Friday, December 19, 2014

SANTAU “Santau Tuju-Tuju” (METAL WARRIOR PROD) – MALAYSIA


Bagi yang telah lama mengikuti perkembangan irama black metal tempatan, apabila mereka dengar sahaja nama SANTAU walaupun belum pernah muziknya, mereka pasti tahu ini mesti datang dari suku sakat AS SAHAR. Jika dilihat nama pun anda dah pasti ia diilhamkan dari demo “Santau” dari AS SAHAR (1995), apatah lagi muziknya yang semestinya berkiblatkan maharaja black metal nusantara tersebut. SANTAU ditubuhkan di Klang, Selangor pada 2004 dan pernah merakamkan demo berjudul “Sumpahan Pulau Puaka” pada 2008 yang lagunya turut dirakamkan semula untuk album ini. Mereka turut dikenali sebagai pendokong ideologi nasionalis yang mempunyai kontroversinya sendiri dalam pergerakan muzik bawah tanah tempatan mengikut jejak langkah mentor mereka.

Kembali kepada digipak ini, saya cukup berpuas hati dengan apa yang mereka kerjakan bagi menerbitkan album sulung ini. Walaupun apa yang mereka karang dan garapkan didalam “Santau Tuju-Tuju” ia telah pun dilakukan berpuluh-puluh kumpulan black metal sejak kebangkitan metal nusantara yang dipelopori AS SAHAR dan LANGSUIR pada pertengahan 90-an, dan kemudiannya diteruskan oleh generasi kedua seperti WHAFFATH, MISTIK, PURNAMWULAN, TASYIM, SAILENDRA, DARK NIRRAJIM, LARRONG, SAKTISM, MANTAK dan diteruskan pula oleh generasi millennia ini, saya puji usaha mereka. AS SAHAR sendiri telah hilang taringnya dalam material-material baru, begitu juga muzik thrash metal yang semakin mendominasi pergerakan metal Malaysia. Ada baiknya kumpulan seperti SANTAU kekal aktif memperjuangkan apa yang telah dibangunkan oleh pengiat irama ini yang terdahulu.

Pakej yang diberikan dalam digipak ini berpadanan dengan harganya. Ia disertakan booklet 12 mukasurat, termasuk lirik, foto, maklumat rakaman dan bio serta woven patch berkualiti. Terdapat 9 buah lagu dirakamkan dalam cd ini termasuk sebuah intro yang disumbangkan oleh Hanael, AS SAHAR yang keseluruhannya bertemakan cerita mistik kepulauan Melayu-Bugis, (rujuk lagu “Santau Tuju-Tuju”, “Pharakans”) paganism, khurafat, tahyul (rujuk lagu “Seruan Roh”), dan sihir secara amnya. Saya terhibur mendengar lagu-lagu mereka, kadang-kadang saya terfikir jika AS SAHAR di era “Santau” merakamkan lagu-lagu mereka di studio yang baik pasti mereka kedengaran seperti album ini. AS SAHAR sendiri banyak mendapat inspirasi dari kumpulan-kumpulan dari negara Scandinavia. Manakala SANTAU menyatakan mereka turut dipengaruhi secara muzikal oleh WATAIN. Saya tidak pasti tentang itu kerana hanya pernah mendengar sebuah lagu dari WATAIN dalam youtube. Dan ia tidak menarik minat saya kerana mereka kelihatan seperti MOTLEY CRUE versi black metal. Apapun, kualiti bunyi “Santau Tuju-Tuju” memang bagus dan sesuai dengan konsep mereka. Saya suka bunyi ketukan dram Apit.

Sebagai album pertama masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi komposisi riffs dan penjiwaan solo gitar. Masih banyak elemen nusantara yang boleh dikacukkan dengan kebuasan dan ketajaman ritma black metal. Teruskan berkarya dan menjulang panji-panji timur.

Ahli SANTAU turut berkhidmat dalam AS SAHAR yang tidak dapat dipastikan sama ada hanya sebagai pemuzik undangan bagi pertunjukan pentas setelah One Barchiel (gitaris) menarik diri dari AS SAHAR atau turut terlibat dalam studio rakaman untuk masa depan.

Heil!

Hubungi SANTAU: santaulegions@yahoo.com
Facebook Santau

No comments:

Post a Comment