Wednesday, January 16, 2013

PUTREFIED REMAINS “In Gloomy Darkness Mourning” (Morbid Invasion Rex) – MALAYSIA


PUTREFIED REMAINS membina nama dengan pantas semenjak mereka menerbitkan M-cd “Eerie.. spread the hate” yang merupakan produk sulung mereka pada tahun lalu. Lagu-lagu mereka yang mistikus, gelap dan berteraskan revolusi muzik metal dari Greek, telah membangkitkan aura-aura peninggalan ROTTING CHRIST, NECROMANTIA, VARATHRON, ZEPHYROUS yang pernah menghantui tanah Melayu pada awal 90-an dahulu.

Sebelum saya mengulas lanjut, adakah anda seorang penjawat awam? Jika penjawat awam, pastinya pada waktu ini, seperti di pejabat saya juga, seluruh kakitangan sedang sibuk membincangkan tentang markah penilaian prestasi tahunan dari S.K.T masing-masing. Ada yang murung, ada yang memberontak, ada yang memprotes, ada yang tenang, ada yang membisu, ada yang bersyukur dan sebagainya. Di pejabat saya misalnya. Kebanyakan mereka mahu merusuh! Paling saya pelik, kebanyakan mereka tidak puas hati dengan ulasan Pegawai Penilai seperti ‘berpengetahuan dalam kerja hakiki tetapi kurang komunikasi..” dan sebagainya. Hakikatnya mereka-mereka ini mencapai markah 90% ke atas dan sesetengahnya dicalonkan menerima perkhidmatan cemerlang! Hehehe… mungkin inilah yang dikatakan manusia. Sukar menerima kritikan dan hanya mahu pujian, walaupun teguran itu adalah perlu untuk meningkatkan prestasi.

Saya kaitkan senario ini bila saya mendapati ada pihak yang seperti tidak puas hati bila saya jujur mengulas apa yang saya dengar dan faham. 


“In Gloomy Darkness Mourning” adalah sebuah single yang dirakamkan bersama-sama 2 lagu cover yang bukan sahaja hebat tetapi begitu nostalgik bagi mereka yang pernah membesar dari kelahiran atmospheric metal. Lagu tersebut adalah “Alma Mater” dari MOONSPELL (Portugal) dengan vokal undangan dari Azimuth Land, (DIED dan INFERNAL VOID) dan “Horror In Gothic Genre’s Grave” dari OBSECRATION (Greek). Sebagai bonus, 3 lagu dari m-cd “Eerie.. Spread the hate” turut dimuatkan dalam kaset yang diterbitkan oleh Morbid Invasion ini.

Kualiti yang diperdengarkan adalah menakjubkan dan membuai kenangan masa lalu, seolah-olah kembali ke zaman garage band, college band, yang mana kami pasti memainkan lagu-lagu dari ROTTING CHRIST dan MOONSPELL ini. Hakikatnya, saya masih dapat mengingati dan memainkan beberapa lagu dari band-band tersebut kini jika bertemu semula dengan rakan-rakan lama. Tetapi bagi, PUTREFIED REMAINS yang terus mengorak langkah dan memilih untuk berkarya dalam kesenian metal Greek secara serius ini. Mereka adalah pewaris yang ulung dari nusantara ini.

Jie Mutilator, pengasas dan pengubah utama lagu-lagu P.R bijak menghasilkan rif-rif yang mencorak mahzab muzik mereka yang berasal dari negara pengasas DEMOKRASI ini. Ia dipenuhi pengaruh hard rock, suram, dan adakalanya keras dan ganas. Pujian harus diberikan juga pada solo-solo gitar yang beremosi dan lunak, berpadu dengan bedilan gitar bass yang tebal dan berlari dengan selesa. Tiada vokal jeritan, hanya deruman keras dan serak gaya Sakis di era “Passage..” dan “Thy Mighty Contract”.

Manakala lagu-lagu cover dibawakan dengan begitu sempurna walaupun tidak diolah semula. Hanya bahagian vokal yang tetap dinyanyikan dengan gaya NekroShaman.

Saya juga kagum dengan kualiti adunan dan mastering oleh Jie Mutilator sendiri dan reka letak kulit kaset yang menunjukkan foto seorang wanita Afghanistan bermurung di atas kubur abangnya yang kelihatan begitu serasi dengan konsep muzikal P.R.

Kritikan saya hanya kepada elemen ketulenan dan jatidiri P.R yang tidak dapat ditonjolkan pada single ini. Namun jika ini adalah impian, cita-cita dan harapan muktamad mereka untuk menjadi sebuah band yang benar-benar klon idola mereka. Mereka telah berjaya sepenuhnya.

Mereka mampu bermain muzik dengan baik, mereka mampu menulis lagu yang hebat, mempunyai kualiti rakaman yang hebat, anggota-anggota yang dedikasi, imej dan visi yang hebat, dan pengikut-pengikut yang makin berkembang.

Jika kritikan saya mengenai identiti itu tidak disenangi. Maka, P.R telah mencapai kesempurnaan dan telah berdiri dipuncak kejayaan mutlak dalam berkarya. Dan mereka hanya perlu kekal begini selamanya.

Kaset ini diterbitkan dalam kuantiti terhad sebanyak 150 keping dan boleh di dapati dengan harga RM15 (termasuk kos penghantaran) melalui: 

atau

p/s: kira-kira dua minggu lalu, saya menerima email dari Stephen, VARATHRON bertanya khabar. Beliau menyatakan band beliau kini semakin dihimpit dengan berbagai tekanan terutamanya keadaan ekonomi dan inflasi di Greek yang begitu teruk. Karier sebagai pemuzik bawah tanah bukan lagi sesuatu yang menyeronokkan di sana. Masa depan band seperti VARATHRON mungkin semakin gelap. Ia amat menyedihkan.

No comments:

Post a Comment