Saturday, February 27, 2021

BERMALAM DI MUSAFIR LARA CAMPSITE, KAMPUNG WAI


Angan-angan untuk mempunyai satu kawasan cantik sebagai tapak perkhemahan rasmi Rakap Besi tercapai apabila kami menjumpai lokasi ini. Walaupun kami sudah lama sedar potensi Kampung Wai  untuk dijadikan kawasan rekreasi, kali ini kami nekad. Nah! Malam ini kami sudah merasmikannya.

Bagi yang tidak tahu, dahulu Kampung Wai ini dipanggil ‘kawasan jin tendang’ oleh orang Perlis kerana kedudukannya yang agak ulu banat, penuh hutan belukar dan bersempadan pula dengan Thailand. Orang takut macam-macam, hantu, rimau, orang Siam, komunis, dan sindiket dadah. Zaman 90-an dahulu tanah serelong (0.7111 ekar) berharga RM3,000 pun tak dapat dijual kerana tiada siapa mahu membelinya. Malah kawasan perumahan yang saya diami pun dahulunya sunyi sepi tak bertuan biarpun hanya berharga RM75,000. Kini dah melambung ratusan ribu.

Namun siapa sangka, kawasan ini suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Kedah Tua? Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (1661-1687) telah memilihi Kuala Perlis sebagai pusat pemerintahan untuk dibangunkan sebagai sebuah kota pemerintahan di dalam Jajahan Perlis. Pada peringkat awal, kota ini dikenali sebagai Kota Palas namun ditukar kepada Kota Kayangan setelah mengalami pelbagai kemajuan sepanjang pemerintahan baginda Sultan Dhiauddin Mukarram Shah. Pada tahun 1664 baginda menitahkan supaya digali sebuah terusan untuk menghubungkan Sungai Perlis ke Sungai Kedah di Kampung Che Madi, Anak Bukit untuk mewujudkan sistem saliran bagi kegunaan rakyat tempatan untuk mengusahakan sawah padi. Sungai ini juga telah memendekkan jarak pengangkutan air antara Kedah dan Kota Kayang serta memberi peluang ekonomi kepada rakyat Kedah. 

Selepas kemangkatan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah pada 1687, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II (1710 – 1778) turut memilih Perlis untuk dijadikan pusat pemerintahan:

“Pada Hajarat 1107 Sultan Mahamad Jewa telah buka lagi suatu Kota Ngeri di dalam Perlis di tempat yang bernama Wai yang dinamakan Negri itu Negri Perlis Kota Kayangan … Pada Hajarat 1188 Sultan Mahamad Jewa molaie perbuat suatu kota lagi di Anak Bukit kerana hendak ditabalkan Tenku Abdullah menjadi Raja di dalam Negri Kedah. Akan Tenku Zayaudin menjadi Raja di dalam Negri Perlis … Pada Hajarat 1190 telah ditabalkan di Kota Anak Bukit Sultan Abdullah menjadi Raja di dalam Kedah dan Tenku Zayaudin menjadi Raja Muda di dalam Negri Perlis”. (Salasilah Atau Tarekh Kerajaan Kedah, Wan Yahya bin Wan Muhammad Taib bin Temenggong Wan Musa al-Shahid bin Temenggong Sri Raja Petra, Alor Star: Di-chap oleh British Malaya Press, 1329 [1911], hlmn. 5).

Kegiatan ekonomi Kota Kayang yang rancak pada zaman itu terus menjadi rebutan kerabat Sultan Kedah yang sering meminta pihak Ligor untuk masuk campur dalam urusan pemerintahan, dan akhirnya membawa kepada Perang Kedah-Siam 1821.

Semasa pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalulail pula, berlaku pertikaian sempadan antara Negeri Perlis dengan Setul (kini menjadi satu daerah di Thailand) yang ditadbir oleh Ku Din bin Ku Meh. Pertikaian sempadan ini diselesaikan oleh Kerajaan Siam menerusi pembinaan tembok tanah berhampiran Puju, di utara Kampung Wai, Kuala Perlis. Tembok ini berfungsi sebagai pembatas antara kedua-dua negeri ini yang kini telah menjadi sempadan negara.

Itulah serba sedikit sejarah mengenai Kampung Wai.




Hari ini saya bersama isteri saya, Diken dan isterinya merasmikan tapak perkhemahan Musafir Lara. Selepas menghantar isteri masing-masing di tapak perkhemahan, kami memparkir kereta di rumah saya dan kembali ke Musafir Lara dengan basikal. Mad Duha turut hadir namun dia tidak bermalam kerana tidak membawa peralatan khemahnya, dia lepak hingga ke pukul 2.00 pagi sambil menikmati BBQ dan layan stargazing. Malam yang tepat untuk meninjau langit kerana kelmarin ayyamul bidh, maknanya bulan mengambang penuh. Kalau dahulu malam-malam sebegini kita sering ditakutkan oleh mak dengan kisah-kisah khurafat. Kini dah takda siapa yang percaya lagi… yap! suasana cukup indah dan romantis sekali. Seronok pula jalan-jalan sekitar terusan ini sambil bereksperimentasi mengambil foto galaksi yang penuh misteri. Terusan ini bukan sungai purba yang digali pada zaman Sultan Dhiauddin Mukarram Shah, sebaliknya ia dibina pada 2012 merupakan Projek Tebatan Banjir Lencongan Barat Perlis bernilai RM560 juta. Terusan sepanjang 22.8 km yang menyalirkan air limpahan empangan Timah Tasoh terus ke laut ini merupakan projek pertama seumpanya di Malaysia. Bagaimanapun ia pernah menjadi 'projek sakit' yang membawa musibah kepada penduduk Negeri Perlis sebelum berjaya mengawal banjir seperti yang dirancang (baca sini).

Saya dan Mad Duha sempat melihat tahi bintang, rugi mereka yang lain kerana dah tidur awal. Sayangnya, ‘winter winds’ sudah tidak terasa lagi kerana fasa kemarau sudah mula menjelang. Alhamdulilah saya dan isteri sempat merasa nyaman dan dingin angin timur yang kuat pada minggu lalu. Sudah dua minggu kami berdua membanting tulang membersihkan kawasan ini agar selasa dan selamat untuk bermalam.


Kata Mad Duha, ini campsite terbaik untuk jenama Perlis. Inilah suasana Perlis sebenar-benarnya. Isteri saya dan isteri Diken, Nusrah mereka sibuk dengan tugas mereka iaitu memasak dan berswafoto. Tiada nyamuk malam ini, tetapi esoknya baru saya perasan badan saya banyak digigit agas. Kami jumpa dua kulit ular tedung berdekatan tapak ini menunjukkan memang kawasan ini dipenuhi dengan reptilia itu. Berdekatan lokasi ini ada Bukit Batu Putih, dahulunya dikenali sebagai Bukit Batu Buaya Putih. Kata pengail ada buaya yang mendiami kawasan itu, kata orang tempatan Kampung Wai mereka belum pernah lihat kelibat buaya lagi sejak tinggal di situ. Secara logik memang tiada buaya di situ kerana zaman serba canggih ini segalanya tersisip di media sosial. Belum pernah lagi saya terbaca atau terjumpa sisipan foto mengenai buaya di Kampung Wai. Atau berita orang diserang buaya di situ?

Jadi hari ini saya cuba berenang di terusan ini untuk kepastian. Alhamdulilah. Seronok, ikan banyak. Airnya bersih dan agak dalam, bagi yang tidak tahu berenang jangan cari fasal.


Esoknya selepas mandi dan sarapan pagi, tepat jam 9.30 pagi kami pun beredar kerana cuaca bagaikan pukul 12.00 tengahari. Terpancar kepuasan di wajah Diken dan Nusrah kali ini, kata Diken kalau boleh nak datang tiap-tiap minggu.





Pada hari cuti, ramai orang datang ke sini untuk memancing, jogging atau berbasikal. Polis peronda pantai, AKSEM pun ada sesekali sering melakukan pemantauan di kawasan ini, jadi bolehlah dikatakan Musafir Lara Campsite ini bukan sampai tahap ‘ikhtiar hidup’ lagi. Kedai dekat, jalanraya pun dekat, masjid dekat, rumah orang pun dekat. Cumanya kalau yang perempuan rasa nak buang air tengah malam tu, kenalah belajar cara melunaskan hajat dalam semak samun. Itu kemahiran asas di hutan.

Jika anda ingin bermalam di sini. Silakan. Tetapi tolong jaga kebersihan dan jaga keselamatan diri.

Laporan oleh:

3 comments: