Saturday, April 14, 2012

ANTABOGA “Rangda” (MTD Prod) – MALAYSIA




Bila saya melihat judul demo cd ini, saya bergegas mencari kaset ETERNAL MADNESS “Offerings To Rangda" yang saya perolehi belasan tahun lampau dan merupakan antara kumpulan death metal kegemaran saya dari Bali. Malangnya ia telah tiada. Entah dirembat oleh siapa? Rangda jika merujuk kepada istilah orang Malaysia adalah hantu raya, dan jika merujuk kepada istilah Islam, hantu raya adalah jin Ifrit kerana tergolong diantara jin yang mampu memudaratkan manusia, malah mampu menyetubuhi wanita.

Melalui biografi yang turut disertakan bersama cd ini, Antaboga asalnya dikenali sebagai Momok dan ditubuhkan pada tahun 2008. Mereka tidak aktif sehinggalah pada 2011. Momok berjaya merakamkan “Promo Pontianak” dan menukar nama kepada Antaboga pada tahun yang sama. Antaboga mengakui sendiri mereka dipengaruhi oleh berbagai-bagai cerita tahyul, khurafat dan mistik dari kepulauan Melayu. Hantu Kepalang si penyanyi dan Jannazah selaku pemain gitar boleh dikatakan adalah tunjang utama kepada Antaboga. Selain dibantu oleh Maji, Saka, Lumania dan Leak.

5 trek yang dimuatkan dalam cd ini semuanya disertakan sample untuk intro. Kualiti rakaman adalah ditahap yang memuaskan. Bagi saya lagu “Sihir” dan “Shita Laknat” mempunyai imbangan bunyi yang baik dan aura nya gelap. Mengingatkan saya kepada NEBIRAS waktu kegemilangan mereka diawal 90-an dulu. Melebih-lebih pula jika saya katakan Antaboga ada bau-bau MORTUARY DRAPE kerana lagenda Italy tersebut begitu tulen dan berkemahiran tinggi. Tetapi memang ada.

Permainan perlu diperbaiki lagi dan tetapan bunyi untuk rakaman seterusnya harus diberi perhatian. Mereka boleh pergi jauh jika serius dalam ilmu kedukunan. Hehe.

Diterbitkan sebanyak 66 keping, cd milik saya bernombor 3. Jika anda gemar misteri nusantara apa salahnya anda cuba mendengar Antaboga?

Hubungi Antaboga: momokz_dark@yahoo.com 
 +6013-3351468

No comments:

Post a Comment