Saturday, November 5, 2016

FAIZAL TAHIR "Anatomi"


Ini adalah kali kedua aku beli CD album Melayu, yang mana sebelum ini aku ada membeli CD album repress WINGS “Jerangkung dalam Almari” itu pun untuk diberikan pada seorang penpal, Dave Theisen dari Jerman. Beliau pengumpul album rock Malaysia. Aku tiada sebarang alasan-alasan istimewa, dah memang aku tak minat muzik arus perdana Malaysia. Aku dari scene bawah tanah, citarasa aku adalah muzik yang lasak. Kita tak boleh paksa diri untuk ikut orang. Nanti muntah hijau.

Faizal Tahir memang pelik dari dulu, minatnya terhadap Superman mirip Bon Jovi, dia pun aku tengok ada dipengaruhi gaya nyanyian lantang ala JBJ dahulunya. Aku memang tak pernah minat muzik dia dari dulu. Bila dia buka dada tunjuk icon S semasa pertandingan lagu apa ntah pada 2008 antara yang terus mengkritik dia adalah Dr. MAZA. Dia memang tidak bersetuju Faizal Tahir buat persembahan di Jom Heboh yang akan berlangsung di Perlis ketika itu. Aku masih ingat ketika ditanya jemaah tentang Faizal Tahir semasa kuliah Maghrib di Masjid Alwi, Dr MAZA kata “Dia masih keliru sama ada dia manusia atau Superman”. Menteri Besar Perlis ketika itu juga ditanya oleh wartawan mengenai kesahihan Faizal Tahir yang tidak dibenarkan membuat persembahan di Perlis. Kata Dr. Mat Isa Sabu “Saya tak kenai Faizal Tahir”, banyak yang menyangka dia perli Faizal. Tapi aku percaya, Dr. Mat Isa memang betul-betul tak kenal Faizal Tahir.

Tapi sejak insiden itu, Faizal Tahir benar-benar merombak arahnya dengan menyanyi dan menukilkan hal-hal yang benar-benar perlu diluahkan, ia artistik dan matang. Bukan pada mesej, malah pada muzik dan juga vokalnya juga. Paling aku suka, dia mampu bersaing di tahap global. Muzik Faizal Tahir adalah pertembungan antara progresif rock dan progresif power ballad. Yang hebatnya walaupun muzik Faizal Tahir agak teknikal, ia catchy dan radio friendly. Jadi siulan.

Dr. MAZA juga membuktikan kritikan beliau dulu bukan pada dasar membenci muzik dan hiburan sebaliknya beliau tidak suka artis yang mengetepi kesantunan dan akhlak ketika membuat persembahan pentas. Puji Dr Maza kepada Faizal Tahir apabila melihat persembahan AJL ke 30 dengan lagu "Assalamualaikum". “Saya ucapkan syabas kepada saudara Faizal Tahir kerana berusaha menyampaikan misi kemanusiaan dalam liriknya. Seni itu sepatutnya membangunkan manusia dan hidup yang berteraskan keberadaban yang tinggi.”

Aku lihat Faizal Tahir tidak berhenti begitu sahaja, dia makin aktif dalam kempen-kempen kemanusiaan dan anti perang terutama yang membabitkan Syiria dan Palestine. Dia hebat.



Aku beli album “Anatomi” ini sebab aku rasa ia layak untuk disokong, disimpan dan dijadikan koleksi. Semua lagu-lagunya sedap. Faizal Tahir berjaya menghimpunkan pasukan pemuzik dan komposer professional dibawah sayapnya. Manakala Faizal Tahir selesa dengan bermain gitar dan vokal pada setiap lagu kecuali “Setia”. Kerja-kerja rakaman dan adunan memang sejernih kristal. Manakala kerja-kerja grafik menjurus kepada Sufism moden. Jika anda sudah biasa dengan visual-visual kumpulan-kumpulan dari Turki atau paling mudah Dewa 19, anda pasti faham apa yang aku katakan ini.

No comments:

Post a Comment