Saya tercari-cari masa dan kaedah yang sesuai untuk melancarkan dan mempromosikan buku Kemenyan di Thailand. Oleh kerana satu-satunya metal shop di Selatan Thai, NWT Shop telah tutup dari beroperasi sejak 4 bulan lalu satu-satunya nadi pengerak dan pusat ‘lepak’ metalhead dan punk di sana hilang arah. Tanpa NWT Shop, Greenway Market tiada tarikannya lagi buat para undergrounders. Mereka kini hanya berkumpul sekali-sekala di Rock Space Bar yang diuruskan oleh Eakaraad Pattano, ahli kumpulan NO IDEA dan kini DAMASCUS. Rock Space Bar wujud sebenarnya atas inisiatif beliau untuk menyediakan pusat gig dengan kos selenggara yang murah, memandangkan beberapa siri gig di kelab malam sebelum ini tidak mendatangkan keuntungan. Celeb Pub yang pernah digegarkan WRECKÄR telah bankrup 2 tahun lalu. Rock Space Bar boleh dianggarkan hanya seluas kiosk Coolblog yang mampu memuatkan 40 orang dalam suatu masa, itu pun kerusi-meja-kaunter harus dikeluarkan apabila gig berlangsung.
Saya tidak tahu langsung apa-apa mengenai band yang akan melakukan persembahan malam ini kecuali PSYCHOPATHY kerana kami pernah berkongsi pentas di Celeb Pub beberapa tahun lalu. Saya pernah dengar kumpulan yang bernama MERENGGAH dan kenal gitaris mereka, Syakir tetapi belum berkesempatan mendengar muzik yang mereka ketengahkan. Ketika saya makan malam di restoran Tasia sehari sebelum ke Hatyai, kata pemilik Tasia MERENGGAH itu dipengaruhi oleh MESHUGGAH? Paling aneh, PRIBUMI lagilah karut, 2 orang ahli mereka saya kenal dan sering juga berbual-bual mengenai muzik, malah pemain dram mereka pernah bermain dalam DEVASTATOR tetapi langsung mereka tidak pernah sebut pasal PRIBUMI kepada saya!?
Mengenai DRAGKILLER saya memang sering terlihat aktiviti mereka di timeline facebook rakan-rakan saya dari Bangkok, namun belum berkesempatan mendengar muzik mereka. Beberapa hari lalu, August Dila, pemain dram HERETIC ANGELS ada menghubungi saya dan meminta saya mendengar hasil album DRAGKILLLER yang beliau adunkan dan membuat mastering. Tetapi saya abaikan kerana kesibukan di pejabat. Menurut August, DRAGKILLER adalah sebuah kumpulan teknikal death metal dengan tema pornografi dan seksual.
Seterusnya saya tidak tahu dan mahu tahu langsung mengenai kumpulan deathcore, TRAGEDY OF MURDER. Namun ego saya musnah pada kesantunan pemain gitar, penyanyi dan teman wanitanya, malah Thanajed adalah orang pertama membeli CD WRECKÄR malam ini. Bila ditanya tentang usia, Thanajed mengatakan “u like a brother to me” ujar penyanyi berusia 27 tahun itu. Dia orang yang paling suka berbual dengan saya malam itu.
Saya bertolak seorang diri Sabtu ini menaiki jentera kegemaran saya tanpa sebarang masalah. Motivasi saya untuk ke Hatyai semata-mata kerana Kittisak (penganjur gig) berjani mahu membayar hutangnya kepada saya. (Nota: Saya bukan Ahlong..hehehe!) Saya hanya membawa RM200, bermaksud hanya 1800 baht (punya jatuh merundum duit kita!!!). Oleh itu saya tidak mampu menginap di hotel yang menarik hari ini, walaubagaimanapun saya tetap cuba mencari penginapan di lokasi riadah. Akhirnya saya temui J Room yang terletak bersebelahan hotel mewah Boutique Hotel hanya dengan harga 420 baht (sekitar RM50), namun ia selesa, luas, berhawa dingin, TV, ada balkoni, shower serta queen bed. Berbaloi sekali kerana ia bersebelah Asean Night Market. Saya tiba di Hatyai sekitar 3.00 petang, setelah menunaikan solat dan terus tidur dan menonton TV (mujur ada siaran yang tidak dialih ke bahasa Thai) hingga 8 malam. Seterusnya saya berjalan kaki ke 7 Eleven untuk mendapatkan burger halal dan kopi murah buat isi perut kosong. Kemudian saya terus berjalan kaki ke Asean Night Market.
Sebelum ini saya banyak menceritakan tentang Greenway Market dan Floating Market di Hatyai kan? Ok, Asean merupakan lokasi baru membeli belah santai yang terletak bersebelahan Greenway atau boleh saya katakan bersambung dengan Greenway. Namun Asean kelihatan lebih lively kerana lebih tersusun, classy dan mempunyai lanskap yang mengujakan pengila selfie. Gerai kerangka seperti gudang ini turut memuatkan medan selera, ruang solat dan kawalan keselamatan polis yang ketat di area parkir kenderaan. Barang yang patut diberi perhatian adalah kasut dan beg wanita, memorablia Coca-Cola, tshirt action figure, barangan kulit, dan makanan eksotik. Sekadar menjamu selesa saya pulang semula ke hotel untuk mengambil buku, CD , tshirt dan kaset untuk dijual di Rock Space yang hanya terletak kira-kira 5 KM sahaja dari J Room.
Sebaik sampai saya disambut oleh PRIBUMI, memang melucukan apabila mereka adalah band dari kampung sendiri yang saya tidak pernah tahu sebelum ini, saya mendapat tahu dari PRIBUMI, ahli MERENGGAH juga terdiri dari kumpulan glam rock/metal METAL KAYANGAN. Malangnya PRIBUMI telah membuat persembahan awal tadi. Kini PSYCHOPATHY dan seterusnya pemilik Rock Space juga mahu beraksi dengan memainkan beberapa lagu dari DAMASCUS. Saya menumpukan penjualan merchandise Faithcraft Productions bersama anggota TRAGEDY OF MURDER yang sangat budiman.
Kittisak tidak mahu mengambil wang tiket pada saya walaupun hanya 20-30 orang sahaja penonton yang hadir. Saya mahu memberi sokongan dan kasihankan beliau mengadu sering menanggung lebihan kos setiap kali gig diadakan. Ujar beliau “Just have fun and enjoy”. Kittisak @ Kai banyak membantu saya dalam jualan stuffs Faithcraft. Saya disapa Nickizang, pemain gitar DRAGKILLER yang seterusnya kami berkongsi cerita dalam berbagai-bagai isu muzik dan perancangan masa depan.
MERENGGAH membuat persembahan mereka dengan sokongan penuh dari penonton Thai. Dari apa yang saya dengar secara langsung, (dengan tidak menilai lagu rakaman studio) mereka bukanlah kumpulan math metal atau teknikal death metal. Tetapi lebih kepada modern metal dengan banyak elemen progressif pada permainan gitar. Dengan pemilihan lagu covers seperti LAMB OF GOD, PANTERA, SEPULTURA era “Chaos A.D”, mungkin anda dapat menafsir arah tuju mereka?
Ketika saya berbual dengan PRIBUMI mereka turut menyatakan dipengaruhi SEPULTURA era “Root”, SIX FEET UNDER, dan seumpamanya. Ketika ditanya mana merchandise, cd? Mereka malu-malu memberitahu lupa untuk bawa.
Saya hanya dapat menasihat dan berharap agar band-band kita bertindak professional dan bangga dengan produk sendiri. Jangan malu untuk bawa idea ke tempat dan jajahan orang. Saya katakan pada mereka, muzik adalah karya, karya adalah idea. Jika malu untuk mengetengahkan idea dalam format rakaman, kita sepatutnya malu untuk datang dan berdiri mempersembahkan idea kita dari awal lagi. Jangan datang! Muzik kita adalah jenama kita. Bangga. Bawa muzik, bawa cd, bawa tshirt, jual, tengok sambutan, tengok sokongan orang. Jika tiada, jangan datang lagi! Jika ada, buat hebat lagi! Main metal, imej kena ada walaupun muzik sudah berseni dan berani. Metal tidak akan cukup tanpa imej dan visual. Itu pakej yang datang bersama muzik lasak!
Saya berharap mereka ambil positif pandangan saya kerana ia datang dari pengalaman, dan dari jiwa pemberontakan. Anda tidak bermain metal dalam keadaan aman di jiwa dan fizikal!
Seterusnya TRAGEDY OF MURDER mengambil alih persembahan, seperti terpaksa saya gagahi jua ke dalam bar untuk melihat aksi mereka. Bassist mereka memakai corpse paint untuk melayan kehendak peminat dan sekadar humor. Mereka mempamerkan persembahan bertenaga, kekurangan penonton agak hambar untuk Thanajed membawa penonton supaya membuat circle pit dan wall of death walaupun beberapa kali dicuba. Jika dinilai dari segi kualiti persembahan, mereka memang hebat dan lasak. TRAGEDY OF MURDER turut membawakan covers SUICIDE SILENCE dan JOB FOR COWBOYS. Saya boleh hargai muzik seperti ini tetapi untuk menerima imej mereka, adalah sesuatu yang AMAT sukar.
DRAGKILLER hanya membuat sedikit soundcheck dan terus berlepas dengan kekejaman. Mereka turut menampilkan pemain dram PSYCHOPATHY, jika anda ingat saya pernah bertengkar dengan pemain dram ini ketika membuat persembahan bersama WERCKÄR kerana disebabkan masalah komunikasi. Lucu pun ada, kerana saya sangka dia menuduh saya mencuri peralatan dram di Celeb Pub. Padahal ia mahu meminjam cymbal dan tom tom saya. Hahaha! Hari ini beliau menghadiahkan saya 3 keping sticker. DRAGKILLER membawakan brutal death metal, banyak intro gitar plucking dan Nickizang mempamerkan persembahan dan kemahiran yang tinggi serta konsiten. Pemain bass mereka dengan sticker METALLICA di bass mengentel tali bak Alex Webster pada seluruh rangkap lagu. Aras bass di dada menunjukkan beliau seperti berpendidikan formal dalam muzik. Apa yang tidak kedengaran hanya ketukan dram mungkin sebabkan sistem bunyi yang minimal. Malah semua kumpulan menghadapi masalah yang sama kecuali DAMASCUS. Mungkin disebabkan tuan punya sistem bijak mengawal peralatan beliau atau muzik genre hardcore mereka lebih ringkas untuk diadun tetapan bunyi.
Sebaik DRAGKILLER selesai persembahan jam 2.00 pagi saya mula mengemas barang jualan. Bagi saya Nickizang menguasai persembahan dan slot petikan solo gitar darinya adalah kemuncak pada gig malam itu. CD WRECKÄR, tshirt dan buku Kemenyan boleh dikatakan item paling laris dan boleh saya katakan kedatangan saya ke Hatyai pada malam ini tidak sia-sia kerana dapat melihat kumpulan dari Perlis beraksi, saya juga dapat kenalan baru dari Bangkok yang budiman.
Saya kembali ke J Room terus tidur dan pulang awal pagi keesokan harinya.
Nota tambahan: Saya lupa ceritakan yang saya bersama Kittisak dan Stawat Ongong (tentera Thai metalhead paling gila) mencempung dan mengusung vokalis DRAGKILLER keluar bar dan tinggalkan dia ditengah jalanraya ketika mereka tengah buat persembahan hingga semua penonton ketawa besar.
No comments:
Post a Comment