Saturday, May 2, 2015

COKELAT “Panca Indera” (SONY BMG MUSIC) –INDONESIA



Bagi saya band kolej/universiti yang mampu berkarya hingga mampu memecah pasaran komersial tergolong dalam salah satu karier idaman dan bertuah, ini kerana ketika anda melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang tertentu secara tiba-tiba anda berjaya pula berkarya dan meraih populariti disamping dapat menyara hidup dengan melakukan apa yang anda minat. Tidakkah itu bahagia?

Itulah keajaiban yang berlaku pada COKELAT tetapi mereka juga berusaha keras bagi menajamkan kemahiran dan kebolehan dalam bermuzik, bukan sekadar bantuan teknologi. Dalam kata ringkas, mereka anak-anak muda yang berbakat dan gigih.

Namun ini album ini menjadi kenangan terakhir mereka bersama Kikan (sang vokalis) dan Ervin (pemain dram) yang bertindak meninggalkan COKELAT atas masalah dalaman. Maka sejak 2008, COKELAT berada dalam posisi tidak produktif dengan hanya mengeluarkan 2 buah single bersama berlainan penyanyi dan menerima banyak komen negatif melalui single #like! dilaman youtube kerana memaparkan gaya hidup remaja liar yang tidak seiring dengan kesantunan orang Timur.

Seperti biasa, COKELAT bersama Kikan dikenali dengan irama pop rock melankolik dan penuh emosi namun tetap menampilkan permainan muzik yang berteknikal dan padat terutama dibahagian dram. Entah kenapa, dalam album ini Kikan begitu dipengaruhi oleh gaya nyanyian Alanis Morissette yang tidak boleh dinafikan lagi jika dinilai dalam lagu “Salah”, “Bukan Hari ini” “Tak Berujung”. COKELAT juga berekperimentasi dengan kesan bunyi elektronik dalam beberapa lagu seperti “Nada Doa”, “Terluka” manakala lagu berirama reggae “Yang Terindah” kedengaran menarik dengan pengunaan reverb yang tinggi pada vokal sama seperti lagu “Pinjam Hatimu” membangkitkan aura vintage ala Gwen Stefani. Dan untuk ulung kalinya COKELAT memuatkan dua buah lagu berbahasa Inggeris “The Hardest Part” dan “Recall” yang dibawakan dengan baik dan matang. COKELAT boleh juga dikategorikan sebagai sebuah kumpulan moden rock dengan distorsi tinggi pada lagu-lagu tertentu. 


Lagu-lagu mereka yang sedikit berat mengingatkan kita kepada kumpulan Finish rock terutamanya SENTENCED, lagu “Suara Kemenangan” buatkan saya teringat kepada lagu “Routasydän” mengenai semangat dan kecintaan pada tanahair. Suatu hal yang tidak dapat disembunyikan kerana dalam foto dikulit album ini juga memaparkan Kikan memakai loket heartagram. Anda tahu milik band apa? Itu pun dari Finland.

Fakta menarik adalah hiasan kulit album ini dilukis oleh Ervin (pemain dram) dan lirik-lirik pula merupakan tulisan tangan penyanyinya, Kikan.

No comments:

Post a Comment