Friday, January 2, 2015

DAARCHLEA “Suns” (DAARCHLEA PROD ENT) –MALAYSIA


Anda masih ingat terma ‘Samawi Metal’ yang Faithcraft perkenalkan merujuk kepada band-band yang pakar dalam ilmu wahyu dan menterjemahkan hujah-hujah dari langit tersebut ke muzik metal? Jika tidak ingat, rujuk ulasan ORPHANED LAND.

Saya berpendapat DAARCHLEA berhaluan yang sama tetapi lebih ‘disenangi’ oleh mereka yang berkiblatkan Ka’abah. Bagi saya mereka bukan melakukannya dengan remeh sebaliknya penuh kajian dan kekuatan intelek. Lirik mereka menceritakan segalanya yang berlegar di kosmos, dari penafian golongan kuffar, konflik mahzab, perbendaharaan alam, bencana dan petanda kedatangan kiamat. Semuanya digarap sempurna secara tersirat atau terang-terang. Bagi mereka yang sudah biasa dengan kumpulan sebegini ( 'white metal' panggilan antarabangsanya) pasti tahu apa yang saya bincangkan ini.

Sebaik saya sahaja tiba pakej “Suns” ini dipeti surat dan membukanya. Saya senyum gembira. DAARCHLEA dah menang dari segi packaging, imej dan konsep berbanding ratusan kumpulan-kumpulan rock/metal Malaysia. Itu belum pun lagi saya dengar muziknya. Tahniah. Perkara asas yang ringkas tetapi sering diabaikan oleh banyak band.

Sebaik mendengar track “The Book of Heresy”, saya pantas berpendapat memang benar, dan saya setuju DAARCHLEA adalah kumpulan symphonic black metal. Walaupun banyak rakan-rakan yang merekomendasi CD ini gusar untuk melabelkan mereka black metal hanya disebabkan si veteran-veteran, otai-otai metal tempatan mendakwa DAARCHLEA adalah kumpulan core atau deathcore. Ah. Lancau! Apa yang saya lihat, mereka hanya iri bila ada kumpulan muda mampu membawakan ektrim metal jauh lebih teknikal serta sofistikated dari apa yang mereka lakukan. Mereka cuba meminggirkan DAARCHLEA dari scene ‘true’ yang kononnya milik mereka itu.

Bagaimanapun saya merasakan ahli-ahli DAARCHLEA tidak ambil kisah tentang apa yang dilabelkan kepada mereka. Jika dilihat dari hasil muzik mereka, mereka karyawan. Terus berkarya dan berkongsi muzik itu sendiri adalah jauh lebih penting dari memikirkan perihal ketetapan genre dan pengikut. DAARCHLEA tanpa sebarang amaran telah menetapkan satu tanda aras baru dalam pergerakan muzik lasak Malaysia. Sesuatu yang harus dibanggakan. Yang lebih cakap, malas dan kurang seni itu wajarlah undur diri dan duduk dikategori ‘pengikut’ sahaja.

Keseluruhan album ini dirakam di MC16 Studio, diadun dengan teliti oleh pemain dram mereka sendiri Wan Rukhairul. Saya difahamkan beliau seorang jurutera bunyi yang berkebolehan. Setiap lagu mereka mempunyai susunan yang dinamik, padat dan megah. Sulaman grand piano membuatkan struktur simfonik mereka begitu jelas kedengaran. Tidak dapat disangkal DIMMU BORGIR era millennium adalah entiti muzikal paling rapat menyamai komposisi mereka. Walaupun saya amat pasti rujukan seperti BEHEMOTH, CRADLE OF FILTH, ANOREXIA NERVOSA, FLESHGOD APOCALYSE, SEPTIC FLESH atau yang lebih moden seperti ALAYA, TRIVIUM juga memainkan peranan bagi mengejar cara kerja pemuzik progresif. Sentuhan melodi nusantara (zapin) turut diberikan dalam lagu “Ascend to Arasy” . Saya juga faham benar kenapa mereka dilabel core disebabkan vokal bersih bermelodi dalam beberapa bahagian yang begitu persis kepada American Metal / Metalcore. Tetapi ia tidaklah begitu jijik dan menyolakan tekak. Pada pandangan saya ia masih relevan.

Black/death metal adalah hidangan teh dan kopi buat saya. Saya hargai kumpulan koservatif tertentu, dan juga kumpulan progresif tertentu. Adakalanya kemajuan dan teknologi diperlukan sejajar dengan perkembangan fikiran. Maka sebab itu saya boleh menerima semua produk kumpulan seperti BEHEMOTH sejak zaman tiru-tiru pemuzik Norway hingga mereka menjadi pelopor muzik ektrim metal moden kini. Kuncinya, apabila anda terlalu kuat bekerja dan terlalu kreatif, pandangan kolot, pembenci dan tradisi tidak mampu lagi menyekat kemaraan anda. 


DAARCHLEA telah membuat kerja rumah dan kajian tentang apa yang perlu mereka lakukan di studio dan di atas pentas. Saya puji hal itu. Ia sebahagian dari ‘roh muzik rock’ yang banyak kumpulan metal abaikan dalam mengejar kejayaan di lapangan muzik sebegini.

Ketika saya di Hammersonic Festival, Jakarta pernah hati saya terdetik setelah melihat kumpulan-kumpulan seperti BURGERKILL, SIKSAKUBUR, SERINGAI langsung tidak tunduk pada kumpulan-kumpulan dari Barat dari segi persembahan mereka. Malah ada yang langsung tewas pada mereka kerana tiada auranya. Saya terfikir juga apa band yang mampu berdiri misalnya ada kumpulan mega hadir ke Malaysia? Mungkin yang ini.

Beri sokongan pada mereka. Dapatkan CD ini: daarchleastore@gmail.com

FACEBOOK DAARCHLEA

No comments:

Post a Comment