Friday, November 29, 2013

YUNA “Nocturnal” (THE VERGE MUSIC GROUP) – MALAYSIA


Kebanyakan peminat termasuk saya sendiri begitu teruja apabila mengetahui terbitnya album penuh Inggeris ini di pasaran Amerika Syarikat bulan lalu. Kita semua tertunggu-tunggu untuk mendapatkannya sehinggalah 2 hari lalu saya berkesempatan membelinya. Manakala kelmarin sempat saya menyaksikan persembahan Yuna dengan iringan pemuzik THE PALAUANS mendendangkan beberapa lagu dari album ini yang kedengaran begitu jujur dan bersahaja. Hebat!

Saya berpendapat Yuna telah melangkah beberapa tapak ke atas lagi dengan album ini. Ia moden, penuh seni dan mistikus. Yuna tiada tandingan jika dibandingkan dengan semua artis pop Malaysia melalui pengalaman studio dan persembahannya. Pembikinan album ini dilakukan di lokasi yang berbeza namun hasilnya amat sekata dan senada, rakaman studio dibuat di London, Los Angeles, Hollywood, tetapi kerja-kerja adunan banyak dilakukan di Magic Mix Room, Miami. Manakala pengalaman dari penerbit dan pemuzik utama seperti Chris Braide, Robin Hannibal, Claire Courchene, telah memberi pengaruh mereka kepada Yuna dalam merancakkan lagi lagu-lagunya dengan berbagai-bagai elemen. Yuna adalah ertikata lain adalah professional!

Lagu pertama “Falling” dan kedua “Mountains” mungkin antara lagu yang menjadikan album ini sesuai dengan tajuk “Nocturnal”. Begitu juga dengan pengunaan reverb yang tinggi pada suara Yuna kali ini membuatkan ia menjadi ‘nyanyian malam’ yang sempurna.

Seterusnya lagu “Rescue” yang sering kedengaran di corong-corong radio kini. Ia sebuah lagu yang mempunyai chorus yang bijak dan sing-a-long (membuatkan kita menyanyi bersama).

Lagu seperti “Lights And Camera”, “Lovely Intermission” dan “Someone Who Can” dikarang dengan terlalu bersahaja dan agak dingin. Malah “Someone Who Can” kurang kreativiti berbanding yang lain walaupun sebelum ini Yuna pernah mengunakan programming untuk stuktur lagu-lagunya. “Someone..” agak membosankan.


Lagu “I Want You Back” kedengaran seperti ‘black music’, ada funky dan jazzy nya. Ia vintage! Begitu juga lagu berjudul “Colors” merupakan yang terbaik dan kegemaran saya di sini. Yuna melontarkan vokal dengan baik sekali. Perasaan saya seperti mendengar lagu pop rock awal 90-an seperti Belinda Carlisle atau The Sundays.

Manakala lagu “Come Back” membuatkan saya tersenyum dan ceria. Ia seolah-olah sebuah lagu runut bunyi dari filem Madagascar. Hahaha! Jika didengar dengan teliti ada susunan alatan percusi dari Chris Braide dalam beberapa lagu yang menjurus kepada etnik. Mungkin Chris Braide cuba membangkitkan elemen itu agar Yuna menjadi unik dan ingatan kepada peminatnya. Ia strategi.

Lagu “Escape” dan “I Wanna Go” adalah tipikal Yuna. Digarap dengan baik dan ke arah R&B.

CD bungkusan langsing ini diedarkan oleh Universal Music Malaysia dan hanya untuk pasaran Asia Tenggara sahaja. Ia boleh didapati di Speedy Music dengan harga RM45.90.

No comments:

Post a Comment