Kumpulan ini memberi satu macam kerasukan di pentas metal antarabangsa yang menampilkan ahli all-stars dan cuba menyembunyikan identiti mereka sebagai satu misteri yang menyelubungi penubuhan GHOST. Taukey, Feudal Throne Records, Dave mengutuk saya apabila melihat sticker Ghost terpampang di snare drum saya. Katanya ‘Lost respect, bro”! hahaha! Saya hanya ketawa, sebabnya memang saya poser ketika itu kerana saya hanya melekatkan sticker yang diperolehi secara percuma walaupun tidak pernah mendengar muzik Ghost! Sticker itu cantik! Hehehe.
Saya mendapat tahu misteri Ghost terdedah juga apabila Devin Townsend dikatakan adalah watak utama di dalamnya. Patutlah susunan muzik dan gaya vocals Ghost kedengaran seperti diolah oleh seorang yang benar-benar berpengalaman. Townsend adalah otai muzik progressif metal dari Kanada, dan hasil kerjanya menjadi rujukan hampir semua pemuzik berat moden termasuk Behemoth. Tidak sangka pula beliau juga pakar dalam muzik heavy metal era 70’an dan 80’an. Yerp! Itulah Ghost. Jika anda tidak pernah mengetahui mengenai mereka, dengan gelaran ringkas sedemikian rupa anda pasti menyangka mereka sebuah kumpulan heavy metal dari era tersebut. Dan yang terkini, Phil Anselmo dilihat sering memakai T-shirt Ghost setiap kali membuat persembahan dan semasa riadah. Disyaki beliau adalah salah seorang dari anggota Ghost juga!!
Gimik kumpulan yang begitu satanic, semua bersolek seperti hantu kubur yang menganggu gereja di malam hari, vocals yang jinak serta ber –reverb tinggi, bunyi pukulan dram yang sebu dan terkebelakang, bunyi gitar yang ber-distortion kering, serta disaringkan dengan mainan church organ memberikan suatu atmosfera usang dan mengkhayalkan. Saya tidak dapat menahan diri saya untuk meminati lagu-lagu mereka walaupun dikutuk keras oleh Dave yang mengatakan Ghost hanyalah sebuah kumpulan copycat MERCIFUL FATE.
Memang ada benarnya, jika anda pernah mendengar sebuah kumpulan yang lebih lama lagi dan turut dianggotai oleh King Diamond bernama BLACK ROSE ( bukan band Malaysia tu ya!). Anda pasti setuju, Ghost sangat mirip kepada kumpulan itu.
Jika anda seorang yang pentingkan ketulenan baik anda jauhi produk Ghost yang sulung ini. Saya nasihatkan anda supaya tidak mendengar Ghost walaupun saya terus terpikat dengan susunan muzik dan kaedah yang mereka gunakan untuk rakaman album ini. Tiada apa yang tulen dan tidak pernah dibuat sebelum ini. Malah tajuk-tajuk lagunya seperti Death Knell, Satan Prayer, Elizabeth, Ritual, seperti makanan harian kita sebagai seorang metalhead. Namun, perkara yang paling penting adalah lagu-lagu mereka semuanya catchy dan menyenangkan perasaan (walaupun cerita pasai syaithan… rujuk cara Pentagram, Candlemass, Black Sabbath, Witchfinder General olah lirik mereka).
Saya hairan bagaimana mat salleh boleh buat muzik sebegini, ringkas, menangkap, rakaman dengan sengaja dibuat cara amatur, formula yang telah digunapakai sejak 70-an, dengan hanya sedikit gimik pemakaian dan solekan, mereka boleh menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi sebuah fenomena. Padahal, semua pemuzik rock Melayu dengan mudah boleh meniru apa yang Ghost buat dengan sekelip mata cuma kita tidak mampu melakukannya terlebih dahulu.
No comments:
Post a Comment