Kembara adalah satu tindak impromptu. Luar kotak selesa, luar duga.
Tetapi pengembara harus bijak merekonstruksi langkahnya; hidup sentiasa muda,cuma perjalannya harus dewasa.
1.
Kalau tidak kerana bintang, perkhemahan ini tidak akan terjadi.
Malam-malam di dalam kurungan ( PKP sebelum ini) aku sentiasa membayangkan
taburan bintang di langit yang luas dan bersih. Luas dan bersih cuma ada di
tempat yang kurang manusia dan tiada pencemaran iaitupulau dan hutan.
Sebelum ini aku dan dua orang rakan sekembara, Mae dan Dina ada
merancang untuk berkhemah cuma lokasinya belum ditentukan kerana Korona yang
sentiasa on off ( naik turun kesnya). Jadi niat itu terkambus buat sementara
waktu. Tetapi ya, takdir sentiasa ingin bergurau, memberi harapan-harapan kecil
untuk insan-insan yang sedang berharap dan—
( Via Whatsapp) :
Aku : Bangbot wasap cakap pulau bukak dah start
minggu ni.
Mae : Jom! Tunggu apa lagi!
Dina : I on if you guys on.
Aku : Done! I dah wasap bangbot, next week kita p
camping. Dia balas cun!
Maka mimpi-impi mengira dan mendakap bintang-bintang
di langit malam — terbakar, menjelma menjadi nyata. Yeayhh!
Untuk pengetahuan anda, Pulau Songsong terletak di daerah Yan, negeri Kedah baq hang. Berhampiran dengan Pulau Bunting, Pulau Telur dan Pulau Bidan. Pulau ini tidak berpenghuni tetapi ada dua tiga biji kubur dapat dilihat di kawasan pulau yang tidak diketahui sejarahnya. Pulau ini juga sesuai untuk aktiviti perkelahan dan program-program berkumpulan kerana menyediakan fasiliti surau dan bilik air ( sumber air dari air laut) juga terdapat dua buah telaga.
2.
Ini bukan kali pertama kami ke sana. Januari lepas, saya, Mae dan Dina sudah berkhemah di sana selama 3 hari 2 malam dan ketika itu pulau sangat sesak dengan manusia disebabkan cuti raya cina. Pesanan khidmat masyarakat; tolonglah jaga kebersihan alam sekitar, kalau tidak percutian anda hanyalah percutian buat sampah. Ya, botol air merata, lampin bayi dan plastik-plastik makanan. Sayanglah, pulau cantik tapi datang manusia tak cerdik, buat kotor tergedik-gedik.
( Berhadapan dengan pulau, anda akan dapat melihat Gunung Jerai)
Untuk ke Pulau Songsong, kami menaiki bot di Jeti Sungai Udang tetapi ada juga yang memberitahu boleh menaiki bot di Jeti Tanjung Dawai. Mungkin bezanya harga dan masa perjalanan (sekitar RM300).
Kami bertolak dari Alor Setar ke Jeti Sungai Udang dalam pukul 10.30 pagi dan sampai di sana sekitar 11.20 pagi. Sebelum terlupa, harus diingatkan hubungi abang bot terlebih dahulu kerana bot untuk ke Pulau Songsong tidak tersedia di jeti dan harus menempah terlebih dahulu sebelum hari kejadian.
Perkhemahan kali ini kami merancang seperti sebelumnya iaitu 3 hari 2 malam. Tetapi seperti kata pujangga, ‘terlalu jauh untuk kulontarkan harapan itu lewat bayang-bayang yang tidak teraba.’ Apa maksudnya, apa yang terjadi? * Gelak.
Kami menaiki speedboat( jaket keselamatan disediakan) lebih kurang 15-20 minit untuk sampai ke Pulau Songsong. Perjalanan menaiki bot adalah satu eskapisme bagi aku. Laju, berangin dan terasa dekat dengan laut. Siapa saja yang tidak gembira apabila sesuatu yang dicintai depan mata, bukankah?
Kami sampai di pulau sekitar pukul 12 tengahari. Ketika bot berhenti di persisir pantai, hanya Tuhan yang tahu apa yang aku rasa ketika itu. Air laut yang jernih, zamrud di tengah, hijau kebiruan di persisir pantai, pasir putih dan cuaca yang tidak panas tidak mendung— redup dan selesa. Aku tarik nafas, hembus— terima kasih Tuhan untuk peluang ini.
Aku boleh klasifikasikan bahawa perkhemahan kami kali ini adalah yang paling menarik. Kerana ketika itu hanya kami satu-satunya sekumpulan manusia di pulau. Gila! Sangat berbeza dengan suasana bulan Januari yang lepas. (Mungkin disebabkan Covid-19 yang belum selesai). Walaupun hanya ada kami, tiga orang perempuan dan seorang lelaki, tidak ada perasaan takut atau resah ketika itu yang ada tenang dan seronok.
Kami memasang dua buah khemah, mengeluarkan bahan-bahan masakkan dan merehatkan diri di bawah pohoh rhu yang berbaris di setikar pantai. Oh! Harus diigatkan, untuk keselamatan perut anda bawalah air mineral dan air mentah secukupnya kerana di pulau tersebut hanya ada sumber air laut dan air telaga yang tidak dirawat.
Dari tapak khemah, terlihat beberapa orang sedang memancing dan menjala ikan. Rupanya ada lagi manusia di sini bersama kami tetapi terhijab oleh remang matahari kerana mereka di laut. Pulau ini juga terkenal dalam kalangan pemancing. Air lautnya jernih sehingga menampakkan anak-anak ikan di tepian pantai dan ikan-ikan lainnya juga!
Jika suatu masa nanti anda ke sebuah pulau, cuba pejamkan mata , senyap dan fokus. Anda akan dengar desir ombak dan geseran daun pohon Rhu, hulus dan tenang. Begitulah alam memainkan melodi, melagukan sunyi dengan bunyi yang merdu dan sederhana.
3.
Aku hampir terlelap, Dina di sebelah sudah lena. Deringan telefon Mae mengejutkan aku dari lamunan. Dari riak wajah Mae terserlah kegelisahan. Dia matikan telefon dan,
“ Kota setar kena TEMCO start 12 malam ni.” Aku tergamam.
“ Kawasan Mae dengan Dina ka? Nina Jitra, so dakla.”
“ Tak kan nak balik?”
Telefon Dina pula berdering. Uminya menyuruh kami pulang hari ini juga. Baru sampai, penat memasang khemah dan pungah barang belum habis, tak kan nak simpan semula semua? Aku menyoal mereka. Mereka kata, abaikan saja. Dah sampai, jadi nikmatinya.
Aku masih berdebar. Bagaimana jika terkurung di pulau selama dua minggu? Aku seronok sebenarnya tapi seronok itu hanyalah sekadar imejan. Realitinya tidaklah seindah dan sesedap imaginasi. Selalunya begitu, bukan? Aku menghubungi abang bot dan dia juga pada awalnya menyuruh kami balik, tapi aku meminta masa untuk berfikir terlebih dahulu.
Selepas sesi perbincangan, kami akhirnya memutuskan untuk balik keesokkan harinya. Namun Dina dan Mae tetap ingin meneruskan plan awal, tiga hari. Kata mereka, alang-alang dah terlepas ke sini, stay sahajalah. Aku juga bersetuju. Hati kena berani, nak mengembara tak boleh jadi Barbie. Aku menjawab, kita bagitahu dulu balik esok, apa-apa perubahan kita bagitahu nanti. Ya, hidup perlu ambil risiko, but a calculated risk. Kau terjun daripada kapal terbang dan tahu payung terjun bersama kau dan payung terjun itu berfungsi sepenuhnya. Itu calculated risk. Tapi kalau kau terjun membabi buta tanpa payung terjun atau dengan beg sekolah, itu bodoh namanya ( Goji Bundy, Ridhwan A.Dullah).
Setelah selesai berhujah dengan abang bot, Mae dan Dina terjun ke laut. Nak tunggu apa lagi? Nikmat sudah di depan mata, kenapa ingin dustakan dengan fikiran-fikiran yang tak pasti, bukankah? Aku hanya memandang mereka dari jauh dan menikmati pemandangan sekeliling pulau. Cantik. Ya, sungguh cantik. Pulau ini mempunyai dua persisir pantai. Kiri dan kanan. Sebelah kanan lebih landai dan kurang berombak dan sebelah kiri berbatu dan dalam. Aku menjadi mata kamera untuk Mae dan Dina, membingkaikan mereka dalam beberapa keping gambar. Senyuman dan bahagia jika tidak diarkibkan akan hilang dibunuh waktu. Juga untuk disimpan dikala perlu. Perlu di sini vise versa kepada sajak Ridhwan Saidi dalam buku Holokos;
Rinduku helai sajak
yang tak kauinstagram.
Jadi biar aku instagramkan momen-momen ini tanpa perlu menunggu sesiapa meninstagramkan ketika kenangan menjelmakan rindu.
4.
Hari bertukar mendung. Sekitar jam 7 malam, cuaca tiba-tiba berubah. Berangin dan hujan mula turun renyai-renyai. Aku baru teringat kata-kata abang bot, buka khemah kat pondok, sekarang ni musim hujan malam. Di sini ada 3 buah pondok kecil yang disediakan. Tapi disebabkan pengunguman TEMCO tadi habis hilang ingatan tentang pondok. Makanya, khemah kami senget ditampar angin dan masak dalam hujan renyai dan ribut yang manja-manja.
Makanan kami untuk malam itu hanya ayam yang digoreng Dina dan keropok kentang. Ke mana spageti pergi? Ke mana meggi kari pergi? Dina jawab pergi sebagai kenangan dalam sebuah bayangan. Mae gelak.
Hampir beberapa jam kami bertarung dengan angin yang kuat dan air hujan masuk ke dalam khemah. Tetapi disebabkan terlalu lapar, kami makan tanpa menghiraukan apa-apa. Hirup Nescafe dan menyanyi sekuat hati, sederas rintik hujang yang menghempap kanvas khemah. Dua Sleeping bag basah, baju-baju basah dan hanya satu sleeping bag dapat diselamatkan.
Dina kelihatan pucat dan keletihan, mau taknya habis kerja shift malam tak tidur lagi sampai sekarang, kami membalut Dina dengan sleeping bag dan dia terus tertidur dalam air yang bertakung di dalam khemah.
Segala baju, seluar dan tudung digunakan untuk menghalang air daripada masuk ke dalam khemah, angin kuat dan sejuk hingga ke tulang. Aku mendapat idea untuk menggunakan tuala wanita sebagai penyerap air. Dan ya! Ianya sangat berkesan dan sesuai dengan slogannya penyerapan yang maksimum, kering dan selesa. * ketawa. Nasib baik aku bawa bekalan yang banyak. Jadinya lantai khemah kami dipenuhi dengan tuala wanita jenama Kotek * ketawa besar.
Hujan turun sehingga pukul 3 pagi. Aku tidak dapat tidur. Sejuk. Risaukan hujan juga risaukan Dina. Beberapa kali, aku memeriksa nadi, tangan dan kakinya, memastikan tak terlalu sejuk dan dia dalam keadaan yang baik.
5.
Malam ini, bintang tidak ada. Bulan juga tidak ada. Hanya hujan dan angin. Kalau tidak kerana bintang pada awalnya, mungkin aku tidak akan merasa adventure sebegini. Betul, aku suka!
Melihat lampu yang tergantung di siling khemah, aku membayangkan bulan dan sepotong puisi Neruda ;
Debajo de tu piel vive la luna.
(The moon lives in the lining of your skin).
Rembulan bernyala di remang kulitmu ( terjemahan Karim Mohd.)
Tidak ada apa-apa aktiviti malam ini. Cuaca tidak begitu ramah dengan kami. Aku akhirnya tertidur sehingga jam 7.30 pagi.
6.
Pagi. Cuaca makin baik, sebiji matahari yang besar dan merah menghangatkan sejuk semalam. Kami bangun siapkan sarapan, Dina menyediakan sandwich , goreng naget ayam dan sosej.
Aku pula menyidai pakaian yang basah. Selepas makan Dina dan Mae pergi membersihkan diri di telaga sementara aku qada tidur semalam.
Sisa waktu yang ada, kami habiskan dengan perbualan-perbualan kosong. Mae kata, jika cinta yang dulu tidak mati ke mana perginya? Dan Dina pula kata Love or last? Mana satu kau akan pilih? Dan aku kata, cinta hanya khayalan dan dongeng. Sebelum aku percaya cinta, buat aku percaya orangnya terlebih dahulu.
7.
Kami mengemas dan membersihkan kawasan pulau sebelum bertolak balik. Jam 6 bot datang membawa kami pulang. Niat untuk tinggal sehari lagi terkubur disebabkan pengalaman hujan semalam. * ketawa
8.
Keindahan pupus setiap hari, selagi berkesempatan menikmati masa sihat, muda dan bujang, jangan pernah sia-siakan. Bak kata Riggan Thomson dalam filem Birdman, My health lasted longer than the money. So, go figure that out. Duit boleh dicari, masa yang mengalir tak akan berpatah balik. Jangan terlalu hanyut mengejar kemewahan dunia supaya di sisa waktu tuamu yang membosankan ada cerita-cerita menarik yang boleh diingat dan ditulis semula kelak.
cantik pantainya
ReplyDeleteYa bro!
ReplyDelete