Saturday, September 3, 2011

JAM SESSION DI MK STUDIO ARAU


Pagi tadi kira-kira jam 10.00 aku dapat panggilan telefon “Anggota Au Revoir semua di Perlis? Boleh main jam session malam ni kat Arau tak?”. Terkejut berok aku. Memang banyak yang tidak tahu, Yen sudah tidak bersama Au Revoir lagi dan Syed pula sedang beraya di Johor. Cukup anggota atau sebaliknya, tidak mungkin Au Revoir akan melakukan persembahan untuk tontonan. Bagi kawan-kawan yang pernah tengok kami jamming, itu pengalaman eksklusif anda. 

Aku memang tidak penah terlibat dengan scene muzik Perlis dari dahulu kala lagi. Tidak pernah tahu kumpulan apa yang hebat sekali, seksi sekali, cantik sekali di sini. Muzik hanya mencakupi lingkungan 4-5 orang rakan-rakan sahaja. Dunia kami jumud dan tersendiri. Kami hanya tahu Blackfire dan Whaffath sebagai kumpulan paling berat di Perlis ketika itu. Kami sendiri hanya minat dan bercita-cita untuk menubuhkan kumpulan black death metal ketika itu. Dikala semua anak muda di Perlis menyembah Nirvana, atau Search, atau Wings, atau Guns & Roses, atau XPDC, atau May…

Tersisih dan menyisihkan diri dari kelompok remaja lain di bandar Kangar ini. Kami bangga dengan naluri black death kami. Dan dengan ego, kami menungkah arus, bergerak sendiri sejak dari itu.

Aku hubungi Diken bertanyakan adakah beliau berminat untuk melihat jam session ini. Mood hari raya masih terasa. ‘Boleh juga’ katanya. Yalah! di usia ini, kita sudah mula terbuka sedikit, maksudnya setelah lama kita asingkan diri. Dalam hati teringat juga hendak lihat sejauh mana perkembangan dan pergerakan muzik underground atau mainstream di tempat sendiri. Lagipun, kami tidak pernah tahu bagaimana feel persembahan kumpulan-kumpulan dari tempat sendiri. 

Setahu aku memang tiada music events yang pernah berlangsung di Kangar. Penah suatu ketika di penghujung 90-an, satu gig dianjurkan di Kangar. Hero-hero datang mabuk, bertumbuk, berguling macam anjing. Aku menyampah tengok. Polis lagi menyampah, depa tangkap habis semua. Sewaktu Dr. Asri dilantik menjadi Mufti di Perlis. Beliau memang melarangnya. Tiada masalah langsung bagi aku, malah kami di sini sangat-sangat menyokong larangan keras beliau terhadap hiburan melampau. Kangar sunyi sepi dari hiburan muzikal. Damai dan tenang. Tiada pub. Tiada pawagam. Tiada pusat karaoke macam sekarang ini ( dulu ada pun yang haram punya, buat kat restoran tepi laut!). 


Jadi selepas Isyak, aku, Diken dan Angah begerak ke Arau walaupun katanya acara bermula jam 8.00 malam. Tempatnya bernama MK Studio, kami tinjau studio itu yang terletak di bangunan berhadapan Pasaraya C-Mart. Tiada dinding bilik, tiada penghawa dingin, persis Paul’s Place, Jalan Klang Lama, sesiapa yang pernah ke sana pasti tahu. Mungkin ada 40 orang yang hadir untuk menonton. Hebat! Jam session ini pun dianjurkan sempena pembukaan studio ini. Kami ke C-Kopitam dahulu. Diken & Angah online dahulu ( fb freaks!). Kami minum kopi dulu. Diken balun royale with cheese. Hehe! Apa pun aku dah pesan dekat budak-budak Moi Last Von untuk SMS jika giliran mereka tiba. 


Baru sahaja dapat pesanan makanan, mereka dah SMS. Mahu tak mahu, 10.30 malam jugalah kami bergerak ke MK Studio itu pun sebab C-Kopitam sudah mahu tutup kedai. Moi Last Von punya persembahan memang magikus. Mereka sebuah kumpulan instrumental sebenarnya dan mereka pernah merekodkan sebuah lagu di Faithcraft. Susunan muzik mereka ringkas, longlai dan mengasikkan. Ternyata mereka telah menguasai beberapa aspek teknikal dan eksperimental dengan baik. Diken sempat pesan “Apa lagi sign la?”. Kata Diken muzik MLV seperti kumpulan Antimatter. Ia ambient dan penuh kesuraman. 

 " yang ku harapkan anak-anak tak sepertiku.
Turut ikut jejak ku.. Jadi Driveeerrrr!"

Seterusnya kumpulan Pelita beraksi ( tidak diketahui sama ada mereka ada kaitan dengan Restoran Pelita), memainkan lagu-lagu dari Wings, Def Gab C, Loudness, dan paling kami geli hati mereka tergamak memainkan lagu Dio “Holy Diver” dengan lirik “Jadi Driver”. Teringat Roohi dan Am yang suka menyanyikan lagu tersebut setelah mendengarnya dari sebuah kaset usang yang memuatkan lagu  “Jadi Driver” diolah semula oleh Jatt, penyanyi kumpulan pop Black Dog Bone. Kami semua tersenyum dan berbalas sms sesama sendiri terutamanya Angah. 

Seterusnya giliran kumpulan Flossy yang wujud dari era grunge fever di Perlis dahulu. Katanya muzik mereka telah ber-evolusi setelah mengalami perubahan anggota dan melalui proses matang. Tetapi aku tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang dimainkan oleh mereka malam ini mungkin disebabkan sound setting yang kurang mengena? Apapun kami terpaksa berlalu kerana jam telah menunjukkan 11.30 malam. Banyak hal lagi perlu dilakukan.

1 jam bersama pemuzik-pemuzik Perlis telah cukup untuk merumuskan pergerakan muzik bawah tanah di sini. Secara peribadi, muzik scene di sini tidak banyak berubah sejak 16 tahun yang lalu. Mengapa 16 tahun? 16 tahun yang lalu adalah kali pertama aku sentuh gitar dan dram. Suasananya sama sahaja. Kami hampa sebenarnya namun seronok juga kerana mendapat pengalaman baharu melihat bagaimana perkembangan muzik di tempat sendiri. Nampaknya, kami perlu kembali ke gua kami yang gelap dan usah ganggu hidup sesiapa lagi di sini. Hehehe.

Moi Last Von - Harapan Terakhir Ku

Namun, aku rasa gembira sebab ada kumpulan seperti Moi Last Von, yang tegar bereksperimen dan mempunyai personaliti sendiri walaupun tidak mempunyai pengikut yang besar di sini. Aku hargai muzik mereka, lebih-lebih lagi usaha mereka untuk mempamerkan kebolehan menyusun lagu-lagu sendiri yang begitu asing bagi makhluk-makluk di sini. Mereka walaupun tidak sehebat pemuzik profesional, namun setiap anggota punyai instrumen dan gajet-gajet sendiri untuk ekperimentasi. Ini adalah salah satu prinsip untuk ke arah professionalism sebenarnya.

MLV kini bertapak di Shah Alam dan aku harap mereka boleh pergi jauh lagi dari sekadar hobi.

(p/s: ulasan ini tidak bermakna aku benci kepada sesiapa atau mana-mana kumpulan. Setiap orang bebas memilih dan membuat apa yang mengembirakan hatinya dan mengasah bakat yang dipinjamkan Tuhan. Ia tidak lebih dari sekadar pandangan peribadi. Maaf zahir batin)

No comments:

Post a Comment