Tuesday, September 9, 2014

VADER “The Ultimate Incantation” (EARCHE RECORDS) –POLAND


Sebelum BEHEMOTH menjadi kuasa metal paling gagah dan eksport paling besar dari Poland. Mereka terlebih dahulu telah mempunyai VADER. Tidak bermakna kini VADER telah uzur dan lemah, namun jenama BEHEMOTH begitu menyinar kerana kacukan black dan death metal hasil ‘perzinaan muzik’ Nergal mempunyai tarikan komersil yang tinggi. Lupakan dulu Nergal dan BEHEMOTH!

Suatu ketika dahulu sebelum adanya android dan wifi, saya pernah berbincang dengan Badril (editor THANATOPSIS ZINE) mengenai nama VADER yang boleh jadi diilhamkan dari filem Star Wars. Rupanya betul, ia dipetik dari nama watak jahat Darth Vader dalam filem tersebut. Apa nak dihairankan, VADER ditubuhkan pada tahun 1983 oleh Piotr atau disebut "Peter" Wiwczarek dan Zbigniew "Vika" Wróblewski. Tahun kelahiran yang sama dengan lagenda POSSESSED dan DEATH, cuma mereka belum jumpa pedoman hidup. VADER semasa awal penubuhan mereka adalah sebuah kumpulan Speed/Heavy Metal.

Kekuasaan VADER mula menyerlah apabila kemasukan pemain dram lagenda dari kumpulan hardcore SLASHING DEATH, mendiang Krzysztof Raczkowski atau lebih dikenali sebagai “Doc” pada tahun 1989 dan merekodkan demo-demo seperti “Necrolust” dan “Morbid Reich”. Demo kaset “Morbid Reich” adalah diantara demo terbaik dalam sejarah dunia heavy metal yang terjual sebanyak 4000 unit, sekaligus membawa kepada terikatnya perjanjian album sulung “The Ultimate Incantation” ini dibawah Earache Records.

“The Ultimate Incantation” dirakamkan dengan sempurna di Rhythm Studio, England pada 1992, namun mungkin anda tidak mengetahui album ini pernah dirakamkan terlebih dahulu di Sunlight Studios, Sweden tetapi atas beberapa masalah ia tidak diterbitkan. (namun format bootleg masih terlepas dikalangan undergrounders di Sweden) Segala pakej death metal ada di dalamnya, permainan gitar yang laju dan tetapan bunyi yang berat, blastbeat yang jitu, solo ber tremolo di sana-sini, serta gauman vokal yang buas serta penuh dengan cas-cas negatif. “The Ultimate Incantation” adalah album wajib yang hrus dimiliki oleh semua pentaksub death metal. Intipati death metal dan sejarah VADER bermula di sini. Muzik VADER jika anda dapat rasakan, adalah SLAYER versi yang lebih gila atau SEPULTURA ketika mereka masih gila! 


Kehebatan Piotr membuat susunan tempo dan riff dalam lagu-lagu seperti “Final Massacre”, “Demon’s Wind” dan “Breath of Centuries” masih kekal hingga kini. Begitu juga bunyi ketukan dan double bass dari Doc yang meledak tidak boleh ditandingi sesiapa pun hingga sekarang. Buktinya, sejak Doc meninggal dunia pada 20 Ogos 2005, VADER walaupun masih kental berkarya, satu kekuatan seperti telah hilang dari muzik mereka.

Walaupun agak pelik susunan ayat-ayat Inggeris dari lirik “The Ultimate Incantation”, boleh dikatakan mereka dipengaruhi oleh H.P Lovecraft, mesej anti agama, dan kepercayaan Satanism acuan Kristian. Piotr dibesarkan dalam keluarga penganut agama Kristian.

VADER langsung tidak goyah dan berubah haluan sejak dari album ini atau lebih tepat lagi sejak demo “Necrolust” lagi. Kelahiran album ini telah berjaya membawa mereka menjelajah serata dunia yang mana sebelum terbitnya “The Ultimate Incantation” hanya negara Russia menjemput mereka untuk bermain gig.

Berbicara tentang VADER, saya pasti teringat satu temubual bersama Piotr yang saya baca ketika mereka mempromosikan album “Reign Forever World”, wartawan bertanya apa pandangan kamu tentang topik cinta (wartawan dengan niat mahu Piotr mengutuk lagu-lagu cinta dan romantik), Piotr sebaliknya menjawab, jangan sesekali mengeji cinta, VADER sendiri wujud kerana cinta, sesuatu tidak akan wujud jika tiada cinta. VADER lahir kerana kecintaan yang mendalam terhadap death metal.

Piotr Wiwczarek, semoga panjang umur bapa death metal Poland. Semoga aman disana Docent.

No comments:

Post a Comment