Tuesday, October 14, 2014

MORBID ANGEL “Covenant” (EARACHE RECORDS) – USA


Boleh dikatakan tiada lagi yang dapat menandingi kumpulan MORBID ANGEL hingga ke hari ini jika merujuk kepada album tahun 1993 ini, dan sesuatu yang agak mengecewakan apabila pemain lead gitar Richard Brunelle yang turut menyumbangkan ‘karekter’ kepada MORBID ANGEL sebelum itu tidak bersama merakamkan sejarah ini. Kesemua lagu-lagu yang dirakamkan di dalam “Covenant” adalah yang terbaik penah ditulis oleh mereka. Dan antara album yang menjulang nama Morrisound Studio, Tampa.

Album ini begitu dinamik, kerana tempo yang dimainkan pemukul dram mereka, Pete Sandoval begitu menakjubkan bagaikan bukan dimainkan oleh manusia sebaliknya, oleh dukun gendang! Padel yang bagaikan deruman kereta kebal, begitu juga tona snare seperti machinegun menjadikan teknik blast beats beliau mempunyai signature, rujukan terpenting pemain dram death metal yang lainnya bagi seluruh alam. Manakala melodi dan keunikan solo gitar Trey Azagthoth melonjakkan lagi kualiti yang telah tersedia ada dalam album ini, manakala riff-riff agung yang digarap oleh beliau bak aliran magma serta kisaran puting beliung. Beri tumpuan pada keaslian lagu “God of Emptiness” yang dimainkan dengan tempo ganjil dan riff yang berlendirkan ritma sludge. Kali pertama saya mendengar “God of Emptiness” adalah dari kaset kompilasi bootleg keluaran VSP berjudul “Battle of Fear” (1994). Ia kedengaran begitu menakutkan lagi ngeri. Permainan teknikal itu saya selami hingga membawa ketagihan. Lagu tersebut kekal menjadi pujaan saya hingga ke hari ini. 


Vokal David Vincent ditahap yang paling buas bagi memberi penghayatan terbaik untuk seni liriknya yang 100% dalam album ini menyerang ajaran Kristian, yang mana beliau lebih terpengaruh dalam perkara mistik dan mitos dari tamadun Sumeria dalam album-album lalu. Vincent memfokuskan idea beliau sepenuhnya dalam penentangan ajaran kaum Nasrani. Lagu seperti “The Lions Den” yang ditulis sepenuhnya oleh beliau mengisahkan bagaimana Rom membunuh orang-orang Kristian dengan menghumbankan mereka dalam kandang singa sebagai tontonan. Saya percaya BEHEMOTH mendapat ilham dari lagu ini untuk menulis lagu “Christians to the Lions” dalam album "Thelema.6" (2000).

Album “Covenant” diterbitkan pada 22 Jun 1993 dan merupakan yang pertama seumpanya diterima oleh syarikat gergasi Giant Records / Warner Brothers untuk dipasarkan secara komersil hingga memperolehi kejayaan besar. Pada tahun lalu, MORBID ANGEL sekali lagi mengadakan jelajah bagi mendendangkan album ini untuk menyatakan pada peminat bahawa mereka masih ‘sempoi’ setelah mendapat kritikal yang teruk terhadap album terbaru "Illud Divinum Insanus". Malah bekas pemain dram mereka, Pete Sandoval turut menyelar album tersebut. Pete Sandoval meninggalkan MORBID ANGEL pada Disember tahun lalu kerana kembali menganut agama Kristian dan perlu menarik diri kerana berbeza fahaman. Pete Sandoval kini berkhidmat untuk TERRORIZER, sebuah supergoup grind/death metal yang terarah kepada tema politikal.

Kaset ini untuk dijual! Cepat hubungi kami.

No comments:

Post a Comment