” “Slave the Goat” pada tahun 1994. Dahulu saya berkawan baik dengan tunjang kumpulan ini, namun setelah mendapati kami berbeza fahaman manakala saya pula tidak mahu syubahat dalam soal akidah. Saya tinggalkan IMPIETY, lagi pun masa itu kugirannya sudah mula diterima dunia sebagai satu kuasa besar muzik metal Asia dan mempunyai mungkin ribuan peminat di Malaysia. Sahabat macam saya ni apalah sangat... Maka Impiety terus berkembang dengan caranya, saya tak kisah. Lagipun kita mempunyai kebebasan untuk memilih. Kali terakhir saya mendengar karya mereka ialah daripada album “Paramount Evil” tahun 2004.

Saya mendapat berita daripada seorang rakan memaklumkan satu musibah telah menimpa beliau dan mengubah perspektif beliau dalam kehidupan ini ke arah yang lebih positif. Saya tumpang gembira. Saya difahamkan dia menubuhkan sebuah kugiran black/death metal yang baharu bernama DEVOUROR pada tahun 2018 dan telah pun merakamkan sebuah EP “Slay for Satan” yang diterbitkan oleh label Malaysia, Metal Zone. Mereka mencetuskan kegemparan kerana membuat persembahan gig di Kuala Lumpur pada 21 April 2020 ketika PKP sedang dilaksanakan. Walaupun dihebahkan kononnya gig itu dibatalkan setelah mendapat bantahan daripada komuniti Kristian setempat. Mereka tetap berjaya membuat persembahan di sebuah lokasi rahsia.

Ketika itu saya fikir mungkin Shyaithan, sebagai tonggak utama Impiety ingin menguburkan kugiran induknya itu untuk beralih kepada DEVOURER yang membawa dimensi baharu dalam karya-karyanya.

Jujurnya saya sudah ketinggalan 4 album penuh, 4 EP dan begitu banyak sekali keluaran split CD, live album dan kompilasi album mereka untuk mengulas secara terperinci. Jadi saya mulakan daripada apa yang saya tinggal dahulu, dan sambung dari titik “Versus All Gods” ini. OK. Saya membeli LP ini dengan penuh rasa teruja untuk mendengar isi kandungannya, saya ingin menyokongnya Impiety jika kena pada penilian saya.

Sebaik memasangnya saya agak terkejut dan kagum kerana Impiety begitu konsisten sejak dahulu. Mereka terus cekal berkarya dalam tema peperangan dan mengubah lagu-lagu daripada ribut dan taufan. Mereka tak tahu mengalah. Riff-riff yang dimainkan oleh Muhammad Iszar begitu banyak menghidupkan semula tona-tona death thrash sebagai mana yang diikat dalam album tersohor mereka “Skullfucking Armageddon” (1999), bahkan tidaklah pelik jika saya katakan album “Versus..” ini bagaikan bahagian ke:II Skullfucking Armageddon yang diperkemaskan melalui rakaman dan sentuhan anggota baharu. Tidak adil jika saya katakan “Versus..” lebih baik daripada “Skullfucking..” kerana kedua-duanya ada kelebihan tersendiri. Namun yang samanya adalah bunyi dram yang agak meredam di belakang, bergema dalam seolah-olah dentuman yang gerunkan sedang berlaku di dasar lautan. Manakala bunyi gitarnya menyiat-yiat tajam dan bermelodi jahat. Tiada sebarang perubahan pada vokal melainkan Shyaithan semakin kurang mengunakan manipulasi kesan bunyi sebaliknya hanya membiarkannya kedengaran natural. Seolah-olah ia rakaman langsung. Solo-solo gitar yang hebat pula dimainkan oleh Nizam Aziz, pemain gitar mereka sebelum ini. Mungkin dia akan terlibat dalam persembahan live juga? Manakala rakaman album ini dikuasakan oleh Wotjek dan Slawek Wieslawski di Hertz Studio, Poland pada Mac 2018. Dalam album ini ada sebuah lagu berjudul “Interstellar Deathfuck” yang memuatkan alunan dan harmoni suara wanita, Tahu tak? hampir tersembur air kopi yang sedang saya hirup ketika mendengarnya. Saya teringat dalam sebuah wawancara yang saya buat bersama Shayaithan pada tahun 2002. Jika waktu itu mungkin dia boleh muntah jika dicadangkan suara wanita dan bunyi keyboards dalam muzik Impiety. Tetapi itulah perkembangan manusia, pandangan dan citarasa boleh berubah apabila diuji dengan masa dan pengetahuan.

Banyak orang memberi komentar mereka suka lukisan kulit album ini yang dilukiskan oleh Jenglot Hitam, ia mengambarkan peperangan dewa-dewi yang menjadi topik kegemaran Impiety sejak dari dahulu lagi.

“Versus all Gods” adalah sebuah album yang jahat, berat, penuh tradisi yang sinonim kepada nama Impiety. Jika anda bukan peminat black death metal sila jauhkan diri.

Untuk keterangan lanjut: mightyimpiety@yahoo.com

Friday, July 31, 2020

TRAUMA "Balakosa" (MORBID NOISE REC) - INDONESIA


Saya mendapat promo pack TRAUMA "Balakosa" ini daripada Nino ketika menemubual mereka di Hatyai, Thailand. TRAUMA yang dalam siri mempromosi album ke-5 telah bergabung dengan veteran black metal dari Poland, BESAT untuk menjayakan mini tour bandar Ipoh, Penang dan Hatyai. Lucunya ada sebuah band death metal lagenda dari Poland turut bergelar TRAUMA (sebelum 1992 bergelar THANATOS).

Suka untuk saya katakan Trauma muncul dari era kami pun mula berjinak-jinak menubuhkan band, ketika saya menubuhkan THE RAVEN pada tahun 1999, setahun sebelum itu Trauma melancarkan album sulung mereka iaitu "Extinction of Mankind" (1998) dan mula diperkenalkan di Malaysia oleh Psychic Scream Entertainment (kini sudah berkubur) dalam album kompilasi CD dan kaset Panggilan Pulau Puaka II dengan lagu berjudul "Tragedi Umat Manusia". Daripada trek dalam kaset itulah saya mula mengetahui tentang mereka. Jika saya tidak silap sebelum bergelar Trauma mereka bernama TAKDIR?.

Album "Balakosa" ini mengembalikan mereka kepada akar umbi Trauma setelah lama bereksperimentasi dan memasukkan elemen melodic ke dalam muzik mereka melalui 3 album sebelumnya iaitu: Paradigma: Demi Hidup Tak Harus Mati (2003), Dominasi Kemenangan (2008) dan Perennial (2012). Struktur lagu-lagu mereka ampuh dan lasak mengingatkan saya kepada acuan old school death metal daripada hero-hero yang kita kenal seperti DEICIDE, DISMEMBER, GOREFEST dan HYPOCRISY lama. 

Promo pack ini didatangkan bersama poskad, tote bag, dan CD. Peminat kaset bolehlah bergembira kerana "Balakosa" turut didatangkan dalam format tape. Album ini dirakamkan dengan baik, menjalani proses adunan dan mastering yang selayaknya untuk death metal dan dilengkapi dengan ilustrasi yang baik. Mereka turut mempunyai barangan rasmi seperti t-shirt dan kasut. Boleh hubungi Morbid Noise cawangan Malaysia (Penang) untuk mendapatkannya dengan klik di SINI atau Whattsapp ke: +60111036 3165

Monday, February 24, 2020

13 KRIEG! - MALAYSIA



13 KRIEG! “Rehearsal 2017” (MTD PRODUCTION) – MALAYSIA
Mereka adalah kumpulan National Socialist Black Metal (NSBM) dari Petaling Jaya yang merupakan sebahagian cebisan pergerakan Darah & Maruah Tanah Melayu. Ketika saya menerima pakej 13 KRIEG! di dalam peti surat. MTD Production menghantar mesej meminta saya menutup mata pada falsafah kugiran ini dan mengulas dari sisi muziknya sahaja.

Antara pantang larang apabila meminta saya memberi ulasan muzik adalah memberi arahan “do and don’t”. Aarrgh! Kamu bermain muzik ikut suka hati kamu, dan kamu tidak membenarkan pengulas/zine editor menulis ikut suka hatinya?! Percaya atau tidak, saya hanya mendapat arahan-arahan begini dari kugiran Malaysia!

Bagaimanapun saya memang tidak mahu ulas panjang mengenai konsep dan propaganda mereka. (mereka pun siap tulis lagu berjudul “propaganda” dalam CD ni). Dari segi muzik, mereka berjaya membawakan komposisi-komposisi yang mantap, bertenaga dan mampu memenuhi citarasa setiap fanatic NSBM. Walaupun ia dirakam secara mentah dan busuk, setiap butir permainan mereka dapat didengar dengan jelas. Mereka mengendali alatan muzik dengan bagus. Nada vokal penyanyinya juga kedengaran jahat dan sadis. CD ini patut dijadikan koleksi oleh setiap peminat black metal jika anda tidak kisah pada unsur facism yang dijulangkan oleh mereka. Turut dirakamkan sebuah lagu saduran dari DARKTHRONE berjudul “Under A Funeral Moon” yang kini boleh dikelaskan sebagai klassik. Hubungi MTD untuk CDR ini atau anda boleh juga dapati dari beberapa distro luar negara dengan membuat carian di Google.

13 KRIEG! “Propaganda 88” (MTD PRODUCTION) – MALAYSIA
OK! Ini adalah promo CD khas untuk label dan zine. Dua lagu dari rehearsal direkodkan dengan kualiti bunyi studio. Terdapat beberapa sentuhan baharu dan ‘necro’ dimasukkan namun mereka terus tegar berada dilandasan NSBM. Rakaman yang bagus, hingga terkadang saya mengimbau lagu-lagu berhantu dari BURZUM pada beberapa aspek terutamanya pada vokal dan tetapan bunyi gitar.

13 KRIEG! Adalah sebuah kugiran ekstrim metal yang berpotensi namun bakal mengundang kontroversi jika nama mereka melonjak naik di pesada muzik berat Malaysia suatu hari nanti. Dengan nama kreig yang bermaksud ‘perang’ dalam bahasa Jerman, amat mustahil bagi entiti ini untuk berganjak ke haluan yang lebih mesra alam. Black metal hutan selamanya!


Untuk membaca tentang pemuzik National Sosialist acuan Malaysia sila klik sini.

Saturday, November 10, 2018

TERRY ROTTEN “Sperm from the Past” (RAUNG REC/SUKMA REKORDS) – MALAYSIA

 

Beginilah, sebenarnya saya meletakkan pengharapan yang tinggi kepada TERRY ROTTEN kerana pengalaman mereka bermuzik sejak 2003, manakala The Ghost @ Alwie adalah seorang gitaris hebat yang memberi impak melalui hasil kerja bersama ZUBIRUN, VIOLATOR dan EVENTIDE HORIZON sebelum ini. 

Dan sebenarnya saya tak tahu nak ulas bagaimana kaset ini? Bolehkah saya kata ini sebuah album memandangkan ia mengandungi 9 buah lagu? Saya risau juga hendak beri pandangan dan kritik kerana kebanyakan kumpulan di Malaysia tidak begitu terbuka pada kritikan. Album ini dipenuhi dengan riff-riff yang menarik dengan dengan kualiti rakaman yang boleh kira bagus oleh Jack Cheong di Decklab Studio, Taiping. Kebanyakan lagu-lagu mereka berdurasi singkat dan ligat mengasak mirip THE EXPLOITED, MISFITS, OPPOSITION PARTY, THE BOLLOCK. Manakala ekspresi nyanyian dan lirik redah tanpa hirau tatabahasa menjurus kepada gaya grunge era 90-an. Bagi saya mungkin TERRY ROTTEN boleh diperkemaskan dan dipertingkatkan lagi beberapa aspek di masa akan datang. 

Kepada pengemar muzik punk rock dengan elemen crust jangan ketinggalan untuk mendapatkan kaset terbitan kerjasama antara Raung Records dan Sukma Records ini.

NASARAKH “Prevail” (terbitan berdikari) – BRUNEI

Demo CD ini dihadiahkan kepada saya oleh Aris dari Belait, Brunei. Saya memang sudah ketinggalan dan tidak tahu menahu tentang perkembangan scene metal/punk di Brunei kecuali SENJAKALA kerana mereka aktif membuat persembahan di Malaysia. Itu pun saya hanya pernah mendengar lagu rakaman studio mereka dalam kereta Eddie, The Four Housemen ketika turun menonton gig Frank Blackfire di Johor. Selain itu saya ada melihat beberapa video live yang dikongsikan oleh peminat-peminat mereka. Mereka bagus. Tidak banyak yang saya tahu dari kulit CD ini kecuali demo ini dirakamkan pada tahun 2015 di Black Mystic Studio, menampilkan 4 orang anggota iaitu: Nawreal selaku pemain gitar dan vokal, Ajzael selaku pemain gitar, Matt selaku pemain bass dan Ajdael sebagai pemain dram. CD ini memuatkan 3 lagu yang dirakam secara amatur namun kualitinya OK. Saya sebenarnya terkejut juga dengan demo ini, ia seolah-olah mengembalikan nostalgia demam black metal awal pada pertengahan 90-an dahulu. Dengan eja nama band ‘…arkh’, susunan lagu dan tetapan bunyi, semuanya membawa kepada pengaruh-pengaruh seperti MORTUARY DRAPE, COUNTESS, ROTTING CHRIST ‘Thy Mighty Contract” era, HAYAGRIVA “Lord of Neverending Wrath” era, GRAVELESS dan sebagainya. Band terbaru di Malaysia yang masih bergentayangan di alam 90-an ini adalah OMEN.