Saya mendapat tahu mengenai air terjun ini dari blog BudakLetrik. Air terjun ini ditemui pada awal tahun 2015 dan diberi nama Air Terjun
Tujuh Puteri dan kini lebih dikenali sebagai Air Terjun Kampung Tauhid. Saya
tidak suka nama tempat ini dikaitkan dengan bunian dan pengagungan jin dan perihal
khurafat, oleh itu saya lebih suka diperkenalkan kawasan ini sebagai Air Terjun
Kampung Tauhid.
Seperti kebanyakan tempat di Gombak yang dibuka oleh orang Indonesia dan membawa identitinya ke sini. Nama Kampung Tauhid yang terkenal dengan pesantrennya juga ada di Palembang.
Difahamkan tanah kawasan ini dimiliki oleh satu kumpulan
yang dikenali sebagai Zero Team, dan akhirnya mereka membuka penempatan ini dan
menamakan ia sebagai Kampung Tauhid. Kampung ini sudah pun mempunyai tok
ketuanya iaitu Maulana Tuan Sahak.
Ini adalah kali pertama saya mula mengayuh basikal sejak
berpindah ke KL pada September 2016 lalu. Dan mulanya saya berhasrat hendak ke Lubuk
Jepun, Kampung Orang Asli Gombak Batu 16. Malangnya rakan orang asli saya,
tukang tunjuk arah tidak bangun-bangun tidur walaupun sudah 8.00 pagi. Saya
sepatutnya lebih awal tahu orang asli sememangnya susah bangun awal pagi.
Gelisah masa terbuang sia-sia. Saya buka blog Budak Lektrik
dan ikut pedoman beliau ke sini. Tidak banyak maklumat di internet yang boleh
diperolehi tentang air terjun ini.
Jam menunjukkan telah pukul 9.00 pagi. Saya terus membawa
MTB saya menaiki kereta ke Bukit Permata, Sri Gombak. Bagi saya waktu ini sudah
lewat, kerana saya seorang yang suka bergerak di awal pagi. Jadi saya bercadang
untuk memulakan kayuhan dari Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman
Seri Gombak, lokasi yang boleh anda cari mengunakan aplikasi Google maps atau
Waze. Mudah. Jumpa tempat ini, anda pasti akan jumpa air terjun ini kerana
papan tanda telah diletakkan oleh Majlis Belia Selangor, X-Sting dan gabungan
pertubuhan NGO bagi memperkenalkan penempatan baru ini.
Pertama sekali anda akan melalui Tanah Perkuburan Islam dari
jalan belakang Taman Sri Gombak. Kemudian anda anda jumpa kawasan kebun sayur
yang kebanyakannya diusahakan atas tanah haram.
Anda boleh jumpa banyak papan tanda "Jangan Menceroboh Tanah Kerajaan" di sini, namun kawasan
tersebut telah jadi kawasan pertanian yang diusahakan oleh individu-individu
misteri. Seterusnya anda akan jumpa jirat Cina. Jalan berturap simen tamat
sehingga sini.
Dari sini saya mula mendaki jalan batu kelikir yang sunyi
dan redup. Sangkaan saya cuaca akan panas ternyata salah. Dari tinjauan, ada
kenderaan sering keluar masuk jalan ini.
Bukit Permata ini mempunyai hutan tropika dan paling menarik
ia turut dihiasi dengan bamboo grove (hutan buluh). Saya pasti jika malam dan
musim berangin, suasana pasti menyeramkan dengan alunan bunyi-bunyi pohon
buluh. Hutan buluh tua dan bersaiz besar ini mengingatkan keadaan rumah saya di
Kampung Repoh semasa kecil dahulu ketika masih belum wujud lebuhraya dihadapan
rumah saya. Rumah kami berhampiran hutan buluh. Selain rimbunan yang menjadikan
kawasan rumah kami gelap dan suram, pada malam hari pohon-pohon tersebut
mengeluarkan bunyi-bunyi aneh yang sangat menyeramkan. Ah.. itu kisah lama.
* PENTING: Simpang dua ini paling mengelirukan. Pilih yang kanan OK. Saya pun hentam sahaja. Mujurlah betul. Kalau rajin, cuba-cubalah pilih kiri mungkin ada dimensi lain situ? :)
Sampai kawasan bamboo grove ni memang teringat filem Predator (1987). Entah kenapa?
Melihat beberapa pondok-pondok rehat di lereng gunung dan
sekitar hutan, aku pasti kawasan ini meriah ketika musim raya puasa. Orang sini suka makan lemang. Meriam buluh tak tahu lah masih ada yang main atau tidak disini? Bagaimanapun sia-sisa batang-batang buluh yang baru dipotong menunjukan ini
adalah kawasan perindustrian berasaskan buluh (gazebo, hiasan rumah, alat
tangkap ikan, cenderahati) mendapatkan bahan mentah tanpa had. Mungkin juga kawasan ini kaya dengan herba ubat-ubatan tradisional?
Jalan batu yang sejajar dengan tiang elektrik kuasa tinggi
disepanjang cerun bukit menunjukan jalan-jalan ini mungkin dibuat oleh kontraktor terlibat. Dan seterusnya menjadi jalan para peneroka kawasan ini.
Kalau jumpa tiang seri ni.. Kau dijalan yang luruslah tu!
Nampak? bawah tu...
Selepas kawasan ini saya mula menuruni lereng bukit pula.
Jika MTB anda sempurna sistem brek dan keadaan tayarnya. Ini sudah tentu
nikmat. Di satu curam, anda dah boleh nampak penempatan Kampung Tauhid dari
situ.
Sebelah tu ada papan kayu "Kampung Rahmat". Dah nak buka satu lagi kampung baru agaknya?
Apabila tiba dihadapan penempatan ini, yang mirip homestay
pun ada, chalet pun ada, rumah kongsi pun ada, saya mula hilang arah. Ini
kerana ia telah dipagar dan ditembok. Saya berpatah balik dan bertanya pada
seorang penduduk yang kebetulan sedang basuh keretanya. Di situ kelihatan
banyak deretan kereta-kereta yang bukan dipakai orang miskin. Kata lelaki itu
saya harus masuk dan melalui kawasan rumah-rumah mereka. Lalu saya pun masuk.
Masuk aja!
Terdapat swimming pool di sini, surau atau khanqah yang
mungkin digunakan untuk bersuluk, pondok-pondok kecil sepanjang anak sungai
meretasi kampung mereka, ada kawasan latihan memanah, dewan makan (ketika saya
beri salam dan minta izin lalu, penduduk sedang menikmati sarapan pagi).
Walaupun saya merasakan penempatan ini dibangunkan oleh kultus atau pengikut
tarekat (firasat saya sahaja), saya lihat mereka harmoni, tidak memakai
seragam-seragam tertentu untuk mempamerkan identiti, lambang atau logo tertentu
untuk dicurigai.
Pada saya, tindakan mereka untuk hidup jauh dari kemaksiatan
kota, tenang beribadah, selain membawa tauhid yang jelas dan benar pada suatu
penempatan baru itu adalah kemuliaan. Tiada kesalahan dalam tarekat jika ia masih
dalam petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah. Tarekat apa pun, ia sekadar istilah.
Saya teringat 6 tahun lalu saya melawat Yayasan
Al-Jenderami, Dengkil, ia pondok moden. Dahulu ketika saya melawat, jujur saya
kagum dengan usaha mereka menerapkan nilai Islam dalam semua aspek kehidupan.
Ia penempatan yang mesra kanak-kanak, mesra warga emas, penuh dengan majlis
ilmu, aurat diperketatkan, jana ekonomi sendiri melalui perniagaan dan chalet.
Tetapi kini saya mendapat tahu mereka lebih gemar dengan Sambutan Hari Haul,
qasidah dan majlis keramaian selawat. Melalui sedikit penyelidikan, saya lihat penempatan
Kampung Tauhid kini turut mencuri perhatian kumpulan-kumpulan silat kebatinan, sufi
dan pentaksub bani Tamim.
Mahu tidak mahu. Anda perlu melalui penempatan ini untuk ke air terjun itu.
Tanah gambut, lembab. Sesuai untuk hutan buloh.
Bermulalah kawasan denai hutan sunyi menyusur jeram disebelah
kiri. Bunyi air memberi satu mood segar walaupun tiada satu bunyi unggas
kedengaran. Itu aneh bagi saya. Banyak tempat saya hanya terpaksa papah sahaja
MTB kerana pohon-pohon buluh yang tumbang. Denai juga agak sempit, sedangkan
saya lihat foto-foto di blog Budak Letrik itu lapang dan luas. Saya fikir
mungkin kini jarang-jarang orang datang ke situ melainkan penduduk kampung
Tauhid sahaja. Ini kita boleh kaji dari betapa tinggi belukar dah naik di denai
dan kawasan air terjun. Termasuk juga sepanjang denai, saya dapati hanya jumpa satu plastik
Twisties dan botol Coke sahaja. Bermakna, jarang-jarang orang masuk ke sini.
Dan sepanjang jalan saya tidak jumpa seorang pun pentaksub cross country, downhill, camper atau hiker. Jadi, istilah hutan dara itu masih boleh dijual untuk
Air Terjun Kampung Tauhid ini.
Beginilah keadaan denai yang anda akan tempuhi. Seryau juga babi lompat atas belakang.
Siapa rajin pi gantung tirai tengah utan ni? Puteri mandi telanjang kot na?
Rasanya tempoh masa diambil dari Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah ke Air
Terjun ini hanya memakan masa 30 minit, itu pun saya agak perlahan dan
berhati-hati kerana kali pertama cuba menjejaki tempat ini. Mungkin lebih
pantas jika sudah biasa. Bagaimanapun, sebaik tiba di air terjun, sebagai
pengayuh amatur. Rasa berbelit juga usus perut dibuatnya! Haha!
Air terjun sini boleh dikatakan bersih dan bebas pencemaran.
Kalau ke sini jagalah kebersihan kerana penduduk Kampung Tauhid mengunakan air
ini. Saya tidak pasti pula bagaimana mereka dapat bekalan elektrik. Mungkin
dari jenerator?
Pemilihan kasut yang cool dan bersesuaian ok!
Saya hanya ambil foto, basuh muka dan memuji kebesaran Tuhan
sebelum beredar dari sini. Saya cuba cuba untuk tandakan lokasi ini di Google
dan Facebook, malangnya tiada capaian internet di sini. Patutlah ia masih
misteri pada netizen. Mungkin sebab itu peminat MTB jarang ke sini, salah
satunya mungkin kerana faktor keselamatan. Sunyi kawasan ini. Dan satu-satunya
tempat saya jumpa manusia hanya di penempatan Kampung Tauhid tadi.
Pacat juga banyak di sini. Saya sudah digigit dua ekor pacat
tapi jangan bimbang lintah tiada dikawasan air terjun. Bagi mereka yang geli
pada pacat, gunakan krim anti serangga yang boleh dibeli difarmasi
sebelum ke sini.
Dan saya juga fikir disebabkan untuk ke air terjun ini anda
perlu melalui kawasan penempatan kultus, ia mungkin membuatkan pelawat-pelawat
dari bangsa lain agak keberatan kerana bimbang dianggap menganggu dan
menceroboh.
Saya hairan waktu pulang terasa begitu dekat sungguh
jaraknya ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah. Sedang ketika hendak ke air terjun walaupun dari
Kampung Tauhid tadi cukup jauh dan penat sungguh mendaki rasanya!
Buka kasut bot getah. Nindia kaki... dah macam zombie.
Saya akan ke sini lagi rasanya untuk menjejak air terjun
yang lebih tinggi. Katanya air terjun ini bermula dari tingkat 7. Dan foto-foto yang anda
lihat ini baru tingkat yang pertama.





































No comments:
Post a Comment