Tuesday, November 3, 2015

AL AZAZHIL “Forbidden Kalth” (WITCHERY RECORDS) –MALAYSIA


Mereka mengunakan nama yang dipetik dari riwayat Israiliyat yang merujuk kepada ‘Lucifer’ dan jelas merujuk kepada genre yang mereka bawakan iaitu black metal atau lebih tepat ‘unholy black metal’. Bagi yang masih kurang jelas apa ertinya ‘unholy’ boleh taip perkataan itu di ruangan search di atas pasti anda akan jumpa beberapa ulasan yang telah saya bahaskan mengenai beberapa kriteria sub genre tersebut.

Mungkin saya terlepas pandang atau sememangnya saya kurang selidik dalam pergerakan UG Pahang (Kuala Lipis) membuatkan saya agak ralat kerana tidak pernah mendengar muzik mereka. Dari carian dalam sesawang, saya dapati mereka telah menerbitkan rangkaian demo-demo sejak 2005 malah telah mempunyai album penuh yang diterbitkan oleh Blackwinds Prod (Singapura) dalam bentuk digipak pada tahun 2011. AL AZAZHIL dibarisi Syaf anggota asal (gitaris) dan Lost (pemain dram) yang direkrut dari ATOMICDEATH juga pernah menggangotai kumpulan DEMONICAL CRISIS ASSEMBLY. 

6 trek dirakamkan dengan gaya minimalis di Kult Studio yang diproses oleh Syaf sendiri untuk mendapat produksi yang mereka inginkan. Bagi saya mereka berjaya melakukannya, pada pendengaran pertama ia kedengaran monotonus dan kontang, kemudian setelah diulang untuk pendengaran kedua. Ia mula menjadi aditif dengan pemainan gitar yang ringkas dan menyihir deria yang sensitif. Lagu-lagu permulaan lebih kepada membabi hutankan ritma seperti NIFELHIEM, TAAKE, GRAVELAND lama, MAYHEM lama, seterusnya mengadunkan sedikit riff-riff seram sejuk menjurus kepada album “Under Funeral Moon”, “Det Som Engang Var” dan “A Blaze in Northern Sky”. 


Spesis ini sudah hampir pupus di Malaysia, cuma tinggal beberapa individu atau kumpulan yang masih mengibarkan panji-panjinya. Jika diluar negara kita ada JUDAS ISCAROT, NAGAROTH, TANGORODRIM, di Malaysia kita punyai angkatan seperti AL AZAZHIL, BLACK ABYSS, INSULTOR, NEFTARAKA, BAZZAH yang masih bersetuju dengan idea lama ini. 

No comments:

Post a Comment