Saya mendapat perkhabaran mengenai terbitan semula demo tape pujaan ini ke format 7” melalui Whatsapp. Aneh juga? Namun saya terus menempahnya dari sahabat lama saya, Wan Syamsul pemilik Afterlife Productions yang juga editor Deadhead zine. Walaupun figura ini semakin kontroversi dalam metal scene tanahair, sebagai rakan saya menghormati prinsipnya dalam memberi pandangan keras pada gerakan muzik lasak tanah air. Jika anda teliti, kebanyakan peminat dari era kebangkitan black metal mafia dari Scandinavia pada awal 90-an. Mereka gemar bertindak sebagai black metal polis. Itu boleh, ini tak boleh. Saya sendiri pun suka kritik band orang. Haha! Tetapi sekurang-kurangnya saya tahu bermain alat muzik, dan ada elemen teknikalnya pendapat saya. Oleh itu anda jangan ambil pusing sangat. Orang lama. Banyak ragam dan suka berleter. Terus bergerak dan bangga dengan karya masing-masing walaupun bertentang idea. Itu yang terbaik.
NECROFIST adalah pra-NEBIRAS yang mula bergerak aktif dalam metal bawah tanah Malaysia sejak 1988. Mereka sebaya dan kumpulan yang unik seperti uniknya pemuzik berat yang muncul zaman itu antaranya BRAINDEAD, SILENT DEATH, HIJRAH, SILKHANNAZ, SUFFERCATION. Mereka sangat kejam. Saya tidak sempat mendapatkan demo kaset ini walaupun saya penyokong Abd Aziz dalam penerbitan zine beliau, Vortex From The East. Ia antara zine tertua di Malaysia dan saya masih menyimpan beberapa isu zine tersebut hingga kini. Malah pada zaman itu, saya antara yang membeli kaset dubbing band-band yang baru muncul di Eropah dari beliau. Abd Aziz yang mempunyai ratusan koleksi CD. Saya budak-budak kampung masih main kaset ketika itu. Dari beliaulah saya kenal BURZUM, LORD BELIAL, DARK FUNERAL, EVOL, dan sebagainya.
Ok cerita saringan: Saya pernah menghubungi Abdul Aziz melalui email sekitar 6-7 tahun lalu setelah membaca artikel tulisan beliau mengenai kembara ke Thailand dalam akhbar (beliau seorang wartawan) untuk bertanya khabar dan bercerita tentang karier muzik. Beliau membalas email saya “ ooo kau la ya band AU REVOIR tu.” Itu sahaja. Jadi saya berpendapat walaupun orangnya kerdil, status beliau adalah raksasa dalam dunia muzik metal Malaysia. Siapalah saya untuk beramah mesra dengannya barangkali? Mungkin tak sama level? Itulah juga kali terakhir saya berhubung dengan beliau.
Ok, anda semua mungkin telah biasa dengan karya-karya NEBIRAS yang doomy, suram, gelap dan satanic itu, walaubagaimana pun mereka juga pernah berekperimentasi dalam single “The Great Fullmoon Light” dengan meningkatkan kelajuan dan agak thrashy. Bagi NECROFIST, mereka memang bingit. Hanya 2 lagu sempat dirakamkan mereka di Amerah Studio, Pertama Complex KL pada Disember 1990. Afterlife Production seperti yang telah kita kenali tidak akan merubah kandungan audio asal ke dalam format piring hitam ini. Dua lagu yang dimuatkan itu berjudul “Diabolical Crucifixion” dan “Screaming from Hell”. Boleh dikatakan kualiti rakam demo ini berada pada tahap memuaskan. Walaupun mereka melabelkan muzik mereka sebagai “Grinding Death metal”, ia adalah death thrash metal yang aggresif mirip SODOM era “Obsessed by Cruelty”, SEPULTURA era death metal, SARCOFAGO, SEXTRASH dan sebagainya yang lebih menjurus kepada pergerakan metal Amerika Latin.
7” ini diterbitkan sebagai penghormatan kepada pengasas dan pemain gitar mereka, Yong Altazor yang telah meninggal dunia pada 1993 akibat kemalangan motorsikal. Yong menubuhkan NECROFIST ketika berusia 16 tahun dan dikatakan orang pertama yang membawa perkataan “Necro” di Malaysia sebagai nama gelaran band, dimana NECRONOMICON (Jerman) dan NECRODEATH (Italy) adalah antara yang paling dikenali ketika itu.
Diterbitkan dalam kuantiti 400 unit, piring hitam ini turut memuatkan foto-foto lama, pendahulan kata dari Abd Aziz, semuanya dalam reka letak yang menarik dengan harga RM35.
No comments:
Post a Comment