Monday, July 13, 2020

WAWANCARA BERSAMA KAS HARIZ


Dipetik daripada Isu # 8 (Oktober 2018)
Foto: Kas Hariz
Page: Kas Hariz Channel

Saya mengetahui tentang satu keluarga yang mengembara dengan van Datsun C20 daripada seorang rakan yang kebetulan melihat foto saya masuk ke kawasan air surut di Empangan Timah Tasoh, Perlis dengan memandu Volvo 740 untuk melukis permandangan empangan yang sedang dilanda kemarau teruk. Kata rakan saya “Kau tau ada satu family entah dari mana pi camping situ!?”. Saya pun mulalah menyiasat dan akhirnya bertemulah dengan KAS HARIZ di media sosial Facebook dan instagram. Kas Hariz ini baik orangnya, daripada riak wajahnya, daripada mesej positif di laman sosialnya, daripada dokumentasi pengembaraannya, kita tahu dia memiliki watak penyabar dan wasati. Daripada aktiviti sukan basikal, motor lasak semua telah dia cuba. 

Kas Hariz dan keluarganya baru sahaja bermalam bersebelahan Masjid Besi, Putrajaya untuk mengikuti perarakan Hari Kemerdekaan ke-61 pada 31 Ogos 2018 lalu. Saya rasa bertuah kerana dapat menjejak beliau untuk berkongsi dalam zine ini. Jom berkenalan dengan Kas Hariz. 

Saya mendapat tahu saudara terlibat dalam kemalangan beberapa hari lalu. Semoga saudara mendapat kesembuhan dengan pantas dan beri pahala atas kesabaran. Saya mohon maaf jika menganggu rehat saudara? Betul, saya terlibat dalam kemalangan motosikal dengan sebuah motokar. Syukur Alhamdulillah tiada kecederaan serius seperti patah dan kecacatan. Mudah-mudahan jadi sebab Allah ampunkan dosa-dosa saya. Tak mengapa, saudara tidak mengganggu, saya masih berehat dan akan bertemu doktor kembali dalam waktu terdekat. 

Saudara memang anak jati Kuala Lumpur? Bagaimana kehidupan di sini, saya tanya saudara kerana saya berasal dari kampung, dahulu saya pernah berkerja di KL selama 3 tahun dan setelah 9 tahun kembali ke kampung kini saya dihantar semula ke KL. Jiwa saya sesak dan masih belum serasi dengan kehidupan disini. Apa yang ada buat diwaktu lapang selain mengembara? Ya saya dilahirkan di Kuala Lumpur, kehidupan di Kuala Lumpur mungkin berbeza dari sudut persekitaran dan cara hidup saja. Mungkin dari satu sudut orang memandang kehidupan di ibu kota terdedah kepada cara hidup yang moden dan terkehadapan dari sudut kemudahan dan sebagainya. Bagi saya itu bergantung sejauh mana kita menilai kehidupan. Bersyukur, ambil yang baik, jauhi yang tidak baik dan teruskan kehidupan.

Dari mana datangnya inspirasi untuk mengembara dengan mengunakan van ini? Kenapa memilih Datsun C20? Asalnya saya mencari van lama yang berpotensi untuk diubahsuai dan boleh digunakan untuk berniaga sambilan dan aktiviti keluarga. Ternampak gambar Datsun C20 yang cantik di internet membuatkan saya terus tertawan, saya cuba mendapatkan maklumat mengenainya. Di sini harganya sangat murah, dan masih digunapakai kebanyakan orang berniaga. Bermakna dari sudut alat ganti dan ketahanan, van ini adalah pilihan yang baik. Disamping itu saya minat terhadap kereta lama, ada tarikan dan kepuasan tersendiri.

Adakah sukar untuk membuat ubahsuai dalaman serta luar (awning) bagi seorang yang baru berjinak-jinak untuk membina camper van ini? Adakah ia memerlukan kos yang besar? Saya lihat saudara mendapat bantuan daripada abang untuk kerja-kerja kimpalan. Bertuahlah. Kemampuan setiap orang berbeza, ia bergantung kepada individu itu sendiri. Bagi saya kerana minat, kita usahakan sedaya mungkin dalam batas kemampuan kita sahaja. Saya gemar untuk cuba buat sendiri dengan konsep DIY. Boleh dikatakan 90% barang yang digunakan bagi ruang dalaman adakah barang terpakai yang dibeli dan diberi sentuhan kembali, ia tak memerlukan kos yang besar. Bagi awning pula saya lakarkan ideanya sediakan barang dan minta abang untuk kimpalkan besi. Abang saya seseorang yang mempunyai pelbagai kebolehan, saya banyak berbincang dengannya. 

Berdasarkan usia van anda yang mencecah 34 tahun, sudah pasti ia mempunyai risiko untuk mengalami kerosakan ketika mengembara. Apa yang perlu diberi perhatian untuk meringankan kadar risiko buat pengembara yang mengunakan kenderaan camper berusia lanjut? Adakah anda juga seorang mekanik? Benar, risiko pasti ada walaupun kita menggunakan jentera baru sekalipun. Namun jentera lama sudah tentu risikonya lebih tinggi memandangkan usianya yang sudah tua. Saya cuma memastikan bahagian enjin, brake dan suspensi dalam keadaan baik. Hantar ke bengkel dan minta mekanik periksa. Saya bukanlah seorang mekanik, namun perlu bagi saya mengambil tahu serba sedikit mengenai peranan dan kompenan enjin sebagai persedian. Tidak lupa juga, bila apa-apa berlaku pastikan ada orang untuk dirujuk, bagi hal ini saya banyak merujuk kepada ayah dan abang saya dalam hal kereta. 

Bagaimana pula dari segi undang-undang? Adakah menjadi satu kesalahan membuat ubahsuai kenderaan menjadi camper? Setakat pengetahuan saya setiap pengubahsuaian sebenarnya memerlukan kebenaran dari sudut undang-undang. 

Setakat ini adakah keluarga anda selesa dengan aktiviti riadah sebegini? Adakah mereka mengalami sebarang kesulitan dari segi (mungkin) kebersihan, ruang dan masa? Alhamdulillah setakat ini keluarga kecil saya sedaya mungkin cuba menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan sekalipun, itulah yang membuatkan aktiviti riadah seperti ini mempunyai kepuasan tersendiri dan sudah tentu menjadikan ia suatu pengalaman yang tak dapat dilupakan. 

Pengkalan Rantau Nibong, Empangan Timah Tasoh

Boleh saudara kongsikan cerita tentang perjalanan yang paling sukar dan mencabar pernah anda lalui? Dan dimana pula tempat yang paling seronok dan cantik pernah anda singgah? Setakat ini, kembara kami yang pertama adalah yang paling mencabar dan menguji, sewaktu perjalanan pulang dari Teluk Senangin. Pada ketika itu van bermasalah dan kerap mati sepanjang perjalanan. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa sekitar 3 jam telah menjadi 10 jam kerana bergelut dengan situasi itu. Syukur kepada Allah kerana dengan izinNYA sampai juga kami ke rumah pada hari itu. 

Selain itu, kembara selama 8 hari menyusuri jalan menuju ke Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Penang dan kembali semula ke Selangor. Dan antara tempat yang cantik dan suasananya begitu menenangkan adalah apabila kami bermalam di Tasik Banding di Perak, Tasik Pedu di Kedah, dan Empangan Timah Tasoh di Perlis. Kebanyakan laluan pada kali itu merupakan jalan yang tidak mempunyai banyak kenderaan dan penempatan. Agak sunyi tetapi permandangannya sungguh mendamaikan hati. Syukur segalanya berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah. Suasana yang tak dapat kami lupakan. 

Sejauh mana Datsun itu telah mengembara bersama anda sekeluarga? Pernahkah ia menjejakkan tayarnya di luar Tanah Melayu? Alhamdulillah syukur, buat masa ini misi kami untuk menjejakkan tayar Van Datsun kami ke seluruh Negeri di Tanah Semenanjung telah berjaya. In shaa Allah dimasa akan datang jika direzekikan kami ada menyimpan hasrat untuk melihat juga tempat orang di luar Tanah Melayu. 

Ada tak orang minta beli camper van saudara? Tak ingin ke menceburi bidang ubahsuai kenderaan menjadi camper yang mula mendapat perhatian orang ramai kini? Buat masa ini tiada, kalau ada pun orang sekadar bertanya adakah saya mengambil upah untuk ubahsuai kenderaan lain. Saya tak berniat untuk ke arah itu, apa yang saya lakukan pada van ini hanya untuk kepuasan diri dan keperluan asas sahaja. Saya bukan pakar.

Selain untuk tujuan rekreasi, van itu turut anda gunakan untuk berniaga? Lasak betul van itu, adakah anda turut melakukan pengubahsuaian enjin? Betul, saya juga menggunakan van ini untuk perniagaan. Segala komponen enjin adalah standard tanpa apa-apa pengubahsuaian. Saya hanya menggantikan kompenan yang rosak saja dan masih mengekalkan enjin standard sehingga kini sebagai nadi penggerak.

Apakah gemar pada muzik? Maaf bertanya kerana zine ini sebelum ini hanya berkisah tentang komuniti pemuzik metal. Sekadar bertanya? Secara jujurnya saya tidak cenderung mengikuti perkembangan genre muzik tertentu , saya jenis orang yang dengar kebanyakan lagu tanpa mengira genre. Asalkan sedap didengar dan mesejnya bagus.




Apa nasihat anda kepada remaja-remaja yang minat mengembara lihat negeri orang? Dan apa pula nasihat anda kepada mereka yang mula berjinak-jinak untuk mengembara mengunakan camper van seperti saudara? Saya sama menasihati diri saya sendiri, sebagai Muslim kita jaga adab kita dihadapan Allah dan makhluk seluruhnya. Merangkumi kewajipan solat, adab bermusafir, adab sesama manusia dan perihal menjaga alam sekitar.

Bagi yang mahu mengembara menggunakan camper van, pastikan anda membuat sedikit persediaan dari sudut pengetahuan asas kenderaan, lokasi dan keperluan sepanjang perjalanan. Setiap orang berbeza dari sudut citarasa, yang penting ukur baju badan sendiri. Buat apa yang termampu dan mulakan pengembaraan. Boleh jadi dimata orang tidak selesa, tapi dimata kita sudah cukup selesa. Apapun berbalik pada kita. 

Terima kasih banyak Kas Hariz, semoga kembali sihat dan bahagia selalu. Kata-kata akhir? Sama-sama kasih, terima kasih atas doanya. Apabila kita mengembara melihat dunia seluruhnya, samada senang atau sengsara jalannya. Kembalikan semuanya kepada Pencipta. In shaa Allah, pasti ada jalan penyelesaian dan pelajarannya.

Temubual oleh:

No comments:

Post a Comment