Saturday, July 30, 2022

RIDE IN LANGKAWI 3.0

‘Yang ditawan bukanlah gunung, tetapi diri kita sendiri’- Edmund Hillary.

Sengaja saya mulakan catatan kali ini dengan meminjam ungkapan emas seorang pengembara dan pendaki terbaik kelahiran New Zealand yang pernah menawan puncak Everest suatu masa dulu. Ungkapan yang sangat bererti itu saya kira agak berkait – biarpun berlainan ‘genre’ – dengan kembara kayuhan buat kali yang ke-2 kami dalam edisi ‘Ride In Langkawi 3.0 (Rakap Besi). Dalam apa-apa bidang pun, sesuatu lokasi atau tempat secara harfiahnya hanyalah sebuah destinasi. Berjaya atau tidak kita dalam mengharungi sesuatu perjalanan itu, bergantung pada bagaimana kita mengawal dan menguasai diri sendiri.

Baik. Rasanya tak perlu saya ulas dengan lebih lanjut dalam pendahuluan kali ini kerana mungkin lama-kelamaan akan bertukar menjadi leteran paling tak sedap di dunia. Saya teruskan dengan memperkenalkan beberapa cyclist yang sudi menyahut seruan kayuhan kali ini. Pada awalnya saya diberitahu oleh saudara Rammy, edisi kali ini menggamamkan dan mendapat sambutan positif daripada ramai orang kerana dijadual berlangsung selama 3 hari. Namun siapalah kita untuk menidakkan takdir. Yang ramai-ramai tu akhirnya gugur seorang demi seorang atas beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan lalu meninggalkan 6 orang pejuang yang sudi bergelut menyeksa diri sendiri iaitu Rammy, Badril, Saravanan, saya dan isteri (Sakinah), juga Napie. Semua yang menyertai kayuhan kali ini mempunyai latar belakang yang pelbagai. Juga tak perlulah saya huraikan satu persatu di sini. Cukuplah saya cerita sebagai selingan nanti, insya-Allah. Bimbang juga kalau diperincikan nanti, terdedah pula kerjaya saya selaku pembunuh upahan.

Sebagaimana yang semua maklum, golongan cyclist termasuk dalam kalangan penumpang feri berkenderaan. Maka kami sudah belajar daripada kesilapan terdahulu. Kami siap menempah tiket feri Langkawi Auto dengan harga lebih kurang RM60 pergi balik beberapa minggu sebelum tarikh kembara. Selesai bab itu, kami kira boleh pejam mata sikitlah. Semua saya rasa di rumah masing-masing mulalah training. Yang ada gout training cara orang ada gout. Yang rajin live TikTok training cara live TikTok. Orang. Bukan semua sama.

3 Julai 2022 (Ahad)

Saya dan isteri sebenarnya bertolak awal dari Kedah. Kami menumpang di rumah Rammy pada Sabtu malam. Konon-kononnya untuk bersiap awal dan bagi ada masa terluang sikitlah sebelum berangkat. Rupa-rupanya tak jugak. Kami terlewat sehingga hampir melepasi paras bahaya waktu check-in. Nak dijadikan cerita macam tulah. Kena gaya pula pagi itu saya selsema teruk. Kecuh kecang kecuh kecang bersin tak berhenti. Rammy mencadangkan untuk saya cuba ubat dari kedai tabib mana entah. Sebiji RM2. Kena sebiji lega terus katanya. Tapi nak dijadikan cerita lagi, macam tulah. Kedai tak buka lagi. Last-last haghammm. Saya cuma sempat membeli kapsul Hurix di 7E sebelum dileteri oleh saudari penjaga kaunter Langkawi Auto disebabkan terlambat sampai.

Sampai sahaja di jeti, saudara Saravanan – peserta terbaru yang mengikuti ekspedisi Rakap Besi – sudah menunggu bersama beberapa orang anggota Kastam/Langkawi Auto. Ada riak resah di wajahnya. Rammy pula belum sampai kerana dia keluar awal tadi. Dia menunggu saya dan isteri di Kampung Warna-Warni. Mana kami nak tau. Dia tak bagitau awal.

Oh ya, saya terlupa. Badril tidak dapat menyertai kembara pada hari ini kerana jadualnya agak sibuk. Kami mengerti hal itu. Dia hanya boleh hadir pada hari kedua nanti. Manakala kerisauan terbesar kami pada waktu itu adalah Napie, yang statusnya kabur entah ke mana. Katanya dah sampai sejak semalam dan menumpang di rumah abangnya di Kuala Perlis. Maksudnya dah dekatlah. Tapi dia sehingga ke minit-minit terakhir belum tiba. Kami hanya mampu menyerah dan berdoa. Akhirnya hingga ke saat-saat akhir penutupan feri, Napie masih belum juga muncul. Kata orang, ini semua punca belaka. Punca.



Selama hampir setengah jam di atas feri kami berduka lara mengenangkan kecundangnya Napie yang tidak dapat turut serta. Rammy yang berada jauh di seat belakang, bergenang air matanya seakan-akan menyalahkan diri kerana pada fikirannya dia gagal menjadi abang pembimbing kepada Napie. Saya tahu ungkapan ini akan membuatkan Rammy loya sedikit tapi lantaklah. Saravanan, yang belum mengenali Napie, juga turut menangisi. Nampaknya dalam masalah ini – demi tidak terlihat kekok – dia taklid kepada Rammy kerana melihat saya dan isteri selepas itu macam dah tak berapa sedih. Kami berdua lajak betul belasah megi. Slrupp slrapp tahu tahu habis. Yelah, sedih-sedih juga. Tapi hampir dua jam kot bermenung atas feri.

Demi membunuh waktu, kami berehat menunggu feri berlabuh di Tg. Lembung. Mahu tak mahu, kayuhan perlu diteruskan seperti mana yang telah dijadualkan. Rammy memberitahu Napie supaya jangan berputus asa. Esok dia boleh menyertai Badril menaiki feri bersama-sama. Sementara itu, kami bergambar kenang-kenangan di atas feri demi menghilangkan gundah gulana yang meribut sedari tadi sambil melihat-lihat kelincahan ikan-ikan tamban meliuk lompat di permukaan laut.

Jam 2.00 petang, kami tiba di pelabuhan Tg. Lembong. Setelah menguatkan kuda-kuda dan bertegur sapa dengan petugas-petugas feri, kami meneruskan ekspedisi seperti biasa. Dalam hati berharap supaya tiada ada-apa masalah yang bakal menjadi halangan di peringkat permulaan ini. Di beberapa laluan kami berkayuh menuruni bukit cerun dan memanjat naik sambil melihat panorama alam. Kami bercadang untuk singgah ke Mustika Cetak, sebuah perusahaan cetakan milik sahabat bernama Jazli seperti kebiasaan nanti. Namun mendung malang mula menjelma. Tayar Rammy pancit buat kali pertama di sini. Saya kira di laluan ini ada sumpahan buat Rammy. Pada edisi kayuhan yang lepas, tayar basikalnya pancit sebanyak 4 kali kalau tak silap. Memang dugaan betul. Tapi saya berpegang – seperti tahun sebelumnya – bahawa ini kasih sayang Tuhan bagi hamba-hamba-Nya yang telah berumur. Berumur, tak bermaksud dah tua. Harap tak ada yang salah faham nanti.


Rammy yang cekal tawadhuk menyuruh kami meneruskan perjalanan tanpa perlu menunggunya. Semua yang berlaku hanyalah teguran Tuhan demi memantapkan iman dan juga takwa. Saya kira mungkin itulah yang difikirkannya bagi menguatkan azam serta memancung rasa putus asa. Tapi keajaiban Tuhan tidak menunggu lama. Mujur juga Rammy dibantu oleh seorang lelaki Cina (Richard) yang baik hati membawanya ke kedai basikal berdekatan Kuah. Saya, isteri dan Saravanan mengayuh terus memasuki Jalan Padang Gaong untuk meneruskan perjalanan ke Tanjung Rhu. Dan sewaktu itu juga kami baru sedar, kami sudah terlajak jauh dari laluan untuk ke Mustika Cetak. Sedih juga kerana tak dapat melawat seorang usahawan muda yang mampu berjaya tanpa bantuan Azizan Osman ini.

Di laluan ini juga saya terperasan satu papan tanda tertulis Kampung Buku Malaysia. Mungkin kerana tidak berapa pasti atau terlalu mengejar waktu, maka saya tidak begitu mengambil peduli tentangnya (walaupun ingin sekali saya singgah jika benar di situ tempatnya) lalu meneruskan perjalanan kerana di hadapan waktu itu petir sudah menggoda-goda. Mendung sudah menguasai alam. Kami harus segera mempercepatkan kayuhan.

Selain itu saya terperasan juga ada dua PPR yang tersergam indah yang saya tak pasti disiapkan pada bila iaitu PPR Anggerik Lestari dan PPR apa entah saya dah lupa. Saya bercadang untuk mengorek kisahnya nanti bila berkelapangan. Pada simpang tiga setelah beberapa km di hadapan, kami membelok ke kanan dan meneruskan perjalanan sehingga akhirnya sampai ke Dataran Tg. Rhu yang berwarna-warni. Laut di hadapan sudah menunjukkan geloranya. Kami sampai di sini dalam kebasahan hujan. Namun sempat juga berkeping gambar diambil buat pembakar semangat. Setelah gambar dinaikkan ke hantaran Facebook, Jazli, mengatakan lokasi itu sebenarnya Tg. Rhu copy ori. Tahi suci. Agak cilake juga bila tahu saya dah kena scam dengan tourism Langkawi ni. Warga tempatan mengatakan ia sebenarnya pantai Kastam. Baru saya sedar pejabat Kastam betul-betul berada di belakang pantai ini. Patutlah Rammy juga menggesa kami supaya meneruskan kayuhan beberapa kilometer lagi ke hadapan untuk tiba ke destinasi sebenar – Tanjung Rhu.

Menurut seorang peniaga air nyok di Bulatan Ayer Hangat, inilah bengkel baiki basikal pertama di Langkawi. Terima kasih Lim kerana bagi hadiah kopi!

Sementara mengayuh, kami mendapat berita bahawa tayar belakang Rammy pecah sekali lagi. Di fasa ini saya tidak lagi terkejut kerana saya fikir, mungkin dia sendiri sudah dapat mengagak perkara seumpama ini bakal berlaku lagi. Maka bolehlah saya simpulkan di sini bahawa ekspedisi kayuhan anjurannya ini sebenarnya dibuat setiap tahun bukanlah semata-mata untuk mencabar diri atau mengagumi keindahan alam ciptaan Tuhan, tetapi adalah untuk menginfakkan harta kepada kedai-kedai tayar basikal sekitar Langkawi. Hebat percaturannya, saya baru nampak apa yang tersirat dalam zahir perbuatannya. Ini, benar-benar perlakuan seorang wali.


Kami sampai di Tg. Rhu original setelah mengayuh lagi sekitar 5km ke hadapan sehingga ke penghujung jalan. Bila sampai di sini barulah saya terfikir, kami tak kena scam pun dengan Tourism Langkawi. Sebab betullah, tempat yang kami singgahi tadi dataran saja. Bukan bermakna ia merupakan lokasi asal sebuah tanjung. Disebabkan lokasi dataran itu cantik menghadap pantai, maka boleh jadi ia dibangunkan dengan prsarana yang baik (tandas dan gerai makan) bagi pengunjung yang sekadar ingin singgah menikmati alam di sini.

Suasana di Tanjung Rhu original ini tampak menggamamkan setelah melalui liku-liku kehutanan, hotel dan juga resort. Beberapa buah gerai jualan pakaian, cenderahati dan makanan memenuhi rongga pandangan sehingga ke pantai. Namun sayangnya waktu operasi di sini tidak larut, hanya sehingga jam 7.00 petang kerana ketiadaan bekalan elektrik. Para peniaga menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan tenaga selebihnya mengharapkan tenaga solar. Patutlah di dalam surau, tiada plug point dan tiada lampu. Di sini, Saravanan, saya dan isteri hanya berbual kosong sambil bergambar lagi sementara menunggu Rammy tiba. Sempat juga saya titipkan pesan supaya dia tidak mengayuh naik, cukuplah sekadar tiba di Dataran Tanjung Rhu sahaja kerana keadaan jalan di sini agak menggerutu, kesan turapan yang agak lama. Jalan sebegini berpotensi mengakibatkan tayar basikalnya pancit lagi. Tapi Rammy membantah. Dia tetap akan ke situ biarpun dalam keadaan merangkak. Dia sudah berazam. Kata itu harus dikotakan. Jika dia mahu berkhemah di situ, itulah janji yang tetap akan dilunasinya. Saya semakin yakin. Ini benar-benar gaya seorang wali.




Menghampiri jam 7.00 malam, Rammy akhirnya tiba setelah beberapa jam penantian kami. Dia menuntun basikalnya. Atas dasar azam dan semangat wali-wali, dia tetap meneruskan agenda perkhemahan biarpun secara solo setelah Saravanan memutuskan tidak dapat menyertai atas sebab-sebab kesihatan dan lain-lain. Manakala saya dan isteri, yang memang tidak membawa khemah dan sedari awal memutuskan untuk menginap di hotel, menempah Tg. Puteri Motel untuk penginapan di hari pertama. Dan ya, Saravanan juga menempah sebuah bilik untuknya.

Setelah menjamah makanan di salah sebuah warung berdekatan – mujur juga belum tutup – dan Rammy juga selesai mendirikan khemah, kami turun kembali, mencari Tanjung Puteri Motel. Suasana semakin kelam sewaktu kami turun. Keadaan motel yang agak terkebelakang menghadap laut mengakibatkan kami beberapa kali tersasar. Mujur ada seorang wanita warga tempatan yang sudi menunjukkan jalan kepada kami. Kami tiba di situ dalam kegelapan malam dengan jiwa yang tenang.

Pada malam itu, tiada aktiviti luar yang kami lakukan. Hanya membersihkan diri, basikal, menjamakkan solat dan mengeringkan pakaian.

Sebelum melelapkan mata, kami menanti Napie dan Badril hadir untuk menambah rencah keesokan harinya.


4 Julai 2022 (Isnin)

Selesai solat Subuh, saya dan isteri bersiap. Dalam group whatsapp beberapa perancangan telah dirangka sementara menunggu Napie dan Badril menaiki feri seterusnya mengejar kami. Antaranya membuat aktiviti air seperti berkayak, naik boat dan seumpamanya. Namun semuanya tidak terlaksana kerana ada beberapa faktor penghalang. Saya dan isteri hanya membungkus nasi komok untuk pergi semula ke Tanjung Rhu bertemu Rammy, manakala Saravanan membawa makanan ke dalam motelnya semula. Dia tidak dapat turut serta buat masa ini kerana mahu ke farmasi nanti.





Kami bersarapan bertiga. Mengambil beberapa gambar menghadap laut dan bercinta dengan alam. Selesai Rammy mengemas khemah kami turun perlahan-lahan untuk singgah ke Dataran Tanjung Rhu. Rammy seperti biasa menuntun basikal sejauh 5km demi memastikan tayarnya terjaga. Sewaktu ini angin laut yang semakin keras mulai menyapa ranting dan dahan pokok. Mujur Rammy siap berkemas awal. Jika tidak pasti sudah sensasi di media sosial berita seorang lelaki diterbangkan angin bersama dengan khemahnya melepasi Gunung Machinchang.

Saravanan katanya sudah di depan, keluar awal mencari farmasi. Sementara kami bertiga sempat turun walau dalam sedikit kebasahan. Masing-masing masuk ke tandas awam Dataran Tanjung Rhu utuk bersiap. Dalam rintik yang semakin melebat, selepas selesai memperkemaskan kuda-kuda, kami meneruskan kayuhan dan bertemu semula dengan Saravanan di bulatan Ulu Melaka kalau tak silap.


Selepas beberapa ketika berkayuh dalam hujan kami membuat keputusan untuk singgah makan di Nasi Campur Jeti sebelum berkira-kira melawat Telaga Harbour Marina nanti. Jaraknya macam tak begitu jauh sangat saya rasa. Hanya lebih kurang 5-6 km dari Dataran Tanjung Rhu. Tercengang juga melihat kepelbagaian lauk-pauk di kedai makan ini. Apabila menjamahnya, bergenang air mata saya kerana rasanya sedap nak mam. Kepada kamu yang belum pernah sampai, Nasi Campur Jeti ini memang lokasi yang wajib singgah saya cadangkan jika kamu dirundung kelaparan. Sudahlah sedap, harganya pula tidaklah terlalu menjerut leher Biasa-biasa saja. Tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah. Sebab yelah. Kita menjangkakan harga tempat pelancongan. Tetapi sebaliknya. Harga pekan biasa. Alhamdulilah.


Agak lama juga kami tersidai di sini sementara menunggu hujan kembali merenyai. Dan di waktu yang lebih kurang sama kami masih menunggu Badril dan Napie yang sudah memulakan kayuhan setibanya mereka di Tanjung Lembong. Namun hujan semakin lebat dan perut mulai menganyam kantuk. Rammy memesan air panas untuk membancuh kopi dan beberapa biji karipap. Kami menyambung makan sedikit lagi sambil berborak santai tentang kerjaya, rakan-rakan, keluarga, beruk, lotong dan beberapa hal yang berkaitan.

Setelah urat semakin liat dek tersidai begitu lama, kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan. Walaupun Badril dan Napie belum tiba, tetapi melihatkan status Facebook mereka yang dikemaskini, kami beranggapan mereka masih di jalan yang benar dan tidak goyah dengan godaan dunia. Kami mengayuh perlahan-lahan menuju Telaga Marina Harbour.


Dalam edisi Ride In Langkawi 2.0, itulah kali pertama saya dan isteri tiba di Telaga Marina Harbour dengan cara mengayuh basikal. Kini setelah tiga tahun berselang, kami direzekikan lagi sampai di sini bersama-sama rakan-rakan yang baik. Segala keperitan mengayuh seakan-akan hilang dibias memori; sepertinya kami kembali tiba di tempat asal. Di sini, kami menunaikan solat dan membersihkan diri sekadarnya. Berita tidak enak kami terima, Napie dan Badril terpisah di laluan yang entah di mana. Entah bisikan apa yang mengganggu, Napie dikatakan menuju terus ke Tanjung Rhu, lokasi yang sudah beberapa jam kami tinggalkan tadi.

Menuruni bukit terakhir, melalui kawasan perkampungan, saya terperasan sebuah kedai kopi dan coklat (Chocofee) yang kami pernah singgahi dahulu sudah tidak beroperasi lagi di sini. Entah ditutup terus atau menukar lokasi di tempat lain. Yang tinggal hanyalah kain rentang tertulis ‘Untuk Disewa’.

Kami meneruskan perjalanan lagi. Kami melepasi Jambatan Ulu Melaka, Pusat Latihan Polis Langkawi, lapangan terbang dan perlahan-lahan Pantai Cenang melambai-lambai kami di hadapan. Rammy bagaimanapun setia menunggu Badril di Jambatan Ulu Melaka. Dia menyuruh kami check in dahulu di hotel. Kami tidak banyak soal, mengayuh ke The Kasbah; penginapan yang bakal menjadi singgahan kami sehari lagi. Manakala Saravanan akan menginap di Thai Villa katanya.


Selesai check in, mandi dan sebagainya, saya melihat Badril dan Rammy tiba di The Kasbah tanpa kelibat Napie. Waktu sudah menghampiri malam. Napie dilaporkan masih tersangkut di Telaga Marina Harbour. Sendirian tiada berteman. Rammy menasihatkannya supaya tetap di situ. Mereka akan menjalankan usaha menyelamat sebentar lagi. Untuk tujuan itu, kami memerlukan sebuah motosikal untuk menunda Napie dari belakang. Saya ditugaskan untuk bertanya kepada pemilik kenderaan sewa yang berhampiran, berapakah kos untuk menyewa motosikal untuk satu jam. Rata-rata tuan empunya kedai sewaan hanya menawarkan khidmat sewaan selama tempoh 24jam ke atas dengan bayaran RM30. Rammy kata tak apa. Dia akan cuba sendiri nanti. Dan ajaibnya, bila dia dan Badril turun dari motel melangkah ke kedai sewaan motosikal, mereka dapat meminjam sebuah motosikal tanpa dikenakan sebarang bayaran. Saya senyum sahaja mendengarnya. Keramat seorang wali sekali lagi terzahir di depan mata.

Usaha menyelamat Napie akhirnya berjalan lancar walaupun segala macam leteran dihasilkan oleh Rammy sepanjang perjalanan. Napie rilek saja. Dia memang cool tak terbanding.

Saravanan pada malam ini hanya berehat di dalam motelnya. Kami pun tidak mahu mengganggunya. Saya menemani isteri berjalan-jalan di sekitar Cenang. Dia mahu mengurut kaki di Thai Spa sementara menunggu pakaian siap dibasuh di kedai dobi berhampiran. Kemudian kami berjalan lagi menghampiri Dataran Cenang yang sepertinya tidak mahu lelap menerima pelancong. Suasana malamnya hidup biarpun bukanlah di malam minggu. Sungguh dunia ini sarat dengan hiburan.

Di celah-celah keriuhan ramai, ada seorang anak pelancong berbangsa Arab menjerit berteriak mencari ibunya. Kami turut tercengang kerana tidak tahu bagaimana untuk membanu. Hendak bercakap Arab memang saya gagal teruk, tetapi kalau nak beryahanana insya-Allah saya mampu. Tetapi ini bukan waktu yang sesuai untuk beryahanana. Saya mesti fokus.

Mujurlah tidak berapa lama kemudian si ibu datang memeluknya. Sungguh dramatik kejadian tersebut. Benda-benda dramatik seumpama ini kalau dalam masyarakat Asia, khususnya masyarakat Melayu tak ada ya tuan-tuan. Anak orang Melayu kalau hilang menangis meraunglah seorang diri. Tapi kalau mak ayah datang nanti memang mendapatlah. “Hang main lagi, mainnnnn. Orang suruh duduk diam tak mauuu,” sambil kena piat telinga.

Bagi mengisi perut yang lapar kami suami isteri singgah di kedai masakan ala Thai bersebelahan sewaan motosikal yang tak jadi sewa tadi. Serba salah juga melihatkan dia asyik-asyik memandang saya seolah-olah mahu bertanya, mana kawan hang yang nak sewa motor tadi?


Rammy menelefon beberapa ketika kemudian. Mahu mengajak lepak bersama Izzat dan rakan-rakan metalheadnya seperti kebiasaan. Tapi disebabkan sudah order makan, team terpaksa berpecah dua; Napie, Rammy dan Badril mengikuti rakan-rakan metalhead mereka ke suatu tempat lain. Manakala saya dan isteri meneruskan makan di sini.

Selesai makan, kami terus pulang ke motel tanpa dakwa dakwi lagi.

5 Julai 2022 (Selasa)

Hari terakhir. Dalam masa beberapa jam lagi kami bakal menamatkan edisi kayuhan Ride In Langkawi 3.0. Demi menghabiskan masa yang masih tersisa, kami merancang kayuhan pagi sambil mencari lokasi untuk bersarapan. Saravanan sekali lagi tidak menyertai kami pada pagi ini. Mungkin keletihan agaknya. Kami berkayuh di dalam pekan Cenang, bergambar di beberapa buah restoran termasuk Rockafellers Kitchen & Bar, kemudian membelok ke jalan menghala Pantai Tengah. Setelah melalui beberapa laluan berbukit, kami terus ke Kampung Nelayan Teluk Baru dan sekitarnya. Ada jalan baharu yang belum dibuka kepada orang ramai. Tetapi menurut penduduk tempatan, laluan itu boleh dilalui jika menaiki motosikal atau basikal. Kami menjelajahi jalan baru tersebut yang berbukit-bukau sambil bergambar lagi. Di akhir laluan, kami masuk semula ke jalan yang boleh menghala ke Cenang dan Kuah.



Kami singgah bersarapan di Che Nah restoran (Roti Canai Black Pepper), di Kg. Temonyong. Naluri food hunter yang ada pada Badril membuatkan kami sampai ke sini. Dia bagaimanapun belum berpuas hati. Sebelum bergerak pulang nanti dia mahu mengajak kami minum jam 10 di The Smiling Buffalo pula untuk mencuba menu sandwich, smoked salmon, nachos, buffalo wings dan tentunya kopi yang bisa membuatkan pengusaha Smiling Buffalo turut sama smiling.


Kami bertemu semula dengan Saravanan semasa singgah di The Zon untuk shopping yang terakhir sebelum melanjutkan kayuhan ke Tanjung Lembong. Tiada barangan yang heavy dibeli di sini melainkan coklat dan mungkin parfum (Badril). Rammy dan Badril mengambil peluang untuk menziarahi rakan metalhead mereka yang bekerja sini sekali lagi. Aktiviti bergambar wajib dilakukan sekaligus ucapan selamat jalan diucapkan. Kami harus segera memulakan kayuhan. Kami perlu sampai di Tanjung Lembong sebelum jam 2.00 petang.

Mengambil kira kondisi Napie yang agak terkebelakang, saya mengambil inisiatif menunggunya di setiap simpang agar dia tidak lagi keciciran. Namun keadaan cemas tetap berlaku kerana semasa semua sudah tiba di Tanjung Lembong, kelibat Napie masih belum kelihatan. Berulangkali kami mentipkan pesan supaya dia mengayuh laju dan mengeluarkan segala potensi tenaga dalamannya.

Akhirnya nasib menyebelahi kami. Ketika menghampiri jam 2.00 petang, sebelum feri ditutup, kelibat Napie mula kelihatan. Kami takjub dengan kegigihan dan kecekalannya. Apabila ditanya, bagaimana dia mendapat kekuatan mengayuh sebegitu efisien? Dia menjawab ringkas, tenang seperti biasa,

“Masa kat bukit-bukit tadi ada sorang pakcik ni tunda aku dari belakang.” Pffftt.



Apa-apa pun, segala-galanya sudah selamat. Kembara 3 hari 2 malam kami berakhir sejurus menapak masuk semula ke Kuala Perlis. Syukur, di sepanjang perjalanan kali ini kami dapat menempuhi dugaan dengan penuh kesabaran dan chill. Syukur juga, kayuhan kali ini menemukan kami dengan orang-orang yang baik-baik. Bersilaturrahmi bersama Rammy, Badril dan Napie itu suatu kemestian. Mengenali Saravanan juga suatu advantage saya kira. Mungkin cabaran kayuhan kami nanti akan berkembang lagi. Siapa tahu.

Sebelum laporan ini lengkap ditulis, Rammy sempat mencandet teaser Ride & Roll to Singora 3.0. Saya senyum. Insya-Allah, saya kata dalam hati. Saya juga teringatkan potongan kata-kata ini yang entah di mana saya dapatkannya,


‘Pilihlah liku-liku yang tegak mendaki, kerana itu akan memukan kita dengan puncak-puncak yang baharu.’ Jadi, bersediakah anda meneroka jalanan yang tegak demi menemui puncak-puncak yang baharu nanti?

Laporan oleh:




No comments:

Post a Comment