Tuesday, September 9, 2014

THOU ART LORD “The Regal Pulse of Lucifer” (NWN! PROD) –GREECE


Album ke-5 dari THOU ART LORD, album terbaik tahun 2013 yang saya terlepas pandang dari kumpulan projek death/black metal elite Greek. Kumpulan yang mulanya ditubuh oleh ahli-ahli ROTTING CHRIST, NECROMANTIA dan SEPTIC FLESH pada tahun 1993 dikatakan lebih terarah kepada death metal. Tapi bukankah mereka ini orang Greek?, mana mungkin mereka akan terpisah dengan muzik metal tradisional Greek yang banyak dipengaruhi rock atmospheric.

Soalan ke-2. Mana mungkin orang Melayu bisa membenci muzik metal Greek?! Hahaha!

Barisan ahli asal THOU ART LORD yang turut merakamkan album sulung bersama, Necromayhem (Sakis Tolis dari ROTTING CHRIST - vokal dan gitar) and The Magus (George Zacharopoulos dari NECROMANTIA - bass) Gothmog (John Hiotellis dari MORTIFY - penyanyi utama) kembali bergabung dengan tenaga baru El (SOULSKINNER - gitar dan keyboards) and J. Maelstrom (RAVENKULT - dram) merakamkan album maha karya “The Regal Pulse of Lucifer”.

Saya tidak tahu siapakah sebenarnya ketua THOU ART LORD, mulanya saya fikir Sakis. Tetapi apa yang saya lihat El menguasai 70% penulisan lagu dan selebihnya Sakis, manakala penulisan lirik dikuasai 80% oleh The Magus dan selebihnya Gothmog. THOU ART LORD jika mahu dinilai dari bayang-bayang ROTTING CHRIST, Sakis Tolis mahu sebuah kumpulan yang kekal purba, teguh pada akar black/death metal, liar dan mentah. Sesuatu yang sudah tidak dirakamkan lagi oleh R.C sekarang ini. Maka dengan hal itu beliau mahu dikenali sebagai Necromayhem nama yang beliau gunakan ketika awal kemunculan R.C. Begitu juga tetapan bunyi gitar beliau, rujuk “Infernarium” begitu mengingatkan “Non Serviam”. Lagu kegemaran saya “Justicia Profana” seolah-olah sebuah lagu dari EP “Passage to Arcturo” yang terlupa untuk dirakamkan. Ia begitu megah dan mistikus. Manakala lagu “The Regal Pulse of Lucifer” digarap dengan sentuhan death metal purba. Garang dan berat. Pujian harus diberikan pada J. Mael yang bermain dram penuh dengan gaya serta penuh dengan fill yang unik dan mengegarkan. Padan dengan T-shirt KAAMOS yang disarungkan beliau pada kulit album. Gabungan tiga vokal, Gothmog penyanyi utamanya mengunakan teknik growl, manakala Sakis dengan pendekatan jeritan bariton terkenalnya dan The Magus dengan jeritan toyol/jembalang nya. Jika anda pengikut tegar muzik-muzik mereka, pasti anda mampu kenal pemilik setiap nada vokal dalam lagu-lagu THOU ART LORD.


Rakaman dan adunan yang dijalankan di Silicon Factory Studio, Athens bukanlah begitu busuk dan mentah seperti yang gembar-gemburkan. Ia bermaksud tidak terlalu polished dan kurang pengunaan efek yang mengarut. Boleh dikatakan ia masih dalam keadaan tradisional dan 100% metal underground. Tema THOU ART LORD masih haluan kiri, penyembahan kegelapan dan pengagungan Syaitan. Kita orang Melayu Islam tidak ambik pusing topik ini semua, ia kita anggap sebagai seni penceritaan dan kaedah tinggi dalam berkarya.

Saya suka reka letak yang dibuat Timnn yang ringkas dan moden, manakala lukisan hadapan kulit album dibuat oleh Manuel Tiinemans mempunyai pengaruh kuno dewa dewi. Tetapi biasa sahaja dan suram. Lagu terakhir “Fireand Blood” diilhamkan dari siri TV ‘Game of Thrones' dengan olahan melodi tema dalam versi black metal. Sentuhan berbisa!

P/s: saya perolehi album ini dari Thrashing Fist Production dengan harga RM50.

Nuclear War Now! Production, PO BOX 7055, Redwood City, CA 94063, USA

No comments:

Post a Comment