Tuesday, December 26, 2017

FITNAH


Saya menerima mesej dari beberapa orang rakan yang menyatakan artikel yang ditulis dalam Pedal To The Metal isu # 5 (Disember 2016) bertajuk “Poser, Politik dan Plastik” telah membuatkan seorang editor melenting. Ia sebuah artikel yang UMUM tanpa menyebut sebarang nama, foto, tempat. Dan seperti yang saya bawakan dan tulis di editorial sejak isu # 1 Pedal To The Metal lagi, kami adalah sebuah zine travelog muzik dan terbuka pada pemikiran kritis. Anda idealis? OK. Izinkan orang lain beri pandangan berbeza. Itulah kritis. 

Fitnah: Fitnah itu hukumnya sangat berat dan dosa besar. Dalam al-Quran ia membawa makna yang banyak seperti cubaan dan ujian, kesyirikan, siksaan, berpaling dari jalan kebenaran, kemaksiatan, kesamaran antara benar dan batil, sesat, pembunuhan, perselisihan pendapat, gila dan pembakaran dengan api. Manakala dalam maksud bahasa adalah bohong dan mengada-gadakan cerita.

Bila menulis sebuah artikel umum tanpa disebutkan sebarang nama dan identiti, adakah itu sebuah fitnah? Dan satu pandangan tentang attitude (sikap) terhadap satu aliran muzik, yang saya tidak sependapat terang-terangan jika saya bawakan dalam anekdot, adakah itu dianggap fitnah? 

Adakah yang saya tulis itu diri anda? Sehingga anda marah dan perlu buktikan sebaliknya? Dia langsung tidak lihat keadilan dalam penulisan artikel tersebut yang turut memuji sikap seorang traditionalis dalam soal kendiri UG.

Suatu ketika dahulu saya ada seorang rakan (saya tidak sebutkan namanya ya.. haha!) dia memberi suatu pendapat dan ulasan tentang satu filem Hollywood. Apabila dia berani memberi pendapat secara terang-terangan tentang betapa best-nya filem itu, betapa hebatnya CGI, aksi dan plot filem itu kepada kami. Dia seharusnya terima apabila ada orang lain kritik dengan pandangannya. Sebaliknya bila saya beri pandangan dan ulasan dari persektif saya. Dia melenting, merajuk dan kata saya tidak hormati minatnya? Baginya kritikan pada pendapatnya itu adalah menghinanya. 

Sama juga halnya jika kita lihat pertembungan pemikiran asatizah sekarang ini dari berbagai-bagai aliran. Ada seorang ustaz A membawa pandangan mengatakan maulid nabi tidak boleh dirayakan kerana ia bukan dari agama dan tidak pernah dicontohkan oleh nabi saw dan para sahabat. Dia berikan hujahnya. Ustaz A tidak pernah menyebut nama ustaz B dan organisasinya walaupun pandangan wajib merayakan maulid adalah pandangan Ustaz B. Namun kita dapat lihat bagaimana ustaz B mengamuk kononnya ustaz A memfitnahnya dan mengatakan dia sesat dan masuk neraka. Dia telah pergi jauh dan mengambil sesuatu diluar konteks penyampaian. 

Mereka sebegini tidak terbuka pada pandangan dan hanya mahu pendapat mereka sahaja diterima pakai. Mereka menganggap rakan-rakan yang tetap menjaga perhubungan namun berbeza pendapat itu sebagai ‘backstabber’. Padahal mengekalkan ukhwah walaupun berbeza pandangan itulah akhlak Islami. 

Mungkin bagi mereka sahabat harus jadi 'macai'.

Rasanya artikel “Poser, Politik, Plastik” itu telah berjaya membuka ruang untuk generasi muda berfikir tentang pentingnya untuk jadi diri sendiri. Saya berlapang dada dalam hal ini dan beranggapan ia satu promosi untuk zine hipster saya. 

Ukhwah tetap diteruskan. 
~ Rammy the preacher

No comments:

Post a Comment