Pertama sekali sudah lama sangat rasanya kita tidak dihidangkan dengan karya-karya yang benar-benar berat dari Kedah. Kumpulan brutal death metal, CHELATION INTOXICATION ditubuhkan di Jitra, Kedah pada tahun 2011 ini dianggotai oleh Fiq (gitaris), Shah (bass), Ikram (dram) dan Rxth (penyanyi). Mereka mengetengahkan atau lebih menumpukan kepada sub-element yang disebut ‘Slamming brutal death metal’. Kepada mereka yang kurang pendedahan terhadap evolusi death metal pasti bermasalah untuk membezakannya terutamanya generasi X. Saya sendiri pun kurang arif. Namun apa yang saya pasti, Slamming death metal mempunyai riffing gitar yang groove dan danceable. HA! Apa tu? Maksud saya, penekanan struktur lagu mereka membolehkan/membuatkan anda moshing tanpa henti, berkubang dan menari dalam circle pit hingga belemoih!! Ia kurang penekanan terhadap blast-beat tetapi downbeat atau mid-tempo adalah kemestian. Manakala, identiti yang paling nyata adalah cara nyanyian. Ia adalah cara nyanyian paling ektrim dalam genre metal. Menyanyi macam BABI!
Eh! Jangan ingat saya mengeji kumpulan ini. Tetapi itulah antara identiti kental Slamming brutal death metal yang cara nyanyian mereka dipanggil pig shriek!
Itu yang anda bakal temui dalam mini-album sulung mereka ini setelah kehadiran mereka dihidu oleh label grind/death metal paling aktif di Malaysia, GRUNDAR PRODUCTION. Mereka bertuah kerana dilamar Grundar yang berkerja keras untuk mempromosi artis-artis mereka selain setiap rilisan mereka pasti dilterbitkan dengan penuh etika professional. Setiap produksi mesti lengkap dengan item promo seperti flyer, sticker, bio, promo cd untuk media, dan sebagainya. Mereka juga tidak hanya mempromosi pada pasaran tempatan malah ke negara yang mendokong genre muzik tersebut. Syarikat bagaimana lagi yang anda mahu dalam dunia serba lanun dan muat turun kini?!
Rakaman mini CD ini dilakukan di CxIx DIY Studio, Jitra yang mungkin milik mereka sendiri. Hasilnya amat baik sekali, berat dan hampir sempurna jika tidak kerana dalam beberapa lagu kedengaran sikit lari alignment bunyinya. Mungkin kerana kesilapan kilang atau hanya CD saya yang jadi begitu? Bagaimanapun ia tidak lah terlalu jelas hingga menggangu pendengaran saya. Saya masih boleh menikmati riff-riff yang tebal, berat dan kejam dalam kesemua 6 lagu berdurasi hampir 19 minit.
Tema mini-album ini diinspirasikan oleh kisah seorang wanita kelahiran Kuala Perlis yang mengemparkan negara suatu ketika dahulu kerana mengamalkan ilmu hitam dan membunuh bagi tujuan tersebut. Wanita berkenaan juga pernah muncul dalam bidang seni suara arus perdana pada era 80-an. Sampling-sampling yang berkaitan dengan individu tersebut juga dimuatkan dalam lagu-lagu mereka. CHELATION INTOXICATION juga memuatkan sampling-sampling dari filem klassik P.Ramlee sebagai unsur mereng dan humor. Mereka adalah sealiran dengan kumpulan-kumpulan seperti BEGGING FOR INCEST, GRAVE GRINDER, SPASM, KATALEPSY, WAKING THE CADAVER, dan sebagainya yang hanya ada tiga tema dalam muzik mereka; LUCAH, BUNUH dan KEGILAAN.
“Dismemberment XVIII” adalah rilisan berdarah, bernoda dan keji seperti artwork kulit CD ini yang mengambarkan seorang gadis molek melapah dan memenggal kepala lelaki diatas kamar. Saya tabik kepada Fadzee (gitaris TUSSOCK) kerana lukisan ini tidak jadi anime! Hehe! Boring saya dengan pengaruh anime dalam lukisan orang Malaysia.
Sebagai bonus, mereka turut merakamkan sebuah lagu cover dari ENCEPHALOPATHY berjudul “A Sad Story About A Rotten Head In My Fridge” dengan keizinan kumpulan itu sendiri.
Jadi bagi anda yang memang meminati sub-genre ini atau ingin mencuba untuk menghayatinya. Boleh dapatkan CD yang diterbitkan secara professional ini dari Grundar Production atau hubungi mereka sendiri.
www.grundar.com
chelationband@gmail.com
No comments:
Post a Comment