Wednesday, September 7, 2016

RIDE TO KOTA KUALA KEDAH


RIDE TO KOTA KUALA KEDAH
4/9/2016

Dalam keadaan dukacita kerana dipindahkan ke Gombak dan diserapkan ke Kementerian Kesihatan Malaysia, saya meneruskan juga program ini. Lebih sedih apabila beberapa orang rakan lagi menarik diri, Mad Duha nak ber-camping di air terjun mana ntah? Lutfi pula bapa mertua suruh pasang tiles rumah baru, dan Aku Napie pula ada kekangan masa setelah pulang dari JB Zine Fest. Maka kayuhan pagi ini disertai oleh Wan Fazrul, ahli baru dari Terengganu.

Saya pernah membuat kayuhan ke Alor Setar 2 tahun lalu dalam “Kickin’ and Thrashin’ Fist” dengan meletakkan kedai metal Hard & Heavy yang dimiliki CS Wild sebagai destinasi. Namun kali ini jaraknya hanya sekitar 47 km bermula dari Kampung Tebuk, Simpang Empat. Titik permulaan dari Kuala Perlis terpaksa diubah kerana Wan Fazrul masih kurang arif tentang jalan di Perlis dan saya memilih untuk bermula di rumah mertua beliau tepat jam 7.00 pagi.



Kayuhan pada pagi ini sangat mendamaikan dan mesra alam. Cuaca boleh dikatakan mendung sepanjang hari, menjadikan foto-foto yang diambil bagai mengunakan kesan khas. Padahal semua foto yang anda lihat ini, langsung tidak disunting!

Wan Fazrul sempat melakukan latihan beberapa kali kerana saya telah memberi tempoh selama 1 bulan untuk bersedia. Ternyata beliau tiada sebarang masalah dan MTB beliau yang sebelum ini mengalami masalah tayar telah pun berjaya dibaiki.












Kami berehat di beberapa tempat sambil mengambil foto. Walaupun di Kedah, agensi dan jabatan kerajaan beroperasi pada hari Ahad, kami tidak sangkut dalam kesesakan lalu lintas, mungkin kerana kami melintasi sempadan Kedah-Perlis sudah melewati 8.30 pagi dan memasuki simpang empat ke Kubang Rotan kira-kira jam 10.20 pagi. Suasana di pelantar ikan Kubang Rotan juga tenang dan tidak terlalu sibuk.



Kami tiba di Kota Kuala Kedah pada jam 11.00 pagi. Suasana masih nyaman dek cuaca yang mendung. Kami disergah pengawal keselamatan kerana membawa basikal ke kawasan larangan. Namun Wan Fazrol pantas dengan muslihatnya, kononnya hanya mahu bergambar. Kota Kuala Kedah, yang juga dikenali sebagai Kota Kuala Bahang dibina pada 1771 semasa zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa dan siap dibina pada 1780 semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin ibni Sultan Abdullah Mukarram Shah II. Mengikut sejarah Kota Kuala Kedah  ini penah dimusnahkan dua kali oleh Armada Acheh dan Armada Thai.

Kota yang diilhamkan sendiri oleh anak Melayu ini adalah benteng pertahanan negara Kedah dari serangan musuh, terutama serangan Siam dari arah laut. Reka bentuk kota ini dilukis oleh Hafiz Sab, yang ketika itu memegang jawatan Datuk Maharaja Kadi, manakala tukang-tukang yang mahir dibawa masuk dari India. Ketika pendudukan tentera Jepun, mereka turut menjadikan kota ini sebagai kubu pertahanan dalam Perang Dunia Kedua.












Terdapat sebuah gerbang yang dikenali sebagai Pintu Gerbang Kadapuri dibina di bahagian tembok timur menghadap ke Alor Melaka oleh orang Inggeris apabila Kedah dengan rasminya diletakkan di bawah penguasaan British pada 1909, pejabat kerajaan British dibina dalam kawasan kota itu.

Manakala sebuah rumah api telah dibina di dalam Kota Kuala Kedah pada tahun 1891 yang ketika itu dikenali sebagai 'rumah pelita'. Kos pembiayaannya dibiayai oleh Kerajaan Thailand pada zaman pemerintahan Raja Chulalongkorn (1868-1910). Ia masih berfungsi sehingga kini.




















Puas bergambar di sekitar kota dan kemudian kami bergerak ke tepi pantai untuk riadah dan terus bergerak mendaki Jambatan Tok Pasai. Saya yang menaiki fixie hanya mampu melihat Wan Fazrol megah dengan MTB nya. Saya papah basikal dan kami sekali lagi bergambar kenangan. Dalam masa yang sama saya ambil kesempatan untuk tampal flyer Perlis Zine Fest yang akan berlangsung 15 Oktober ini.



Kecewa sungguh bila tiba di pekan Kuala Kedah apabila restoran mamak Mee Abas tak buka! Maka terpaksalah kami makan di nasi campur ikan merah goreng sambil mendengar tazkirah Imam kepada pengantin dalam Tamil yang datang dari Masjid India sebelah warung ini. Saya hairan kenapa AJK Masjid India mengunakan mikrofon azan untuk tazkirah dan akad nikah yang boleh didengari seluruh pekan? Kawasan yang didiami pelbagai kaum yang majoriti nya Melayu? Sebuah sekolah sedang dalam pembelajaran pula terletak di hadapan masjid. Bukankah Islam itu aman, menghormati orang lain dan lunak ajarannya? Ini bukan cerita perkauman. Mungkin pengajian kitab Ibn Jauzi tentang belitan Iblis boleh diadakan di sini.



Oleh kerana gagal mendapat khidmat rakan untuk membawa kami pulang dengan trak nya. Kami kayuh pulang yang membawa kepada jarak keseluruhan 94 km. Kami memulakan perjalanan pulang sebaik hujan mula turun. Namun hujan tidak berpanjangan, cuaca tetap mendung hingga ke petang. Kami pulang mengunakan jalan yang sama, daki jambatan Tok Pasai, Kubang Rotan, singgah sebentar di Restoran Bismi makan murtabak daging, melalui simpang Gunung Keriang, Jerlun, Ayer Hitam, Sanglang dan tiba di Simpang Empat, Perlis hampir jam 6 petang. 

Boleh jadi selepas kayuhan ini, saya akan berehat untuk tempoh yang lama kerana berhijrah ke bumi asing untuk kali ke-2. Mungkin boleh diwujudkan division baru di Gombak?






No comments:

Post a Comment