Saturday, April 16, 2011

SUFFERCATION “Day Of Darkness – The Re-awakening” (Afterlife Productions) – MALAYSIA


Pemilik Afterlife Productions iaitu Wan Syamsul adalah sahabat lama saya yang merupakan individu konstroversi di dalam pergerakan muzik underground tempatan. Disebabkan lantang dalam mempertahankan etika dan falsafah beliau, kini beliau mempunyai seteru yang terdiri dari kumpulan-kumpulan yang pernah dikecam olehnya. Beliau juga sering memberitahu saya Afterlife hanya akan menaungi kumpulan underground sepenuhnya. Dan jika sebelum ini beliau dengan tegas menentang kecanggihan komunikasi melalui email, chat dan promosi metal melalui internet. Nampak gayanya, ego beliau kini telah tercalar kerana dengan terbitnya cd ini memulakan era baru di dalam hidup Wan Syamsul yang kini telah mula berkomunikasi melalui email, mempromosi produk melalui laman web rasmi Afterlife Productions, serta umum ketahui Suffercation penah beralih arah ke muzik glam hard rock untuk beberapa album namun kini dibawah naungan Afterlife Productions.

Apabila saya mendapat sahaja cd ini, saya agak kagum dengan hasil kerja Afterlife dari segi packaging yang sangat baik. Kulit hadapan cd ini telah diolah kembali oleh seorang pelukis ilustrasi UG iaitu saudara Po’G berdasarkan ilustrasi asal dari kulit kaset “Day Of Darkness” namun telah diberi sentuhan yang lebih kemas dan misteri. Manakala didalam kulit album 20 helaian ini dihiasi lengkap dengan biografi, foto-foto klasik serta temubual khas bersama Ly Razak. Tidak lupa sebuah poster gergasi turut disertakan bersama-sama cd ini. Bagi yang tidak mengetahui Suffercation ditubuhkan sebagai Suffocation, namun ditukarkan kepada Suffercation pada tahun 1991 apabila pihak pengurusan SUFFOCATION (US) menghubungi mereka meminta ditukarkan nama yang telah didaftarkan hak milik oleh Roadrunner Records. Tidak dapat dipastikan siapa dahulu yang mengunakan nama ini kerana kedua-dua kumpulan ini lahir menerusi era kegilaan death metal acuan bandaraya Tampa, Florida.

“Day Of Darkness” asalnya diterbitkan oleh Valentine Sound Productions (VSP) pada tahun 1992 adalah merupakan album death metal pertama bagi seluruh rantau Asia tenggara. Malah kaset mereka mencatat penjualan sebanyak 23 000 unit dalam tempoh 6 bulan diterbitkan adalah angka yang membanggakan dan antara produk death metal tempatan terlaris diikuti oleh album “Conception Of Madness” yang dirakamkan oleh SIL KHANNAZ selepas itu.

Rakaman album ini hanya memakan masa 36 jam di King Studio yang sebelum ini hanya digunakan oleh artis terkemuka seperti Search, Wings, Ella And The Boys dan Rusty Blade. Suffercation kekal dengan studio ini untuk beberapa album selepas itu.

Kembali kepada cd ini, walaupun dihasilkan dengan kualiti cetakan yang baik. Kualiti bunyi yang dihasilkan agak mengecewakan kerana setelah VSP berhenti dari beroperasi, mastertape asal album ini tidak diketahui kedudukan nya. Dan apa yang dapat didengar melalui cd ini adalah dari suntingan kaset VSP yang telah di-digital-kan. Kesan stereo (kiri-kanan) sering kedengaran tidak konsisten mungkin dari kulapok di pita kaset atau kecuaian semasa suntingan semula ke komputer. Mungkin juga Wan Syamsul tidak mahu mengunakan FX noise reduction bagi mengekalkan keaslian rakaman ini. Walaubagaimanapun bagi saya ia tidak menjejaskan tanggapan saya yang mengatakan album ini adalah antara muzik death metal terbaik pernah direkodkan di Malaysia. Malah kebuasan muzik mereka masih tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kumpulan yang lahir masa kini. Saya kagum dengan kemampuan mereka mengubah ritma-ritma yang sebelum itu hanya dikuasai oleh raksasa death metal seperti Deicide, Morbid Angel, Nocturnus dan Entombed. ( sedikit info tentang Entombed, mereka adalah sebuah band death metal Sweden yang menakjubkan kerana dari apa yang pernah saya baca, Entombed merakamkan album sulung mereka diusia yang sangat mentah sehinggakan kontrak mereka ditandatangani oleh ibu salah seorang ahli mereka!).Sukar juga bagi saya untuk menentukan lagu manakah yang terbaik di dalam album ini kerana semuanya menepati skala death metal sebenar. Dan merujuk kepada lagu “.. And Die You Shall” yang direkodkan pada tahun 2010 sebagai lagu bonus untuk cd ini dan sebagai petanda kembalinya mereka ke persada muzik gelap tanahair. Ia mempunyai kualiti rakaman yang baik, masih mengekalkan tahap kekerasan ritma yang sama dan sedikitpun tidak goyah dengan arus modenisasi di dalam muzik death metal hari ini. Memang jelas ketukan Ly Razak dan alunan irama Jeff bersama Rob Razak lebih aggresif kali ini sebagai ukuran kematangan mereka dalam mengendali jentera berat mereka. 

Secara keseluruhan saya berpendapat cd keluaran Afterlife ini wajar dimiliki oleh setiap jiwa yang menyanjungi perjuangan death metal di Malaysia. Secara peribadi pula, saya meminati dan hanya mengetahui Suffercation melalui 3 album pertama mereka sahaja. Dan masih saya ingat lagi album terakhir mereka yang berjudul “In Sufferance” yang saya beli pada tahun 1995 turut disertakan sebuah poster yang diletakkan nota – The Only Death Metal Band To Still Record saya lekatkan di meja kelas dengan penuh rasa bangga. Apabila mengetahui mereka mengubah arah dan merekodkan lagu-lagu rock. Saya terus melupakan mereka sehingga kini.

Walaupun telah jatuh tersungkur, saya tetap mengakui Suffercation berhak mendapat status lagenda death metal dan menerima baik kehadiran mereka semula dalam fitrah kejadian mereka iaitu – death metal.

Dapatkan cd ini dengan harga RM30 menerusi Afterlife Productions (Tel: +6016-3789353 atau email: afterlifeprod@yahoo.com) sekarang.

No comments:

Post a Comment