Monday, March 2, 2009

CROSSOVER THE BRIDGE



CROSSOVER THE BRIDGE
TARIKH: 3 JANUARI 2009
TEMPAT: SOUNDMAKER, PENANG

Antara perkara menarik bila menjelangnya tahun 2009 ini apabila mengetahui sebuah gig yang menampilkan band-band ektrim akan berlangsung di Penang. Rasanya telah enam tahun aku tidak menjejakkan kaki ke pulau mutiara ini dan terlalu lama rasanya pulau ini sunyi dari kunjungan band-band ektrim tanahair. Aku memulakan perjalanan dari Kangar pada jam 11.30 pagi bersama 2 orang rakan. Di sepanjang perjalanan kami begitu teruja mengimbas kembali zaman kegemilangan gig di Penang era 90-an yang penuh dengan nostalgia. Aku masih ingat lagi bagaimana keadaan di jeti Butterworth yang penuh dengan metalhead lengkap dengan assesori berjalan beramai-ramai menuju ke tempat gig. Antara perkara wajib waktu itu ialah singgah di kedai buku di jeti dan membeli senaskah majalah Kerrang atau Metal Hammer yang masa itu berharga RM8 kalau tidak silap aku.



Kami tiba di Soundmaker tepat pada jam 1 petang, melalui petua yang diberitahu oleh Sharma, bassist Spermblast.Tempatnya terletak lebih kurang 2 km dari jeti dan mirip Paul’s Place di Kuala Lumpur. Ini yang membuatkan kami letih, kemana menghilangnya discoteque dan pub seperti Rock World, Hippodrome, Babylon Boom Boom dan sebagainya yang pernah mengegarkan Penang sebelum ini? Lupakan saja. Berjumpa dengan rakan-rakan lama dan berbual-bual panjang menaikkan kembali semangat untuk bersama-sama enjoy sambil menunggu gig ini bermula pada jam 3.30 petang ( tidak tepat pada masanya telah jadi lumrah!). Jumlah kehadiran metalheads, aku anggarkan sekitar 150 orang sahaja. Ralit berbual tentang pekembangan muzik, ‘awek dalam myspace’, dan mengutuk orang. Sedar tidak sedar rupanya band INCARNATION telah hampir menamatkan persembahan. Tidak banyak yang dapat aku ulaskan memandangkan aku tidak penah mendengar material mereka. Namun hasil persembahan saat akhir yang aku perhatikan band ini memainkan muzik Death metal yang moden dan sedikit bahagian bermelodi. Kini tiba giliran CATTARRH membuat persembahan. CATTARRH merupakan antara band Thrashcore terawal Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1992. Walaupun telah menerbitkan banyak material antaranya “Nightflight” demo, “Paranoia” EP, “Destructive Creation”EP dan yang terkini “Hati Syaithan” EP, band ini masih kurang mendapat pendedahan yang sepatutnya. Memainkan semula lagu-lagu lama dan baru, persembahan mereka ringkas dan menghiburkan walaupun tanpa kehadiran Jorn. Banyak mengetengahkan riff yang straight-foward serta D-beat, CATTARRH memberikan yang terbaik termasuk cover song dari SEPULTURA “Troop Of Doom” dan “Ironfist” dari lagenda MOTORHEAD. Seterusnya SYMBIOTIC IN THEORY dari Negeri Sembilan, yang difahamkan baru sahaja menerbitkan “Screamtheory” EP. Band ini mengetengahkan teknikal Death Metal yang sudah pasti anda arif tentang gaya persembahannya. Bagi aku, S.I.T berjaya menghasilkan muzik yang mereka gemar dan persembahan mereka biasa sahaja. Dengan penambahan cymbal crash dan splash di bahagian dram, hentakan dan struktur death metal mereka lebih menonjol dan berkesan. SPERMBLAST mengambilalih persembahan dengan porno/grindcore ketahap maksimum. Persembahan yang bertenaga, bersahaja dan humor. Walaupun nampak kepenatan, semua yang hadir kelihatan berpuashati dengan permainan mereka. Penyanyi mereka, Man Berek mengakhiri pesembahan dengan slam di atas lantai gaya Jack Black.



Dengan perut yang kosong, aku tinggalkan dulu gig ini dan ke restoran mamak berhampiran. Aku dapati geng-geng CATTARRH pun sedang melantak nasi mamak disitu. Sekembalinya ke Soundmaker, Hidden Silence sedang memberikan persembahan terbaik mereka. Memainkan lagu-lagu dari cd “Black Hearted Spiritual” mereka, H.S merupakan band yang berpontensi dan mantap walaupun showmanship yang lemah. Walaupun aku tidak pernah mendengar material mereka tetapi jelas kedengaran muzik death metal dan element progresif dambaan mereka. IN TORMENT menyambung acara malam itu dengan brutal death metal yang menjadi. Cuma mereka seolah-olah kesuntukan masa menyebabkan setting bunyi mereka kurang menyengat terutama dibahagian dram. Apapun persembahan mereka adalah di antara yang terbaik malam ini. Soundmaker sekali lagi mendapat serangan seksual dari GORESLUTS yang turut mengetengahkan genre porno grindcore. Apa yang menarik tentang mereka, riff yang dihasilkan bukan sahaja bersifat shred, tetapi terdapat part ‘groovy’ yang menghiburkan headbangers yang hadir. Memainkan lagu-lagu dari cd “Shinju Outercourse” dan lagu baru GORESLUTS nyata tidak menghampakan. Pemain bass mereka, Dr. Gila tetap memberikan yang terbaik walaupun demam dan tidak bermaya. Bagi mereka yang kurang senang dengan ungkapan lucah yang diterapkan dalam bunyi yang bising dan berat, GORESLUTS tidak sesuai bagi mereka!



Jam 9.00 malam, aku beransur dari Soundmaker bersama-sama GORESLUTS kerana kebanyakan mereka perlu berkerja keesokkan hari, manakala aku masih mempunyai agenda yang belum selesai di Batu Ferringi. Kami agak kecewa kerana tidak sempat menyaksikan MISTIK membuat persembahan. Walaupun merindui crowds metal masa lalu yang gila-gila, jumlah yang besar, tempat dan sistem bunyi yang mega, kami tetap berpuashati dengan gig hari ini dan berharap inilah titik permulaan kembalinya kehadiran kuasa-kuasa besar muzik ektrim tanahair ke pulau mutiara ini.

No comments:

Post a Comment