Seingat saya UNVEILED mula dikenali setelah merakamkan split CD bersama TRAUMA (Indonesia) pada tahun 2000. Dianggotai oleh Jake dan Ah Fad (tersohor sebagai veteran grinder SICKNESS) yang merupakan aset mahal kumpulan ini melalui pengalaman dan kemahiran mereka. UNVEILED bagi yang tidak pernah mendengar nama mereka, tidak bergantung pada imej, tiada gimik dan tiada gedik untuk menjenamakan konsep muzikal mereka. Ia brutal death metal tradisional sepenuhnya.
Rancangan untuk merekodkan album penuh ini telah tertangguh sekian lama, dan kesemua lagu-lagu didalam “Endless Extreme Hate” ini juga dikatakan telah ditulis 11 tahun lalu. Hinggalah pada 2013, Feisal dan Jake mengaktifkan UNVEILED semula dan merakamkan album ini pada tahun lalu bersama rekrut baru Onesoulkiller dan Ah Fad.
CD ini dimulakan dengan intro “The Upcoming” yang benar-benar menyimpulkan keseluruhan isi kandungan CD ini. Anda bakal memperolehi sesuatu yang tradisional, berat, kejam, membunuh dan hebat. Lagu-lagu yang digarap dalam “Endless Extreme Hate” hanya boleh ditulis oleh pemuzik yang pernah melalui era keagungan death metal 90’an. Ia bukan boleh dibuat-buat tanpa jiwa. Dan saya begitu menjiwai riff-riff yang dimainkan Jake, begitu juga gaya ngauman Feisal serta rentak dram yang dinamik oleh Ah Fad. Jujur saya katakan kualiti rakaman dan mastering yang dilakukan adalah lebih baik dari SICKNESS. Tetapan bunyi gitar dan bass larut serta padu dimainkan sepertimana yang pernah kita dengar melalui khazanah purba NOCTURNUS, SUFFOCATION, ENTOMBED, HYPOCRISY, MORBID ANGEL dan INCUBUS.
Anda bayangkan perasaan dan kepuasan yang pernah anda alami suatu ketika dahulu, ketika membeli kaset-kaset band local seperti SUFFERCATION, BRAINDEAD, SENSELESS. Boleh dikatakan hampir semua lagu-lagu didalamnya bertenaga dan segar untuk didengar. Itulah yang saya alami melalui “Endless Extreme Hate” ia bukan karya yang tulen atau begitu maju. Tetapi sebaik memainkannya, semua lagu dan isi kandungan CD ini mengembirakan saya dan ia benar-benar memberi kepuasan dari sudut citarasa. Bagi saya ia satu produk yang harus dimiliki oleh pencinta death metal.
Ilustrasi kulit sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada gabungan visual KATAKLYSM “In the Arms of Devastation” dan “Awaiting for the End to Come”. Boleh jadi mereka turut dipengaruhi pemuzik gila dari Kanada itu juga.
Dapatkan album ini, sokong produk tempatan yang berkualiti seperti ini agar mereka terus hidup dan berkarya lebih ganas lagi.
Hubungi: GRUNDAR PRODUCTION
atau: FACEBOOK UNVEILED
No comments:
Post a Comment