Sebelum saya teruskan dengan mengulas produk DELUSI dan SIAL, izinkan saya berceloteh sedikit mengenai pembabitan saya dalam dunia ambient. Saya bukanlah jagoan, malah hanya seorang yang amatur untuk memberi pandangan panjang lebar dalam genre ini. Ini membuatkan saya serba salah untuk memberi pandangan kerana saya tidak tahu mengatakan perkataan-perkataan lain mengenai projek-projek sebegini selain ia gelap, ia menghantui, ia kemurungan, ia berpusar jauh ke dalam runut bunyi. Itulah ayat-ayat saya.
Baiklah, pendedahan saya dalam genre ambient ini sebenarnya bermula sejak perkenalan saya dengan seorang mahasiswa jurusan bahasa Inggeris, Svest dari Denmark pada 2006. Beliau menghantar CD-CD demo dan album untuk diulas ketika saya aktif menyunting KEMENYAN ZINE ( media murahan bawah tanah secara DIY). Kiranya dia lah satu-satunya rujukan muzik ambient saya, kerana Svest mengetuai begitu banyak kumpulan-kumpulan yang semuanya memainkan genre ambient seperti VORNOFF, SAGNTID, SICK ROOM 7, FORLIS, PICTURE ANN dan banyak lagi. Jujur saya katakan, saya tidak pernah mendengar muzik ambient selain dari yang dirakamkan oleh Svest kecuali, SUN O))) (baru dengar awal bulan lalu setelah diminta pandangan oleh Wan Beruas), BRIAN ENO dan runut-runut bunyi selepas tamat siaran tv RTM era 90-an dahulu. Jujur juga saya katakan, saya tidak pernah mendengar BURZUM di era ambient walaupun kata ramai orang hukumnya WAJIB. Saya tetap berkeras dan menahan diri dari mendengar BURZUM atau sebarang produk ambient (jika boleh.. tetapi kan dah kena dengar juga ni).
Alasan. Saya tidak mahu dipengaruhi oleh mana-mana kumpulan dan bertindak ingin meniru mereka disebabkan saya mempunyai projek ambient saya sendiri yang saya tubuh untuk berekperimentasi. Cukuplah saya tahu tafsiran muzik ambient, saya mahu jadi ‘saya’.
Baik jom… disebabkan DELUSI dan SIAL dari circle yang sama, saya bungkuskan pakej mereka dalam satu ulasan ini.
SIAL “Mati” (MTD PROD) – MALAYSIA
Promo CDR ini diterbitkan dalam kuantiti 15 keping sahaja mungkin dikhaskan untuk zine-zine dan blogger-blogger untuk menyebarkan nama mereka. Tiada maklumat rakaman dicatatkan hanya 3 tajuk lagu ia itu intro sebuah runut bunyi marching drum dan hukuman tembak, seterusnya lagu kedua berjudul “Mati” yang boleh saya katakan dark ambient dengan jeritan-jeritan emosi yang benar-benar mengingatkan saya kepada Varg Vikerness. Mungkin dia adalah idola Nyawa (penyanyi) yang pada saya sebutan beliau jelas dan penuh emosi. Saya dapat tangkap bait-bait puisinya yang menceritakan keadaan di barzakh jika telahan saya tepat. Lagu terbaik bagi saya, ia kehidupan selepas mati. Namun kehidupan yang penuh dengan siksaan. Lagu ketiga adalah “Tangisan gelap” mengunakan gitar elektrik dan jeritan. Lagu ini dimainkan dengan teknik fast picking serta nyanyian yang turut menyerap kelajuan tersebut dan agak menghilangkan aroma asli ‘ambient’ itu. Jika ditambah dram dengan teknik blastbeat, maka black metal hutanlah jadinya. Mungkin sebab itu, Nyawa memaklumkan kepada saya bahawa SIAL terarah kepada noise dengan sentuhan black.
SIAL “Mati II” (ROOTS ACTIVE PROD) –MALAYSIA
SIAL berjaya memikat hati label indie dari Phatthalung, Thailand untuk menerbitkan sebuah demo kaset berjudul “Mati II” dalam kuantiti 33 unit bagi mempromosi karya mereka di sana. Tiga lagu dari promo CDR mereka dimuatkan didalam ini dengan tambahan 2 lagu lain iaitu “Bunuh Diri” dan “Rest in Hell” serta sebuah lagu saduran dari DARKTHRONE “Transilvanian Hunger” dalam gaya mereka tersendiri. Lagu-lagu yang dimuatkan dalam CDR “Mati” kedengaran lebih baik dalam format kaset ini. Saya berpendapat SIAL (dianggotai 2 orang lelaki gila, Nyawa dan Misteri) masih mempunyai obssesi kuat terhadap pengerak irama gelap dan liar dari Norway.
DELUSI “Manifestasi” (FATAMORGANA MUSIC PROD) – MALAYSIA
Muzik DELUSI menepati definasi ambient sepenuhnya, ia membawa anda larut dalam runut bunyi dan dimensi melodi berwarna. Rakaman yang lebih bagus dari SIAL serta pengunaan sampling-sampling dan kesan-kesan bunyi yang tepat. Lima lagu dimuatkan dalam CD ini iaitu, Manifestasi, Igau, Dimensi, Jurang dan Fantasmagoria. CD ini diterbitkan dalam kuantiti 16 unit sahaja. Saya yang ke -11.
DELUSI “Lara” (FATAMORGANA MUSIC PROD) – MALAYSIA
DELUSI menamakan versi kaset ini sebagai EP 2014 dan hanya diterbitkan dalam jumlah 7 keping sahaja! Ia memuatkan 3 buah lagu yang turut dimuatkan dalam demo “Manifestasi" mereka, dan lagu “Lara” yang dipetik dari 3 Ways Split CD berjudul “Pengukir Nada Dari Makam”. Tambahan 2 lagu di dalam kaset ini adalah “Apokalips” dan “Kelabu” yang meneruskan hala tuju beliau memanipulasi bunyi-bunyi melalui kemudahan sihir elektronik. Kaset EP ini diisyhtiharkan Nyawa sebagai kompilasi lagu-lagu beliau yang sebelum ini hanya disiarkan melalui sesawang bandcamp dan youtube. Jangan terperdaya pada ilustrasi seperti gothic metal pada kulit kaset DELUSI.
No comments:
Post a Comment