Saturday, December 2, 2017

FACEBOOK DETOX



Pernah anda rasa serabut sebaik meneliti satu persatu status rakan-rakan di facebook anda? Begitu banyak komen, pandangan kotor dan mencela hingga membuatkan anda rasa busuknya kata-kata itu hingga menganggu emosi anda seharian?

Pernah anda rasa loya dengan tokoh atau ahli politik, artis, selebriti, ustaz atau agamawan, peniaga kosmetik, atlet yang kerjanya asyik mengadu domba, memfitnah, menyebarkan kebencian dan perkauman, berlagak bijak, gedik, sombong, gemar jaja kisah peribadi dan segala macam hal yang busuk… 

Pernah anda rasa begitu banyak kerja, tanggungjawab, impian, ibadah, sasaran yang tidak dapat anda selesaikan kerana kononnya akibat kekangan masa, namun ada sahaja masa anda luangkan untuk meneliti segala isi kandungan facebook dan video-video tular yang disajikan mereka?

Pernah anda rasa melayari facebook lebih mengembirakan anda dari berbual-bual dengan ibu bapa dan anak-anak, bersiar-siar dengan basikal, riadah bersama rakan-rakan lama, bertukang, mendengar atau menonton persembahan muzik?

Pernah anda buat perangai bila mula berbual sahaja asyik tunjuk skrin telefon pada kawan untuk menyakinkan hujah cerita anda? Nak cerita tapi otak bingai tak ingat fakta. Kemudian asyik buka facebook selak skrin nak bagi orang baca.

Pernah anda jadi ‘tak tuntuang’ jika tak dapat kemaskini foto dan aktiviti semasa untuk tontonan umum?

Pernah anda rasa kesorangan dan amat bosan bila data habis. Wifi pun takda.?

Pernah anda rasa… anda somebody dalam facebook tapi realitinya: NOBODY?

Anda punk? Anda metal? Tapi terperangkap dalam facebook?

Bagaimana untuk tahu anda sudah berjaya “diprogramkan” oleh media sosial ini? Baik. Fikirkan… Dari mana ada perolehi:

1) Berita terkini tentang dunia dan kemasyarakatan setempat?

2) Gosip dan cerita sensasi mengenai personaliti yang anda minat dan kagum

3) Agama: fatwa, pendapat, hukum, bahkan anda percaya bulat-bulat tanpa kira siapa yang menulis segala macam pandangan.

4) Tip kesihatan tubuh badan, minda, seksual 

5) Tempat untuk melancong, bersukan, mengurat dan sebagainya

6) Kedai makan

7) Beli barang keperluan asas dan hobi. Konon banyak ‘rare’ di FB, (tengkorak hang rare kat facebook.. sapa pun boleh search guna hashtag ja)

8) Stok awek atau pakwe.

Sedar tak sedar kita dah jadi kambing yang digembala oleh media sosial. Kita, jika muslim, terikat pada syariat. Jika bukan muslim, terikat pada perkerjaan, keluarga, hak pada tubuh badan dan tanggungjawab sosial. Jangan sesekali terikat pada sistem sosial dengan cara yang memudaratkan. 

Fatwa Arab Saudi yang mengharamkan swafoto di tempat ibadah di Mekah & Madinah bermula minggu lalu adalah munasabah. Kami setuju dengan kata Presiden Turki, Erdogan “Perbualan media sosial telah mengambil alih percakapan yang tulus. Orang ramai mensia-siakan waktu mereka dengan telefon bimbit mereka bahkan di Mekah, Baitullah dan Masjid Nabawi di Madinah….. Sayang sekali, teknologi yang sepatutnya meringankan hidup kita, telah menjarakkan kita dari kehidupan secara berperingkat”.

Oleh itu, kami dari team Pedal To The Metal ingin mengajak sesiapa sahaja yang rasa ingin untuk detox (nyah toksik) minda dari terikat dengan facebook buat seketika. Itu pun jika anda mampu dan mahu merasai sesuatu yang positif. 

Ayuh deactivate akaun anda bermula 12 tengah malam 22 hb Disember hingga 12.00 tengah malam 31 Disember 2017 (9 hari), keluar kayuh basikal, main muzik, pergi solat fardu di masjid, pergi kuil, gereja, pergi panjat gunung, pergi tengok konsert tanpa fikir untuk swafoto, rakamkan kenangan hanya guna minda, bawa keluarga makan bersama di kedai sambil berbual, ikut jelajah bermotorsikal, pergi tonton filem, pergi mandi sungai, pergi kuliah agama, pergi lihat laut, pergi lawan tumbuk, memancing, kebun, tolong kebumi orang mati, pergi jalan-jalan pasar malam, keluarlah dan lihat alam dan fikir mengenainya.

Jangan bimbang, polisi facebook sekarang walaupun anda deactivate akaun anda. Sekali log in dengan kata kunci asal semua kembali seperti sediakala. 

SELAMAT BERCUTI DAN MENCUCI!

Pedal To The Metal



1 comment:

  1. Our bro Leon low sudah sebulan tidak berfb. Still wonder why? Semoga dia ok-ok ja.

    ReplyDelete