Jika di luar sana kebangkitan perjuangan Melayu dijalanan atau politik dengan api perkauman itu kelihatan jelik sekali. Di dunia seni, kita mempunyai aktivis seperti gagasan ‘Darah dan Maruah Tanah Melayu’ yang memperjuangkan ketuanan Melayu nusantara. Sebelum mengulas album ini lebih lanjut, saya ingin ceritakan bahawa saya sendiri dipengaruhi oleh idea perkauman ini yang diketengahkan ektrimis black metal nusantara AS SAHAR ketika kebangkitan nasionalis black metal pertengahan 90’an dahulu. Bagi saya semua orang TIDAK dilahirkan dengan fitrah perkauman, tetapi DIBESARKAN dengan semangat perkauman biar pun sedikit. Tiada salahnya sekelumit perasaan bangga terhadap perjuangan bangsa dan sejarahnya. Namun menidakan hak kaum lain, menindas dan memberi kasta pada mereka adalah sesuatu yang saya tidak pernah setuju.
Menjalani usia sebagai metalhead dan muslim, secara peribadi saya berkembang dengan sunnah dan falsafah. Idola saya, Muhammad bin Abdullah terbukti bukan nasionalis. Perjuangan bangsa adalah sesuatu yang saya tidak temui adilnya beragama, melainkan ia perjuangan untuk kepada umat manusia keseluruhannya. Jika agama itu hanya berada diruang litup sesuatu masa, tempat, kaum. Malah sempit dan seruan bangga diri. Tidak mahu saya agama itu.
JUGRA ditubuhkan 3 tahun lalu dan dianggotai oleh Daeng Andika (Guitar & vokal), Daeng Kepalang (Bass & vokal), Daeng Lumania (Dram) dan Daeng Hitam (Gitar) dan mereka sebelum itu turut aktif bersama kumpulan SINGHASARI dan ANTABOGA. JUGRA bagi yang tidak tahu adalah bandar purba diraja yang pernah menjadi pusat pemerintahan Selangor yang terletak di Kuala Langat dan menjadi bandar maritim kerana berdekatan Selat Melaka. Sultan Selangor yang terakhir yang menjadikan Jugra pusat pemerintahannya adalah Sultan Alauddin Sulaiman Shah yang berakhir pada 1938. Uniknya, Baginda adalah Knight dibawah Order of Saint Micheal and Saint George (1921). Sesuatu yang ironi bagi semangat ketuanan Melayu.
Selain pencipta imej dan idealis yang berani, saya puji pada mutu rakaman yang kedengaran menghiburkan. Ada beberapa elemen yang patut diberi perhatian seperti sentuhan speed rock, Ooi dan black metal 90-an. Terdapat 2 gaya vokal: bersih dan jerit tetapi ia bukan folk metal yaaa. Kebanyakan lagu-lagu mereka digarap supaya anda senang hadam melodi bersama-sama mesejnya. Saya sukakan lagu “Bangkit Malaya” yang kedengaran lebih dijiwa dan mungkin mendapat latihan secukupnya sebelum rakaman berbanding lagu-lagu lain. Ia persis AS SAHAR dari segi auranya. Lagu “Sumpah Anak Watan” dengan melodi koboi memberikan mood gembira memandangkan saya peminat Spaghetti Western. Lagu terakhir “Kesatuan Melayu Muda” kedengaran berbeza walaupun dirakaman di studio yang sama, Mayhem Studio, Kampung Melayu Subang. Ia tidak seperti mengunakan teknik miking seperti 7 lagu sebelum itu, seolah-olah JUGRA mengunakan direct pluggin untuk rakaman gitar dan diperkemaskan dengan mastering yang agak baik. Lagu “Kesatuan Melayu Muda” ini dimainkan dengan gaya hard rock Melayu seperti MAY, RUSTY BLADE dengan suara high pitch seadanya. Bagi saya JUGRA membawakan suatu arah yang mungkin dibenci atau mungkin digilai. Mereka mengetengahkan idea dan itu cukup bagus itu kita semua bahaskan secara intelek.
Saya berminat pada identiti Melayu kental yang mereka tunjukan, sisi seni pada logo, lukisan kulit album seorang lelaki memegang “Sang Pusaka Malaya” dan nota dalam yang menerangkan jatidiri mereka. Namun saya tidak setuju dengan racisme. Bagi mereka yang kurang selidik, ada beberapa kumpulan sebelum ini yang mengetengahkan idea kebangsaan dalam muzik lasak seperti SAILENDRA (konsep mitos, aritifak Melayu), CRYPTIC MALEDICTION (Konsep sejarah, semangat Melayu, perintis campuran gamelan dalam metal), TASYIM (mitos, khurafat dan sejarah Melayu), DARK NIRAJJIM (Konsep sihir, kurafat Melayu). Penulis dan penjelajah dari Itali, Marco Ferrasse sangat berminat untuk mengkaji JUGRA dan kedatangan gagasan nazi muzikal di Malaysia. Beliau adalah penulis novel kontroveri Nazi Goreng yang diharamkan penerbitannya oleh KDN. Saya amat berharap Marco memberikan pendedahan adil dan wajar kepada ahli-ahli Darah dan Maruah Tanah Melayu dalam tulisannya nanti.
Motto JUGRA “Nusantara Bergema. Melayu Raya Bersatu”
No comments:
Post a Comment