Sunday, March 19, 2017

HEREAFTER “Insignia” – MALAYSIA


HEREAFTER menerbitkan album baru mereka dengan gabungan dana dari 3 label yang agak terkenal dalam pergerakan muzik berat nusantara iaitu: Witch Hunter Productions (Thailand), Bullwhip Records (Selangor) dan Evil Dead Production (Sabah). Saya memberi tahu Redza bahawa itu adalah pilihan yang bijak, selain mengikat kerjasama yang positif, HEREAFTER mempunyai 3 label rasmi yang berkerja kuat untuk memasarkan dan mempromosikan album itu kepada pengikut-pengikut mereka. Ia menguntungkan semua pihak dan muzik juga tersebar dengan lebih cepat dan meluas.

HEREAFTER mengambil masa yang agak lama untuk merakamkan album yang mempunyai 8 lagu termasuk 1 lagu saduran kali ini. “Future World” dari HELLOWEEN telah diduga untuk dirakamkan kerana telah dimainkan mereka dalam gig-gig sebelum ini. Ia juga bagi mencungkil bakat besar Haidir (pemain bass) sebagai penyanyi. Haidir seorang yang pemalu dan penyantun, dia jarang membuka mulut ketika berbual tetapi dalam persembahan langsung dan rakaman ini, beliau telah membuktikan keupayaannya dalam mengawal nada vokal tinggi dan mengkagumkan. Tajul turut mengekalkan banyak pukulan mid tempo dengan beberapa bahagian ligat mengikut kesesuaian lagu. Ia adalah standard bpm HEREAFTER yang terkini.

Ok, saya masih berpendapat belum ada kumpulan thrash metal tempatan yang boleh menandingi penulisan kreatif dalam seni lirik oleh Redza. Susunan lagu dan momentum asakan muzik mereka masih setara album “Endcient” pada tahun 2012. Untuk "Insignia" mereka masih mengunakan jurutera rakaman sebelum ini, Mokhtarizal manakala mereka mencuba kerja tangan Dark-E (Vociferation Eternity) sebagai juruadun. Melalui penilaian saya, penyelarasan bunyi mereka kali ini lebih old school dan kasar berbanding “Endcient” yang moden dan rugged. 

Jika anda kenal HEREAFTER, anda pasti tahu semua hero-hero mereka di zaman remaja telah diadun sebagai rencah resipi muzik mereka. “Shit To The Max” begitu mengingatkan saya kepada JUDAS PRIEST dan KISS. Begitu juga pengaruh unik dari ANNIHILATOR, MEGADETH dan DESTRUCTION dalam lagu-lagu seterusnya. 


Saya diberi tugas membuat reka letak kulit CD ini secara paksa oleh Redza. Zamih betoi! Jumpa kamu semua di parti pelancaran album “Insignia” ini di Rumah Api, 31 Mac 2017, jam 9.00 malam bersama WRECKÄR, INSULTOR dan C.I.D.

Hubungi:
Tel: 012-6785771

1 comment:

  1. mengujakan album baru ni, tak sabar nak memilikinya

    ReplyDelete