Tuesday, December 23, 2014

AZARAKH “Tersirat Disebalik Tersurat” (MTD PROD/WAKAF PROD) –MALAYSIA


Demo CD 5 lagu ini diterbitkan oleh MTD dalam kuantiti 50 keping berserta 2 lagu bonus yang dipetik dari persembahan langsung mereka di gig ‘Kami Bukan Sampah’ pada Disember tahun lalu. Manakala rakaman demo ini juga dibuat sebulan dari tarikh persembahan itu . Rakaman yang dijalankan di Refresh Studio ini diadun dengan bagus, serasi dengan konsep mereka serta mudah dihadam oleh sistem pendengaran peminat muzik black metal tempatan.

WAKAF PROD dan MTD PROD yang terkenal dengan pemuzik-pemuzik metal berhaluan nusantara sekali lagi menerbitkan material untuk kumpulan yang berhaluan sebegitu dari Negeri Sembilan. Jika Waris, mungkin mengelarkan dirinya sebagai Rembau most wanted rapper. AZARAKH mungkin Rembau most heaviest rockers! Tetapi mereka mengelarkan diri mereka seperti didalam kulit CD ini sebagai kumpulan ‘melodic dark metal’.

Mereka bijak membuat susunan lagu, dan bait-bait lirik mereka juga mempunyai sentuhan puitis yang jarang-jarang kita jumpa pada kebanyakan kumpulan dari genre yang sama seperti mereka. AS SAHAR, PURNAMWULAN, SANTAU mungkin pengaruh kuat buat mereka dari segi tetapan bunyi dan konsep. 4 buah lagu yang dirakamkan disini tidak termasuk intro boleh dikatakan mempunyai atmosfera yang sekata dan mendatar. Solo-solo gitar yang dimainkan oleh Sanious agak unik dan kadang-kadang seperti lagu-lagu Ooi!. Ia penuh jiwa remaja dan rocky.

Permainan dan kemahiran mereka masih boleh diteliti melalui dua lagu live yang dimuatkan didalam CD ini walaupun hanya vokal dan dram agak terkehadapan dari instrumen lain. Saya kira ia masih rakaman live yang baik.

Saya sendiri hampir lupa, sebenarnya di Eropah kebangkitan genre metal seperti ini telah berlaku sejak ia diketengahkan oleh HORDE pada 1994. HORDE mencetuskan kontroversi dengan memainkan irama black metal dan menyanyikan lirik-lirik kemurnian agama Kristian yang menyebabkan Nuclear Blast Records dihujani cemuhan malah ugutan bunuh bagi mendedahkan identiti pemuzik HORDE. Akhirnya identiti HORDE terdedah juga. Dia adalah Jayson Sherlock dari Australia yang cuba menyamar sebagai pemuzik Norway sebelum itu. Walaupun berdepan dengan kebencian dan banyak ugutan bunuh, HORDE masih berdiri hingga kini dan genre ini bergelar ‘white metal’ kerana bermesej kedamaian dan satira meraikan kemusnahan syaitan secara tersirat atau secara berdepan.

Begitu juga AZARAKH yang memakai corpepaint, menceritakan hal kegelapan dan memainkan irama yang liar. Mereka adalah white metal seperti juga kumpulan AJAL yang mengetengahkan teras lirikal yang murni walaupun tersirat dalam kejahatan bunyi metal.

FACEBOOK AZARAKH

No comments:

Post a Comment