RIDE AND ROLL TO SINGORA
16hb Mei 2015, Padang Besar ke Hatyai
Jentera: Fixie
Gajet: Xiaomi Mi3
Budjet: RM184
Budjet: RM184
Kayuhan ini dirancang 3 bulan awal hasil cadangan Mad Duha, presiden PEKЁTUM memandangkan pada tahun ini kami masih belum berbasikal ke mana-mana gig atau konsert. Seperti biasa kayuhan tetap bertemakan kebajikan dan saya memilih Tabung Selamatkan Harimau Malaya untuk dipromosikan. Jemputan dan aturcara peristiwa telah direncanakan mengunakan laman sosial dan kami mendapat 10 riders yang berminat untuk mengikuti program ini.
Saya sengaja meletakkan Ride and Roll to Singora, yang merupakan kata nama lain kepada Songkhla. Nama Singora merujuk pada sejarah kerajaan Melayu Islam di kota Singora yang akhirnya tumpas kepada kerajaan Thai. Cadangnya kayuhan ini akan berakhir di NWT Shop di Greenway Market yang merupakan pusat kegiatan Hatyai-Songkhla Underground scene, HSUG. Dan pada sebelah malamnya kami akan bersantai di Rockspace Pub, premis rasmi segala aktiviti berkaitan punk dan metal di bandaraya Hatyai setelah dua pub yang menyokong aktiviti UG sebelum ini jatuh bankrup. Pemilik Rockspace Pub, Eakkarad Pattano bersetuju untuk membuat sebuah parti bagi mengalu-alukan kedatangan kami. Hebat tu!
Tibalah hari yang dijanjikan, Mad Duha terpaksa mengantikan Ghani Arafat bagi mewakili Majalah Kapchai dalam acara permotoran Miri, Sarawak, ada yang terlibat dengan Hari Keluarga, permohonan cuti ditolak, tiada baki cuti, tiada basikal, belum cukup fitness, tidak cukup modal dan ada juga yang memohon pertukaran tarikh dan sebagainya. Bagi saya, semua maklumat telah disediakan awal, saya sendiri terpaksa memohon cuti awal selama sebulan kerana bimbang cuti ditolak.
Saya langsung tiada masalah untuk membuat kayuhan solo. Cumanya saya kurang yakin dengan kebolehan untuk bergerak kembali ke Padang Besar kerana baru pulih dari serang gout. Itu pun hasil suntikan painkiller. Bukanlah manja, cuma kebetulan rakan lama saya, GG Bunthai seorang pengimport alat ganti motorsikal akan datang mengambil stoknya pada hari Ahad, bersamaan Hari Keputeraan Tuanku Raja Perlis ke 72 tahun. Jadi saya minta jasa baik beliau untuk tumpang pulang bersama. GG Bunthai seorang yang tidak pernah berkira dalam memberi pertolongan pada sahabat-sahabatnya.
Saya hanya menyediakan satu tiub tayar dalam, spanar, pencungkil tayar dan pam sebagai kit kecemasan. Selebihnya hanya kain pelikat, seluar pendek, tshirt, kamera dan charger yang memenuhi ruang dry bag. Semuanya tidak melebihi 3kg. Sebaik solat Subuh jam 5.41 waktu Kangar, saya terus memecut dengan Volvo 740 ke kawasan parkir Kastam, Imigresen dan AADK. Suasana masih gelap gelita. Tetapi aktiviti dokumentasi keluar-masuk pintu sempadan sedang rancak berjalan di kaunter. Pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka seawal jam 6.00 pagi. Ketika saya di pintu pagar sempadan Thailand, kelihatan ramai pelancong dari Singapura berpusu-pusu berbaris menunggu giliran untuk pemeriksaan passpot.
Memandangkan saya bersorangan, sedangkan isu penemuan kubur-kubur besar pelarian etnik Rohingya pada 5hb Mei lalu sedang rancak diperkatakan, saya dalam dilema untuk mengunakan jalan kampung yang permai dan dingin itu. Pertamanya, kawasan itu agak sunyi. Kedua, kawasan itu menjadi panas setelah isu itu tular. Pastinya ramai tentera ditempatkan di sepanjang laluan kampung itu. Menurut laporan berita, 26 mayat pelarian etnik Rohingya, Myanmar dan Bangladesh dan sebuah kubur besar telah di temui dalam hutan dengan jarak 300 meter sahaja dari sempadan Padang Besar, Malaysia. 15 pegawai polis Thailand termasuk Ketua Polis Daerah Satun, Mejar Jeneral Sunthorn ditukar stesen kerana mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia. Penemuan kubur itu membongkar pembunuhan kejam pelarian Rohingya oleh sindiket terbabit. Dipercayai lebih 500 orang telah maut di kem-kem sekitar sempadan tersebut sementara menanti wang tebusan daripada keluarga untuk dibawa masuk ke Malaysia.
Saya batalkan hasrat melalui jalan tersebut. Dan terus mengunakan lebuhraya Phet Kassim. Subuh yang dingin, waktu Thai masih 5.30 pagi ketika itu membuatkan sendi-sendi rasa liat untuk bergerak. Terdapat dua kawasan tinggi yang perlu didaki sebelum selesa mengayuh di tanah rata. Penoreh getah kelihatan masih rancak di ladang, manakala jalan raya yang lenggang memberi keselesaan untuk bergerak sedikit laju setelah otot-otot mula panas sebaik tiba di Hospital Sadao. Cahaya merah Sang Mentari sudah mula kelihatan.
Saya tiba di Tecso Lotus Sadao jam 7.30 pagi, saya berhenti di stesen minyak berhadapannya untuk buang air, pakai keffiyeh (debu jalan dan gelaga dari lori Thailand sangat tebal dan merimaskan), serta kaca mata hitam. Nampak memang bergaya tetapi hukumnya wajib kalau tidak mahu mata, hidung dan wajah anda terseksa dek debu tanah merah. Beberapa orang penduduk tempatan memacu mountain bike memintas saya dengan laju, ada yang menegur dan yang lihat dengan aneh. Mungkin disebabkan pemakaian saya yang tidak sportif.
Dengan bekalan setin soda saya tiba di Ban Prik, ketika ini lori getah sekerap, lori kayu sayung, lori kayu getah telah mula menguasai lebuhraya dengan pemanduan yang laju-laju belaka. Saya berhenti di sebuah wat, saya minta pencuci wat (mungkin Siak kot jawatan dia situ?) untuk mengambil foto mengunakan telefon bimbit. Apa yang saya lihat orang-orang Buddha tidak kisah jika kita bergambar di wat, malah mereka suka membantu dan mengalu-alukan jika kita mahu bergambar di rumah ibadat mereka. Lihat foto saya di stesen keretapi Klong Ngae nanti. Saya minta seorang sami Buddha yang ambilkan. Sekali dengan jari dia pun ada dalam foto tu. Hehe. Pengalaman saya di Pulau Toba dahulu, penduduk-penduduk Batak agak sensitif (malah melarang) apabila mengambil foto di makam-makam raja mereka.
Dua jam mengayuh dari Padang Besar saya pun tiba di pekan Klong Ngae yang telah dipenuhi peminat tegar pakaian bundle dan barang dapur terutamanya dari Malaysia. Ada juga yang datang sekadar untuk memburu tom yam dan phat phet. Saya sendiri sudah terlalu bosan dengan apa yang ditawarkan di Klong Ngae, segala tarikan disini sudah lenyap dengan harga-harga barang yang tidak masuk akal. Jadi saya gunakan masa ini untuk rehat dan bersarapan pagi. Koeteaw goreng siam dan teh ais ini berharga 55 bath. Sedap dan berbaloi. Saya berehat di Klong Ngae selama 30 minit dan meneruskan perjalanan.
Ketika tiba di Ban Thung Lung, kira-kira jam 9.00 pagi, bahang panas begitu terasa. Seolah-olah jam 12.00 tengahari. Ini mungkin disebabkan banyaknya asap-asap dari kenderaan berat.
Jam 10.00 pagi saya tiba di Masjid Po Mo dan pondok pengajian Da Run Hu Da. Masjid kegemaran saya untuk solat jamak, disini boleh anda lihat beberapa orang pelarian Rohingya menumpang teduh. Pernah suatu kita saya bersua dengan seorang mualaf dari Malaysia yang datang menuntut agama di sini. Malangnya, dia tidak tahu berbahasa Siam, dan kebanyakan guru agama di sini pula tidak tahu berbahasa Inggeris. Suatu tragedi buat mualaf berkenaan. Saya hanya mampu menasihatinya agar pulang ke Malaysia biar pun kini banyak pondok-pondok yang mengelirukan yang ditubuhkan oleh para penglipur lara. Sekurang-kurangnya beliau tidak perlu lagi mengemis kepada setiap jemaah yang datang ke situ untuk sesuap nasi kerana di Malaysia kita ada Baitulmal dan PERKIM.
Sedang berehat ditangga masjid, seorang pemuda dengan bahasa Inggeris yang baik menegur saya.
R: You speak Thai?
Saya: No. No. I’m from Malaysia (orang Thai panggil negara kita MALASia, bangsa Malay)
R: You come here alone? By motorbike? (sambil tunjuk basikal, dia silap sikit)
Saya: Yes. By bicycle (sambil tunjuk gerek)
R: Wow.. you have a fantastic life. You waiting for someone?
Saya: No… I just get some rest and ride again.
R: Then take your motorbike to Hatyai? (sambil tunjuk basikal)
Saya: Err.. yes. Yes. Tomorrow after morning prayer I went back to Padang Besar. You from here?
R: No. No. I’m from Lanta Island. Have you been there?
Saya: Yes, twice.
R: Wow! Where do you sleep? What did you do in Lanta?
Saya: In Krabi town. Close to night market area. I love to swim and snorkeling in Koh Lanta.
R: yes.. yes.. Koh Lanta. Next time you can call me when you go to Lanta. I runs a hotel over there. I give you a free room.
Saya: wow.. you must be a rich man? What hotel?
R: Search Lanta Miami and Lantas Lodge. Call me if you go there, here the number 0873844349
Saya: Thanks. Have you been to Malaysia?
R: What for? (sambil mencebik bibir dan mengangkat bahu) No good beach… err… yes, I’ve been to Pinang. But…er.. (tidak menghabiskan kata..)
Saya faham maksud beliau. Maknanya pantai-pantai dan pulau di Malaysia tidak boleh menandingi Lanta dan Krabi. Betul juga tu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Baik lagi negeri sendiri.
Saya: Can I know your name?
R: Rasool.
Saya: What? Are you a rasul? Hehehe.
R: Heh!. And yours?
Saya: Rammy. I have to go now. See ya.. Assalamualaikum.
Selepas selfie dan cukup sejam berehat saya terus bergerak, kali ini dengan sedikit kelajuan memandangkan jalanraya yang mendatar dan luas. Panas terik membakar wajah walaupun dilindungi keffiyeh. Risau juga jika tayar basikal tiba-tiba meletup.
Saya sampai di pusat bandaraya betul-betul di Central Festival jam 11.30 pagi. Warga kota kebanyakannya baru masuk bertugas di pejabat. Ada juga beberapa pelancong berbasikal sedang riadah di sekitar bandar. Selepas bergambar dan menampal flyer, saya ke kedai basikal First Bike untuk bertanyakan agen tukaran wang kerana saya langsung tiada baht untuk check in hotel. Malangnya, tiada agen yang berdekatan. Tiba-tiba seorang pakcik keluar dari First Bike terus menyapa saya. Dari Malaysia ya? Jom ikut abang kita ke stesen bas untuk tukar wang, katanya.
Dia rupanya pemandu van Toyota commuter yang berulang alik dari Bukit Kayu Hitam ke Hatyai. Saya ikut sahaja dah ada orang hendak membantu. Dari satu restoran ke satu restoran Pattani dibawanya saya, namun tiada siapa yang mahu menerima ringgit! (Bayangkan betapa teruknya nilai wang kita jatuh hingga orang Thai pun tak pandang). Akhirnya beliau membawa saya untuk menukar wang daripada penjual tiket bas. Itu pun dengan kadar RM100 = 8500 baht sahaja. Saya terima sahaja asalkan mudah urusan.
Abang seterusnya memperkenalkan dirinya sebagai Ismail, dia ajak saya makan tengahari bersama di Restoran Kamal berdekatan stesen bas. Pada mulanya saya ingatkan saya perlu belanja dia makan tengahari atas jasanya, rupa-rupanya dia yang mahu belanja saya makan. Ukhwah seringkali terjalin secara misterius jika kita dapat memahaminya. Rupa-rupanya abang Ismail pun peminat sukan basikal juga, malah beliau pernah membuat tour berbasikal bersama mahasiswa-mahasiswa Prince of Songkhla University, kampus Pattani hingga ke Taman Ular Sungai Batu Pahat, Perlis. Banyak yang kami bualkan mengenai aktiviti berbasikal, Abang Ismail all rounder, dia ada 5 buah basikal. Down hill dia masuk, touring pun dia buat, off road pun dia pulun. Yang paling best, ada satu foto dalam telefon pintar beliau terakam satu foto dia berbaju SLIPKNOT. Orang tua rock katanya. Walaupun kurang fasih, Abang Ismail gembira dapat berbual-bual dengan saya dan memberi nombor telefon beliau kepada saya jika ada sebarang masalah atau sekadar ingin berjumpa dengannya. Saya bertanya bila cuti? Everyday is holiday to me hahaha!, katanya. Kepada sesiapa yang ingin menaiki van beliau dari Bukit Kayu Hitam ke Hatyai boleh telefon beliau (095-4384137 – Rachel Ismail) hanya RM6.50 seorang. Murah tu! Setelah kenyang dan bertukar-tukar nombor telefon, kami pun membawa arah masing-masing.
Saya memilih Crystal Hotel yang terletak betul-betul di hadapan Central Festival, megamall terbesar di Hatyai. Ia juga terletak 100 meter dari kedai basikal First Bike dan hanya 800 meter dari Greenway Market. Lokasinya amat strategik untuk aktiviti riadah pada malam hari. Kebanyakan hotel penuh hari tersebut, mujurlah ada sebuah bilik di tingkat 2 yang ditolak tetamu kerana terletak bersebelahan serobong asap dapur yang berbunyi agak bising. Bagi saya ia masalah kecil. Apa yang saya perlukan ketika itu adalah bilik mandi dan katik untuk rehat semahunya kerana bahang panas seolah-olah merebus otak dalam tengkorak saya. Sebaik mandi dan solat. Saya tidur hingga 6.30 petang, memang selesa dan segala penat lelah hilang sepenuhnya. Hujan lebat dan guruh pula sedang menganas diluar.
Apabila keadaan sedikit reda, walaupun hujan renyai saya bergerak ke Greenway dengan menaiki basikal. Pengawal keselamatan di parkir hotel tidak habis-habis memuji basikal saya yang beliau rasa mahal. Padahal harganya hanya RM250. NWT Shop di Greenway Market masih belum buka walaupun sebelum itu pemiliknya Kittisak memaklumkan dia akan ke kedai jam 6.00 petang. Saya menunggu di Coffee Shop yang menjadi tempat pertemuan remaja punk di Hatyai. Pun dia tidak kunjung tiba, mesej juga tidak berbalas. Mungkin Kittisak ada masalah yang perlu diselesaikan.
Saya terus ke kawasan tumpuan pelancong di sekitar Lee Garden untuk mencari restoran Kai Tod Daycha kerana terkenangkan teh tarik ais dan kari ketam yang cukup mengiurkan. Tetapi kerabu sotongnya memang pedas dan meletup. Saya sukakan makanan Thai kerana antara bahan yang menjadi hiasan juadah mereka pastinya timun dan daun saderi. Keduanya adalah agen alkali yang tinggi. Bagus untuk meneutralkan kadar asid dalam darah kita.
Sebaik pulang jam 10.00 malam, saya singgah sekali lagi di Greenway Market ternyata NWT Shop tidak beroperasi malam itu. Sebaik mendapatkan keychain yang ditempah khas di satu reruai Greenway Market, saya terpaksa pulang ke hotel kerana telah basah lencun akibat hujan yang semakin lebat. Destinasi ke pasar terapung Klonghae dan Rockspace Pub juga saya batalkan. Namun saya gembira kerana berjaya juga sampai ke Hatyai secara solo walaupun beberapa acara yang terpaksa dilupakan.
Balik ke hotel, mandi air panas dan rehat secukupnya.
Esok paginya, saya dapat pesanan mesej yang GG Bunthai telah berada di bandar Hatyai dan sedang menguruskan modifikasi enjin di sebuah bengkel jentera. Kami berjumpa di restoran Salma yang cukup terkenal bersebelahan Lee Garden. Bagi yang tidak tahu Lee Garden terkenal kerana di situlah mendiang Chin Peng meterai Perjanjian Damai pada tahun 1989. Saya menjamah roti celup telur cicah kari hijau dan teh ais. Harga set tersebut hanya RM5.
Buat pertama kali saya lihat, korupsi Polis Thailand di depan mata dalam hal yang remeh temeh. Selalunya jika kita parkir kenderaan walaupun di tempat yang salah, polis datang tegur dan kita pun ubah kenderaan kita serta merta. Kita kan pelancong. Ada tolak ansur di situ, tetapi mereka ini tetap meminta suapan dengan mengarahkan kami ikut mereka pergi jauh ke celah-celah bangunan yang tiada CCTV. Jika tidak mahu beri. Saman menanti. Jika tidak bayar kompaun, jangan harap boleh keluar Thailand!. Sungguh hina. Jadi beringatlah jika anda membawa kenderaan sendiri ke sekitar Lee Garden yang popular itu. Apa yang saya ingat sebelum ini mereka tidak kisah soal parkir pada hari Ahad. Tetapi kini mereka sudah mula memburu, mungkin kerana adanya insan seperti GG Bunthai yang terus menghulur 200 baht walaupun mereka tidak nyatakan jumlahnya. Bagi saya ia jumlah yang banyak dan ia bakal membawa ketagihan kepada polis-polis celaka ini.
Selepas meletakkan basikal saya dalam pick-up GG Bunthai, kami bergerak untuk mengambil barang-barang modifikasi di bengkel namun ia hanya boleh siap pada jam 1.00 petang. GG Bunthai mengajak saya meninjau Samila Beach yang terletak kira-kira 30KM dari Hatyai sementara menanti enjin tempahannya siap. Saya ikut sahaja, lagipun boleh juga tinjau permandangan sambil bergambar. Sebaik tiba, saya lihat pemerintah Thai cukup berminat dengan berhala. Mereka akan bina segala macam berhala dan yang peliknya, pasti akan ada manusia yang datang membawa hajat, menyembah dan memujanya. Jika dahulu patung naga yang menyembur air ke laut itu cantik dan bersih, kini penuh dengan khurafat, dipakaikan selimpang/sari, puluhan telur ayam berselerakkan di lantai, selain sajian ritualistik yang lain. Patung raja juga dibina, patung kepala sami keluar dari dalam tanah dan sebagainya. Mungkin benar juga telahan saya sebelum ini, segala macam elemen ini dibawa masuk bagi melenyapkan pengaruh Islam di pantai Samila atau pada masa silam dikenali sebagai ‘Pantai Bismillah’.
Kami kembali semula ke bengkel, mengambil semua barangan GG Bunthai dan bergerak ke sempadan Padang Besar tanpa lengah. GG Bunthai menurunkan saya di komplek Imigresen Padang Besar tepat jam 3.00 petang. Selepas panaskan enjin kereta, saya bergerak dan singgah sebentar di masjid Kok Mak untuk solat jamak dan qasar, kemudahan atau ruksah sudah diberikan agama kepada pemusafir. Elok dimanafaatkan sebaiknya sebelum tiba rumah.
Tiba saja di rumah, perkara pertama adalah membasuh basikal dan baju kerana lumpur, gelaga dan debu jalan-jalan Thailand ini memang jenis heavy duty. Kalau dibiarkan ia kering, kerja-kerja menyentalnya pasti meletihkan.
Laporan oleh:
No comments:
Post a Comment