Monday, May 1, 2017

KTM HENTIKAN KEMPEN KEMBARA BAWA BASIKAL DALAM TREN



* BERITA DUKACITA BUAT PENGEMBARA BERBASIKAL

KUALA LUMPUR: Penumpang KTM Komuter bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth, tidak lagi dibenarkan membawa basikal dalam kereta api bermula 1 Mei ini. KTMB Berhad (KTMB) berkata, penguatkuasaan itu bertujuan menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang berikutan peningkatan jumlah penumpang, yang kini mencecah 11,000 orang sehari bagi laluan berkenaan. Katanya, pada awal perkhidmatan KTM Komuter diperkenalkan di laluan itu, hanya 500 orang penumpang dicatatkan sehari. KTMB membenarkan penumpang membawa basikal dalam tren komuter melalui program Ride & Ride, yang dilancarkan 1 Jun 2016. Program itu bertujuan menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan awam khususnya tren, dengan membawa basikal mereka ke dalam kereta api. Sejak program Ride & Ride diperkenalkan, jumlah penumpang membawa basikal dengan KTM Komuter di sektor utara meningkat, yang mana 10,173 orang dicatatkan bagi tempoh Jun 2016 hingga Mac tahun ini. Pengguna basikal menggunakan tren komuter untuk aktiviti berbasikal berkumpulan membabitkan beberapa destinasi popular dalam kalangan mereka iaitu Butterworth, Taiping, Gurun dan Padang Besar. 

"KTMB mengucapkan terima kasih kepada persatuan, kumpulan dan individu berbasikal yang menyokong dan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter Utara. "Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku berikutan perubahan syarat itu. Hal ini demi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang di masa depan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Oleh: Rammy Azmi

No comments:

Post a Comment