Tuesday, June 24, 2014


PENAKLUK telah bernaung di Tanah Melayu sejak 1996. Ia ditubuhkan oleh 3 orang panglima, Sang Penakluk yang memainkan gitar dan bass, Tanpa Nama selaku penyanyi dan pemain kibod dan Arca Suria yang memainkan dram. Seorang individu bernama Nagasakti turut membantu mereka dalam penulisan lagu.

Terdapat 2 buah lagu didalam EP 7 inci ini, yang dirakamkan di Pro Sound Studio pada tahun 1998 bertujuan untuk dimasukkan ke dalam CD kompilasi Watchtower yang gagal diterbitkan hingga ke hari ini. Dua lagu tersebut “Api” dan “Melalui Kuil Sawa” juga adalah rakaman mentah yang tidak pernah menjalani proses adunan yang sempurna. Dan atas inisiatif Gempita Records, rakaman asal pada kaset ini dilakukan mastering oleh Jadam (NECROTIC CHAOS) untuk meningkatkan kualiti stereo nya dan diterbitkan dalam format vinyl.

PENAKLUK mempunyai pengikut mereka tersendiri sejak dari dahulu lagi. Malah mereka ini, walaupun tidak mempunyai kemahiran yang tinggi dan permainan yang sempurna, dikatakan sebagai antara kumpulan tempatan yang mampu menghasilkan karya-karya yang asli. Dan berdasarkan rakaman ini yang dipahat mereka pada tahun 1998, saya sendiri mengakui akan kebenaran tersebut. Dan apa yang lebih tepat, mereka antara kumpulan yang berani untuk meneroka daerah baru pada ketika itu.

Apa daerah yang dimaksudkan? Ramai yang mengatakan mereka sebuah kumpulan folk/black metal oleh kerana banyak kumpulan dari Eropah yang mengetengahkan unsur ‘kebudayaan’ tempatan pada penghujung 90-an, ramai juga pemuzik satanic black metal yang beralih arah ke folk kerana bosan dengan ciri-ciri typical Satanism dalam muzik metal. Tetapi jika kita banyak berhubung dengan pemuzik luar ketika itu, negara seperti Czech Republic lebih jaguh dengan elemen folk dalam muzik metal. Mereka telah mengadaptasi unsur etnik dan budaya ke dalam metal sejak awal 80-an lagi.

Bagi saya mereka lebih tepat dilabelkan sebagai pagan metal, yang kini sub genre tersebut sudah boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan penjelasan yang rumit. PENAKLUK tiada langsung pengaruh muzikal yang bersifat etnik nusantara, melainkan bahasa yang digunakan bahasa Melayu. Ia cenderung pada doom metal dan olahan mid-tempo, susunan lagu bermelodi kebaratan dan gelap, gaya nyanyian yang bersih serta bersulaman jeritan dan tema utama yang menjurus kepada era paganism.

Kerja grafik agak menarik, manakala logo PENAKLUK mengingatkan saya pada Icon-E yang mungkin salah satu dari inspirasi mereka. Gempita Records mengeluarkan “Api” dalam kuantiti 113 dengan piring berwarna merah. Satu perkara yang agak unik, mereka meletakkan jata negara di kulit EP ini yang saya fikir tindakan berani memandangkan terdapat alamat penerbitnya di situ. Teringat suatu ketika dahulu saya yang bertugas di sebuah institusi kerajaan negeri dan saya telah tersalah mengunakan kepala surat mengunakan jata negara. Saya ditegur dan dimarahi oleh ketua institusi kerana ia akan memberi impak yang teruk jika ‘kantoi’ pada mana-mana bahagian surat, dan lebih buruk ia terlepas pada badan-badan tertentu. Jadi saya fikir untuk mengelak dari isu sensitif kerajaan, lebih baik dielakkan untuk masa hadapan.

Dapatkan PENAKLUK “Api” dari:

Gempita.records@gmail.com
Hubungi PENAKLUK: sang.penakluk@gmail.com

No comments:

Post a Comment