Wednesday, October 14, 2009

DARI FLORIDA KE MALAYSIA

Antara perkara yang menakjubkan dalam internet hari ini adalah perkongsian maklumat melalui khazanah-khazanah video lama yang selama ini kita hanya dengar melaiui khabar angin dan pembacaan. Video yang aku amat kagum bila kali pertama melihatnya dan sangat teruja adalah video latihan Morbid Angel yang diambil pada 13 September 1990. Jika sebelum ini aku hanya membaca sahaja kegilaan mereka, ternyata dewa Death Metal ini sangat dedikasi didalam pembawaan muzik mereka. Malah atmosphera kehidupan mereka ketika itu sangat menarik sekali. Sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan aliran muzik Death Metal dari mula, pastinya jika diberi peluang mengidamkan untuk kembali ke tahun 1983 – 1990 dan mengunjungi Florida. Bandaraya yang dikenali sebagai The Capital City Of Death.


Morbid Angel pada tahun 1990 memainkan lagu gila mereka "Immortal Rites".
Banyak penulisan di dalam majalah muzik tempatan menceritakan definasi muzik tersebut, tetapi malam ini aku nak bercerita apa itu Death Metal melalui kaca mata aku sendiri? Ianya bersifat personal. Melibatkan pendapat-pendapat peribadi sahaja. Banyak perbahasan mengenai siapa yang membawakan muzik ini terlebih dahulu. Ada yang mengatakan MANTAS pra-DEATH, ada yang mengatakan POSSESSED? Namun bagi aku DEATH adalah bapa kepada death metal. Walaupun, DEATH, DEICIDE, MORBID ANGEL, OBITUARY, POSSESSED adalah seusia. Jasa DEATH adalah lebih menyerlah. Jika dilihat kembali, komposisi dari mendiang Chuck Schuldiner yang berteknikal serta dipengaruhi elemen jazz, adalah batu asas kepada genre ini dan dikuatkan lagi dengan Kam Lee selaku pemain dram dan vokalis. Adakah anda tahu, Kam Lee adalah perintis utama kepada nyanyian ‘growl’ ini? Kam Lee sangat di pengaruhi oleh band Swis, HELLHAMMER manakala Chuck dipengaruhi oleh album VENOM “Welcome To Hell”. Apabila Kam Lee menubuhkan MASSACRE, gaya vokalnya menjadi ilham kepada kumpulan-kumpulan Death Metal dan Grindcore hari ini, yang membawa teknik ‘growl’ ini lebih dalam dan buas. Manakala POSSESSED pula adalah proto-Death/Thrash metal yang pertama. Itu pendapat aku. Aku teringat sebuah interview lama dengan METALLICA, Kirt Hammet bercerita bagaimana mereka terkejut dengan sebuah band remaja belasan tahun yang lebih muda dari mereka namun bermain lebih berat dan laju dari mereka! Nama band itu adalah POSSESSED!

Possessed mempersembahkan lagu "Fallen Angel" pada tahun 1987
Semua band yang muncul di era awal 80-an di Florida cuba menjadi se-ektrim yang boleh. Pelbagai cerita, mitos, insiden yang membuatkan kita kagum dengan warga Florida ini. Antaranya bagaimana dewa MORBID ANGEL, Trey Azagthoth yang terkenal dengan riff-riff signature polyrhythmic mengelar tubuhnya setiap kali beraksi dipentas dan membiarkan darah mengalir di gitarnya ( beliau lebih dulu buat sebelum MAYHEM), manakala David Vincent dipercayai terjebak dengan sihir Karbala dan pemuja alam ghaib Lovecraft sama seperti Cliff Burton. MORBID ANGEL pernah merekodkan demo bersama Mike Browning yang akhirnya keluar menubuhkan NOCTURNUS, dipercayai oleh banyak pihak merupakan band death metal pertama di dunia mengunakan kibod. Amon pra kepada DEICIDE pula begitu menakutkan, bila melihat Glen Benton selaku penyanyi mereka yang memahat inverted cross di dahinya. Bagi aku lirik-lirik nukilan Glen adalah yang paling seram penah aku baca waktu itu. Video dibawah direkodkan dalam tahun 1990 semasa mereka menjalani latihan di rumah. Kelihatan ahli-ahli CANNIBAL CORPSE bertandang untuk melihat mereka berlatih. Aku terkenang kembali, aku pun begitu jugalah ketika melihat BLACK FIRE berlatih sebelum bermain untuk mereka. Begitulah juga ahli-ahli SIL KHANNAZ yang terbakar semangat untuk menubuhkan band apabila melihat BLACK FIRE. Siapa yang percaya muzik death metal boleh menjadi se-komersial ini. Semua pasti maklum, CANNIBAL CORPSE adalah artis death metal paling berjaya hari ini. Malah mereka telah diterima oleh arus perdana.


Deicide berlatih dirumah pada tahun 1990
Florida di zaman 80-an pastinya amat menarik sekali. Di dalam satu temubual dengan Jon Schaffer, gitaris ICED EARTH ada menyatakan zaman awal tahun 80-an dulu, ada sebuah public storage yang menjadi tempat band-band death metal ini berlatih. Mungkin tempat yang dimaksudkan adalah tempat latihan Morbid Angel tersebut. Bayangkan keadaan Pete Sandoval yang bermain dram didalam stor berkenaan. Aku amat hormati kegigihan dan perjalanan karier pemuzik death metal dari Florida, antara penyebab yang menempatkan aku sebagai peminat kental death metal. Aku pernah terbaca kisah Richard Christy ( pemain dram DEATH) yang hidup menderita, pernah tidak mandi selama setahun masa bersekolah dahulu sebab keluarganya tinggal di dalam hutan. Manakala bila remaja dia tinggal didalam gudang, maka di situlah dia berlatih bermain dram.

Dan perkara yang lebih menarik apabila mereka turut mendapat perhatian stesen TV yang bingung dengan kegiatan mereka. Aku teringat mendapat beberapa sms dan email dari beberapa rakan yang kecewa bila BLACK FIRE muncul di temubual dalam sebuah stesen radio komersial 2 tahun lalu. Sedangkan DEICIDE muncul di dalam rancangan TV 21 tahun lalu. Bagi kami ianya tidak lebih dari memberi peluang kepada kami untuk memberi penjelasan sebenar dan tepat tentang apa yag kami perjuangkan. Ianya tidak langsung membuatkan kami menjadi rockstar atau membuatkan kami glamor. Begitu jugalah DEICIDE... ia langsung tidak menjejaskan prinsip band tersebut.



Amon zaman pra-DEICIDE pada tahun 1988
Suatu ketika dahulu aku terjumpa di dalam internet, bisnes kad METALLICA era awal 80-an yang turut mengandungi no telefon untuk dihubungi jika ingin mengundang mereka bermain gig. Begitu juga dengan DEATH yang aku faham, punyai kad kelab peminat! Dan yang lebih mengharukan peminat muzik death metal disana sukakan gossip, yang mungkin antara penyebab pergerakan death metal ini tersebar dengan cepat sekali. Begitu juga dengan publisiti melalui penerbitan media komersil (bukan UG) tempatan yang menyokong pembangunan muzik ini.
Pergerakan death metal dari Florida ini mula menular ke serata dunia mulai lewat 80-an menerusi aktiviti pen-pal dan hobi ‘tape-trading’. Malah di Norway atau serata Eropah sekali pun, waktu itu tiada lagi Black Metal yang kita kenali masa ini. Hanya MAYHEM membawakan alunan Black Metal yang bingit, nyanyian scream dan kisaran dram yang kedengaran jahat dan asli sekali. Malah DARKTHRONE masih bermain death metal, begitu juga IMMORTAL yang sebelum itu bergelar AMPUTATION. Sweden pula berbangga dengan MERCILESS, UK dengan NAPALM DEATH, Brazil dengan SEPULTURA, Canada dengan KATAKLYSM, Poland dengan VADER dan sebagainya. Malah kumpulan seperti ROTTING CHRIST bermain death metal di dalam demo pertama mereka.
DEATH berlatih lagu "Together As One" pada tahun 1991
Jika kita amati era 90-an adalah jangkamasa emas bagi death metal di Malaysia. Dimana rata-rata negara Asia Tenggara yang lain masih menganggap Thrash metal adalah muzik paling berat. Remaja-remaja kita telah mengalami evolusi muzik , menubuhkan kumpulan death metal dan merekodkan demo-demo. Tipulah jika band seperti BRAIN DEAD, SILENT DEATH, SIL KHANNAZ, SUFFERCATION, SENSELESS, NECROTIC CHAOS, SCARIFICATION, MAZETORMENT dan berpuluh-puluh band lagi mengatakan sebab mereka menubuhkan band kerana pengaruh IRON MAIDEN, METALLICA, BLACK SABBATH! Ini semua terjadi kerana demam death metal bawaan pemuzik dari Florida. Monumen abadi yang menjadi khazanah metal tanahair pada abad itu semestinya 2 kompilasi INTRUSION OF DARK JOURNEY dan DARK LIVE!



Bagi yang tidak dapat merasakan betapa gembiranya setiap kali membeli kaset terbitan VSP pasti tidak dapat membayangkan perasaan melihat ilustrasi kulit-kulit kaset kumpulan death metal ketika itu. Sama naik dengan muzik, mereka cuba menghasilkan visual paling mengerunkan agar selaras dengan muzik yang dimainkan. Bagi kumpulan-kumpulan dari Florida mereka seringkali mengunakan khidmat Repka, yang masih aktif sehingga sekarang dan merupakan salah satu rujukan aku dalam lukisan. Lukisan Repka adalah amat kemas, terperinci, klassik dan beridentiti. Seperti pemuzik metal juga, Repka turut terpengaruh dengan dunia Lovecraft. Aku teringat lagi, penah satu ketika aku membeli kaset VITAL REMAINS “Forever Underground”. Disebabkan ilustrasi kulit kaset yang penuh dengan simbol-simbol menakutkan, aku terpaksa simpan kaset tersebut di verandah rumah aku sahaja, kerana takut hendak simpan di dalam rumah.
Waktu itu sukar untuk aku tentukan siapakah yang paling brutal diantara semua? Semua band dari Florida adalah ganas dan terbaik. Ingat tidak? Setiap kali kita membelek-belek di kulit album, apabila terlihat sahaja rakaman album tersebut dibuat di Morrisound Studio. Kita semua tersenyum, dan telah maklum kualiti bunyi yang akan berkumandang. Bagi orang lain aku tidak tahu, tetapi aku mendengar setiap kaset yang aku beli dengan teliti, aku hafal bait-bait bunyinya. Aku tidak pernah mendengar lagu metal sebelum tidur, aku tidak penah mendengar lagu metal sambil membuat kerja-kerja. Sebab itu aku sering marah rakan serumah dahulu bila mereka pasang lagu metal ketika hendak tidur, otak aku tidak dapat tidur jika mendengar lagu metal. Ia kembali aktif, kembali memproses melodi dan mesej di dalam lagu tersebut.

Kini death metal telah ber-evolusi dengan pesat sekali. Generasi pelopor dari Florida masih bertahan dengan cara lama, namun kini apa yang digelar American Metal ( satu genre baru )menjadi popular dan ikutan. Bagi generasi death metal Eropah, terutama dari Sweden yang mempelopori death metal bermelodi, mereka seolah-olah berada dilandasan yang lain. Terlalu komersil, mementingkan fesyen dan berpaksikan kesenian, bukan lagi pemberontakan seperti band-band lama.

Begitu juga di Malaysia, tiada lagi band yang memperjuangkan irama death metal tulen kecuali yang lama sahaja. Era emas Death Metal Malaysia mungkin akan berulang lagi, namun Jakarta telah pun mengambil alih tampuk pemerintahan tersebut buat masa ini.


All videos were added for educational purpose only.

No comments:

Post a Comment